Nasi daun pisang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Daun pisang yang digunakan sebagai pengalas hidangan nasi daun pisang.

Nasi daun pisang merupakan satu hidangan istimewa yang berasal daripada negeri Tamil Nadu, Kerala, Karnataka, dan Andhra Pradesh di India. Ia merupakan hidangan bagi pemakan sayuran yang berasal dari India Selatan.[1]

Hidangan ini mendapat namanya daripada daun pisang yang digunakan sebagai alas nasi, menggantikan pinggan makan. Ia merupakan amalan biasa di India selatan dan negara-negara Asia. Ramai yang mempercayai bahawa haba dari nasi panas menyebabkan daun pisang membebaskan bahan yang membantu penghadaman. Selain itu, daun pisang yang panas akan menghasilkan bau harum yang menambah selera makan.[2]

Pada asasnya, hidangan daun pisang adalah hidangan sayuran dengan tiga atau empat jenis masakan sayuran ditawarkan. Biasanya salah satu sayuran tersebut dihidangkan dengan dipotong halus dan digaul mentah bersama susu masam yougat.

Hidangan[sunting | sunting sumber]

Pada mulanya daun pisang diletakkan dihadapan pelanggan dan nasi yang masih panas dan berwap akan ditimbunkan di atas daun pisang itu. Selepas itu, mangkuk lauk yang terdiri daripada sayur-sayuran akan dibawa dan ditawarkan kepada pelanggan. Lauk yang dipilih akan diletakkan pada nasi di atas daun pisang.

Selepas itu, mangkuk lauk pilihan tambahan yang berisi rendang kambing ("mutton varuval"), kari sotong, masala udang, ikan goreng atau ayam pula akan ditawarkan bagi pelanggan bukan semata-mata hanya pemakan sayuran. Selain itu pelanggan boleh memilih lauk lain yang dipamerkan di kaunter lauk. Biasanya lauk tambahan ini tidak termasuk dalam harga asas nasi daun pisang ini.

Budaya[sunting | sunting sumber]

Secara kebiasaan, daun pisang akan diletakkan dengan pucuk daun menghala ke arah kiri pelanggan, sungguhpun ia bukanlah sentiasa diikuti di tempat lain. Langkah ini disebabkan daun pisang lebih lebar di pangkalnya, dengan itu kedudukan pangkal daun pisang di sebelah kanan memberikan lebih banyak ruang bagi mereka yang menggunakan tangan kanan untuk makan. Ini mengelakkan lauk dari tertumpah dan mengotori meja makan.

Hidangan nasi daun pisang biasanya dimakan dengan menggunakan tangan, oleh itu adalah perlu bagi membasuh tangan sebelum dan selepas makan. Jari digunakan bagi mengaul nasi dan lauk sebelum ia dijemput untuk disuap ke dalam mulut. Pada kebiasaannya nasi tidak akan sampai mengotori telapak tangan. Hidangan nasi daun pisang memiliki bau yang cukup kuat, dan selepas makan pelanggan perlu membasuh tangan dengan menggunakan sabun bagi menghilangkan bau kari pada tangan. Bagaimanapun, kadang-kala bau kari yang kuat itu masih kekal di tangan walaupun selepas dibasuh dengan menggunakan sabun, dan perlu dibasuh beberapa kali lagi.

Pada kebiasaannya orang India Selatan akan meninggalkan sedikit sisa pada daun. Sisa ini sengaja ditinggalkan bagi diberikan kepada serangga, burung dan haiwan.

Selain itu selepas makan, adalah menjadi kebiasaan untuk melipat daun pisang itu. Cara melipat daun pisang itu dikatakan melambangkan samaada anda menikmati hidangan tersebut dan ingin kembali atau sebaliknya. Pada kebiasaannya daun dilipat ke arah diri anda bagi melambangkan anda menikmati hidangan tersebut dan ingin mengulangnya lagi. Sementara melipat ke arah bertentangan biasanya diamalkan di majlis pengkebumian sebagai melambangkan bahawa seseorang itu tidak ingin kembali untuk melalui peristiwa sedih sebegitu lagi.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Travel3Sixty, PP15075/7/2011