Mohan Singh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Mohan Singh terkenal kerana gerakan anti British dan sebagai penggerak Tentera Nasional India (Indian National Army) yang memperjuangkan kemerdekaan India daripada pemerintahan British. Mohan Singh menjadi seorang Jeneral dalam INA.

Hayat Awal[sunting | sunting sumber]

Mohan Singh adalah anak tunggal kepada Tara Singh dan Hukam Kaur, pasangan miskin di Kampung Ugoke, berhampiran Sialkot (sekarang ini di Pakistan). Bapanya meninggal dunia dua bulan selepas ia dilahirkan dan ibunya membawanya tinggal bersama-sama datuknya di Badiana. Selepas menamatkan sekolah tinggi, Mohan menyertai Tentera British India dalam tahun 1927 dan berkhidmat dengan Batalion ke-14 Rejimen Punjab. Dia kemudiannya ditugaskan ke batalion Ke-2 Rejimen Punjab yang ditempatkan berkhidmat di North-West Frontier Province. Mohan dilihat sebagai calon pegawai dan dihantar untuk menyertai kursus 6 bulan di Kitchener College, Nowgong (Madhya Pradesh) dan dua setengah tahun lagi di Akademi Tentera India di Dehra Dun.

Perkhidmatan Tentera[sunting | sunting sumber]

Mohan ditauliahkan sebagai pegawai dalam talun 1934 dan dihantar bertugas selama setahun dengan sebuah pasukan British, iaitu pasukan Batalion Ke-2 Rejimen Border. Selepas itu dia kembali berkhidmat dengan Batalion 1/14 Rejimen Punjab. Apabila Perang Dunia II meletus dalam tahun 1939, Mohan dinaikkan pangkat menjadi Kapten dan batalionnya dipilih untuk berkhidmat di Timur Jauh. Mohan bersama-sama batalionnya belayar ke Malaya pada 4 Mac 1941.

Batalion 1/14 Punjab ditugaskan di Jitra di bawah Briged ke-15 India, salah satu unit di dalam Divisyen ke-11 India yang bertanggungjawab untuk pertahanan bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu. Apabila Tentera Jepun di bawah Lt. Jen. Tomoyuki Yamashita menyerang, 11 Divisyen berundur dengan cara kelam kabut. Pasukan Mohan Singh sendiri sedang berusaha mencari pasukan utama mereka. Sebelum itu, satu kumpulan askar India diketuai Giani Pritam Singh telah pada 4 Disember 1941 membuat pakatan dengan Mejar Fujiwara, ketua perisikan Tentera Jepun di wilayah itu untuk bekerjasama dengan pihak Jepun. Mohan menghubungi pasukan India itu di Alor Setar dan menyerah diri kepada pihak Jepun.

Penubuhan Azad Hind Fauj[sunting | sunting sumber]

Askar INA dan Askar Jepun Meraikan Kemenangan

Mohan Singh diminta mengawal kesemua askar-askar India yang menjadi tawanan perang dan untuk mengembalikan ketenteraman di Alor Setar. Pada 11 Disember 1941, Kuala Lumpur jatuh ke tangan Jepun bersama-sama 3,000 tawanan perang. Pada 15 Februari 1942, Singapura pula jatuh ke tangan Jepun dan 45,000 orang askar India menjadi tawanan perang. Mohan Singh meminta sukarelawan di kalangan tawanan perang untuk menubuhkan Azad Hind Fauj (Tentera Pembebasan India) dengan tujuan untuk membebaskan India daripada pemerintahan British.

Pada 1 September 1942, Azad Hind Fauj mempunyai 40,000 orang sukarelawan, dan Mohan Singh dinaikkan menjadi Jeneral. Di Bangkok, Liga Kemerdekaan India di bawah pimpinan Rash Behari Bose dirasmikan penubuhannya pada 15 Jun 1942. Mohan Singh dilantik menjadi Panglima tertinggi kepada Tentera Untuk Pembebasan India (Army of Liberation for India)

Mohan Singh menjadi mencurigai tujuan sebenar Jepun yang pada pendapatnya mahu menjadikan INA sebagai percaturan dan sengaja mengelakkan daripada diberikan pengiktirafan dan pengisytiharan sebagai satu pasukan Tentera Pembebasan yang bebas. Pada 29 Disember 1942, Mohan Singh diberkas oleh Polis Tentera Jepun. Hanya selepas ketibaan Subhas Chandra Bose dalam bulan Jun 1943 barulah Jepun memberikan pengiktirafan yang sebenar kepada INA dan Mohan Singh dilantik semula menjadi panglima INA dengan Subhas menjadi Presiden kerajaan sementara Azad Hind . Tentera Nasional India menyertai serangan Jepun ke atas Burma dan India dalam tahun 1944 dan berjaya mencatat kejayaan yang memberangsangkan, tetapi British menyerang balas dalam tahun 1944 dan memaksa INA dan ]]Tentera Jepun]] berundur semula.

Semasa bulan Mei dan Jun 1945, kebanyakan pegawai dan anggota Tentera Nasional India termasuk Mohan Singh menjadi tawanan perang dan dibawa pulang ke India. Mereka dibebaskan selepas perang tamat bulan September 1945.

Selepas Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

Mohan Singh dan pemimpin Azad Hind disanjung kerana semangat patriotisme mereka. Apabila India merdeka dan berpecah menjadi India dan Pakistan, Mohan Singh terpaksa meninggalkan kampung halamannya di Pakistan dan berhijrah ke India. Dia menetap di Jugiana, berdekatan Ludhiana. Selepas berkhidmat sebagai penggubal undang-undang di Punjab, Mohan Singh berkhidmat di Rajya Sabha, Parlimen India selama dua penggal. Semasa di Parlimen Mohan memperjuangkan pengiktirafan untuk anggota Azad Hind Fauj sebagai pemangkin kemerdekaan India.

Mohan Singh meninggal dunia di Jugiana pada 26 Disember 1989

Rujukan[sunting | sunting sumber]