Dol Said

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Makam Dol Said)
Dol Said
Penghulu Naning
Datuk Seraja Merah
Dalam jawatan
1801–1849
Didahului olehPenghulu Anjak
Digantikan olehPenghulu Idas
Butiran peribadi
LahirAbdul Said Omar
1773
Meninggal dunia1849(1849-00-00) (umur 75–76)
Taboh Naning

Dato' Abdul Said bin Omar (Jawi: عبد السيد بن عمر‎; lahir 1773 – meninggal dunia 1849)[1] atau lebih dikenali dengan gelaran Dol Said ialah seorang pemimpin orang Melayu di Naning, sebuah kawasan di Tanah Melayu. Naning pada asalnya ialah sebuah wilayah merdeka[2] yang membentuk sebahagian Negeri Sembilan, namun telah diilhakkan ke dalam Melaka (dan kemudiannya dalam pentadbiran Negeri-Negeri Selat) pada era penjajahan British. Dol Said ialah Penghulu Naning kesembilan[3]. Perang Naning yang berlaku pada tahun 1831 menjadikan beliau seorang pahlawan yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka. Daripada suku Semelenggang, Dol Said mewarisi Penghulu Anjak sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 ketika hanya berumur 26 tahun. Pada tahun 1802, Kolonel Taylor telah melantik Dol Said sebagai Penghulu Naning dengan syarat beliau menggunakan cap mohor Inggeris.[4] Sehingga campur tangan Kolonel Farquhar pada 1807, penghulu Naning dibenarkan mentadbir Naning termasuklah dalam hukuman mati. Campur tangan kolonel Farquhar menyebabkan kuasa menghukum mati diserahkan kepada kerajaan negeri.[4]

Penentangan terhadap British (1831−1832)[sunting | sunting sumber]

Beliau telah menentang pentadbiran British pada tahun 1831−1832. Penentangan beliau adalah bagi mempertahankan kemerdekaan Naning. Ini kerana mengikut Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Belanda menyerahkan Melaka kepada British dan British mendakwa Naning ialah sebahagian daripada Melaka. Oleh sebab itu, British mengarahkan Naning mematuhi semua peraturan yang ditetapkan di Melaka. Dol Said dan rakyat Naning enggan menerima dakwaan British tersebut.

Selain itu, melalui Undang-undang 1830, British memaksa Naning membayar satu persepuluh daripada hasil keluaran pertaniannya. Arahan dikeluarkan setelah British mendapati hasil wilayah Naning berjumlah 4500 dolar sebulan. Dol Said enggan membayar cukai kerana beliau menganggap Naning sebagai sebuah wilayah yang berdaulat.

British memperkenalkan Peraturan Penghulu yang menggugat pengaruh dan kuasa Dol Said. Peraturan ini melarang penghulu membicarakan kes jenayah. Pada 1828, British memberi amaran kepada Dol Said kerana menyelesaikan kes jenayah di Naning sendirian. Beliau juga diugut akan dilucutkan jawatan sekiranya tidak mematuhi arahan British.

Terdapat dua peperangan yang berlaku dalam tempoh setahun, iaitu Perang 15 Julai 1831 dan Perang Mac 1832.

Perang 15 Julai 1831[sunting | sunting sumber]

British mengisytiharkan Dol Said sebagai penderhaka. Kapten Wyllie dihantar mengetuai 150 orang sepoi untuk menyerang Naning. Namun, Dol Said berjaya menewaskan British kerana menggunakan taktik perang gerila, serta mendapat bantuan daripada Seri Meranti, Sungai Ujong, Johol dan Muar. Naning juga mendapat bantuan daripada Yamtuan Muda Raja Ali dari Rembau. Bantuan tentera diketuai oleh menantunya, Syed Sha'aban.

Perang Mac 1832[sunting | sunting sumber]

British berunding dengan Yamtuan Muda Raja Ali dari Rembau dan beliau bersetuju menghantar 600 orang hulubalang untuk membantu British. Pasukan tentera British dipimpin oleh Kolonel Herbert berjaya menawan Taboh dan rumah-rumah penduduk Naning dibakar. Dol Said akhirnya menyerah diri kepada pihak British.

Kehidupan selepas penentangan[sunting | sunting sumber]

Selepas Dol Said menyerahkan diri, kerajaan British telah memberinya pencen sebanyak 200 rupee sebulan. Beliau telah membeli sebidang tanah untuk mengusahakan tanaman padi di samping melibatkan diri dalam perubatan. Beliau telah berjaya menghasilkan wang yang mencukupi untuk memakai kasut, membeli sebuah kereta kuda dan menggunakan khidmat tukang emas.[1] Dol Said meninggal dunia pada awal Ogos 1849[5] dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning bersebelahan Masjid Dato' Dol Said, Taboh Naning.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Braddell 1856, m/s. 217.
  2. ^ "Kerajaan Naning pernah merdeka". BH. 11 Februari 2020. Dicapai pada 20 Julai 2023.
  3. ^ Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj, Tambo Alam Naning, DBP, 2000, ms 184
  4. ^ a b Braddell 1856, m/s. 199.
  5. ^ "Tak bertajuk". The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (dalam bahasa Inggeris). 10 Ogos 1849. Dicapai pada 9 Jun 2020 – melalui NewspaperSG.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj (2000). Tambo Alam Naning. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). ISBN 9836247211.
  • Tiong Mook Chai & Lee Aik Sing (2015). Spotlight Galaksi S Sejarah Tingkatan 1.2.3. Pan Asia Publications Sdn. Bhd. ISBN 9789670785516
  • Masariah binti Mispari, Johara binti Abdul Wahab & Ridzuan bin Hasan. Buku Teks Sejarah Tingkatan 2. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789836278319
  • Braddell, Thomas (1856). "Notes on Naning". Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia (dalam bahasa Inggeris) (New series 1).CS1 maint: ref=harv (link)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.