Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari
Kulit buku Around the World in Eighty Days(Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari)
Kulit buku edisi terkini
Pengarang Jules Verne
Judul asal Le tour du monde en quatre-vingts jours
Negara Perancis
Bahasa Bahasa Perancis
Genre Novel pengembaraan
Tarikh terbitan 1872
Jenis media Cetakan (kulit tebal & kulit lembut)
ISBN tiada maklumat

Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari (bahasa Perancis: Le tour du monde en quatre-vingts jours) adalah sebuah buku novel pengembaraan klasik oleh penulis Perancis, Jules Verne, yang diterbitkan pada tahun 1872. Dalam cerita ini, Phileas Fogg dari London dan Passepartout, valet Perancis yang baru digajinya mencuba mengelilingi dunia dalam 80 hari dengan wang pertaruhan sebanyak £20,000 ditetapkan oleh kawan-kawannya di Kelab Reformasi.


Latar dan analisis[sunting | sunting sumber]

Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari ditulis pada tempoh kesusahan bagi kedua-dua Perancis dan Verne. Masa itu Perang Perancis-Prusia (1870-1871), dan Verne yang dikerah menjadi pengawal pantai menghadapi masalah kewangan (karya-karyanya tidak dibayar royalti), ayahnya akhir-akhir ini meninggal dunia, dan beliau telah menyaksikan satu pelaksanaan hukuman mati awam yang membimbangkannya. Walaupun demikian, Vernis amat teruja terhadap kerjanya bagi sebuah buku baru yang ideanya datang pada suatu petang di sebuah kedai kopi di Paris ketika membaca akhbar (lihat "Asal" di bawah).

Pembaharuan-pembaharuan teknologi abad ke-19 telah menghasilkan kemungkinan pelayaran mengelilingi dunia yang pantas dan prospek ini mempesonakan Verne serta pembaca-pembacanya. Khususnya, tiga kejayaan teknologi yang cemerlang terjadi pada tahun 1869-70 yang menyebabkan pelancongan mengelilingi dunia merupakan suatu kemungkinan buat pertama kali: penyiapan Landasan Kereta Api Rentas Benua Pertama di Amerika (1869), perhubungan landasan-landasan kereta api India merentasi subbenua (1870), serta pembukaan Terusan Suez (1869). Ia merupakan lagi satu tanda yang penting pada akhir zaman penjelajahan, serta permulaan zaman pelancongan yang benar-benar sejagat yang dapat dinikmati dengan agak selesa lagi selamat. Ia mencetuskan daya imaginasi bahawa sesiapa pun boleh duduk dan membuat jadual, membeli tiket, dan membuat perjalanan di sekeliling dunia, iaitu suatu perbuatan yang menakjubkan dan yang sebelum itu dikhaskan hanya untuk pengembara-pengembara yang paling berani. Dalam beberapa hal, ia dapat dibandingkan dengan pelancongan angkasa lepas orang awam pada masa kini, suatu wawasan yang biasa dikhaskan untuk beberapa orang profesional elit.

Verne sering dicirikan sebagai seorang futuris atau penulis fiksyen sains, tetapi tidak terdapat kesan sebarang fiksyen sains dalam karya ini yang merupakan karyanya yang paling popular (sekurang-kurangnya di negara-negara yang menuturkan bahasa Inggeris). Sebaliknya, ia masih merupakan penggambaran yang tidak dapat dilupakan tentang kemuncak Empayar British "yang matahari tidak pernah jatuh" yang ditulis oleh seorang luar. Adalah amat menarik untuk memerhatikan bahawa sehingga tahun 2006, tidak pernah adanya sebarang edisi kritis mengenai Dunia dalam Lapan Puluh Hari. Ini diakibatkan sebahagiannya oleh terjemahan yang buruk untuk karya itu, suatu fenomena stereotaip bagi "fiksyen sains" atau "kesusasteraan budak lelaki". Bagaimanapun, karya-karya Vernes telah diperiksa dengan lebih serius pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21, dengan munculnya terjemahan-terjemahan dan kesarjanaan baru.

Tarikh tutup novel ini, iaitu 22 Disember 1872, adalah tarikh yang sama dengan tarikh penerbitan siri ini. Oleh sebab ia diterbitkan secara bersiri buat pertama kali, para pembaca menganggap bahawa perjalanan itu benar-benar berlaku — pertarungan dibuat, dan sebilangan syarikat kereta api dan syarikat kapal sebenarnya melobi Verne supaya syarikat mereka muncul dalam bukunya! Tidaklah diketahui adakah Verne menyerah kepada permintaan-permintaan ini, tetapi pemerihalan sebilangan syarikat kereta api dan syarikat kapal menimbulkan rasa syak bahawa beliau dipengaruhi.

Walaupun perjalanan melalui belon udara panas telah menjadi salah satu imej yang berkait rapat dengan cerita ini, lambang ikonik ini tidak pernah digunakan oleh Verne dalam bukunya ini — idea ini dikemukakan secara ringkas dalam bab ke-32 tetapi ditolak kerana perjalanan sedemikian "amat berbahaya dan walau bagaimanapun, tidak mungkin". Bagaimanapun, filem Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari , padanan filem 1956 yang popular, mengemukakan idea belon, dan ini telah menjadi sebahagian mitos cerita yang juga muncul dalam kulit buku. Unsur jalan cerita ini terkenang-kenangkan karya Verne, Lima Minggu Dalam Sebuah Belon, yang memberikannya kemasyhuran sebagai pengarang buat pertama kali.

Menyusul penterjemahan bahasa Inggeris oleh Towle dan d'Anver pada tahun 1873, terdapat beratus-ratus pencari publisiti yang mengikut jejak pelayaran mengelilingi dunia fiksyen Fogg, seringnya dengan kekangan yang dibebankan pada diri sendiri:

Asal[sunting | sunting sumber]

Idea tentang sebuah perjalanan mengelilingi dunia dalam jangka masa yang tertentu mempunyai asal luaran yang jelas dan merupakan meme sebelum Verne menerbitkan bukunya pada tahun 1872. Sebenarnya, judul "Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari" juga bukannya idea asal Verne. Terdapat lebih kurang enam sumber yang mencadangkan asal cerita yang berikut.

Pengembara Yunani, Pausanias (k.k. 100 Masihi) menulis sebuah buku yang diterjemahkan dalam bahasa Perancis pada tahun 1797 sebagai Voyage autour du monde ("Mengelilingi Dunia"). Kawan Verne, Jacques Arago, pernah menulis sebuah karya yang amat popular, Voyage autour du monde, pada tahun 1853. Bagaimanapun, pada tahun 1869-70, idea mengelilingi dunia telah mencapai perhatian popular yang genting apabila tiga pencapaian teknologi yang cemerlang terjadi: penyiapan Landasan Kereta Api Rentas Benua Pertama di Amerika (1869), perhubungan landasan-landasan kereta api India merentasi subbenua (1870), serta pembukaan Terusan Suez (1869). Pada tahun 1871, Mengelilingi Dunia Dengan Stim, melalui Kereta Api, diterbitkan oleh Syarikat Kereta Api Kesatuan Pasifik, dan Mengelilingi Dunia dalam Seratus Dua Puluh Hari oleh Edmond Planchut. Antara tahun 1869 dan 1871, William Perry Fogg, seorang Amerika Syarikat mengelilingi dunia dan memerihalkan perjalanannya dalam satu siri surat kepada Pemimpin Cleveland yang berjudul Mengelilingi Dunia: Surat-surat dari Jepun, China, India, dan Mesir (1872).

Pada tahun 1872, Thomas Cook mengendalikan perjalanan mengelilingi dunia yang pertama untuk pelancong. Mereka bertolak pada 20 September 1872 dan kembali tujuh bulan kemudian. Perjalanan itu diperihalkan dalam satu siri surat yang diterbitkan kemudian pada tahun 1873 sebagai Surat dari Laut dan Tanah-tanah Asing, Pemerihalan Perjalanan Mengelilingi Dunia. Para cendekiawan telah menunjukkan persamaan antara pemerian Verne dengan surat-surat Cook, walaupun sesetengah orang memperdebatkan bahawa perjalanan Cook berlaku terlalu lambat untuk mempengaruhi Verne. Verne, menurut pemerian 1898 daripada sumber asal, merujuk kepada iklan Thomas Cook sebagai sumber idea bukunya. Dalam beberapa temu bual antara tahun 1894 dan 1904, Verne sendiri mengatakan bahawa sumbernya adalah "melalui pembacaan pada suatu hari di dalam sebuah kedai kopi di Paris" dan "hanya disebabkan oleh iklan pelancongan yang dilihatnya secara kebetulan dalam ruang akhbar". Mengelilingi Dunia pada dirinya mengatakan bahawa asalnya ialah sebuah makalah akhbar. Kesemua ini menunjukkan bahawa iklan Cook mungkin mencetuskan idea buku itu.

Tambahan pula, terbitan berkala Le Tour du monde (3 Oktober 1869) mengandungi sebuah karangan ringkas yang berjudul "Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari" yang merujuk kepada "140 batu" landasan kereta api yang belum siap antara Alahabad dan Mumbai, soal pokok karya Verne. Tetapi makalah Le Tour de monde juga tidak asli pada keseluruhannya dan dalam bibliografinya, menyebut Nouvelles Annales des Voyages, de la Géographie, de l'Histoire et de l'Archéologie (Ogos 1869) yang mengandungi judul Mengelilingi Dunia dalam Lapan Puluh Hari dalam halaman kandungannya. Nouvelles Annales ditulis oleh Conrad Malte-Brun (1775-1826) dan anak lelakinya, Victor Adolphe Malte-Brun (1816-1889). Para cendekiawan mempercayai bahawa Verne sedar akan makalah Le Tour de monde atau Nouvelles Annales (atau kedua-duanya), dan merujukinya — Le Tour du monde juga mengandungi jadual perjalanan yang amat serupa dengan versi terakhir Verne.

Lagi satu sumber yang mungkin ialah pengembara George Francis Train yang membuat empat perjalanan mengelilingi dunia, termasuk satu perjalanan yang berlangsung selama 80 hari pada tahun 1870. Persamaan-persamaan ini termasuk penyewaan sebuah kereta api swasta dan pemenjaraannya. Train kemudian mendakwa bahawa "Verne mencuri guruh saya. Sayalah Phileas Fogg."

Mengenai idea keuntungan sehari, Verne berkata tentang asalnya: "Saya mempunyai banyak barang-barang kecil dan rencam yang saintifik dalam otak saya. Adalah oleh itu bahawa ketika pada suatu hari, saya membaca dalam Siècle bahawa seorang dapat mengelilingi dunia dalam lapan puluh hari, tiba-tiba terlintas di kepala saya bahawa saya boleh mendapat manfaat melalui perbezaan meridian dan menyebabkan seorang pengembara mendapatkan atau menghilangkan sehari dalam perjalanannya. Terdapat peleraian yang siap sedia. Cerita tidak ditulis sehingga lama kemudian. Saya membawa idea-idea dalam kepala saya buat bertahun-tahun — sepuluh atau kekadang lima belas tahun — sebelum memberikan bentuk kepada idea-idea itu." Dalam syarahannya, "Meridian dan Takwim", pada April 1873, Verne menjawab kepada satu soalan mengenai di mananya pertukaran hari sebenarnya berlaku kerana garisan tarikh antarabangsa hanya digunakan secara meluas pada tahun 1880 dan meridian perdana Greenwich tidak diterimaguna sehingga 1884. Verne memetik sebuah makalah 1872 dalam majalah Alam semula jadi, serta cerpen Edgar Allan Poe, "Tiga Hari Ahad dalam Satu Minggu" (1841), yang juga mendasarkan mengelilingi dunia dan perbezaan sehari yang akhirnya dikaitkan kepada perkahwinan. Verne juga menganalis cerita Poe dalam ''Edgar Poe dan Karya-karyanya (1864).

Pendek kata, terbitan berkala Le Tour du monde atau Nouvelles Annales, W. P. Fogg, serta kemungkinan iklan Thomas Cook (dan mungkin juga surat-suratnya) merupakan sumber utama Verne bagi buku ini. Tambahan pula, cerpen Poe, "Tiga Hari Ahad dalam Satu Minggu" jelas mengilhami jalan cerita tentang kehilangan sehari.

Rujukan Kebudayaan[sunting | sunting sumber]

Ada sekurang-kurangnya empat permainan papan dengan nama ini [1].

Perincian penerbitan[sunting | sunting sumber]

Himpunan yang dipilih dengan amat teliti:
  • 1872, Perancis, ? (ISBN NA), Pub date ? ? 1872, edisi berkulit tebal (Edisi pertama - bahasa Perancis)
  • 1984, Amerika Syarikat, Bantam Classic (ISBN 0-553-21145-5), diterbitkan pada 1 Mei 1984, edisi berkulit lembut
  • 1994, UK, Penguin Books (ISBN 0-14-062032-X), diterbitkan pada 24 Februari 1994, edisi berkulit lembut
  • 1999, UK, Oxford World's Classics (ISBN 0-19-283778-8), diterbitkan pada 25 Mac 1999, edisi berkulit lembut (William Butcher, ed.)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • William Butcher, ed. (1999). Around the World in Eighty Days. Oxford World's Classics. ISBN 0-19-283778-8

Pautan luar[sunting | sunting sumber]