Mandi Belawat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Mandi Belawat (Banjar: Mandi Tian Mandaring) merupakan majlis yang diadakan bagi menyambut kelahiran anak sulung. Ia biasanya disambut dikalangan orang Melayu Brunei.

Pada kebiasaannya, si ibu akan memakai baju kurung atau busana pengantin jika mahu dan disarungkan pula dengan kain tenunan Brunei serta dihiasi dengan gandi pilihan. Manakala, untuk anak perempuan dipakaikan pakaian yang cantik sama ada gaun ataupun baju kurung. Jika si anak adalah seorang lelaki dipakaikan pula dastar kecil berserta baju cara melayu ataupun pakaian yang kemas.

Majlis Mandi Belawat meskipun namanya adalah "Mandi", tidak ada kena mengena dengan perbuatan sedang membersihkan diri atau membasahkan tubuh dengan air. Ia hanyalah sekadar nama kerana acara Mandi Belawat ini akan diserikan lagi dengan nyanyian dikir serta doa kesyukuran atas kelahiran anak pertama. Anak akan ditaburkan bunga rampai oleh mereka yang hadir dan dipalitkan dengan tepung putih.

Rata-rata kini acara Mandi Belawat turut dipasangkan sebuah pelaminan atas tujuan untuk pasangan yang bergelar ibu dan bapa tersebut dapat mengambil gambar kenang-kenangan bersama si anak.

Adapun, acara Mandi Belawat bukanlah suatu kewajiban kerana tiada fungsi, tujuan dan objektif yang jelas mengapa harus diadakan acara Mandi Belawat tersebut kerana ianya hanyalah adat semata-mata. Bak kata pepatah "Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat". Zaman yang serba moden kini dengan teknologi digital yang canggih serta kewujudan alam maya sudah cukup untuk menyampaikan kepada orang sekeliling malahan dunia bahawa sepasang suami isteri sudah memiliki seorang anak tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tidak munasabah lagi.