Mohammad Yamin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sampul Buku Muhammad Yamin dan cita cita persatuan

Prof. Mohammad Yamin (24 Ogos 1903 - 17 Oktober 1962) ialah ahli sejarah, pemuisi, penulis drama, dan ahli Parti Murba sayap kiri Minangkabau, serta juga pahlawan nasional Indonesia. Beliau merupa salah satu perintis puisi moden di Indonesia, serta juga 'pencipta mitos' yang utama kepada Presiden Sukarno.


Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Kerjaya kesusasteraan[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Kota Sawahlunto, Sumatera Barat, Yamin memulakan kerjayanya sebagai seorang penulis pada dekad 1920-an semasa puisi Indonesia mengalami romantisisme yang hebat dan terkenang-kenang. Karya-karya pertamanya ditulis dalam bahasa Melayu dalam jurnal Jong Sumatera,  sebuah jurnal bahasa Belanda, pada tahun 1920. Karya-karyanya yang awal masih terikat kepada kata-kata basi bahasa Melayu Klasik.

Pada tahun 1922, Yamin muncul buat pertama kali sebagai pemuisi dengan puisinya, Tanah Air ; maksud "tanah air"-nya ialah Sumatera. Tanah Air merupakan himpunan puisi moden Melayu yang pertama yang pernah diterbitkan. Sitti Nurbaya, novel moden utama yang pertama dalam bahasa Melayu juga muncul pada tahun yang sama, tetapi ditulis oleh Marah Rusli yang juga merupakan seorang anak Minangkabau. Karya-karya Rusli mengalami sepuluh tahun kepopularan yang unggul.

Himpunan Yamin yang kedua, Tumpah Darahku, muncul pada 28 Oktober 1928. Tarikhnya amat penting dari segi sejarah kerana pada waktu itulah, Yamin dan beberapa orang pejuang kebangsaan memutuskan untuk menghormati satu tanah air, satu bangsa, dan satu bahasa Indonesia yang tunggal. Dramanya, Ken Arok dan Ken Dedes yang berdasarkan sejarah Jawa muncul juga pada tahun yang sama. Antara akhir dekad 1920-an sehingga tahun 1933, Roestam Effendi, Sanusi Pane, dan Sutan Takdir Alisjahbana merupakan pembentuk-pembentuk utama bahasa Melayu dan kesusasteraannya.

Walaupun Yamin menguji kaji bahasa dalam puisi-puisinya, beliau masih lebih menepati norma-norma klasik bahasa Melayu, berbanding dengan generasi-generasi penulis yang lebih muda. Beliau juga menerbitkan banyak drama, esei, novel sejarah dan puisi yang lain, serta juga menterjemahkan karya-karya William Shakespeare (drama Julius Caesar) dan Rabindranath Tagore.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1932, Yamin memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang di Jakarta. Beliau kemudian bekerja dalam bidang undang-undang antarabangsa di Jakarta sehingga tahun 1942. Kerjaya politiknya bermula awal dan beliau giat dalam gerakan-gerakan nasionalis. Pada tahun 1928, Kongres Pemuda II mengisytiharkan bahasa Melayu, kini dikenali sebagai bahasa Indonesia, sebagai bahasa gerakan nasionalis Indonesia. Melalui pertubuhan Indonesia Muda, Yamin mendesak supaya bahasa Indonesia dijadikan asas untuk sebuah bahasa kebangsaan. Oleh itu, bahasa Indonesia menjadi bahasa rasmi serta alat utama dalam kesusasteraan inovatif.

Semasa pendudukan Jepun antara tahun 1942 dan 1945, Yamin bertugas dengan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), sebuah gabungan pertubuhan nasionalis yang disokong oleh pemerintah Jepun. Pada tahun 1945, beliau mencadangkan bahawa sebuah Badan Penyelidik Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) diasaskan serta juga bahawa negara yang baru harus merangkumi Sarawak, Sabah, Tanah Melayu, Timor Portugis, serta juga kesemua wilayah Hindia Belanda. Sukarno menjadi presiden Republik Indonesia yang pertama pada tahun 1945, dan Yamin dilantik untuk jawatan-jawatan yang penting dalam pentadbirannya.

Yamin meninggal dunia di Jakarta dan dikebumikan di Talawi, sebuah kota kecamatan yang terletak 20 kilometer dari ibu kota Kabupaten Sawahlunto, Sumatera Barat.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Didahului oleh:
Bahder Djohan
Menteri Pendidikan dan Kebudayaan
1953 - 1955
Digantikan oleh:
RM Suwandi