Nordin Kardi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Gambar Dr. Nordin (Mandat2020)

Y. Bhg. Tan Sri Dato' Dr. Nordin Kardi merupakan seorang rakyat Malaysia dan sekarang ini beliau menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia. Beliau memulakan kariernya sebagai guru seni perusahaan selepas tamat latihan di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur.

Di samping itu, beliau juga merupakan Presiden Persatuan Universiti-Universiti Malaysia, Yang di-Pertua Persatuan Badan-Badan Berkanun Malaysia dan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia. Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan pendidikan tinggi termasuk pernah menjawat jawatan pensyarah selama lebih 20 tahun, kaunselor pelajar, pengetua kolej kediaman pelajar, timbalan dekan dan ahli senat di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan perintis kepada penubuhan Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Di LAN beliau dipertanggungjawabkan untuk menyediakan akreditasi bagi Program Sains Sosial di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Beliau merupakan seorang penulis yang aktif terutamanya dalam aspek kepemimpinan, kaunseling dan perkembangan pendidikan tinggi. Sehingga kini sebanyak 70 karya beliau dalam bentuk rencana, laporan kajian penyelidikan dan buku telah diterbitkan dalam pelbagai media komunikasi. Sejajar dengan kepakaran beliau sebagai kaunselor ahli psikologi, sebahagian besar karyanya mengenai kaunseling seperti "Falsafah dan Prinsip Asas Kaunseling", "Profesionalisme Dalam Amalan Kaunseling di Malaysia", dan "Kaunseling dalam Mengurus Konflik Perhubungan".

Tulisan beliau seperti "Pemikiran Abdullah Badawi: Towering Personality", "Idealisme Kepemimpinan Untuk Kemajuan Negara", "Pembinaan Kekuatan dan Ketahanan Negara Menerusi Pendidikan Moral dan Nilai" membuktikan beliau mempunyai pemikiran kritis dan berpandangan jauh dalam membincangkan isu-isu berkaitan kepemimpinan dan pembangunan modal insan. Dalam konteks perkembangan pendidikan tinggi, beliau begitu mengambil berat tentang perkembangan kemajuan pelajar. Minat beliau ini telah diterjemahkan semasa bertugas sebagai kaunselor di Jabatan Hal Ehwal Pelajar UPM dan dalam tesis Doktor Falsafah beliau di University of Hull bertajuk Rationale for the Provision of Student Personnel Services, pada tahun 1993.

Penglibatan beliau secara aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bermula sejak beliau masih lagi menuntut di universiti dengan memegang pelbagai jawatan seperti Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) iaitu persatuan yang memperjuangkan kepentingan pendidikan anak bangsa. Pada masa ini beliau terlibat dalam pelbagai persatuan dan badan kebajikan.

Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UUM, beliau telah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN) bagi tempoh selama hampir tujuh tahun mulai Februari 1999. Sepanjang perkhidmatan beliau di BTN, pelbagai pembaharuan yang dilakukan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia. Beliau mengamalkan pengurusan yang menekankan kepada pendekatan kemesraan dan jalinan hubungan kemanusiaan. Tidak hairanlah beliau merupakan seorang pemimipin yang sentiasa bersedia untuk didekati tanpa mengira pangkat dan darjat. Setelah memegang teraju pengurusan Universiti Utara Malaysia pada 16 Jun 2005, beliau mempunyai visi dan misi yang jelas untuk membawa universiti ke persada antarabangsa setanding dengan universiti-universiti terkemuka yang lain. Antara strategi yang diberi keutamaan untuk merealisasikan visi tersebut ialah program kerjasama akademik antara UUM dan universiti-universiti luar negara dan program pengantarabangsaan pelajar.

Anugerah Tan Sri[sunting | sunting sumber]

Sumbangan besar beliau dalam sektor pendidikan, perkhidmatan awam dan perkhidmatan masyarakat di Malaysia telah diberi pengiktirafan dan penghargaan oleh kerajaan Malaysia apabila beliau dianugerahkan beberapa pingat kebesaran negara. Terkini beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 2 Jun 2007 yang membawa gelaran "Tan Sri".