Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim yang telah dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden,Taiping, Perak merupakan pengasas Silat Gayong Malaysia.beliau berketurunan(Bugis). Bondanya bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al–Attas. Hasil perkongsian hidup dengan Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah,mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Saadiah. Meor Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan bondanya yang terdahulu iaitu Alin, Putih dan Hendon

Apabila meningkat remaja, keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam, Taiping. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School di Ipoh sehingga tahun 1936.

Pendidikan silat[sunting | sunting sumber]

Beliau menuntut ilmu persilatan dengan datuknya sendiri iaitu Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas, merupakan hulubalang negeri Pahang yang terkenal ketika itu kerana memiliki ramai pahlawan. Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas, hidup sezaman dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari datuknya. Selama lebih 2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang dan malam berbeza dengan rakan – rakan beliau yang khatam bersilat hanya menuntut beberapa bulan sahaja seperti di Changkat Jering dan Batu Kurau.

Sejak dalam persekolahan menengah lagi, Meor Abdul Rahman sering berulang – alik ke rumah kandanya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah. Beliau amat rapat dengan Hendon dan suaminya Zainal Abidin yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kota Sarang Semut sebagai seorang inspektor.

Setelah tamat persekolahan dalam tahun 1936, beliau menetap bersama kandanya, Hendon. Beliau telah dijodohkan dengan anak angkat kandanya yang bernama Che Kalsom bte. Kechik. Perkahwinan tersebut dilangsungkan di Kota Sarang Semut. Apabila kanda iparnya, Zainal Abidin dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis serta dilantik sebagai Ketua Polis Daerah di Kuala Nerang, Kedah, Meor Abdul Rahman telah sama – sama berpindah dan menetap dengan kandanya di sana. Sepanjang berada di Kuala Nerang, beliau sering berkongsi hobi memburu burung dan ayam hutan dengan Pegawai Daerah Kuala Nerang iaitu Tengku Nong, cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Syah.

Pada suatu hari, beliau telah keluar berburu bersama – sama kandanya Meor Abdul Abdul Aziz dan seorang sepupunya bernama Bidin di Kuala Dang, Ulu Kedah. Ketika leka berburu di dalam hutan tersebut, beliau tersesat sehingga ke Padang Sanai. Di sana, beliau telah berkenalan dengan Pak Choh dan Tok Mek Jah, sepasang suami isteri penjual burung yang ditemui di Pekan Rabu. Atas permintaan Meor Abdul Rahman, mereka telah membawa beliau ke Mee Nam, Selatan Thailand. Ketika tiba di rumah Pak Choh di Mee Nam, beliau mandi di sungai di kawasan tersebut. Beliau mendakwa bahawa suatu lembaga yang berpakaian segak seperti hulubalang zaman kesultanan kerajaan Melayu Melaka telah menjelma dalam mimpi beliau. Beliau diarah oleh lembaga tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Hang Tuah mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk menyembah taat setia. Apabila tersentak dari tidur, beliau terasa ada perubahan pada dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar biasa.

Setibanya di Taiping, beliau telah menceritakan detik pengalaman tersebut kepada ahli keluarganya. Atas nasihat Syed Zainal, Meor Abdul Rahman pergi mengadap Paduka Seri Sultan Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan. Pada sebelah malamnya, beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luarbiasanya di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuas hati dengan kegagahan Meor Abdul Rahman, baginda sultan menggelarkan beliau ‘ Rahman Sendo ’ dan dijadikan anak angkat baginda.[perlu rujukan] Beliau menetap bersama – sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938.

Berhijrah ke Singapura[sunting | sunting sumber]

Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, beliau ditemani Bidin bermusafir dengan keretapi ke Singapura untuk mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama Meor Abdul Rahman di Singapura ialah di Naval Base sebagai tukang pateri. Setelah 6 bulan bekerja di sana, beliau telah ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps. Pada sebelah malamnya, beliau menambahkan pendapatan dengan bekerja sebagai seorang mekanik di jabatan yang sama.

Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack, Mejar Malburn telah melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera British. Ia merupakan satu penghormatan kerana tiada seorang Melayu pun diberi tugas tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam pasukan ini sehingga tahun 1942. Semasa berkhidmat di Bahagian Signal Corps, pada bulan November 1941, beliau telah melangsungkan perkahwinan kedua dengan anak sepupunya, Paridah bte Yusope.

Semasa pendudukan Jepun[sunting | sunting sumber]

Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942. Beliau membawa keluarganya berperahu menyeberangi laut ke Pulau Sudong. Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar Pulau Sudong barulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah membuka gelanggang Seni Silat Gayong dengan melatih 7 orang pemuda terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun. Atas kebijaksanaan Meor Abdul Rahman, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Meor Abdul Rahman bekerja sebagai seorang kempetai. Tidak berapa lama kemudian, beliau telah berkahwin dengan Syarifah Rehan bte. Syed Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai memenuhi hajat keluarga semata – mata. Apabila Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu dalam tahun 1945, Meor Abdul Rahman telah kembali semula ke Singapura. Setibanya di Singapura, beliau telah diundang menjadi penghulu oleh penduduk Pulau Sudong di sana.

Meor Abdul Rahman juga telah menyebarkan Silat Seni Gayong untuk menangani ancaman lanun di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke lain – lain pulau di Indonesia. Tidak lama selepas itu, kerajaan British telah melantik beliau sebagai penghulu besar merangkumi kepulauan sekitar Pulau Sudong.

Dalam tahun 1947, Kerajaan British telah menawarkan jawatan sebagai pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Beliau ditugaskan untuk mengawasi dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan semangat anti – British. Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada pejuang – pejuang kemerdekaan seperti Sardon bin Jubir, peguam dan tokoh politik terkenal di Singapura. Setelah 4 bulan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, beliau memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah.

Pada mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudian beliau ditukar pula ke Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Meor Abdul Rahman telah dianugerahkan pingat King George IV atas sifat keberanian semasa berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura.

Meor Abdul Rahman bersara dari perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk bergiat dalam bidang perniagaan.

Dalam majlis Perdana Gayong pertama yang telah dianjurkan di Stadium Darul Aman, Kedah dalam tahun 1964, Meor Abdul Rahman selaku Mahaguru Silat Seni Gayong telah dititah oleh Sultan Abdul Halim Muazzam Syah, Sultan Kedah selaku Penaung Gangga Chula Sakti untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada seluruh anak – anak muda negeri Kedah.

Pada 31 hb Ogos 1967, seramai 500 orang murid Gayong telah menyertai perarakan sempena menyambut ulangtahun ke – 10 tahun kemerdekaan tanahair. Ini menandakan pengiktirafan besar pemimpin negara terhadap perjuangan dan usaha Meor Abdul Rahman. Berikutan itu, dalam tahun 1969, YAB. Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor telah menyertai Silat Seni Gayong dan menjalani upacara istiadat perlimau di Air Kuning, Taiping. Beliau kemudiannya telah ditabal sebagai Imam Khalifah Silat Seni Gayong Selangor. Seterusnya, ia disusuli pula oleh Tuan Syed Jamalulail, Dato’ Senu Abdul Rahman, Tan Sri Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dato’ Tengku Ahmad Rithaudeen, Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Syed Nasir Syed Ismail, Dato’ Syed Nahar Shahabudin dan ramai kerabat Di – Raja, pembesar serta kenamaan negara dan negeri.

Berpindah ke Perak[sunting | sunting sumber]

Pada akhir tahun 1969, Meor Abdul Rahman mula menetap di Air Kuning, Taiping, Perak.

Pada tahun 1971, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Cora Si Manja Kini yang membawa gelaran Dato’ Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman ditemani Tuan Syed Jamalulail telah berangkat ke London untuk menziarahi saudaranya di sana. Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke Malaysia, mereka telah ditemui Bruce Lee, pakar senibela diri terkenal. Dalam pertemuan singkat itu, Dato’ Meor Abdul Rahman telah bertukar fikiran dan maklumat tentang senibela diri Melayu dan Cina dengan Bruce Lee.

Dalam tahun 1972, Dato’ Meor Abdul Rahman diiringi Tuan Syed Idrus al – Haj, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Ahmad Lazim dan Hussin Kaslan mengadap KDYMM Sultan Idris Syah untuk menyembah maklum amanah al – Marhum ayahanda baginda sultan. Baginda sultan pada masa yang sama berkenan untuk menjalani istiadat Perlimau Tapak dan menerima perlantikan sebagai Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau bergelar Sang Sa Purba. Dalam tahun yang sama, pada 17 hb September, murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hari Sang Sa Purba yang pertama. Perayaan ini disambut setiap tahun sehinggalah tahun 1982.

Tahun 1970 – an telah menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan dalam Silat Seni Gayong yang dirancang sendiri oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Raja – raja dan para pembesar Melayu juga telah berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh Tanah Melayu dan Brunei. Pada satu ketika hampir 2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni Gayong di bawah pimpinan Tun Abdul Razak bin Dato’ Husein selaku Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat Seni Gayong. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia terbukti menjadi pertubuhan senibela diri terbesar dan disegani ramai. Murid Silat Seni Gayong pada tahun 1976 dianggarkan melebihi 150 000 orang di seluruh negara.

Sehingga akhir tahun 1980 – an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela asing datang melawat Dato’ Meor Abdul Rahman di Air Kuning dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing – masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang memeluk Islam setelah berpeluang bertemu Dato’ Meor Abdul Rahman. Pada saat – saat akhir hayat beliau, Dato’ Meor Abdul Rahman sering berpesan agar murid – murid Gayong kembali bercantum dan bersatu padu. Muda – mudi diseru menuntut bersungguh – sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga segala amanah beliau.

Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir atas pangkuan anakanda kesayangan dan pewaris beliau iaitu Puan Siti Fadzilah (waris tunggal) di Hospital Pakar, Ipoh, Perak.

Bertemu Mat Kilau[sunting | sunting sumber]

Semasa Pahlawan Mat Kilau mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Datuk Meor dan angakatanya telah "turun" ke Pulau Tawar untuk bertemu dengan pahlawan tersebut. [perlu rujukan] Menurut ceritanya, Datuk Meor bertanyakan samada gayung yang dibawanya adalah sealiran dengan ilmu persilatan Mat Kilau. Mendengarkan hal tersebut, Mat Kilau mengakui ia adalah sama dengan ilmu yang dimilikinya.[perlu rujukan]