Masjid Hajjah Fatimah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Koordinat: 1°18′10.4″N, 103°51′46.1″E

Masjid Hajjah Fatimah

Masjid Hajjah Fatimah ialah sebuah masjid yang terletak di sepanjang Beach Road di kawasan Kampong Glam, Singapura. Masjid ini siap dibina pada tahun 1846. Reka bentuk masjid ini menggabungkan seni bina Islam dan Eropah dan direka oleh arkitek masa kolonial, John Turnbull Thomson. Masjid ini dinamakan sempena Hajjah Fatimah, seorang usahawan yang telah membiayai kos pembinaan masjid tersebut.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kubah masjid

Masjid yang dibina pada tahun 1845-1846 ini mengambil namanya dari Hajjah Fatimah, seorang ahli bangsawan dan usahawan Melayu yang terkenal pada masa itu. Masjid ini dibina di atas tapak rumah lamanya di Java Road. Pada lewat 1830an, rumah tersebut dipecah masuk sebanyak dua kali dan pada insiden yang kedua, rumah itu dibakar dengan sengaja. Hajah Fatimah, yang tiada di rumah semasa kebakaran itu berlaku berhasrat untuk membina sebuah masjid di tapak rumahnya sebagai tanda syukur yang beliau tidak cedera dan tidak terlibat dalam kemalangan tersebut.

Hajjah Fatimah merupakan seorang usahawan yang berjaya pada masa itu. Dilahirkan dalam keluarga yang berasal dari Melaka, Hajjah Fatimah telah mengahwini seorang putera raja Bugis dari Sulawesi yang pada masa itu sedang mengendalikan sebuah tempat perdagangan di Singapura. Namun perkahwinan itu tidak kekal lama kerana suaminya meninggal dunia semasa Hajjah Fatimah masih muda lagi. Beliau mengambil alih perniagaan suaminya dan lama-kelamaan berjaya memiliki armada kapal yang besar yang digunakan untuk meraih keuntungan yang besar dalam perdagangan.

Hajjah Fatimah mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Raja Siti, yang telah mengahwini Syed Ahmed Alsagoff, anak kepada Syed Abdul Rahman Alsagoff, seorang pedagang Arab. Dengan kematian Hajjah Fatimah, segala perniagaannya dipindahkan ke tangan keluarga Alsagoff yang menyambung usaha perniagaannya di bawah nama beliau. Kubur Hajjah Fatimah, serta kubur anak perempuan dan mentuanya terletak di sebuah tempat peribadi di halaman masjid.

Masjid Hajjah Fatimah diwartakan sebagai sebuah monumen nasional pada 6 Julai, 1973. Masjid ini kini dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Seni bina[sunting | sunting sumber]

Menara yang terletak di antara tempat tinggal imam (kiri) dan pintu masuk utama (kanan).

Dikelilingi oleh tembok yang tinggi, perkarangan Masjid Hajjah Fatimah terdiri daripada sebuah dewan solat, bangunan makam, tempat tinggal imam, tempat mengambil air wuduk , beberapa bangunan tambahan dan sebuah taman. Ciri unik masjid ini mungkin terletak kepada menaranya yang direka megikut ala Eropah. Menara tersebut condong sedikit lebih kurang enam darjah dari garis pusat.

Masjid yang dicondongkan dari hala jalan raya bagi menghadapi Mekah ini memiliki sebuah dewan solat yang dikelilingi beranda pada tiga sudut. Reka bentuk dewan solat ini dilakar semula oleh firma arkitek Chung & Wong pada tahun 1930an dan dilaksanakan oleh syarikat pembinaan Perancis, Bossard & Mopin.

Kubahnya yang besar dikelilingi 12 buah tingkap yang berbentuk seperti pisau tajam bermata dua, setiap satu dibuat daripada kaca patri (stained glass) berwarna kuning dan hijau.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • (Inggeris) National Heritage Board (2002), Singapore's 100 Historic Places, Archipelago Press, ISBN 981-4068-23-3

Pautan luar[sunting | sunting sumber]