Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Fail:MBJB.jpg
Logo MPJBT

Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah ialah salah satu majlis tempatan di daerah Johor Bahru, Johor, Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1953. Bermula daripada sebuah pusat pentadbiran kecil, majlis tempatan ini kini telah diisytiharkan sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf perbandaran. Keluasan Johor Bahru Tengah sebelum perbandaran ialah 303.5 kilometer persegi, manakala keluasan kawasan selepas perbandaran ialah 338.5 kilometer persegi.

Ibu pejabat Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah

Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah terbahagi kepada dua zon, iaitu:

Jumlah penduduk Johor Bahru Tengah ialah 525,351 orang. Kini, satu pembahagian telah dicadangkan untuk mengeluarkan 97.7 kilometer persegi untuk penubuhan Pihak Tempatan Nusajaya.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah awal Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah bermula dengan penubuhan lapan buah Majlis Tempatan sekitar tahun 1960-an di bawah Enakmen Lembaga Bandar 118. Pada 1 Mac 1978, Majlis Daerah Johor Bahru Tengah telah ditubuhkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang merangkumi kawasan seluas 104.7 kilometer persegi dengan jumlah penduduk sebanyak 150,000 orang. Pada tahun 1995, kawasan pentadbiran Majlis Daerah Johor Bahru Tengah telah diperluaskan sehingga 303.48 kilometer persegi dengan jumlah penduduk bertambah sehingga hampir 500,000 orang.

1. Majlis Tempatan Skudai[sunting | sunting sumber]

Pekan Skudai terletak di Batu 10, Jalan Ayer Hitam, Johor Bahru, 16 kilometer daripada Bandaraya Johor Bahru, dan di antara simpang Jalan Gelang Patah dan simpang Jalan Pontian.

Majlis Tempatan Skudai yang ditubuhkan pada tahun 1953 ditadbirkan oleh sebuah Lembaga Pengurusan yang terdiri daripada lapan orang ahli mesyuarat, iaitu enam orang yang dipilih oleh penduduk tempatan di bawah Akta Pilihan Raya Majlis Tempatan, 1960, manakala dua orang lagi dilantik oleh Kerajaan Negeri. Poh Yong Kee ialah pengerusi pertama Majlis Tempatan Skudai antara 1953 dan 1960. Beliau dipilih semula pada tahun 1962 dan terus memegang jawatan tersebut sehingga 1973.

Luas kawasan pentadbiran bertambah kepada 340 ekar pada tahun 1970. Dengan 184 buah rumah kediaman dan rumah kedai pada tahun 1957, kebanyakannya daripada jenis sementara, bilangan rumah kediaman dan rumah kedai telah bertambah 3 kali ganda kepada 593 buah pada tahun 1976. Ini disebabkan oleh beberapa projek perumahan yang telah dilaksanakan oleh pihak-pihak swasta pada masa tersebut.

2. Majlis Tempatan Lima Kedai[sunting | sunting sumber]

Sebelum meletus Perang Dunia II, seorang British telah membina sebuah rumah kediaman di atas bukit di tapak kuari. Beliau juga bertanggungjawab membina lima buah kedai di tepi sungai berhampiran dengan sebuah jambatan. Kelima-lima buah kedai ini kemudian disewa kepada empat penduduk Cina serta seorang Bengali yang menjalankan perniagaan menjual barangan runcit, kedai kopi dan kedai gunting.

Pada peringkat awal, Kerajaan Negeri mengurniakan 42 buah rumah papan dan tapak rumahnya dengan bantuan Pegawai Penempatan Semula. Sebuah balai polis juga dibina. Bagaimanapun, semasa darurat pada tahun 1948, lima buah kedai ini dan penduduk-penduduk di persekitarannya telah diperintahkan berpindah ke Ladang Getah Hiap Seng yang kini dikenali sebagai Kampung Baru Lima Kedai.

Majlis Tempatan Lima Kedai ditubuhkan pada 1 Ogos 1954 dengan menyewa sebuah rumah sebagai pejabat. Pada 31 Mei 1959, satu pilihan raya Majlis-majlis Bandaran dan Tempatan telah diadakan dan seorang pengerusi dilantik. Setelah Kerajaan Negeri mencadangkan supaya pilihan raya diadakan setiap 3 tahun, satu lagi pilihan raya diadakan pada tahun 1962.

3. Majlis Tempatan Gelang Patah[sunting | sunting sumber]

Majlis Tempatan Gelang Patah ditubuhkan pada 3 September 1953 dan ditadbir oleh Penolong Pegawai Daerah bersama-sama dengan enam orang ahli majlis yang dipilih oleh penduduk. Pengerusi yang pertama ialah Lim Tee Tong. Pada 21 Ogos 1957, dua orang ahli majlis baru telah dilantik oleh Kerajaan Negeri yang terdiri daripada seorang Melayu dan seorang India.

Majlis Tempatan ditadbir mengikut Undang-Undang Majlis Tempatan 1952, dan Enakmen Lembaga-lembaga Bandar No. 118. Pihak Kerajaan telah mengurniakan bantuan kewangan setiap tahun untuk membolehkan pihak Majlis Tempatan menjalankan pentadbirannya dengan lancar. Punca pendapatan Majlis Tempatan ini diperoleh daripada cukai pintu, cukai najis, lesen-lesen perniagaan, lesen basikal, dan juga mengambil dalal atas pungutan hasil air.

Pilihan raya kemudian diadakan pada setiap tahun bagi memilih ahli majlis, dan dilaksanakan oleh Jabatan Pilihan Raya Johor Bahru di bawah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960. Pada tahun 1961, parti Barisan Sosialis telah mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut untuk menentang calon-calon daripada Persatuan Cina Malaysia (MCA). Lagi satu pilihan raya diadakan pada tahun 1962.

4. Majlis Tempatan Kangkar Pulai[sunting | sunting sumber]

Kampung Kangkar Pulai terletak di bawah kaki Gunung Pulai di Batu 16½, Jalan Pontian, Johor.

Majlis Tempatan Kangkar Pulai ditubuhkan pada 15 Mac 1953 dan sebuah bilik kecil di E-49, Jalan Kangkar Pulai telah dijadikan pejabat sementara. Pejabat Majlis Tempatan ini kemudiannya dipindah ke Dewan Perniagaan Tionghua pada bulan Mac 1955. Pada tahun 1956, kawasan ini terdiri daripada kira-kira 125 buah rumah dengan jumlah penduduk sebanyak 1,112 orang.

Parti Barisan Sosialis telah berjaya memenangi kesemua enam kerusi semasa pilihan raya tempatan pada tahun 1959 dan oleh itu, memperoleh kuasa penuh untuk mentadbir Majlis Tempatan Kangkar Pulai. Pejabat Majlis Tempatan Kangkar Pulai kemudian dipindah dari bangunan Dewan Perniagaan Tionghua ke Balai Raya Kangkar Pulai yang dibina oleh Kerajaan Negeri.

Pada bulan Mei 1962, pihak berkuasa sekali lagi mengadakan pilihan raya tempatan. Dalam pilihan raya tersebut, Persatuan Cina Malaysia (MCA) berjaya memenangi dan merebut kesemua kerusi. Wu Ngo Tong dilantik sebagai Pengerusi ke-5, manakala Lee Tze Fooi dipilih menjadi Pengerusi ke-7 pada Ogos 1968.

5. Majlis Tempatan Ulu Choh[sunting | sunting sumber]

Kira-kira 50 tahun dahulu, Ulu Choh merupakan kawasan hutan rimba yang terpencil. Kerajaan pada masa itu menggalakkan penduduk-penduduk di sekitar kawasan tersebut supaya terlibat dalam bidang pertanian seperti penanaman pokok getah dan sayur-sayuran. Pada masa yang sama, Singapura ingin memperoleh bekalan air dari negeri Johor dan oleh itu, membuka sebuah cawangan P.U.B. di Ulu Choh. Pembukaan cawangan P.U.B. ini telah melahirkan sebuah kampung kecil yang dikenali sebagai Batu 22, Jalan Kolam Air pada tahun 1951.

Pada awal tahun 1953, Majlis Tempatan Ulu Choh telah ditubuhkan dengan pelantikan beberapa orang kenamaan tempatan sebagai ahli-ahli majlis. Pengerusi Majlis Tempatan pertama ialah Kok Yin Khian, diikuti oleh Kok Kim Hee. Pada tahun 1959, pilihan raya Majlis Tempatan Ulu Choh yang pertama telah diadakan untuk memilih Kerajaan Penguasa Tempatan.

6. Majlis Tempatan Ulu Tiram[sunting | sunting sumber]

Ulu Tiram terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar raya Johor Bahru ke arah Jalan Kota Tinggi. Kampung ini yang dibuka pada tahun 1927 mempunyai lebih kurang 500 orang penduduk, dengan 47 buah rumah kedai dan 5 buah rumah kediaman, serta sebuah Balai Polis dan sebuah Wakil Pos ketika itu.

Pada tahun 1949, darurat diisytiharkan dan sebuah Jawatankuasa Kampung Baru di bawah jagaan Pegawai Penempatan Semula telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini mempunyai enam orang ahli, dan Yong Yaw Num menjadi pengerusinya yang pertama. Ulu Tiram mula bertukar wajah apabila penempatan semula dijalankan oleh Kerajaan Negeri semasa darurat antara tahun 1949 dan 1951. Penduduk-penduduk telah dikumpulkan dan diberi bantuan asas, termasuk membina rumah kediaman.

Pada akhir tahun 1953, Majlis Tempatan Ulu Tiram diisytiharkan untuk mengambil alih Jawatankuasa Kampung Baru tersebut. Pilihan raya yang terakhir diadakan pada 30 Mei 1962. Empat orang calon Parti Perikatan dan empat orang calon Barisan Sosialis telah dipilih, dengan seorang lagi dilantik oleh Kerajaan Negeri. Pengerusinya ialah Liew Sing Seng daripada Parti Perikatan.

7. Majlis Tempatan Plentong[sunting | sunting sumber]

Ketika berlakunya darurat pada tahun 1949, penduduk-penduduk dari Kampung Baru Ban Foo, Kampung Lunchoo, Ladang San dan kampung-kampung yang berdekatan telah diarahkan oleh Kerajaan Negeri supaya dikumpulkan di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Baru Plentong.

Majlis Tempatan Plentong ditubuhkan pada tahun 1953, dengan sembilan orang ahli jawatankuasa dipilih oleh penduduk, dan dua orang ahli lagi dilantik oleh Kerajaan Negeri. Pada tahun 1958, sebuah bangunan balai raya telah dibina oleh kerajaan untuk kegunaan orang awam. Sebuah pejabat Majlis Tempatan dibina di sebelah balai raya tersebut pada tahun 1967. Di sinilah pilihan raya dijalankan pada setiap tahun untuk memilih ahli-ahli jawatankuasa.

8. Majlis Tempatan Masai[sunting | sunting sumber]

Majlis Tempatan Masai pada mulanya merupakan sebuah kampung kecil yang tidak mempunyai banyak penduduk. Pada tahun 1949, ketika negara diancam oleh komunis dan diletakkan di bawah keadaan darurat, penduduk-penduduk yang tinggal di ladang-ladang dan kampung-kampung yang berhampiran telah diarahkan berpindah ke Masai. Bagaimanapun, kekuatan pengaruh komunis telah mengancam keselamatan kawasan kampung itu. Akibatnya, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk memagar kawasan tersebut untuk melindungi penduduk-penduduk Masai daripada dihasut komunis dan bagi memudahkan urusan-urusan pentadbiran.

Pada tahun 1952, Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Chee Meng Kee bagi mentadbir kampung tersebut. Majlis Tempatan Masai kemudian ditubuhkan pada tahun 1953 dengan dianggotai oleh sembilan orang ahli jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Chee Meng Kee. Pemilihan ini dibuat menerusi pilihan raya yang mana tiga orang calon telah bertanding dengan menggunakan simbol kereta, basikal dan telefon. Pegawai Daerah pertama semasa penubuhan Majlis Tempatan ini ialah Tan Sri Dato' Samsu Bin Mahmood.

Rujukan[sunting | sunting sumber]