Nokturnal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Burung hantu terkenal dengan tabiat berjaga malam, namun ada sesetengah jenisnya yang aktif pada waktu siang.

Nokturnal merupakan kelakuan haiwan yang aktif pada waktu malam dan tidur pada waktu siang. Lawannya ialah diurnal; tidak lupa juga haiwan krepuskul yang aktif pada waktu senja. Ada spesies yang aktif pada waktu siang dan malam. Keaktifan pada waktu malam boleh dikatakan sebagai sebentuk pembezaan ceruk, yang mana ceruk spesies berkenaan tidak dipecahkan mengikut sumber, sebaliknya merupakan pemecahan ceruk ekologi mengikut waktu. Ini juga dilihat sebagai suatu jenis kripsis, ataupun adaptasi untuk menghindari pemangsa, atau menguatkan sifat pemangsa. Ada juga haiwan yang berjaga malam semata-mata untuk mengelakkan bahang waktu siang, terutamanya di kawasan gurun, di mana tabiat haiwan yang nokturnal mengelakkannya daripada kehilangan air dalam badan yang berharga pada waktu siang yang terik. Inilah satu adaptasi yang meningkatkan pengosmokawalaturan.[1]

Sesetengah haiwan yang biasanya berjaga siang juga kadang-kadang berjaga malam; misalnya, burung laut dan penyu hadir di tempat pembiakan atau koloni pada waktu malam untuk mengelakkan ancaman pemangsa (kepada diri atau anaknya), tetapi selain itu berjaga siang sahaja.

Haiwan nokturnal selalunya mempunyai deria pendengaran dan pembauan yang kuat, serta penglihatan yang sangat tajam. Di taman haiwan, haiwan nokturnal biasanya disimpan dalam kurungan bercahaya malam khas untuk menyongsangkan kitaran tidur-jaga kebiasaan haiwan tersebut supaya ia berjaga pada waktu kedatangan pelawat.

Sesetengah haiwan ada mata yang boleh disesuaikan dengan kecahayaan waktu malam dan siang, seperti kucing, tetapi yang lain hanya bermata elok pada waktu malam, seperti kelawar.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. N.A.Campbell (1996) Biology (4th edition) Benjamin Cummings NY. ISBN 0-8053-1957-3
Landak kecil adalah haiwan nokturnal.