Osteogenesis peregangan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Osteogenesis peregangan merupakan proses pembedahan untuk membina semula kecacatan rangka serta untuk memanjangkan tulang. Dalam proses ini, tulang akan dipatahkan melalui pembedahan dan kedua-dua hujung tulang dipisah dengan cukup perlahan untuk membolehkan tulang baru bertumbuh pada luang yang wujud. Keunikan dan nilai osteogenesis peregangan terdiri daripada keupayaan untuk mengembangkan isi padu tulang dan tisu lembut di sekitarnya.

Pemanjangan sehingga tujuh sentimeter disarankan bagi setiap tulang. Oleh sebab itu, seorang pesakit boleh mencapai pemanjangan tangan ataupun kaki sehingga 14 sentimeter pada jumlahnya. Walaupun 12 sentimeter untuk setiap tulang pernah dicapai, biasanya ini tidak disarankan kerana ia mengakibatkan tekanan yang kuat kepada badan. Kadar pertumbuhan tulang tergantung kepada faktor-faktor seperti umur, disiplin dan gaya hidup; umpamanya, tulang perokok bertumbuh dengan lebih perlahan daripada orang yang tidak merokok.

Walaupun teknologi peregangan telah banyak dipergunakan dalam bidang ortopedik, kesudahan awal menunjukkan bahawa proses ini juga boleh digunakan untuk membina semula rangka muka.

Pembedahan Ilizarov[sunting | sunting sumber]

Penetap luar Ilizarov

Pembedahan Ilizarov yang dikembangkan pada tahun 1951 oleh Gavriel Ilizarov, seorang ahli ortopedik Rusia, merupakan kaedah osteogenesis peregangan yang paling lama dan paling biasa digunakan. Prosesnya adalah seperti berikut:

  • Tulang-tulang dan saluran-saluran yang hancur dibuang dan meninggalkan luang;
  • Bahagian sihat pada tulang atas dipatahkan menjadi dua bahagian dengan gergaji luar;
  • Kaki kemudian dipasang dengan rangka Ilizarov yang menembusi kulit, otot dan tulang;
  • Skru yang dipasangkan pada tulang tengah dipusingkan satu milimeter setiap hari supaya tisu tulang yang baru bertumbuh di zon pertumbuhan dapat direngangi secara beransur-ansur untuk mengurangkan luang. (Satu milimeter telah didapati sebagai kadar perengangan tulang yang optimum. Pemanjangan yang terlalu cepat akan menyebabkan tisu lembut terbatas dan mengakibatkan bukan sahaja sakit tetapi juga ketidakupayaan mengisi luang; sebaliknya jika terlalu lambat, tisu tulang akan menjadi keras sebelum siap proses pemanjangan.);
  • Selepas luang ditutup, pesakit akan meneruskan pemakaian rangka sehingga tulang baru menjadi keras; biasanya, tempoh menunggu adalah 120 hari sebelum kaki boleh diguna semula.

Pembedahan Ilizarov adalah amat sakit, tidak selesa, mudah diserang jangkitan dan sering menyebabkan parut yang hodoh. Pada suatu ketika, rangka diperbuat daripada cecincin keluli tahan karat yang beratnya sehingga tujuh kilogram, akan tetapi model yang lebih baru diperbuat daripada karbon yang walaupun lebih ringan, sama besar dan kekok untuk dipakai.

Buat beberapa dekad, kaedah Ilazarov merupakan peluang yang terbaik untuk pemulihan tulang hancur serta pelurusan tulang yang bengkok. Kejayaan cemerlang dalam osteogenesis peregangan pada dekad 1990-an telah menghasilkan kaedah alternatif yang kurang sakit dan lebih senang (walaupun lebih mahal).

frames

Perengang kinetik rangka intramedula[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2001, "perengang kinetik rangka intramedula" (ISKD) telah diperkenalkan untuk membolehkan perengangan secara dalaman, dan dengan itu, mengurangkan secara drastik terhadap risiko jangkitan dan parut.

Dengan ISKD, sebatang pin, yang boleh dipanjangkan beransur-ansur melalui putaran lutut ataupun mata kaki, diimplankan ke dalam tulang. Pemanjangan dikawali oleh sensor magnet pegang tangan yang mengesankan putaran magnet dalaman setiap hari.

ISKD memerlukan pergerakan kaki untuk menjalankan perengang dan boleh jadi amat sakit, khususnya selepas pembedahan. Dengan kaedah ini juga, terdapat risiko pemanjangan terlebih tanpa sengaja yang boleh mengakibatkan pembentukan tulang yang salah.

Pembedahan Fitbone™[sunting | sunting sumber]

Sejenis peranti baru yang dikenali sebagai "Fitbone™" menggunakan implan penuh yang bermotor untuk memanjangkan tangan dan kaki memperbaiki beberapa kelemahan kaedah ISKD dan merupakan pilihan yang mendahului zaman setakat ini.

Dikembangkan di negara Jerman oleh Augustin Betz dan Rainer Baumgart, pembedahan yang pertamanya dilaksanakan pada tahun 1996 dan tekniknya dipatenkan pada tahun 1997. Sampai sekarang, kebanyakan daripada pembedahan yang menggunakan kaedah ini dilaksanakan di Munich, Jerman oleh Baumgart dan Peter Thaller. Walau bagaimanapun, sejak 2001, cara pembedahan ini juga dilaksanakan di [[Hospital Tan Tock Seng] oleh Dr Sarbjit Singh], Singapura, serta di [[Hospital Bumrungrad] oleh Dr Sittiporn], Bangkok.Pembedahan Fitbone dilakasanakan di Malaysia untuk pertama kalinya pada Disember 2005 di Mahkota Medical Center, Melaka oleh Thirukumaran Subramaniam dan Jeyaratnam T Satkunasingam.

Fitbone terdiri daripada paku implan teleskop yang boleh dipanjangkan melalui motor elektrik dan dikawali oleh alat penerima yang mempunyai antena radio dan yang dibenamkan di bawah kulit; alat penerima pula dikawali oleh pemancar frekuensi radio pegang tangan. Kaedah untuk memanjangkan bahagian kaki bawah adalah seperti berikut:

  • Insisi sepanjang dua sentimeter dibuat pada lutut pesakit, dan bingkai ("rimmer") digunakan untuk mewujudkan ruang yang mencukupi pada tulang untuk paku keluli tahan karat.
  • Tulang dipatah kira-kira 14 sentimeter di bawah lutut dengan gergaji dalaman.
  • Paku keluli tahan karat diregangi dengan dua skru. Bahagian atas paku itu dipasangi pada penerima radio yang terletak di bawah kulit.
  • Pesakit mengawal proses pemanjangan. Dengan menekankan butang pada pemancar sewaktu ia diletakkan pada antena, motor yang terbina dalam akan memanjangkan paku semilimeter setiap hari. Apabila kaki mencapai panjang yang dikehendaki, pemanjangan akan ditamatkan dan tulang dibiarkan untuk menjadi keras.
  • Peranti boleh dikeluarkan kira-kira dua tahun selepas pembedahan. Prosedur tanpa parut ini amat mahal. Sedangkan harganya penetap luar Ilizarov USD$4,000 dan implan ISKD kira-kira USD$8,500, harganya peranti Fitbone™ adalah US$12,000 (tidak termasuk kos pembedahan).

frames

Penjagaan selepas pembedahan[sunting | sunting sumber]

Selepas pembedahan permulaan, pesakit mesti menjalani rejim fisioterapi yang terdiri daripada senaman perengangan dan kekadangnya, perlu juga menggunakan peranti "gerakan pasif berterusan". Tujuannya adalah untuk mengelakkan kekejangan serta untuk merangsangkan otot, saraf dan salur darah supaya bertumbuh bersama-sama dengan tulang. Pesakit seringnya diberikan analgesia untuk menahan sakit dan tidak berupaya bekerja sewaktu menjalani pemulihan.

Kegunaan osteogenesis peregangan[sunting | sunting sumber]

Walaupun osteogenesis peregangan lebih digunakan untuk rawatan lepas kecederaan traumatik, ia semakin digunakan untuk membetulkan percanggahan yang disebabkan oleh keadaan kongenital dan kecederaan lama. Senarai kegunaan osteogenesis peregangan adalah seperti berikut:

  • Kecacatan kongenital (kecacatan lahir):
  • Kecacatan perkembangan:
  • Lepas kecederaan traumatik:
    • fraktur plat pertumbuhan;
    • malsambungan ataupun nyahsambungan (apabila tulang tidak bersambung dengan sempurna, ataupun dalam keadaan yang tidak betul selepas fraktur);
    • pemendekan dan kecacatan; dan
    • kecacatan tulang.
  • Jangkitan dan penyakit:
    • osteomielitis (sejenis jangkitan tulang yang biasanya disebabkan oleh bakteria;
    • artrisis sepsis (sejenis penyakit virus yang boleh menyebabkan atrofi otot dan mengakibatkan kecacatan kekal.
  • Selepas tumor.
  • Tidak cukup tinggi:
    • akondroplasia (sejenis kekerdilan yang mana tangan dan kaki terlalu pendek, walaupun saiz torso adalah lebih normal; dan
    • kependekan konstitusi.

Pemanjangan kosmetik tangan dan kaki[sunting | sunting sumber]

Pada umumnya, doktor-doktor tidak menggalakkan pemanjangan kosmetik bagi orang yang ingin bertambah beberapa inci kepada rangkanya kerana:

  • mematahkan tangan dan kaki yang sihat;
  • menyebabkan mereka terpaksa menggunakan topang ketiak dan kerusi roda melebihi setahun dengan sia-sia;
  • menyebabkan sakit dan ketidakselesaan kepada diri sendiri secara suka rela;
  • mendedahkan diri kepada risiko jangkitan yang sia-sia, serta kecederaan kepada saraf dan salur darah; dan
  • menanggung perbelanjaan yang sia-sia kerana prosedur ini bukannya murah.

Walau bagaimanapun, orang yang mendesak agar membuat prosedur ini diperlu menjalani taksiran imej tubuh badan oleh ahli psikologi untuk membantu menentukan sejauh mana kualiti hidupnya telah dijejaskan oleh persepsi kekurangan tinggi serta menentukan juga pelaksanaan pembedahan akan menyebabkan perbezaan yang besar atau tidak. Taksiran yang seluruh melibatkan perbincangan-perbincangan yang terperinci di antara doktor dan pesakit dan menelan masa beberapa bulan. Dalam tempoh ini, doktor-doktor mengharapkan bahawa pesakit akan menukar fikiran.

Dengan kemunculan peranti pemanjangan tangan dan kaki dalaman seperti Fitbone™, dan penekanan masyarakat moden kepada rupa yang cantik, doktor-doktor menyedari bahawa permintaan untuk pemanjangan kosmetik cuma boleh naik.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • New Sunday Times, Malaysia. 9 Oktober 2005.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]