Mohamad Taha Talib

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dato Mohamad Taha Talib adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mati dibunuh pada 1982 akibat sengketa politik - perebutan jawatan dalam politik UMNO. Rumah beliau terletak di Kampung Sri Asahan, 73200 Gemencheh, Negeri Sembilan. Pada 1971, beliau pernah menjadi pemangku Menteri Besar Negeri Sembilan.[1]

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Isterinya Datin Norsiah Othman berada di rumah semasa suaminya mati ditembak di luar pagar rumah. Dia terdengar dua das tembakan. Tetapi menyangka ada orang menembak musang. Turut menjadi saksi ialah Sarjan Mohamed Isa bin Haji Sulong, pegawai petugas di Balai Polis Gemencheh. Ketua Polis Tampin ketika itu ialah Bahadon bin Baharum.[2]

Mati dibunuh[sunting | sunting sumber]

Datuk Mohamad Taha Talib telah mati dibunuh oleh saingannya dalam UMNO Tampin, Datuk Mokhtar Hashim yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan ahli Parlimen Tampin, Negeri Sembilan. Datuk Taha ditembak mati dengan pistol milik Mokhtar Hashim di Kampung Seri Asahan, Gemencheh pada jam 1.30 pagi, 14 April 1982. Mokhtar Hashim seorang pemimpin pemuda UMNO yang berpotensi dan baru berusia 40 tahun. Berdasarkan risikan dan maklumat yang polis PDRM terima, suspek Datuk Mokhtar Hashim terlibat dan beliau telah ditangkap di rumahnya di Jalan 16/6, Petaling Jaya, Selangor jam 1.30 pagi. Orang lain yang terlibat termasuklah Rahmat Satiman (46 tahun - ketua kampung), Nordin Johan (33 tahun - peniaga), Aziz Abdullah (65 tahun, kerja sendiri, PJK) dan Aziz Tumpuk.

Pilihan raya umum Malaysia 1982 hanya tinggal 8 hari lagi iaitu pada 22 April 1982. Mereka bermusuhan dalam politik UMNO Bahagian Tampin dan masing-masing mahukan jawatan Ketua Bahagian UMNO. Taha Talib kuat di peringkat negeri sementara Mokhtar Hashim kuat di peringkat persekutuan. Taha Talib menang dalam perebutan jawatan dalam UMNO. Tarikh tutup penamaan calon pada 7 April 1982.

Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Dato Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Datuk Seri Musa Hitam. Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu ialah Tan Sri Mohd Isa bin Hj. Abdul Samad yang baru ambil alih jawatan daripada Datuk Seri Rais Yatim.[3]

Siasatan rapi telah dilakukan. Dr HS Ahliwalia telah melakukan bedah siasatan.[4] Ujian balistik menunjukkan peluru yang membunuh Taha Talib datang dari pistol beliau. Sehingga kini tidak dapat dipastikan siapa yang menarik picu pistol, namun pistol itu memang miliknya.

Perbicaraan panjang selama 75 hari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Hashim Yeop Sani menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup (biasanya 20 tahun) kepada Datuk Mokhtar Hashim. Peguam Negara ketika itu ialah Tan Sri Abu Talib Othman. Setelah beberapa tahun, Mokhtar Hashim ditahan di Penjara Pudu, beliau diampunkan oleh Yang diPertuan Agong dan hukuman ditukar kepada penjara seumur hidup. Akhirnya Mokhtar dibebaskan pada 1991.

Seorang dari lima yang dituduh membunuh, Aziz Tumpuk (53 tahun) meninggal dunia pada 2 Ogos 1982 ketika dalam tahanan di Penjara Pudu.[5] Semasa perbicaraan, mahkamah digemparkan berita buku-buku catatan hilang. Buku-buku yang hilang ialah buku-buku catatan lokap dan catatan Balai Polis Gombak - lokasi Rahamat Satiman (orang ketiga tertuduh) dilokap selama 42 hari. Peguam bela Rahmat, Manjeet Singh Dhillon mendakwa polis cuba menyembunyikan keadaan sebenar kerana berlaku unsur-unsur siksaan.[6] Polis memberi perlindungan ketat kepada semua saksi utama dan penting dalam kes pembunuhan itu.

Pengkebumian[sunting | sunting sumber]

Jenazah Taha Talib telah dibawa ke Hospital Besar pada 3 Ogos 1982. Setelah bedah siasat dilakukan, jenazah Taha Talib di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Asahan.Antara kenamaan yang hadir ialah Datuk Musa Hitam. Mokhtar Hashim pun kelihatan hadir semasa di rumah Taha Talib.[7]

Tokoh politik yang pernah dibunuh di Malaysia ialah ADUN Lunas, Dr Joe Fernandez pada tahun 2000 dan ADUN Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy yang ditembak mati dalam lif. Pakar forensik psikiatri, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menyatakan bahawa pembunuhan belum membudaya di Malaysia.[8]

Bagi menghargai jasanya, sebuah sekolah menengah telah dinamakan sempena namanya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd Taha di Gemencheh.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ $1,000 untok tabong Maulud[pautan mati kekal]
  2. ^ "Datin dengar dua das tembakan". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-01-20. Dicapai pada 2012-08-16.
  3. ^ JELEBAK-Jelebu -Corat-Coret Anak Kampung; Rais Yatim Penerbit: DTP Enterprise Sdn Bhd
  4. ^ The Straits Times, 20 Oktober 1982, hlm 2;ACROSS THE CAUSEWAY[pautan mati kekal]
  5. ^ Saksi kes bunuh Taha ditembak[pautan mati kekal]
  6. ^ Bicara Mokhtar gempar buku catatan hilang[pautan mati kekal]
  7. ^ [1][pautan mati kekal]
  8. ^ Can it happen in Malaysia?