Murray Chotiner

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Murray M Chotiner
Kelahiran(1909-10-04)4 Oktober 1909
Meninggal dunia30 Januari 1974(1974-01-30) (umur 64)
DikebumikanNational Memorial Park, Falls Church, Virginia
WarganegaraAmerika Syarikat
PendidikanUniversity of California, Los Angeles
Pusat pendidikanSouthwestern School of Law
PekerjaanPeguam, perunding politik
Tahun aktif1930–1974
Terkenal keranaPenasihat dan pengurus kempen kepada Richard Nixon
Parti politikRepublikan
PasanganPhyllis Lee Chotiner (1932 - 1955)
Ruth Arnold Chotiner (1956 - 1963)
Mimi Chotiner (1965 - 1971)
Nancy Chotiner (1971 - 1974)

Murray M Chotiner (4 Oktober 190930 Januari 1974) ialah ahli strategi politik, dan pegawai kerajaan, serta juga rakan dan kawan rapat kepada Presiden Richard Nixon pada sebahagian besar kerjaya politik Presiden ke-37 itu. Beliau bertindak sebagai pengurus kempen kepada Nixon dalam pilihan raya Senat Amerika Syarikat pada 1950 serta pilihan raya Naib Presiden pada 1952. Selain itu, Chotiner juga mengurus kempen untuk calon-calon Republikan California yang lain. Walaupun memegang jawatan yang tidak menonjolkan diri, Chotiner juga memainkan peranan yang aktif dalam kedua-dua kemenangan Nixon dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Biografi ringkas[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Pittsburgh, Pennsylvania, Chotiner ke California apabila bapanya memindahkan keluarga ke sana. Bagaimanapun, bapanya kemudian meninggalkan anak isteri. Chotiner menyertai UCLA dan memperoleh ijazah undang-undang dari Southwestern School of Law. Beliau membuka firma undang-undang di Los Angeles lalu memperluas kegiatannya ke bidang hubungan awam. Selepas menyertai Parti Republikan, Chotiner giat dalam banyak kempen politik, termasuk satu percubaan peribadi yang gagal dalam pertandingan untuk Dewan Undangan Negeri California pada 1938.

Nixon mengambil Chotiner sebagai perunding untuk kempen kongresnya yang pertama pada 1946. Pada zaman itu yang ancaman tanggapan terhadap komunisme merupakan satu isu yang utama di dalam negara, Nixon berjaya atas nasihat Chotiner supaya mengaitkan pesaing liberalnya, Wakil Jerry Voorhis, kepada sebuah pertubuhan politik yang dipercayai dikuasai oleh pihak komunis. Nixon kemudian mengambil Chotiner sebagai pengurus untuk kempen Senatnya pada 1950 terhadap Wakil Helen Gahagan Douglas. Dalam kempen itu, Chotiner mempergunakan strategi yang serupa yang digunakan pada Voorhis, dan menegaskan rekod pengundian liberal Douglas lalu mencetak rekod itu pada kertas merah muda untuk membayangkan rasa simpatinya terhadap pihak komunis. Nixon menewaskan Douglas dengan amat mudah dan justera itu, Chotiner diambil semula untuk mengurus kempen Nixon untuk Naib Presiden pada 1952. Di tengah-tengah tuduhan antisemitisme dan pendedahan tabung persendirian untuk membiayai kempen politiknya, Nixon berjaya mengatasi tuduhan-tuduhan tersebut dengaan muktamad menerusi ucapan Checkers yang disiarkan di televisyen.

Pada 1956, selepas Kongres mengesyaki dan menyiasat Chotiner kerana mempergunakan hubungannya dengan Nixon untuk menjajakan pengaruh bagi tujuan memanfaatkan pelanggan peribadinya, Nixon dan Chotiner berpisah buat sementara. Enam tahun kemudian pada 1962, Nixon memanggil pulang Chotiner untuk mengusahakan kempen gabenornya terhadap rakan separti Republikan, Joe Shell, serta calon Demokrat penjawat kini, Edmund G. Brown, Sr. Walaupun Nixon gagal dalam percubaan itu, Chotiner masih dikekalkan oleh Nixon sebagai perunding untuk pertandingan presiden 1968 yang kini mencapai kejayaan. Selepas Nixon dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-37 dalam upacara khas, Chotiner diberikan suatu jawatan kerajaan dan pada 1970, dijadikan anggota kakitangan Rumah Putih. Sungguhpun beliau pulang ke firma undang-undangnya pada tahun yang berikut, Chotiner masih terlibat dalam kempen pemilihan semula Nixon pada 1972.

Chotiner memerikan kejadian pecah pejabat Watergate yang akhirnya meruntuhkan pentadbiran Nixon sebagai sesuatu yang "bodoh". Apabila sebuah akhbar menuduhnya atas pengaturan skandal itu, Chotiner membuat dakwaan libel terhadap akhbar itu di mahkamah dan menang dengan penyelesaian yang cukup besar. Beliau dikekalkan sebagai penasihat tak rasmi kepada Nixon sehingga kematiannya pada umur 64 tahun di Washington, D.C., akibat kemalangan jalan raya pada Januari 1974. Nixon meratapi kematian Chotiner yang diperikannya sebagai seorang penasihat dan kawan.