Mark Twain

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari


Mark Twain
Info kelahiran Samuel Langhorne Clemens
30 November 1835(1835-11-30)
Florida, Missouri, Amerika Syarikat (AS)
Kematian 21 April 1910 (umur 74)
Redding, Connecticut, AS
Nama pena Mark Twain
Pekerjaan Penulis, pensyarah
Warganegara Amerika
Pencapaian ketara Adventures of Huckleberry Finn, The Adventures of Tom Sawyer
Pasangan Olivia Langdon Clemens (kahwin 1870–1904) «start: (1870)–end+1: (1905)»"Marriage: Olivia Langdon Clemens to Mark Twain" Location: (linkback://ms.wikipedia.org/wiki/Mark_Twain)
Anak Langdon, Susy, Clara, Jean


Tandatangan
Mark Twain (1909)
Untuk maklumat lanjut mengenai karya Mark Twain, sila lihat: Karya Mark Twain.

Mark Twain ialah nama pena yang digunakan oleh Samuel Langhorne Clemens (30 November 183521 April 1910), seorang penulis satira lucu, pengarang novel, serta pensyarah yang termasyhur yang berasal dari Amerika Syarikat. Beliau menulis The Adventures of Tom Sawyer (Pengembaraan Tom Sawyer) (1876) dan susulannya, The Adventures of Huckleberry Finn (Pengembaraan Huckleberry Finn) (1885);[2] novel kedua sering disebut "Novel Amerika Agung."

Karya-karyanya masih sangat disukai ramai sehingga ke hari ini. Kemahiran Clemens dalam penulisan bahasa percakapan, berdasarkan tema Amerika Syarikat dan bahasa basahannya telah mencipta dan mempopularkan satu kesusasteraan Amerika Syarikat tersendiri. Dalam tahun 1907, beliau dianugerahkan gelaran doktor kehormat LLD (Doctor of Letters) oleh Universiti Oxford.

Walaupun Twain mendapat bayaran lumayan buat penulisan-penulisan dan syarahan-syarahannya, beliau melaburkan wangnya dalam usaha-usaha yang merugikan, terutama sekali Pengatur huruf Paige, yang gagal disebabkan terlalu kompleks dan tidak berapa persis. Ekoran kerugian kewangan ini, beliau mengisytiharkan dirinya muflis. Beliau berjaya menangani masalah kewangannya dengan bantuan Henry Huttleston Rogers. Twain membayar hutangnya dengan sepenuhnya walaupun dari segi undang-undang, beliau tidak perlu melakukan demikian.

Twain dilahirkan sejurus selepas peristiwa kehadiran Komet Halley, dan beliau meramalkan yang beliau juga akan "padam bersama-sama komet itu."[nota 1] Beliau meninggal dunia pada hari keesokan kehadiran semula komet itu. Twain disanjung sebagai "penulis lucu Amerika yang teragung pada zamannya"[nota 2][3] sementara William Faulkner menggelar Twain "bapa sastera Amerika."[nota 3][4]

Masa muda[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Florida, Missouri kepada pasangan John dan Jane Clemens, Samuel ialah anak keenam daripada tujuh adik beradik. Walau bagaimanapun hanya tiga orang adik-beradiknya yang melepasi zaman kanak-kanak sementara yang lainnya meninggal semasa kecil. Sewaktu beliau berumur empat tahun, keluarganya berpindah ke Hannibal, Missouri, sebuah bandar sungai, kerana mengharapkan ia dapat mengubah nasib mereka. Dari sinilah Samuel memperoleh bahan-bahannya untuk mencipta karya-karyanya yang termasyhur, khususnya novel "Pengembaraan Tom Sawyer" (1876).

Bapa Samuel meninggal dunia dalam tahun 1847 dengan meninggalkan banyak hutang. Tidak lama kemudian, abang sulungnya, Orion, memulakan sebuah penerbitan akhbar dan Samuel yang ketika itu hanya berumur 12 tahun menjadi pencetaknya dan sekali-sekala juga merupakan pengarangnya. Samuel juga mencari nafkah sebagai pencetak di St. Louis dan Bandaraya New York.

Bagaimanapun, tarikan Sungai Mississippi kemudian menyebabkan Samuel Clemens menjadi seorang malim bot api, satu pekerjaan yang ingin dijadikannya kerjaya seumur hidup, seperti yang tertulis dalam karyanya, "Kehidupan di Mississippi" (1883). Di sungai ini, Clemens bertemu dengan pelbagai jenis watak, termasuk seniman panggung, kaki judi, pendeta dan penjahat. Beliau mengatakan bahawa pendedahan itu amat membantu dalam pengarangan karyanya. Bagaimanapun, permulaan Perang Saudara Amerika Syarikat dan kemunculan landasan kereta api menamatkan lalu lintas komersil bot api pada tahun 1861, dan beliau terpaksa mencari punca pendapatan yang lain.

Selepas bertugas dengan tentera awam tempatan buat suatu tempoh yang singkat (suatu pengalaman yang diceritakan dalam cerpennya, "Sejarah Sulit Kempen yang Gagal" (The Private History of a Campaign That Failed) pada tahun 1885), Clemens menjauhi diri daripada sebarang penglibatan lanjut dengan perang tersebut. Beliau kemudian mengikut Orion ke Bandaraya Virginia di barat pada Julai 1861 ketika abangnya dilantik sebagai setiausaha gabenor wilayah Nevada.

Kerjaya sastera[sunting | sunting sumber]

Mark Twain, perincian gambar oleh Mathew Brady, 7 Februari 1871

Selepas ketibaanya di Nevada, Clemens menjadi pelombong perak di Comstock Lode kerana mengharap-harapkan kekayaan. Kegagalannya dalam usaha perlombongan memaksa Clemens pulang ke Virginia City dan bertugas untuk Territorial Enterprise. Di syarikat ini, Clemens menggunakan nama pena "Mark Twain" buat pertama kali. Pada tahun 1864, beliau berpindah ke San Francisco dan mengarang untuk beberapa syarikat surat khabar di sana.

Clemens mencapai kejayaan kerjaya sasteranya yang pertama pada tahun 1865 sewaktu menerbitkan sebuah cerpen satira lucu yang asalnya bertajuk "Jim Smiley dan Katak Melompatnya" (Jim Smiley and his Jumping Frog). Kini, cerpen itu lebih dikenali sebagai "Katak Melompat Terkenal dari Wilayah Calaveras" (The Celebrated Jumping Frog of Calaveras County).

Pada musim bunga 1866, surat khabar Sacramento Union menggajikan Clemens untuk melawat Sandwich Island (kini digelarkan sebagai Hawaii) bagi tujuan mengarang sebuah siri rencana mengenai perjalanannya ke sana. Sewaktu kepulangannya ke San Franscisco, kejayaan siri itu serta galakan Kolonel John McComb (penerbit surat khabar Alta California di San Francisco) mendorongnya mencuba pensyarahan. Clemens menyewa sebuah tempat di Akademi Muzik dan mengenakan bayaran masuk sebanyak sedolar seorang. "Pintu dibuka pada pukul 7," Clemens menulis dalam poster pengumumannya, "Masalah akan bermula pada pukul 8". Syarahan pertama itu mencapai kejayaan yang amat cemerlang, dan tidak lama kemudian, Clemens berulang-alik di seluruh negeri untuk memberi syarahan serta hiburan kepada dewan yang penuh.

Walaupun Clemens telah mencapai kejayaan pada masa itu, suatu peristiwa telah mengasaskan kemasyhuran Clemens sebagai pengarang. Beliau telah meyakinkan Kolonel McComb dari Alta California untuk menanggung perbelanjaannya ke Eropah dan Timur Tengah melalui bot api tambang Quaker City. Rencana-rencana mengenai perjalanannya yang Clemens mengarang untuk surat khabar tersebut menjadi asas novel sulungnya, Yang Tidak Tahu Apa-apa di Luar Negeri (The Innocents Abroad). Travelog lucu ini yang langsung tidak memujakan seni-seni dan kelaziman-kelaziman Dunia Lama dijual secara langganan dan memberikan tumpuan utama kepada pengarangnya.

Pada tahun 1869, Clemens menetap di Buffalo, New York sewaktu menjadi pemilik berkongsi untuk sebuah surat khabar, dan pada tahun berikutnya, berkahwin dengan Olivia Langdon. Perkahwinan itu mengurniakan Clemens dengan empat cahaya mata: Langdon, Susy, Clara, and Jean. Langdon mati pada 1872, dan tiga anak yang lain itu dilahirkan antara 1872 dan 1880. Pada tempoh ini, Clemens memberi syarahan di Amerika Syarikat dan England.

Walaupun Clemens memulakan kerjayanya sebagai pemuisi lucu, pada akhirnya, beliau menjadi pengkritik yang suram dan karut terhadap masyarakat Amerika Syarikat. Clemens sering membabadkan megah diri, kepura-puraan dan pembunuhan yang dilakukan oleh manusia. Pada pertengahan kerjayanya, Clemens menggabungkan kelucuan yang kaya, naratif yang beria-ria, dan kritikan sosial dengan cara yang hampir tiada tandingan dalam kesusasteraan dunia.

Clemens amat terpesona terhadap sains dan penyelidikan saintifik. Beliau menghabiskan banyak masa bersama-sama dengan Nikola Tesla, seorang Serbia yang dianggap sebagai ahli sains yang termasyhur dalam sejarah teknologi sewaktu itu. "Yanki Connecticut di Istana Raja Arthur" (A Connecticut Yankee in King Arthur's Court) menonjolkan seorang penggembara dari Amerika Syarikat pada zaman Clemens yang menggunakan pengetahuan sainsnya untuk memperkenalkan teknologi moden kepada England pada zaman Raja Arthur. Clemens juga mempatenkan suatu pembaik tali pengikat pakaian yang dapat dilaras serta dipasang tanggal.

Clemens merupakan tokoh utama dalam "Liga Anti Imperialis Amerika" yang membangkang pengilhakan Filipina oleh Amerika Syarikat. Beliau juga mengarang mengenai politik dalam buku bukan fiksyennya, "Kehidupan di Mississippi".

Hayat kemudian[sunting | sunting sumber]

Mark Twain dan Henry Huttleston Rogers pada tahun 1908

Nasib Clemens kemudian merosot. Dalam tempoh akhir kehidupannya, Clemens merupakan seorang yang amat murung, tetapi masih berupaya. Bayi lelaki tunggalnya yang sakit sejak kelahiran telah mati ketika Clemens membawanya keluar berjalan-jalan tanpa menutupi kereta kuda pada suatu hari yang amat panas. Anak perempuan yang paling disayanginya mati sewaktu Clemens menyampaikan siri syarahan di Australia. Selepas melahirkan empat anak, isterinya sentiasa sakit. Akhirnya, Clemens hilang isterinya, Olivia Langdon, serta tiga daripada empat anak sebelum kematiannya sendiri pada tahun 1910.

Syarikat surat khabar Clemens juga mengalami masa susah. Pembelian pengatur huruf menyebabkan kerugian sebanyak beribu-ribu dolar sewaktu pembekal tidak menyiapkannya. Selain itu, Clemens juga mengalami kerugian pendapatan royalti daripada buku-buku yang telah diciplak sebelum beliau dapat menerbitkannya. Akhirnya, syarikat surat khabarnya ditutup dan Clemens mengisytiharkan kemuflisan pada tahun 1894 dengan hutang yang melebihi AS$100,000.

Pada tahun 1893, Clemens diperkenalkan kepada Henry Huttleston Rogers, seorang usahawan yang merupakan salah satu daripada pemilik utama Standard Oil. Rogers menyusun semula kewangan Clemens, dan kedua-dua orang itu menjadi sahabat rapat. Walaupun Clemens memberikan penghargaan terbuka kepada Rogers kerana menyelamatkannya dari segi kewangan, terdapat bukti yang kukuh daripada surat menyurat yang terterbit bahawa persahabatan rapat itu merupakan perhubungan yang saling bermanfaat.

Rogers mati secara tiba-tiba di New York pada pertengahan tahun 1909, dan Clemens mati kurang setahun kemudian. Pada tahun 1900, Clemens menulis: "Saya datang bersama-sama dengan Komet Halley pada tahun 1835. Komet itu akan datang sekali lagi pada tahun depan, dan saya menjangka bahawa saya akan balik bersama-sama dengannya." Berikutan penerbitan obituarinya yang tersilap oleh New York Journal, Clemens memberikan jawapan yang kini telah menjadi masyhur: "Laporan-laporan mengenai kematian saya terlalu dibesar-besarkan" (2 Jun 1897).

Clemens mati seperti yang dijangkakan. Komet Halley yang dapat dilihat di langit Bumi setiap 75-76 tahun termuncul pada 30 November 1835 sewaktu Clemens dilahirkan, dan sekali lagi pada 21 April 1910 sewaktu beliau meninggal dunia (walaupun hari tepat yang Halley paling terang ialah 16 November dan 10 April pada tahun masing-masing).

Selepas kematiannya, Presiden Amerika Syarikat William H. Taft berkata:

"Mark Twain memberikan keseronokan intelek kepada berjuta-juta, dan karya-karyanya akan terus memberikan kegembiraan kepada berjuta-juta yang akan datang. Beliau tidak pernah mengarang sepatah ayat yang mana seorang ayah tidak mampu membaca kepada anak perempuannya."

Taft mungkin tidak sedar tentang karya 1601 yang diceritakan dalam rencana Karya Mark Twain.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Asal, "I'll go out with it too"
  2. Asal, "the greatest American humorist of his age,"
  3. Falukner berkata Twain "the father of American literature."

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Ken Mills (Director) (July 21, 2009). The Cartoonist: Jeff Smith, BONE and the Changing Face of Comics (Documentary). Mills James Productions.
  2. "Mark Twain remembered by Google with a doodle". The Times of India. 30 November 2011. Diperoleh pada 30 November 2011. 
  3. "Obituary (New York Times)". Diperoleh pada 2009-12-27. 
  4. Jelliffe, Robert A. (1956). Faulkner at Nagano. Tokyo: Kenkyusha, Ltd. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]