Otaku

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Daerah Akihabara Tokyo adalah tapak perhimpunan terkenal untuk komuniti otaku

Otaku (Jepun: 御宅/オタク) [o-ta-ku] ialah satu istilah bahasa Jepun yang digunakan untuk menghuraikan seseorang yang sangat meminati manga, anime dan permainan video.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Otaku berasal daripada sepatah kata hormat bahasa Jepun bagi rumah atau keluarga orang lain (お宅 atau 御宅 otaku) yang juga dipakai sebagai kata ganti nama kedua yang bernada kehormatan (seperti tuan atau puan dalam bahasa Melayu). Bentuk slanga moden yang dibezakan daripada penggunaan lamanya dengan ditulis secara hiragana (おたく) atau katakana (オタク), ataupun rōmaji (tetapi jarang sekali), muncul pada 1980-an. Istilah ini mungkin diperkenalkan oleh pengarang humor Akio Nakamori dalam siri Siasatan "Otaku" (Jepun: 『おたく』の研究, Hepburn: "Otaku" no Kenkyū) (1983), yang dicetak dalam majalah lolicon Manga Burikko,[1] yang mendapati bahawa bentuk ucapan ini selalu dipakai di kalangan orang skema. Nampaknya ini merupakan suatu rujukan kepada seseorang yang berkomunikasi dengan teman-teman setaranya dengan memakai kata ganti nama yang amat formal, dan banyak menghabiskan masa mereka di rumah.[1]

Istilah ini mula terkenal di Jepun sekitar tahun 1989, kemungkinan ia dipopularkan oleh karya Nakamori pada tahun itu yang berjudul Generasi M - Kita dan Encik Miyazaki (Jepun: Mの世代-ぼくらとミヤザキ君, Hepburn: M no Sedai - Bokura to Miyazaki-kun), yang mengaplikasikan istilah ini pada seorang pembunuh bersiri yang baru ditahan ketika itu, Tsutomu Miyazaki, yang didapati seorang pertapa yang ketagih dengan bahan lucah (hentai) sehingga sanggup merogol gadis muda, lalu terkaitnya pantang larang yang besar pada istilah yang dahulu tidaklah sebegitu bahaya seperti ini.

Istilah ini dipopularkan di luar Jepun, terutamanya negara-negara berbahasa Inggeris melalui novel 1996 karya William Gibson berjudul Idoru, yang mengandungi sebilangan rujukan kepada otaku. Secara terperincinya, istilah ini didefinisikan sebagai pathological-techno-fetishist-with-social-deficit (pemuja teknologi berpenyakit kurang bersosial). Dalam edisi April 2001 majalah The Observer, William Gibson menjelaskan pandangan beliau mengenai istilah ini:

The otaku, the passionate obsessive, the information age's embodiment of the connoisseur, more concerned with the accumulation of data than of objects, seems a natural crossover figure in today's interface of British and Japanese cultures. I see it in the eyes of the Portobello dealers, and in the eyes of the Japanese collectors: a perfectly calm train-spotter frenzy, murderous and sublime. Understanding otaku-hood, I think, is one of the keys to understanding the culture of the web. There is something profoundly post-national about it, extra-geographic. We are all curators, in the post-modern world, whether we want to be or not.[2]



Terjemahan: Otaku, si taksub yang penuh berahi, jelmaan si pakar pada zaman informasi yang lebih berminat untuk menimbun data berbanding objek, seolah-olah lambang pertembungan semula jadi dalam antara budaya Jepun dan British. Saya boleh melihatnya dalam mata peniaga (Pasar Jalan) Portobello dan juga mata peniaga Jepun: kegilaan kumpul-mengumpul yang tenang, membunuh dan mengagumkan. Memahami masyarakat otaku, pada pendapat saya, ialah salah satu kunci untuk memahami budaya di web. Terdapat sesuatu yang jelasnya berbentuk antarabangsa mengenainya. Kita merupakan kurator dalam dunia pasca-moden ini, tidak kira suka atau tidak.

Satu lagi asal-usul yang berkemungkinan bagi istilah ini berasal daripada isu bulan Mei 2006 majalah EX Taishuu yang mengakui bahawa penggunaan istilah ini dicetuskan di kalangan peminat siri TV 1982–1983 Super Dimension Fortress Macross, kerana watak utama rancangan tersebut mempunyai tabiat menggelar orang lain sebagai "otaku" lalu ditiru para peminatnya.

Satu lagi sumber istilah ini datang daripada hasil karya pengarang sains fiksyen Motoko Arai. Dalam buku Wrong About Japan, Peter Carey menemu bual pengarang novel, pelukis dan periwayat Gundam Yuka Minakawa yang menjelaskan bahawa Arai menggunakan perkataan itu dalam novel-novelnya sebagai kata ganti nama kedua, lalu istilah ini diambil oleh pembacanya untuk kegunaan sendiri.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b オタク市場の研究(Otaku Shijou no Kenkyuu), 野村總合研究所(Nomura Research Institude), ISBN 978-986-124-768-7
  2. ^ Modern boys and mobile girls, 2001-04-01

Pautan luar[sunting | sunting sumber]