Ngayap

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bagi masyarakat Iban dahulu, usaha bagi si teruna untuk memikat si dara akan dilakukan pada malam hari melalui amalan yang dipanggil Ngayap. [1] Amalan ngayap ini dilaksanakan bagi membolehkan si teruna dan si dara untuk berkenalan dan meluahkan isi hati kepada pasangan masing-masing. Walaupun amalan ngayap dibenarkan, namun ngayap seharusnya dilakukan dengan adap sopan santun yang berlandaskan adat dan pegangan hidup bermasyarakat kaum iban itu sendiri bagi mengelakan salah sangka dan fitnah yang boleh mencemarkan nilai budaya masyarakat iban.

Mengikut Adat, seseorang teruna boleh mengunjungi si dara tidak melebihi tiga malam berturut. Jika kunjungan berterusan, ibu-bapa si gadis mempunyai hak untuk menentukan dan bertanya kepada si teruna samada si teruna serius di dalam usahanya untuk memikat atau tidak. Jika didapati si teruna tidak jujur dan hanya ingin berfoya-foya maka kunjunganya haruslah dihentikan dengan segera. Dan jika si teruna serius dan bercadang untuk mengawini si Gadis, maka si teruna dinasihatkan supaya memberitahu ibu bapanya tentang hasratnya untuk datang meminang si gadis. Sekiranya si teruna masih berkunjung tanpa membuat keputusan maka ibu bapa si gadis berhak menangkap si teruna dan menguruskan perkahwinan pasangan yang berkenaan dan kemudian merujuk perkara tersebut kepada Tuai Rumah (Ketua Kaum) dan penduduk rumah panjang yang berkenaan.

Pada masa kini tradisi dan amalan ngayap tidak lagi diamalkan di dalam arus pembangunan dan cara hidup yang lebih bersifat kemodenan. Justeru itu perjumpaan si teruna dan dara dijalankan semasa majlis keramaian, seperti gawai, pergaulan di sekolah, di institusi pengajian tinggi, atau di tempat kerja pasangan masing-masing. Namun demikian ngayap adalah sebahagian kecil daripada budaya warisan iban. Untuk mengelakan budaya ini dari disalahgunakan oleh generasi baru, maka amalan ini harus dihadkan untuk orang iban. Sahaja, sekiranya terdapat pelanggaran adap atau campurtangan kaum lain di dalam amalan ini, maka undang-undang boleh diambil seperti yang termaktup dalam Seksyen 132 Adat Iban, 1993.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Benedict Sandin. Iban Adat and Augury. Penerbit Universiti Sains Malaysia for School of Comparative Social Sciences; 1980: 151 pages. - page 69.