Operasi dan infrastruktur Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Operasi dan infrastruktur Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mencerminkan rekaan modennya.

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Reka bentuk[sunting | sunting sumber]

Konsep kawasan bangunan terminal KLIA telah direka oleh Kisho Kurokawa, seorang arkitek Jepun. Kawasan ini telah direka bertemakan konsep Airport in the forest, forest in the airport (Lapangan terbang di dalam hutan, hutan di dalam lapangan terbang) di mana ia dikelilingi kawasan hijau. Pelaksanaan konsep ini dibantu oleh Forest Research Institute of Malaysia (FRIM). Sebuah kawasan hutan asli telah diekstrak dan dipindahkan ke dalam satu kawasan kecil di dalam terminal satelit.

Lapangan terbang ini direka untuk menampung sebanyak 100 juta penumpang setahun.[1] Lapangan terbang ini dilengkapi dengan papan tanda dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Jepun dan Arab dan terdapat sejumlah automated people mover dan travelators untuk melancarkan perjalanan penumpang di dalamnya.

Keseluruhan landasan terbang dan bangunan-bangunan meliputi kawasan seluas 100 kilometer persegi. Dengan sebanyak 75 jeti pesawat, lapangan terbang ini mampu menguruskan 120 pesawat dalam masa yang sama. Terdapat 216 kaunter daftar masuk yang diatur dalam enam barisan. Lapangan terbang ini merupakan yang pertama di dunia menggunakan Total Airport Management Systems (TAMS).

Menara kawalan trafik udara[sunting | sunting sumber]

Menara kawalan trafik udara KLIA yang terkenal

Terdapat dua menara kawalan trafik udara di KLIA: satu menara kawalan utama dan satu menara kawalan apron. Menara kawalan utama merupakan menara kawalan trafik udara kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian 130 meter selepas menara kawalan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi. Direka mengikut bentuk obor Olimpik, menara ini mempunyai sistem kawalan trafik udara dan kelengkapan radar.

Menara kawalan apron yang setinggi 55 meter pula bertanggungjawab untuk menyediakan Perkhidmatan Trafik Udara kepada pesawat dan mengawal pergerakan kenderaan di bahagian utara dan selatan Terminal Satelit dan kawasan apron kargo.

Frekuensi-frekuensi Kawalan Trafik Udara KLIA:

  • Lumpur Clearance Delivery - 126.00 MHz
  • Lumpur Ground - 121.65 MHz, 121.80 MHz, 229 MHz
  • Lumpur Tower - 118.50 MHz, 118.80 MHz, 229 MHz
  • Lumpur Approach - 119.45 MHz, 124.20 MHz
  • ATIS - 126.45 MHz

Landasan terbang[sunting | sunting sumber]

KLIA mempunyai dua landasan terbang sepanjang lebih 4,000 meter dengan lebar 60 meter yang selari. Setiap landasan terbang dilengkapi dengan 10 laluan taxi dengan masa taxi pesawat antara 2 minit kepada 11 minit. Kedua-dua landasan ini dapat menguruskan 120 pergerakan pesawat dalam masa sejam dengan satu landasan digunakan untuk pesawat berlepas dan satu lagi digunakan untuk pendaratan. Setiap landasan juga dilengkapi dengan dua laluan taxi penuh yang selari dan Instrument Landing System untuk membantu pesawat mendarat dengan selamat dalam semua keadaan cuaca. Landasan-landasan terbang di KLIA sedang menjalani projek naik taraf untuk menerima pesawat gergasi Airbus A380. Projek pembesaran KLIA di masa hadapan adalah termasuk pembinaan dua landasan terbang tambahan dan satu landasan terbang lebih jika diperlukan.

Sistem Pengurusan Bagasi (BHS)[sunting | sunting sumber]

Tali penghubung bagasi di KLIA

Sistem pengurusan bagasi KLIA merangkumi daftar masuk bagasi di mana-mana 216 kaunter daftar masuk yang berfungsi 24 jam sehari, menggunakan sistem pengasingan kod bar secara automatik, 4 peringkat sistem pemeriksaan keselamatan bagasi in-line dan tali penghubung bagasi berkelajuan tinggi.

  • 8 kaunter daftar masuk di tempat letak kereta sementara.
  • 8 kaunter daftar masuk di stesen bas dan tren.
  • 3 peringkat pemeriksaan keselamatan bagasi.
  • Stor bagasi daftar masuk awal (kapasiti 1,200 beg).
  • 17 tali penghubung untuk menuntut bagasi termasuk LCCT.
  • 33 kilometer jumlah panjang tali penghubung bagasi.
  • Sebahagian tali penghubung yang menghubungkan Bangunan Terminal Utama ke Terminal Satelit adalah sepanjang 1.1 kilometer.

Sistem BHS ini dibina oleh Toyo Kanetsu dan kontrak untuk meluaskan sistem ini daripada terminal satelit ke platform KLIA Ekspres di bangunan terminal utama diberikan kepada Siemens pada tahun 2006. Kes kecurian bagasi yang telah didaftar masuk sering berlaku dan lapan orang pekerja lapangan terbang telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam tahun yang sama.

Bagasi di KLIA diuruskan oleh dua syarikat, Malaysia Airlines dan Kuala Lumpur Airport Services (KLAS). Malaysia Airlines menguruskan bagasi untuk kebanyakan syarikat penerbangan di KLIA dan selebihnya diuruskan oleh KLAS.

IATA telah bersetuju untuk membenarkan penggunaan tag cip pengenalan frekuensi radio (RFID) antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas pelancaran cip RFID terkecil di dunia di Kuala Lumpur. KLIA merupakan lapangan terbang kedua di dunia yang menggunakan RFID.

Ujian bagasi dengan tag RFID sedang dijalankan antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Tag bagasi dikeluarkan pada kaunter daftar masuk Malaysia Airlines dan Cathay Pacific. Pada awalnya, ujian ini terpaksa ditangguh kerana menghadapi masalah untuk mendapatkan mesin pencetak.

Bomba dan keselamatan[sunting | sunting sumber]

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) disediakan untuk menghadapi sebarang kemungkinan kemalangan pesawat. Terdapat dua balai bomba di KLIA:

  • Balai Bomba 1, dibina di atas kawasan seluas 170,000 kaki persegi mempunyai keluasan 11,400 kaki persegi (1,060m2) dan 2 tingkat struktur besi.
  • Balai Bomba 1, dibina di atas kawasan seluas 60,500 kaki persegi mempunyai keluasan 12,900 kaki persegi (1,200m2) dan 2 tingkat sturktur besi.

Kedua-dua balai bomba ini dilengkapi dengan pemadam api dan alat-alat penyelamat. Terdapat 7 Ultra Large Foam Tender, Kenderaan Ziegler 8-(8x8) bernilai RM 3.8 juta setiap satu, 1 Command and control, 1 tangga Turntable, 1 kenderaan First-aid, 2 Water tenders, 1 kenderaan Office-in-charge, dan 1 Rescue tender sedia digunakan dalam setiap balai.

KLIA merupakan lapangan terbang kedua di dunia yang dilengkapi dengan kotak penguraian bahan letupan selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Munich. Penguraian bahan letupan dapat dilakukan dengan selamat menggunakan kotak-kotak ini yang bernilai hampir RM 1.6 juta setiap satu.

Kargo udara[sunting | sunting sumber]

Pusat Kargo Utama KLIA merangkumi kawasan seluas 108 ekar (0.4 km2) dan boleh mengendalikan sebanyak 1 juta tan metrik kargo setahun, dan boleh menampung sehingga 3 juta tan metrik setahun jika diperbesarkan. Pusat ini dibina sebagai hab transshipment bersepadu di dalam Zon Perdagangan Bebas. Dibantu oleh pertumbuhan ekonomi di rantau Asia Tenggara yang pesat, Pusat ini telah mengendalikan 672,888 tan metrik kargo udara pada tahun 2006 dengan kenaikan sebanyak 2.9% berbanding tahun fiskal 2005.

Dengan mengaplikasikan teknologi maklumat, pengguna utama pusat ini, MASkargo telah memperkenalkan pelbagai jenis sistem kecerdasan buatan untuk mengendalikan kargo seperti Sistem Komuniti KLIA (KLIACS) dan e-Invoicing and Payment. MASKargo juga merintis Sistem DagangNET untuk membolehkan para pengguna untuk menjalankan deklarasi perdagangan, memohon permit melalui internet dan membolehkan pihak berwajib untuk mempercepatkan proses tersebut. Kesemua sistem ini akan dihubungkan dengan Total Airport Management System.

Statistik Airport Council International menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan antara lapangan terbang yang tersibuk di dunia dari segi trafik kargo pada tahun 2006.

Hotel haiwan[sunting | sunting sumber]

Hotel haiwan di KLIA diuruskan oleh pengendali kargo Malaysia Airlines, MASKargo. Hotel ini menguruskan semua import, eksport dan stop-over transshipment haiwan dan menyediakan perkhidmatan stay-in haiwan peliharaan untuk para penumpang yang akan berlepas dari KLIA untuk bercuti.

Kawalan dan caj keselamatan[sunting | sunting sumber]

Kawalan keselamatan di KLIA diuruskan oleh Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad (Malaysia Airport Berhad Auxillary Police). Polis-polis ini menerima latihan di Pusat Latihan Lapangan Terbang Malaysia (MATC), Pulau Pinang. Sejak tragedi 11 September 2001, sistem sekuriti di lapangan terbang ini telah diperkukuhkan dengan pemeriksaan yang lebih ketat, menggunakan mesin x-ray yang lebih canggih dan sistem pemantauan yang lebih efisyen. Polis bantuan di KLIA memakai seragam biru dan insignia yang sama seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), di mana hal ini merupakan satu perkara yang biasa di Malaysia. Satu kelainan polis bantuan ini berbanding PDRM ialah mereka memakai lencana bahu yang mempunyai logo Malaysia Airports Berhad dan mempunyai tulisan Polis Bantuan di bawahnya. Caj keselamatan dikenakan kepada para penumpang untuk menampung kos perkhidmatan polis ini.

Selaras dengan pengukuhan sistem keselamatan di lapangan terbang di negara United Kingdom (UK) dan United States (US), sistem pemeriksaan sekuriti di KLIA juga telah diperketatkan kepada para penumpang, beg kabin mereka dan juga beg daftar masuk bagi penerbangan pesawat-pesawat yang akan pergi ke UK dan US dari KLIA.

Para penumpang antarabangsa dan domestik yang akan berlepas dari KLIA diwajibkan membayar RM 6 bagi penerbangan antarabangsa dan RM 3 untuk penerbangan domestik oleh pengurus KLIA, Malaysia Airports Holdings Berhad. Caj ini dikenakan melalui kos tiket penerbangan.

Penyelenggaraan pesawat[sunting | sunting sumber]

Terdapat 4 kemudahan hangar dengan perkhidmatan selenggara pesawat yang disediakan oleh Malaysia Airlines dan Kuala Lumpur Airport Service (KLAS). Lapangan terbang ini juga mempunyai hangar yang boleh memuatkan pesawat gergasi Airbus A380 di dalamnya. Hangar ini telah disiapkan pada tahun 2007.

Perkhidmatan kaji cuaca[sunting | sunting sumber]

Stesen Kaji Cuaca Aeronotik (AMS) yang terletak berhampiran dengan Landasan 14R-32L memberi maklumat cuaca kepada komuniti penerbangan dan selaras dengan piawaian International Civil Aviation Organisation (ICAO). AMS melakukan pemantauan cuaca secara berterusan dan memberi amaran kepada lapangan terbang apabila mengesan keadaan cuaca yang buruk untuk menjaga keselamatan fasiliti lapangan terbang dan pesawat yang mendarat. Sistem Pemprosesan Data Kaji Cuaca (MDPS) yang dipasang pada AMS berfungsi untuk merekod, memproses, menyimpan dan menganalisis data cuaca apabila diperlukan. MDPS ini terdiri daripada pelbagai jenis komponen pemprosesan kaji cuaca seperti radar, workstation, server, sistem satelit dan briefing terminal.

Rujukan[sunting | sunting sumber]