Nakhoda

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Nakhoda atau juragan merupakan kelulusan tertinggi untuk seorang pelaut mengawal sebuah kapal. Istilah kapten pula digunakan bagi seorang nakhoda yang pernah mengawal sebuah kapal.

Nakhoda mestilah mahir dalam ilmu pelayaran terutama tentang penggunaan peta dan kompas serta sistem bintang di langit. Mereka juga mestilah mengetahui arah laluan terbaik untuk belayar dan mengetahui kedudukan batu karang, terumbu karang, arus dan olak laut berpusing. Angin monsun mestilah diketahui bagi mengelak ribut taufan serta mengelak kapal terlanggar batu karang yang boleh merosakkan kapal.

Pada zaman dahulu, seorang nakhoda perlu menguasai penggunaan barometer, kronometer dan sekstan supaya dapat mengemudi sebuah kapal layar mengikut laluan yang ditetapkan melalui lautan luas. Kini, sistem GPS pula digunakan. Selain kapten, kadang-kadang pembantu kapten juga merupakan nakhoda bertauliah.

Sebagai ketua kapal yang sedang berlayar, kapten mempunyai kuasa undang-undang yang besar, termasuk kuasa menggunakan kekerasan untuk menumpaskan kegiatan lanun dan dahagi. Berlawanan dengan kepercayaan ramai, kapten tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengendalikan pernikahan. Tetapi kapten mempunyai hak untuk memberikan morfin kepada pesakit, sama seperti doktor dan ahli farmasi.

Kapten sesebuah kapal memiliki kuasa mutlak ke atas kapalnya walaupun terdapat orang yang berpangkat lebih tinggi di atas kapal. Jika orang tersebut memberi arahan kepada kapten kapal, dia hanya boleh menyatakan apa yang dikehendaki, dan bukan bagaimana melakukannya. Ini kerana sebagai nakhoda, kapten bertanggungjawab penuh ke atas kapalnya dan orang yang berpangkat lebih tinggi pun tidak boleh masuk campur.

Lambang lengan baju tradisional untuk kapten adalah empat calit emas di lengan bawah atau di atas bahu. Banyak tentera laut yang mengikut duluan Royal Navy dan mempunyai "gelung eksekutif" di atas atau lingkaran dalaman. Dalam Royal Navy, calit dan lingkatan ini dipanggil "Nelson" jika lingkaran itu terletak di atas calit, dan "Half Nelson" jika cuma separuh di atas calit. Kerap kali, syahbandar mempunyai sauh kotor atau simbol tempatan lain bersama dengan lingkaran emas tersebut.

Pegawai yang berpangkat langsung di bawah kapten dipanggil malim satu, atau pegawai pertama. Dia bertanggungjawab melaksanakan arahan kapten disamping berbincang dengan kapten mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kapal. Sebagai "orang nombor dua", dia bertanggungjawab (dengan bantuan Bintara Muda) untuk masalah disiplin kecil di atas kapal. Pegawai berpangkat di bawah malim satu ialah malim kedua (pegawai pengemudian) dan malim ketiga (pegawai keselamatan).

Di zaman dahulu, kadang-kadang kapten merupakan golongan bangsawan yang dipertanggungjawabkan kepada sebuah kapal walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman berlayar. Oleh itu, malim satu akan bertindak sebagai nakhoda dan menjalankan tugas eksekutif kapten, manakala orang bangsawan tersebut merupakan kapten pada nama sahaja dan menjalankan fungsi istiadat dan undang-undang.

Biasanya nakhoda kapal ditugaskan oleh pemilik kapal seperti raja atau sultan di sesebuah negeri atau orang bangsawan. Di alam Melayu, nakhoda kapal yang terkenal ialah Nakhoda Tanggang.