Pacu melalui wayar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Badan pendikit enjin yang menggunakan sistem pacu melalui wayar.

Teknologi pacu melalui wayar di dalam industri automotif menggantikan sistem kawalan mekanikal tradisional dengan sistem kawalan elektronik menggunakan penggerak elektromekanikal serta antara muka manusia-mesin seperti emulator perasa injak dan stereng. Dengan itu, komponen-komponen tradisional seperti lajur stereng, aci perantara, pam, hos, kabel, tali sawat, penyejuk serta servo hampagas dan silinder utama sudah tidak diperlukan lagi. Antara jenis aplikasi teknologi tersebut termasuklah kawalan pendikit elektronik dan brek melalui wayar.

Kelebihan[sunting | sunting sumber]

Tahap keselamatan kenderaan boleh dipertingkatkan melalui campur tangan kawalan komputer dengan sistem seperti Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC), pengawal luncur berpenyuai serta Sistem Bantuan Lorong.

Ergonomik kenderaan juga boleh dipertingkatkan melalui jumlah daya dan banjaran pergerakan yang diperlukan oleh pemandu serta keanjalan lebih baik mengenai lokasi alat kawalan. Keanjalan ini juga secara langsung mengembangkan bilangan pilihan bagi reka bentuk kenderaan.

Perkir menjadi lebih mudah hasil gerakan stereng yang berkurangan seperti pada Sistem Stereng Aktif BMW, atau sistem separa automatik seperti pada kereta Ford/Lincoln di AS, Toyota Prius di Jepun, Lexus LS460 dan model-model Volkswagen terbaharu. Walaupun tiada satu pun di antara sistem-sistem berikut merupakan sistem stereng melalui wayar kerana mengekalkan pautan mekanikal, sistem-sistem tersebut menunjukkan keupayaan boleh dilakukan.

Kelemahan[sunting | sunting sumber]

Kos bagi sistem pacu melalui wayar adalah lebih mahal daripada sistem konvensional. Kos tambahan ini terhasil kerana ia lebih rumit, kos pembangunannya lebih mahal, serta memerlukan unsur-unsur bertindan untuk menjadikan sistem tersebut gagal selamat. Secara teorinya, kegagalan sistem kawalan boleh mengakibatkan kenderaan hilang kawalan, walaupun ia sebenarnya sama seperti spring pendikit mekanikal putus. Kelemahan kedua ialah pengeluar lazimnya menjadikan sistem pacu melalui wayar kurang sensitif semasa banjaran bukaan pendikit kecil bagi membolehkan kenderaan lebih mudah dikawal dengan selamat - atau untuk melindungi sistem rangkaian kuasa (kotak gear, klac dsb.) daripada dilenjan oleh pemandu.

Masa hadapan[sunting | sunting sumber]

Beberapa teori dan aplikasi sistem kawalan kenderaan masa hadapan boleh dizahirkan melalui teknologi pacu melalui wayar. Adalah dicadangkan bahawa sistem pacu melalui wayar membolehkan kereta diasingkan sepenuhnya daripada pengawalnya, bermakna sebuah kereta masa hadapan mungkin akan dikawal melalui beberapa sistem kawalan: suis tekan, kayu ria, stereng, malah perintah suara — apa sahaja peranti yang difikirkan oleh para pereka.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]