Melayu Arab Sabah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Masyarakat Melayu Arab terdapat di Sabah terutamanya di Tawau, sebuah daerah yang terletak di hujung tenggara negeri Sabah. Masyarakat Melayu Arab di Tawau ini telah wujud sejak lama dahulu iaitu di awal kewujudan bandar Tawau iaitu di zaman pemerintahan Syarikat Borneo Utara British ketika hujung 1880-an. Walaupun masyarakat Melayu keturunan Arab ini terdapat di seluruh Sabah namun di Tawau, masyarakat Melayu Arab agak ramai dan istimewa kerana mereka memainkan peranan utama di dalam perkembangan dakwah agama Islam di Tawau serta perjuangan hak dan politik orang-orang Melayu khususnya di Tawau, Sabah ini. Rujuk : Buku ' Tawau The Making of a Tropical Community . Ken Goodlet . Opus Publication : 2009

Uniknya masyarakat Melayu Arab ini ialah walaupun nenek moyang mereka berasal dari Tanah Arab tapi kesemua keturunan mereka di sini iaitu masyarakat Melayu Arab ini tidak lagi bertutur dalam bahasa Arab sebaliknya mereka hanya tahu bertutur dalam Bahasa Melayu loghat Tawau. Ini kerana pergaulan mereka sejak ratusan tahun dengan orang orang Melayu dan nenek moyang mereka sendiri pun dahulu telah berkahwin dengan wanita wanita tempatan berbangsa Melayu dan mengamalkan adat resam dan cara hidup Melayu. Yang cuma tinggal persamaan dengan nenek moyang mereka adalah rupa paras mereka yang menyerupai sedikit atau kelihatan seiras seperti wajah orang bangsa Arab. Terdapat juga setengahnya yang menggunakan nama- nama Arab seperti Habib dan Syed atau Sharifah.

Penempatan masyarakat Melayu Arab di Tawau[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Melayu Arab Sabah ini banyak mendiami kawasan perkampungan lama seperti di Kampung Pasir Putih Lama bersama sama masyarakat Melayu Tidung, perkampungan di Batu 2, Jalan Apas berdekatan dengan hilir Sungai Tawau dan juga di kawasan kampung Merotai Besar Tawau. Oleh kerana masyarakat Melayu Arab ini adalah antara penduduk terawal di Tawau, masyarakat Melayu Arab ini memiliki banyak tanah-tanah persendirian bergeran di sekitar daerah Tawau. Rujuk : Buku 'Borneo Under The Sun'. Nicholas Chung . Natural History Publication : 2005

Sejarah Masyarakat Melayu Arab di Tawau[sunting | sunting sumber]

Kedatangan orang orang Arab ke Tawau ketika zaman pemerintahan British Borneo Chartered Company dahulu adalah untuk berniaga. Mereka kebanyakannya terlibat dalam perniagaan kain. Misalnya Habib Ali, seorang peniaga kain sangat terkenal di Tawau suatu masa dahulu. Anak beliau sekarang adalah seorang ahli politik yang berjaya iaitu Syed Abbas yang memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua UMNO Tawau merangkap ADUN kawasan Balung dan juga bekas Pengerusi MUIS negeri Sabah. Selain itu, ada juga beberapa orang orang Arab ini yang menjadi tempat rujukan untuk mempelajari agama Islam kerana ilmu dan pengetahuan agama mereka yang tinggi dan seterusnya menjadi pemimpin kepada orang orang Melayu di Tawau. Misalnya, Habib Sheikh yang menjadi ketua masyarakat Melayu Islam ( native chief ) di Tawau di antara tahun 1912 hingga 1925. Kemudian seterusnya, Habib Hussein pula pernah menjadi ketua masyarakat di Tawau sekitar tahun 1930an dan akhir 1940an sebelum beliau terkorban dibunuh oleh tentera Jepun bersama Stephen Tan, pemimpin masyarakat Cina di Tawau ketika itu. Ketika era selepas kemerdekaan pula, Habib Hassan ( guru agama ) di Kampung Pasir Putih Lama dan Habib Omar ( Kampung Batu 2 Apas ) juga banyak berjasa di dalam perkembangan dakwah Islamiah di Tawau. Selain itu nama-nama lain di kalangan pemimpin masyarakat Melayu berketurunan Arab yang agak dikenali di Tawau ialah Habib Abdul Rahman ( Anak Habib Sheikh ), Habib Idrus, Haji Awadan dan Habib Mohammad.

Melayu Berketurunan Arab[sunting | sunting sumber]

Walaupun kebanyakan masyarakat Melayu yang berketurunan Arab ini masih mempunyai ciri-ciri rupa paras sama seperti orang Arab iaitu nenek moyang mereka namun dari segi pertuturan, gaya hidup dan budaya yang mereka amalkan adalah berbeza sebaliknya mereka lebih mirip kepada pertuturan,gaya hidup dan budaya orang-orang Melayu yang lain. Ini kerana keturunan mereka hari ini sebenarnya telah ramai yang berkahwin dengan masyarakat Melayu lain. Mereka juga sudah tidak mengamalkan budaya Arab yang diamalkan seperti nenek moyang mereka sebaliknya mereka yang sudah bercampur darah keturunan ini seratus peratus mengamalkan adat dan budaya Melayu. Yang lebih ketara lagi mereka langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Arab. Hanya wajah mereka sahaja yang masih mempunyai tanda-tanda keturunan Arab seperti hidung yang mancung dan warna kulit yang agak cerah.

Pemimpin-Pemimpin Melayu Berketurunan Arab[sunting | sunting sumber]

Sejak lama dahulu, golongan peniaga-peniaga Arab dan juga pendakwah Arab telah datang ke pelusuk Nusantara dan Kepulauan Melayu tidak terkecuali di Tawau ini. Di Tawau, golongan peniaga dan pendakwah ini ada yang terus menetap di sini dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Pada masa itu, kedudukan mereka sangat dihormati di kalangan masyarakat tempatan kerana latar belakang pengetahuan agama mereka serta ciri-ciri kepimpinan yang wujud hasil dari jauhnya perjalanan dan luasnya pengalaman mereka. Mereka telah dianggap sebagai pemimpin yang dihormati dan menjadi tempat rujukan terutamanya hal yang berkaitan pengetahuan agama Islam. Antara nama-nama pemimpin Melayu berketurunan Arab yang sangat dihormati suatu ketika dulu ialah Habib Sheikh , Habib Hussein, Habib Hassan , Habib Idrus , Habib Ali dan Habib Yahya .

Pada masa kini ramai di kalangan orang orang Melayu keturunan Arab ini telah pun menjadi ahli perniagaan yang berjaya dan kaya atau pun menjadi ahli politik yang terkenal. Misalnya Datuk Ghapur Salleh ( Ketua UMNO merangkap ahli Parlimen Kalabakan ) dan Syed Abbas Habib Ali ( Timbalan Ketua UMNO Tawau merangkap ADUN Kawasan Balung ) adalah antara pemimpin -pemimpin Melayu keturunan Arab yang sangat dikenali dan sedang menyumbangkan jasa mereka kepada rakyat di daerah Tawau ini. Rujuk : Buku ' Tawau The Making of a Tropical Community . Ken Goodlet . Opus Publication : 2009

Melayu Arab Adalah Kaum Peribumi[sunting | sunting sumber]

Seperti mana di Semenanjung Malaysia, masyarakat Melayu Arab adalah dianggap sebagai kaum peribumi. Ini kerana kewujudan mereka di Malaysia adalah terlalu awal iaitu ketika Malaysia masih dijajah Kerajaan British. Selain itu, keturunan mereka juga sebenarnya telah pun bercampur darah keturunan dengan masyarakat peribumi di Sabah seperti Tidung dan Suluk melalui proses perkahwinan yang berlaku lebih seratus tahun dahulu. Mereka juga sangat memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat tempatan sama ada sebagai pemimpin, pendakwah dan rujukan agama serta ahli perniagaan yang membantu dan menyumbangkan jasa dalam perkembangan ekonomi masyarakat tempatan. Kewujudan masyarakat Melayu Arab di Sabah ( juga di Semenanjung Malaysia ) adalah terlalu awal iaitu sebelum kewujudan negara Arab Saudi dan ini membuktikan mereka adalah kaum peribumi dan Sabah dan Malaysia adalah negara keturunan mereka. Mereka adalah kaum peribumi dan bukannya keturunan dari imigran-imigran dari negara asing yang pernah memegang taraf warganegara lain seperti warganegara Indonesia, warganegara Filipina , warganegara Pakistan atau warganegara Bangladesh.