Noordin Hasan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Noordin Hasan
Kelahiran 18 Januari 1929 (85 tahun)
Jalan Hatin, Pulau Pinang, Malaysia
Warganegara Malaysia
Pekerjaan Guru, penulis
Tahun aktif 1950-an - 1990-an
Terkenal kerana Penulisan, drama

Noordin Hassan merupakan seorang Sasterawan Negara yang dilahirkan pada 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang.

Noordin Hassan memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Perak Road, Pulau Pinang. Setelah itu beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris Francis Light, Pulau Pinang. Setelah kekalahan Jepun, beliau melanjutkan pelajaran di Penang Free School. Pada tahun 1952, Noordin Hassan dihantar ke Kirkby College, Liverpool untuk persiapan menjadi guru terlatih. Semasa di Kirkby, beliau mendalami Kesusasteraan Inggeris dan Barat, terutamanya melalui karya Shakespeare, Sheridan, Goldsmith dan Moliere. Pada tahun 1962, beliau melanjutkan pengajian di Universiti London dalam bidang Pengajaran Bahasa dan Sastera Inggeris. Pada akhir tahun 1976, beliau mengikuti kursus Drama dan Pembelajaran di Universiti of Newcastle.

Karya[sunting | sunting sumber]

Penglibatan Noordin Hassan dalam bidang kesusasteraan tertumpu dalam bidang drama dan teater. Sepanjang penglibatannya dalam dunia drama mulai 1953, beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buat drama dan kareografi tarian. Noordin Hassan terkenal dengan gelaran ‘Datuk Drama dan Cikgu Drama’.

Antara pembaharuan yang dilakukan oleh Noordin Hassan ini adalah seperti mengetengahkan konsep teater fitrah serta sering bereksperimen dengan bentuk drama baru berlandaskan tradisi budaya Melayu.

Antara karya Noordin Hassan yang ternama ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Peran, 1400, Jangan Bunuh Rama-rama, Cindai, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Demi Zaiton dan Sarah. Teater-teater Noordin Hassan ini banyak dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Noordin Hassan mempunyai beberapa kumpulan drama yang dibukukan seperti buku Kumpulan Drama Bukan Lalang Ditiup Angin 1972 yang memuatkan dramanya Tiang Seri Tegak Berlima dan Pintu. Sebuah lagi kumpulan dramanya dinamakan Anak Tanjung : Children of This Land (1999). Drama-drama beliau telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Antara anugerah yang pernah digondol Noordin Hassan ialah Hadiah Sastera 1972 melalui drama televisyen Bukan Lalang Ditiup Angin, bintang Ahli Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1979, Anugerah Penulis S.E.A. pada tahun 1987 dan 'Anugerah Sasterawan Negara’ pada tahun 1993 manakala pada tahun 1994, Noordin Hassan dianugerahkan Pingat Darjat Setia Pangkuan Negeri (DSPN) daripada kerajaan Pulau Pinang yang membolehkan beliau bergelar Datuk Noordin Hassan.