Masjid Zahir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Masjid Negeri negeri Kedah)
مسجد زاهر
Masjid Zahir
Masjid Zahir
Info asas
LokasiKota Setar, Kedah, Malaysia
AgamaIslam
NegaraMalaysia
Penerangan seni bina
Jenis seni binaMasjid
Disiapkan pada1912-1915
Bil. kubah5

Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin.

Masjid Zahir merupakan mercu tanda yang terkenal di Alor Setar, dengan ciri kubah hitam - satu kubah utama dan lima kubah lebih kecil, yang melambangkan lima rukun Islam.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Mula dibina pada 22 Rabiulawal 1330H (11 Mac 1912) atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah, tapak masjid ini pada asalnya ialah tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan Kedah daripada serangan Siam (1821).

Seramai 1019 orang mati syahid di Kuala Kedah semasa Siam melanggar Kedah pada tahun 1821 termasuklah juga syuhada yang mempertahankan Balai Besar yang berjumlah seramai 470 orang kesemuanya.

Keseluruhannya yang mati adalah sebanyak 1,489 orang syuhada kebumikan di tapak masjid Zahir ini.

Reka bentuk masjid ini diilhamkan daripada Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Ia dihiasi lima kubah utama sebagai lambang lima Rukun Islam.

Upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat, 6 Zulhijjah 1333H (15 Oktober 1915) oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat.

Ia dibina di atas Tapak Masjid Lama (Masjid Kayu) yang ketika itu boleh memuatkan 600 orang jemaah dalam pada satu-satu masa dengan berbumbungkan atap nipah.

Menurut sejarah apabila telah masuk waktu solat fardhu maka Jam Besar akan berbunyi dengan dulu alunan irama Nobat dan kemudiannya barulah azan akan dilaungkan di Masjid Zahir dan tradisi ini berjalan sehingga beberapa lama kemudian.

Binaan bangunan[sunting | sunting sumber]

Masjid Zahir mempunyai keluasan tapak kira-kira 124,412 kaki persegi. Dewan tengahnya (Dewan Solat) berukuran 62 x 62 kaki persegi dan dikelilingi oleh beranda berukuran 8 kaki lebar dengan 4 anjung yang setiap satunya terdapat sebuah kubah. Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 3 tahun.

Di belakang Masjid Zahir, terdapat Kompleks Bangunan Mahkamah Syariah dan Pusat Pendidikan Asas Kanak-Kanak. Bangunan ini juga terletak berhadapan dengan Balai Nobat dan Istana Pelamin. Masjid ini merupakan antara mercu tanda seni bina negeri Kedah dan antara masjid tercantik di Malaysia.

Tidak jauh dari Masjid Zahir terdapat bangunan tumpuan pelancong lain seperti Galeri Sultan Abdul Halim, Balai Nobat, Balai Besar, Balai Seni Negeri, Pekan Rabu, Rumah Merdeka, dan Menara Alor Setar.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Masjid Zahir Alor Setar Fakta Dan Sejarah

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Koordinat: 6°07′13″N 100°21′54″E / 6.12028°N 100.36500°E / 6.12028; 100.36500