Nusrat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Nusrat seorang peragawati bertaraf antarabangsa, adalah anak tempatan Malaysia yang dibesarkan di Alor Star, Kedah. Beliau mendapat inspirasi untuk menjadi seorang peragawati daripada pelakon dan model Malaysia terkenal, Noorkumalasari.

Nusrat memulakan kerjayanya di Singapura dimana persaingan dalam bidang ini amat hebat dan mencabar. Namun begitu, nasib beliau berubah apabila beliau diterima oleh agensi peragawati milik Hanis, seorang model Melayu yang digemari oleh pereka fesyen terkenal Yves Saint-Laurent.

Di bawah didikan Hanis, kerjaya Nusrat melonjak daripada memperagakan fesyen dalam persembahan 'tea show', ke tahap yang lebih tinggi seperti Haute Couture dan Trunk Show. Ini berlaku hanya dalam tempoh 6 bulan. Selepas berjaya menarik minat Mila Schon, seorang pereka fesyen Haute Couture dari Jerman yang datang ke Singapura membuat Trunk Show, Nusrat bertambah yakin dengan kemampuannya dan terus berhijrah ke Milan, Itali berbekalkan wang yang dikumpulnya daripada kerjaya peragawati di Singapura. Beliau berlepas dari Singapura dengan hanya sebuah beg pakaian, tiket penerbangan dan dua patah perkataan Itali: 'Buon Giorno'(Selamat pagi) dan 'Grazie'(Terima Kasih).