Need for Speed: Most Wanted

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Need for Speed: Most Wanted
Gambar kulit untuk versi Xbox 360
PembangunEA Black Box (PS2, Xbox, Xbox 360, GC)
EA Redwood Shores (Windows dan PSP)
PenerbitElectronic Arts
SiriNeed for Speed
PlatformWindows, Xbox 360, Microsoft Windows, Mac OS X, PS2, Xbox, GCN, PSP, GBA, NDS, Telefon bimbit
PelepasanPS2, XB, GC:

Amerika Syarikat 15 November 2005
Eropah 24 November 2005
Xbox 360:
Amerika Syarikat 22 November 2005
Eropah 2 Disember 2005
Telefon bimbit:

Amerika Syarikat 21 Disember 2005
PC dan PSP
Amerika Syarikat 21 Disember 2005
GenrePerlumbaan
ModPemain tunggal
Berbilang pemain
Bahagian video klip akhir semasa pemain melarikan diri dari Rockport dengan melompat merentasi jambatan yang sedang dibina.

Need for Speed: Most Wanted (Tulisan Jawi: نيد فور سڤيد: موست ونتد; NFS:MW) adalah permainan video perlumbaan berbilang platform, dibangunkan oleh EA Black Box dan mula dilancarkan oleh Electronic Arts bagi pasaran Amerika Syarikat pada 15 November 2005. Ia adalah sebahagian daripada siri permainan Need for Speed. Permainan ini memperkenalkan semula aksi kejar-mengejar dengan polis sebagai fokus utama kepada gaya permainan berorientasikan lumba haram, dengan beberapa (tetapi tidak semua) pilihan pengubahsuaian daripada siri Need for Speed: Underground. Permainan ini disusuli oleh Need for Speed: Carbon, yang merupakan sambungan kepada jalan cerita Most Wanted.

Most Wanted dilancarkan untuk komputer peribadi berasaskan Windows, PlayStation 2, Nintendo GameCube, Xbox, Xbox 360 (sebagai tajuk pelancaran), Game Boy Advance, Nintendo DS serta telefon bimbit. Satu lagi versi Most Wanted, bertajuk Need for Speed: Most Wanted: 5-1-0 telah dilancarkan untuk PlayStation Portable.

'Black Edition', edisi pengumpul bagi Most Wanted, telah dilancarkan bagi menyambut ulang tahun siri Need for Speed ke-10 serta bersempena dengan pelancaran Most Wanted. Black Edition menampilkan perlumbaan tambahan, kereta bonus serta kandungan tambahan. Black Edition juga didatangkan dengan DVD khas yang mengandungi temu ramah serta video mengenai permainan. Black Edition dilancarkan bagi versi PC, PlayStation 2 dan Xbox di Amerika Syarikat dan Australia;[1] hanya versi PlayStation 2 sahaja dikeluarkan untuk pasaran Eropah.[2][1]

Jalan cerita[sunting | sunting sumber]

Templat:Spoiler Pemain tiba di Rockport City, keluar dari dunia lumba haram bawah tanah, dengan kereta BMW M3 GTR yang diubahsuai. Mengikuti Mia Townsend (pelakon: Josie Maran), pemain membuktikan kemahiran pemanduannya sedang dia dikejar oleh seorang pegawai polis veteran bernama Cross (pelakon: Dean McKenzie), yang bersumpah untuk menangkap pemain.[3]

Kebanyakan perlumbaan awalan seolah-olah menyebelahi pemain sehinggalah sekumpulan pelumba haram, diketuai antagonis utama bernama Clarence "Razor" Callahan (pelakon: Derek Hamilton), mensabotaj kereta pemain serta merampas kereta BMW itu.[4][5] Tanpa kereta untuk melarikan diri, pemain ditangkap oleh Cross, tetapi kemudian dilepaskan kerana tidak cukup bukti.[6] Mia mengambil pemain serta memaklumkan kepada pemain mengenai status baru Razor di dalam Senarai Hitam (sekumpulan pemandu yang paling dikehendaki Jabatan Polis Rockport). Dia kemudian menolong pemain dengan membantu mendapatkan kereta baru serta mendapat tempat di dalam Senarai Hitam. Satu demi satu lawan ditewaskan, menjanjikan reputasi serta kereta yang lebih baik dengan mengalahkan mereka. Mia juga menyediakan markas untuk pemain berehat setiap kali mukim baru dimasuki, sebagai pertukaran kepada "taruhan sampingan" pada perlumbaan yang disertai pemain.

Cabaran terakhir bagi tangga teratas Senarai Hitam tertumpu kepada perlumbaan antara pemain dengan Razor, dengan pemain muncul pemenang, membolehkannya menuntut semula kereta BMWnya. Apabila Razor enggan memulangkan hak milik kereta tersebut[7] serta menyerang Mia[8], yang merampas kunci daripadanya, Mia mendedahkan identiti sebenarnya sebagai seorang pegawai polis yang menyamar. Mia membaling kunci kereta tersebut kepada pemain, dan menyuruh pemain melarikan diri daripada segerombolan anggota polis yang datang. Razor ditangkap manakala pemain dihambat oleh semua anggota polis di Jabatan Polis Rockport di bawah arahan Cross[9]. Pemain berjaya melarikan diri daripada Cross serta meninggalkan Bandaraya Rockport dengan melancarkan kereta BMWnya untuk melompat menyeberangi sebatang jambatan lama yang tidak siap dibina seperti yang ditunjukkan oleh Mia semasa panggilan telefon terakhir.[10]

Selepas pemain melepaskan diri, Cross membawa rekod kesalahan pemain serta menambahkan namanya ke dalam Senarai Paling Dikehendaki Kebangsaan. Selain Razor, kesemua pemandu lain yang disenarai hitam berjaya ditangkap dengan "bantuan" pemain.[11]

Jalan cerita Need for Speed: Carbon merupakan sambungan kepada Most Wanted.

Watak utama[sunting | sunting sumber]

Nama Huraian
Mia Townsend Pegawai polis Rockport yang menyamar sebagai seorang bookie bagi perlumbaan haram di Rockport sebagai usaha untuk memberkas kumpulan pelumba haram Senarai Hitam. Untuk menjayakan misinya itu, dia membantu pemain mendapatkan kereta baru, memperoleh markas serta mengatur perlumbaan sehingga pemain berjaya mengalahkan Razor, pelumba haram pertama dalam Senarai Hitam. Dia memandu kereta Mazda RX-8.
Clarence Callahan (Razor) Pelumba haram berkedudukan pertama dalam Senarai Hitam. Dia menggunakan kereta BMW M3 GTR yang diperoleh hasil taktik kotor yang digunakan untuk mengalahkan pemain pada awal jalan cerita. Dia menggunakan kereta tersebut untuk melonjakkan kedudukannya dengan pantas ke tangga teratas pelumba haram Senarai Hitam.
Sarjan Cross Pegawai polis Rockport yang mengetuai skuad pencegah lumba haram. Dia memandu kereta Chevrolet Corvette. Pada penghujung jalan cerita, Cross sendiri turut turun padang mengejar pemain bersama-sama keseluruhan pegawai polis Rockport.

Senarai Hitam 15[sunting | sunting sumber]

Senarai Hitam
Kedudukan Nama Nama sebenar Kereta Kelebihan
1 Razor Clarence Callahan BMW M3 GTR Segala-galanya
2 Bull Toru Sato Mercedes-Benz SLR McLaren Perlumbaan sprint
3 Ronnie Ronald McCrea Aston Martin DB9 Memusnahkan kereta polis
4 JV Joe Vega Dodge Viper SRT-10 Perlumbaan perangkap laju
5 Webster Wes Allen Chevrolet Corvette C6 Melepaskan diri dari buruan polis
6 Ming Hector Domingo Lamborghini Gallardo "Saman ekor"
7 Kamikaze Kira Nakazato Mercedes-Benz CLK 500 Kos kepada Negeri
8 Jewels Jade Barrett Ford Mustang GT Perlumbaan drag
9 Earl Eugene James (dalam 5-1-0: Pierre Dupont) Mitsubishi Lancer Evolution VIII Perlumbaan sprint
10 Baron Karl Smit Porsche Cayman S Kesalahan trafik
11 Big Lou Lou Park Mitsubishi Eclipse Perlumbaan plaza tol
12 Izzy Isabel Diaz Mazda RX-8 Perlumbaan litar Knockout
13 Vic Victor Vasquez Toyota Supra Masa buruan polis
14 Taz Vince Kilic Lexus IS300 Perlumbaan sprint
15 Sonny Ho Seun Volkswagen Golf GTI Perlumbaan litar

Gaya permainan[sunting | sunting sumber]

Most Wanted, seperti mana siri permainan Need for Speed yang lain, merupakan permainan perlumbaan, di mana pemain memilih sebuah kereta untuk ke destinasi atau untuk berlumba. Aksi kejar-mengejar dengan polis dikembalikan semula dan disepadukan dengan beberapa sesi perlumbaan, di mana polis menggunakan kenderaan atau taktik untuk memperlahankan atau menghentikan kereta pemain. Sambil pemain mengawal kereta yang lebih pantas serta lebih banyak bergantung kepada Sistem Nitrus Oksida (NOS) (tolok NOS kini diisi secara automatik, pertama kali sejak pengenalannya di dalam Underground), babak pemanduan menjadi semakin sengit dan mendebarkan, serupa dengan siri Burnout.

Terdapat 3 kawasan utama di bandar raya Rockport, dengan keadaan cuaca yang saling bertukar ganti. Tiada perlumbaan waktu malam, kesemuanya dilakukan dari terbit matahari sehinggalah terbenamnya matahari. Mod perayauan seakan Grand Theft Auto masih ditampilkan seperti mana Need for Speed: Underground 2, tetapi masih terhad kepada mod Karier, di samping babak kejar-mengejar dengan polis di dalam mod lain. Most Wanted terus mengelakkan daripada memaparkan kerosakan besar pada semua model perlumbaan, sebagaimana siri Underground, dengan hanya kesan calar pada cat kereta serta cermin hadapan yang retak (tetapi tidak berderai) yang mewakili keseluruhan permodelan kerosakan badan. Walau bagaimanapun, kereta polis mudah menerima kerosakan badan yang teruk serta boleh lumpuh jika terbalik ataupun dirosakkan dengan teruk oleh "pemecah buruan" (pursuit breakers) (sila rujuk sistem buruan polis) atau kereta pemain.

Mod[sunting | sunting sumber]

Permainan ini menyediakan pelbagai pilihan mod permainan, termasuklah kombinasi perlumbaan serta buruan polis. Di dalam mod Karier, pencapaian sasaran dengan memenangi perlumbaan serta melakukan beberapa aksi, dipanggil "Milestones", semasa buruan polis, di samping Ganjaran Penangkapan minimum (rujuk Sistem buruan polis untuk maklumat lanjut) diperlukan untuk mara di sepanjang jalan cerita serta berlumba dengan mana-mana pelumba Senarai Hitam. Di dalam versi Xbox 360, pemain akan diberi Mata Pencapaian setiap kali menewaskan pelumba Senarai Hitam. Mod karier memperkenalkan ciri baru - keupayaan untuk memenangi kereta pelumba Senarai Hitam (geran kereta), fungsi bonus (seperti keupayaan "Keluar Dari Penjara Percuma"), hadiah wang tunai tambahan atau bahagian serta hiasan kereta, setelah menewaskan musuh. Kesemuanya didatangkan dalam enam kad pilihan di mana pemain hanya boleh mengambil dua sahaja. Kereta serta peralatan baru juga dapat dicapai sepanjang mod Karier dengan menewaskan pelumba Senarai Hitam.

Sebagai tambahan kepada Perlumbaan Pantas dan mod Karier, terdapat mod Cabaran yang terdiri daripada 68 cabaran yang semakin sukar (69 di dalam Black Edition) di mana pemain perlu melengkapkan perlumbaan Plaza Tol serta cabaran buruan polis. Kereta pra-talaan yang digunakan dalam setiap Cabaran adalah tetap, merangkumi kereta Karier dengan pengendalian yang teruk kepada kenderaan lalu lintas seperti lori simen ataupun kereta polis. Kereta bonus tambahan boleh dibuka setelah pemain melalui mod Cabaran.

Dari segi variasi perlumbaan, Most Wanted mewarisi beberapa mod perlumbaan daripada pendahulunya iaitu siri Underground. Empat mod yang wujud: Litar, Sprint, Lap Knockout dan Drag, tidak berubah sejak siri pertama Underground, manakala Drift, Street X, Liga Perlumbaan Bawah Tanah serta Outrun sudah dibuang. Sementara itu, Most Wanted memperkenalkan dua perlumbaan baru yang mengutamakan kelajuan. Mod pertama ialah Plaza Tol (Tollbooth), di mana pemain berlumba bersendirian ke checkpoint tertentu (plaza tol) di sepanjang laluan tertentu sebelum masa tamat. Mod kedua, Perangkap Laju (Speedtrap), menyaksikan pelumba bersaing untuk mendapatkan rekod kelajuan terkumpul tertinggi pada beberapa kamera perangkap laju. Semasa mendekati kamera perangkap laju, pelumba memecut untuk mendapatkan kelajuan tertinggi. Kelajuan terkumpul akan berkurangan sekiranya pelumba lawan melepasi garisan penamat dahulu.

Sistem buruan polis[sunting | sunting sumber]

Kereta pemain (sudah mencapai tahap "panas" keempat) sedang dikejar kereta peronda serta helikopter polis.

Most Wanted menampilkan semula sistem buruan polis setelah kemunculan kali terakhirnya pada Need for Speed: Hot Pursuit 2. Di dalam mod Karier, polis akan mengejar tidak kira semasa dalam perlumbaan ataupun semasa merayau-rayau di dalam bandar, bergantung kepada kekerapan rondaan pihak polis serta kesalahan trafik yang dilakukan pemain. Selain itu, pemain boleh memilih sendiri untuk dikejar polis dari markas atau menu utama, serta melalui mod cabaran.

Sistem buruan polis kali ini lebih kompleks serta lebih agresif daripada permainan Hot Pursuit yang lepas, menjadikannya sebagai siri Need for Speed paling sukar untuk dimenangi. Cara polis mengendalikan pesalah kali ini ditentukan melalui "tahap kepanasan" kereta pemain. Tahap kepanasan, yang akan meningkat bergantung kepada tempoh buruan serta tahap kemusnahan yang dilakukan oleh pemain, menjadikan adegan kejar-mengejar semakin sukar. Semakin tinggi tahap kepanasan kereta, semakin tinggi kebarangkalian pemain dikejar polis dari bahagian negeri sehingga ke peringkat persekutuan, serta lebih ganas jugalah taktik yang digunakan polis untuk menangkap pesalah seperti penggunaan sekatan jalan raya, kawat berduri, helikopter polis serta kereta polis yang lebih berat serta lebih pantas. Ada kalanya pemain akan dikejar lebih 20 kereta polis pada tahap kepanasan yang lebih tinggi. Terdapat 5 tahap kepanasan (dengan tahap tersembunyi keenam dan ketujuh masing-masing semasa tamat mod Karier serta di dalam Black Edition), tiga tahap penguatkuasaan (Tempatan, Negeri, dan Persekutuan), serta 10 jenis kenderaan polis.

Pemain juga perlu berhati-hati semasa dikejar polis kerana gaya pemanduan pemain mungkin akan menarik perhatian Cross untuk turut mengejar pemain dengan kereta Chevrolet Corvettenya.[1]

Di dalam mod Karier, sistem buruan polis disepadukan di dalam permainan sehinggakan amat penting bagi pemain untuk mengalami adegan kejar-mengejar dengan polis sebelum mencabar pelumba Senarai Hitam. Keperluan termasuklah melengkapkan "Milestones," yang memerlukan pemain melakukan kesalahan trafik pada nilai minimum tertentu ataupun tempoh dikejar polis, serta mengumpulkan nilai "wang tawaran", satu bentuk nilai kredit terkumpul semasa pemain terus melarikan diri daripada polis. Tahap kepanasan boleh dikurangkan dengan menukar bahagian badan ataupun cat kereta. Rekod jenayah (Rap Sheet), dengan rekod termasuklah kesalahan pemain, kos kepada negeri, taktik yang digunakan serta tempoh buruan, juga boleh diperolehi dengan "menggodam" rekod polis, termasuklah kedudukan pemain berbanding pelumba Senarai Hitam.

Terdapat beberapa taktik berguna kepada pemain semasa dikejar polis. Antaranya ialah Speedbreaker, disediakan di dalam antara muka pemanduan, memperlahankan masa, menambah berat secara sementara kepada kereta pemain, menjadikan lebih sukar bagi kenderaan lain (terutamanya kereta polis) untuk mengganggu. Ia membolehkan pemain mengendalikan kereta di dalam situasi sukar terutamanya semasa berdepan dengan sekatan jalan raya ataupun kawat berduri.[2] Pursuit Breaker pula ialah objek besar di tepi jalan yang direka untuk tumbang apabila dilanggar kereta pemain, menyebabkan kerosakan besar kepada kereta polis (atau pemain lain) yang tidak bernasib baik. Contohnya, jika pemain melanggar stesen minyak, bumbung stesen tersebut akan runtuh dan menyebabkan kereta polis yang tidak bernasib baik terperangkap.[3] Sebaik sahaja pemain berjaya melarikan diri, tempoh "bertenang" diperlukan bagi membolehkan polis membatalkan operasi pemburuan kereta pemain. Tempat bertenang, iaitu tempat persembunyian yang berada di serata bandar raya seperti tempat letak kereta bawah tanah, membantu memendekkan tempoh bertenang. Walau bagaimanapun, sesetengah tempat bertenang masih terdedah dan boleh dicari pihak polis.


  •   Chevrolet Corvette C6.R Sarjan Cross - Keretanya dicat dengan cat yang sama dengan kereta polis lain semasa adegan kejar-mengejar di dalam permainan, tetapi semasa video klip FMV pula kereta tersebut mempunyai kemasan cat unik. Ia disebabkan limitasi teknikal permainan.
  •    Selain semasa buruan polis, kedua-dua Speedbreaker dan Pursuit Breaker juga boleh digunakan pada perlumbaan lain, termasuklah perlumbaan drag.
Subaru yang diubahsuai

Pengubahsuaian kereta[sunting | sunting sumber]

Seperti siri Underground, prestasi serta penampilan luaran kereta pemain boleh diubahsuai secara ekstensif, tetapi pilihan ubahsuai luaran sudah dipermudahkan kepada yang penting sahaja, dengan bahagian spesifik (seperti bumper, skirt tepi, lampu dan paip ekzos) digunakan hanya sebagai kaedah mengurangkan tahap dikehendaki kereta, berbanding meningkatkan "penarafan reputasi" kereta di dalam siri Underground.

Permainan atas talian[sunting | sunting sumber]

Satu keputusan telah dibuat untuk tidak menyertakan permainan atas talian bagi versi PlayStation 2 (termasuklah Black Edition, walaupun atas permintaan peminat). Keadaan ini berpunca daripada jadual yang ketat serta ketiadaan masa untuk menguji komponen atas talian secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, versi PlayStation Portable menyokong ciri ini.[12] Sebelum ini kedua-dua versi PlayStation 2 bagi permainan Underground dan Underground 2 mempunyai pilihan permainan atas talian.

EA sudah menghentikan sokongan terhadap versi terawal PC seawal semasa pelancarannya, walaupun komuniti peminat memohon satu lagi perisian tampalan untuk memulihkan pepijat yang ada sekian lama, versi perisian tampalan terkini bagi versi PC (1.3) telah dilancarkan pada 6 Disember 2005.[13]

Bandaraya Rockport[sunting | sunting sumber]

Peta bandar raya Rockport.

Bandaraya Rockport adalah bandar raya fiksyen di dalam permainan Need for Speed: Most Wanted. Ia merupakan sebuah bandar raya pelabuhan yang terletak di bahagian pantai timur.

Tidak seperti Olimpic City, Bayview dan Palmont di mana aktiviti lumba haram berlaku di sebelah malam, semua aktiviti lumba haram di Rockport berlaku di sebelah siang, menyebabkan pelumba haram amat terdedah kepada risiko ditangkap polis Rockport yang sentiasa berkeliaran di setiap kawasan di bandar raya itu. Skuad pencegah lumba haram di Jabatan Polis Rockport diketuai oleh Sarjan Cross yang menaiki kereta Chevrolet Corvette.

Bandaraya Rockport terdiri daripada 4 kawasan utama iaitu Downtown Rockport (pusat bandar raya), Rosewood, Gray Point dan Point Camden. Keempat-empat kawasan ini dihubungkan melalui satu jaringan jalan raya dan lebuh raya yang sangat baik. Terdapat banyak lebuh raya di Rockport termasuklah 2 lebuh raya lingkaran iaitu Lebuhraya Persekutuan 99 (mengelilingi Rosewood) serta Lebuhraya Persekutuan 201 (mengelilingi pusat bandar raya Rockport). Hampir kesemua lebuh raya tersebut dikenakan tol.

Kereta[sunting | sunting sumber]

Tampilan imej skrin musim luruh Rockport bagi Most Wanted versi Xbox 360. Ditunjukkan di sini ialah kereta Porsche 911 Turbo S.

Kereta yang disenaraikan di dalam Most Wanted boleh dikategorikan kepada 3 jenis, termasuklah kereta eksotik "diimport dari Eropah" (terutamanya kereta Eropah), kereta talaan diimport dari Asia (terutamanya kereta Jepun), dan kereta muscle Amerika. Versi Black Edition bagi Most Wanted turut menyertakan kereta standard BMW E46 (M3 GTR V8) (walaupun di dalam mod Karier kereta BMW yang diberi itu boleh jadi diubahsuai) dan model 1967 Chevrolet Camaro, bersama-sama barisan kereta yang diubahsuai ataupun sekadar talaan kilang dari edisi standard Most Wanted, seperti Mercedes-Benz SL65 AMG, Porsche 911 GT2 dan Chevrolet Corvette C6.R .

Runut bunyi[sunting | sunting sumber]

Seperti siri Need for Speed lain terbitan EA Black Box, runut bunyi Most Wanted terdiri daripada pilihan muzik berlesen daripada genre hip-hop, rock, metalcore dan elektronika/techno. Tambahan pula, Paul Linford menyediakan skor interaktif bagi sesi kejar-mengejar dengan polis. Senarai runut bunyi adalah seperti berikut:

Lagu
Nombor runut Artis Lagu Tempoh Penampilan Asal
1 Styles of Beyond Nine Thou (Superstars Remix) 3:48 album Megadef
2 T.I. Presents the P$C Do Ya Thang 4:05 CD T.I. Presents the P$C: 25 to Life
3 Rock I Am Rock 3:23 Need for Speed: Most Wanted
4 Suni Clay In A Hood Near You 3:59 album Suni Clay
5 The Perceptionists Let's Move 2:55 album Black Dialogue
6 Juvenile Sets Go Up 3:37 album Reality Check
7 Hush Fired Up 3:18 album Bulletproof
8 DJ Spooky and Dave Lombardo feat. Chuck D B-Side Wins Again 4:31 album Drums of Death
9 Celldweller feat. Styles of Beyond Shapeshifter (EP) 3:17 Single digital Shapeshifter
10 Lupe Fiasco Tilted 3:25 single Kick, Push
11 Ils Feed The Addiction 3:54 album Bohemia
12 Celldweller One Good Reason 3:24 album Celldweller
13 Hyper We Control 2:54 Single vinil We Control
14 Static-X Skinnyman 3:23 album Start a War
15 Dieselboy + Kaos Barrier Break 6:27 album Barrier Break/Submission
16 Disturbed Decadence 3:18 album Ten Thousand Fists
17 The Prodigy You'll Be Under My Wheels 3:53 album Always Outnumbered Never Outgunned
18 The Roots and BT Tao Of The Machine (Remix Scott Humphrey) 3:06 juga muncul di dalam Runut Bunyi Blade II
19 Stratus You Must Follow (Evol Intent VIP) 3:55 album projectHUMAN
20 Mastodon Blood And Thunder 3:41 album Leviathan
21 Evol Intent, Mayhem & Thinktank Broken Sword 5:59 album Us Against The World
22 Bullet for My Valentine Hand Of Blood 3:17 album Hand of Blood
23 Paul Linford and Chris Vrenna The Mann 3:28
24 Avenged Sevenfold Blinded In Chains 5:55 album City of Evil
25 Jamiroquai Feels Just Like It Should (Remix Timo Maas) 3:00
26 Paul Linford and Chris Vrenna Most Wanted Mash Up 3:34

Beberapa lagu kejar-mengejar polis turut ditampilkan di dalam iklan komersial Nissan serta dalam liputan ESPN March Madness.

Penerimaan[sunting | sunting sumber]

Need For Speed: Most Wanted telah menerima resensi positif dari kalangan pengkritik. Ia memperoleh mata agregat 82/100 oleh kedua-dua Metacritic dan Game Rankings. GameSpot, yang memberikan markah 8.4/10 memuji permainan ini kerana "grafiknya yang tajam" dan "kesan bunyi yang menakjubkan", tetapi mengkritik AI permainan ini yang pada mulanya terlalu senang, tetapi lama-kelamaan menjadi terlalu sukar.

Resensi
Penerbitan Markah
IGN
8.5 daripada 10[14]
Game Informer
8.5 daripada 10[15]
GameSpy
4 daripada 5[16]
GameSpot
8.4 daripada 10[17]
Game Revolution
B+[18]
1UP
8.6 daripada 10[19]
PC Gamer
86 daripada 100
PC Zone
88 daripada 100
Kompilasi berbilang reviu
Game Rankings
82 daripada 100 (berasaskan daripada 23 reviu)[20]
Metacritic
82 daripada 100 (berasaskan daripada 19 reviu)[21]

Need for Speed: Most Wanted: 5-1-0[sunting | sunting sumber]

Need for Speed: Most Wanted: 5-1-0 adalah versi PlayStation Portable bagi Most Wanted, dilancarkan pada haru yang sama dengan pelancaran versi konsol dan komputer peribadi. Seperti Most Wanted, Most Wanted: 5-1-0 menampilkan Senarai Hitam 15 yang serupa serta mod Karier, dengan tambahan "Tuner Takedown", mod "Be The Cop" tidak ditampilkan di dalam Most Wanted. Most Wanted: 5-1-0 kekurangan banyak elemen seperti yang terdapat pada versi PC dan konsol, seperti video klip, jalan cerita serta mod perayauan bebas, dan mengandungi perbezaan kecil (termasuklah menyenaraikan nama sebenar pelumba haram yang disenarai hitam daripada sekadar nama samaran sahaja). Tajuk permainan berasaskan kepada angka "5-1-0", yang merupakan kod polis bagi lumba haram.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Need for Speed: Most Wanted (Black Edition) release information at MobyGames. Dicapai pada 22 September 2006.
  2. ^ Need for Speed: Most Wanted release information (PlayStation 2 version) at GameSpot. Dicapai pada 23 September 2006.
  3. ^ FMV bertajuk "6 hari lalu."
  4. ^ FMV bertajuk "Masa sekarang."
  5. ^ FMV bertajuk "Tidak lama kemudian..." Mia: Razor dah kenakan awak. Dia dah kotorkan kereta awak.
  6. ^ FMV bertajuk "Tidak lama kemudian..." Mia: Saya dengar mereka tak cukup bukti tentang awak. Rasanya susah mereka nak dakwa awak berlumba haram kalau awak tak ada kereta.
  7. ^ FMV terakhir setelah mengalahkan Razor di dalam permainan. Razor: Dan kalau kau nak ni... kau kena langkah mayat mereka dahulu.
  8. ^ FMV terakhir setelah mengalahkan Razor di dalam permainan. Razor: Perkara ni tak akan selesai sampailah aku kata dah selesai.
  9. ^ FMV terakhir setelah mengalahkan Razor di dalam permainan. Cross: Saya nak setiap unit pergi kejar dia.
  10. ^ Kejar-mengejar terakhir. Mia: Ini Mia. Tengok, jangan letak telefon. Awak tak boleh balik ke mana-mana markas; Cross dah tau mengenainya. Pergi ke jambatan lama, lokasinya tertera pada peta. Di sana awak kena pecut sehingga melompat. Ini sahaja jalan yang ada. Jumpa lagi.
  11. ^ Lebih kurang 12 saat sebelum kejar-mengejar terakhir, Cross menelefon pemain. Cross: Hey budak! Hey terima kasih kerana menolong! Kami berjaya menangkap pelumba yang disenarai hitam, terima kasih kepada awak!
  12. ^ "No OL for PS2 Most Wanted, PSP OL confirmed". Tor Thorsen, GameSpot. Dicapai pada September 22. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Check date values in: |accessdate= (bantuan)
  13. ^ Need for Speed: Most Wanted patch 1.3 at The Software Patch. Dicapai pada 22 September 2006.
  14. ^ Perry, Douglass. "Need for Speed: Most Wanted review at IGN". IGN. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  15. ^ Mason, Lisa. "Need for Speed: Most Wanted review at Game Informer". Game Informer. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  16. ^ Osborne, Scott. "Need for Speed: Most Wanted review at GameSpy". GameSpy. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  17. ^ Gerstmann, Jeff. "Need for Speed: Most Wanted review at GameSpot". GameSpot. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  18. ^ Ferris, Duke. "Need for Speed: Most Wanted review at Game Revolution". Game Revolution. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  19. ^ Anonymous. "Need for Speed: Most Wanted review at 1UP". 1UP. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  20. ^ "Need for Speed: Most Wanted for PC". PC Reviews. Game Rankings. Dicapai pada 2007-02-12.
  21. ^ "Need for Speed: Most Wanted for PC". PC Reviews. Metacritic. Dicapai pada 2007-02-12.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Bahasa Perancis[sunting | sunting sumber]