Mantin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pemandangan Pekan Mantin di udara.

Mantin (dahulu dipanggil sebagai Setul) adalah sebuah pekan kecil terletak kira-kira 15 kilometer di utara Seremban, Negeri Sembilan. Ia terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai. Pekan kecil yang mempunya majoriti penduduk berketurunan Cina ini adalah dalam daerah Seremban. Ia terletak di jalan utama (Jalan lama) menghubungkan Kajang dan Seremban. Pekan ini menjadi simpang untuk ke Lenggeng di sebelah timur, ke Pajam di sebelah barat, ke Beranang di utara dan Bukit Mantin di sebelah selatan.


Sejarah [sunting]

Mantin pada satu ketika dahulu dikenali sebagai Setul. Ia dipercayai dibuka oleh orang Melayu yang berasal dari Pantai, Seremban. Penemuan bijih timah di kawasan ini telah menarik minat pihak British untuk membangunkan serta memajukan kawasan Setul. Oleh itu, pihak British menawarkan pampasan berupa tanah dan wang tunai kepada penduduk Setul sekiranya mereka berpindah ke kawasan lain. Kampung Setul kini terletak di Batu 8 Mantin.


Menurut cerita orang-orang tua [1] di kawasan Pekan Mantin, asal nama pekan ini ialah ‘Many Tin’. Nama ini diberi oleh orang British berikutan banyaknya bijih timah di kawasan ini. Ketika itu, ramai imigran dari negara China telah berhijrah ke sini untuk menjadi buruh di lombong bijih timah. Oleh sebab orang Cina ini susah untuk menyebut perkataan ‘Many Tin’, maka mereka memudahkan sebutan tersebut menjadi ‘Man Tin’. Akhirnya nama Mantin kekal digunakan sehingga kini.


Menurut sumber yang lain, nama Mantin sekarang adalah berasal dari lombong bijih timah yang dimiliki oleh seorang Taukeh Cina (ahli perniagaan Cina yang terkenal), Kong Sang (广 生 号, ia merupakan nama syarikat). Orang-orang British memanggil tempat ini sebagai 'Mine Tin' manakala kebanyakan masyarakat Melayu memanggilnya Mantin. Penduduk tempat itu tidak boleh mengatakan 'Mine Tin' dengan betul, maka mereka menyebut sebagai Mantin.


Catatan terawal tentang Mantin adalah berkaitan dengan Kapitan Seng Ming Lee(甲必单盛明利), seorang ketua berbangsa Cina yang telah terbunuh pada tahun 1860, dalam Perang antara dua kumpulan rahsia masyarakat Cina (Hai San (Masyarakat Cina beragama Islam) dan Ghee Hin (Masyarakat Cina beragama Buddha)) berhampiran Sungei Ujong (sekarang dikenali sebagai Seremban). Keturunan Kapitan Seng telah lari ke kawasan Mantin. Kini, Cicit dan keturunan Kapitan Seng masih menetap di Mantin.[perlu rujukan]

Rujukan [sunting]

  1. http://telecentre.my/mantin

Pautan luar [sunting]