Papadom

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Papadom
Papadom.png
Poster promosi Papadom.
Pengarah Afdlin Shauki
Penerbit Gayatri Su-Lin Pillai
Pengarang Afdlin Shauki
Lakonan Afdlin Shauki
Liyana Jasmay
Noorkhiriah
Muzik Pacai
Pengedar Tayangan Unggul Sdn Bhd
Negara  Malaysia
Bahasa Bahasa Malaysia

Papadom ialah sebuah filem arahan Afdlin Shauki yang ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 8 Oktober 2009. Filem yang dibintangi Afdlin dan Liyana Jasmay ini meraih lima anugerah Festival Filem Malaysia ke-22 termasuk Filem Terbaik, walaupun belum ditayangkan kepada umum ketika temasya berlangsung pada 5-8 Ogos.

Plot[sunting | sunting sumber]

Di Pulau Pinang terdapat sepasang penggerai tidak berada yang bernama Saadom (Afdlin Shauki) dan Munirah (Noorkhiriah). Mereka menjual nasi kandar dan papadum di tepi jalan. Tibalah harinya, apabila Munirah dikejarkan ke hospital dan berjaya melahirkan cahaya mata bernama Miasara. Semenjak itu, Saadom berazam untuk menambah rezeki untuk menampung ahli baru keluarganya. Oleh itu, dia bersama dua orang rakannya Ali (Adham Malekh) dan Alan (Pete Teo) bersepakat untuk mengembangkan perniagaan Saadom dari gerai menjadi kedai makan 24 jam yang banyak cawangan, ditambah pula kilang pemprosesan papadum. Alang-alang mengejar kekayaan, Saadom seolah-olah kurang memberi perhatian kepada isteri dan anaknya. Salalunya dia terlupa untuk menyambut hari jadi Miasara, sebaliknya hanya mampu menawarkan hati anaknya dengan papadum selepas parti tamat.

Ketika Miasara berusia 10 tahun, pada satu hari Munirah menengking Saadom melalui telefon sewaktu mengangkut Miasara dalam kereta, sehingga tidak memberi perhatian kepada pemanduan lalu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Munirah yang begitu parah cederanya dirawat di hospital lagi, malang sekali hayatnya sampai situ sahaja, namun Saadom sempat mendengar pesanan terakhir dari isterinya agar Miasara dijaga dengan baik.

Tahun demi tahun berlalu, Miasara (Liyana Jasmay) sudah mencapai usia remaja. Selama ini, ke mana Miasara pergi, Saadom sentiasa mengekorinya, lambat-laun menimbulkan rasa malu Miasara yang semakin matang. Pada satu hari seperti biasa, Saadom mengekori Miasara ke sekolah tetapi kali ini disambut dengan Cikgu Midon yang patah lengan kirinya dan tabik dengan rasa segan. Seperti biasa, Saadom juga menyapa kawan-kawan Miasara untuk berkongsi makanan tetapi kali ini mereka hendak "berdiet". Kali ini, datangnya pengetua sekolah untuk menghalau Saadom buat selamanya. Rupa-rupanya Saadom telah mengganggu sesi latihan silat yang diajar oleh Cikgu Midon yang dihadiri Miasara tempoh hari; Saadom menyangka guru itu menyeksa anaknya lalu hendak membalas dendam. Sebaliknya, peristiwa itu memalukan lagi Miasara.

Sejak itu, Miasara selalu terasa terganggu apabila melihat kelibat bapanya mengekorinya ke sini sana. Kerana terlihat wajah bapa sendiri, Miasara gagal dalam ujian memandu, nasib baik Saadom merayu agar guru memandu memberi satu peluang lagi. Dalam kehampaan, Miasara tiba-tiba melonjak keriakan setelah kawannya Yvonne (Chelsia Ng) memberitahunya dia ada 20 gred A dari SPM. Miasara menyambut kecemerlangannya dengan berparti di rumah Yvonne, walaupun dijejaki Saadom lagi. Kali ini, Saadom menengking seorang hadirin lelaki yang menyapa Miasara "tanpa bersopan santun", akibatnya Miasara lari keluar dari parti dengan sebak tak terkawal di tengah hujan lebat.

Dalam pencarian Miasara di tengah cuaca buruk, Saadom terasa amat kesal dengan dirinya sehingga dia terbayangkan Munirah yang mengawasi segala pergerakan mereka berdua (dalam bentuk "hantu" yang hanya boleh dilihat oleh Saadom sendiri). Akhirnya Saadom berjaya menjumpai Miasara di perhentian bas. Sejak itu, Saadom mula menuruti apa yang disuarakan oleh bayangan Munirah dalam nuraninya. Tiba masanya keputusan yang penting bagi Miasara iaitu memilih institusi pengajian tinggi. Walaupun dinasihati oleh bapanya agar memilih kolej yang berdekatan, Miasara tekad untuk melanjutkan pelajaran di Lembah Klang.

Pada tahun berikutnya, Miasara dihantar oleh Saadom ke perkarangan asrama UiTM, Shah Alam untuk memulakan pengajiannya dalam kursus perfileman, dengan harapan agar bapanya berpegang pada janji agar tidak mengekorinya ke sana sini lagi. Yvonne juga sama kampus dengan Miasara. Mereka berdua ditunjukkan bilik mereka oleh senior mereka, Shasha (Scha) sambil dimaklumkan bahawa wujudnya seorang jejaka menawan yang mengaji di kampus itu, iaitu Hisham Hashim (Farid Kamil), yang mana Shasha ialah ketua kelab peminatnya. Shasha menegah Miasara dan Yvonne dari cuba bercinta dengan Hisham, tidak dilupakan juga menggesa mereka agar menyertai pasukan soraknya. Pada saat dia wajib membebaskan Miasara, Saadom masih tidak berupaya melakukan demikian, maka dia mengambil kerja sebagai tukang kebun di perkarangan kampus (dengan pondok sebagai tempat rehatnya yang dijadikan "markas rahsia") agar tidak melepaskan Miasara dari pandangan tanpa disedari.

Di kelas pertama kursus perfileman, para pelajar diminta menyuarakan pendapat masing-masing mengenai seni perfileman. Miasara mengenali si lurus bendul bernama Mat (Que Haidar), atau nama penanya Wajib Tayang, yang menarik perhatian kelas dengan hujah-hujah yang berani tetapi mengelirukan. Giliran Miasara pula, dan luahannya disambut tepukan tangan dari dalam dan luar kelas, oleh Saadom sendiri. Guru kelas perfileman iaitu Cikgu Balqis (Vanidah Imran) menyedari kehadiran Saadom lalu menunjukkan minat terhadap penyamar tukang kebun itu. Selepas kelas, Miasara dan Yvonne tengah mengenali Mat dengan lebih lanjut apabila munculnya jejaka bernama Hisham Hashim yang selalu gadis di mana sahaja dia berada. Hisham yang juga mengikuti kursus perfileman menjemput Miasara dan Yvonne ke lokasi penggambaran filem seram "Puaka Padang Ragbi" di padang ragbi. Sebagai persediaan, Saadom sengaja bertembung dengan Mat untuk mendapatkan maklumat mengenai Miasara.

Tibanya hari penggambaran filem Hisham itu, di mana kehadiran Miasara dan Yvonne di set penggambaran dan bermesra bersama Hisham menyakitkan hati Shasha yang tiba bersama pasukan soraknya. Ejekan oleh Shasha dan pasukan soraknya terhadap kedua-dua "freshie" yang pernah ditegurnya agar menjauhi Hisham itu menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak yang turut disaksikan oleh Saadom. Sungguhpun terjadinya pergaduhan berikut, namun kemesraan antara Miasara dan Hisham yang baru berputik tidak tergugat pun. Sebaliknya, makin hari mereka makin rapat dan inilah yang membimbangkan Saadom kerana Hisham seolah-olah ada nafsu berahi. Pada satu petang, Saadom mengekori Miasara dan Hisham ke pawagam lalu membuat kacau dengan melaung kebakaran palsu sehingga menakutkan semua penonton. Sekembali di asmara, Saadom memerhati Hisham bagaikan hendak berintim dengan Miasara sehingga menggoncang kereta Hisham dan menyamar sebagai hantu semata-mata untuk mengelakkan perbuatan yang tidak diingini antara mereka.

Lama-kelamaan, Yvonne merasa tersisih oleh Miasara yang asyik tertarik oleh Hisham, sekaligus memberi peluang kepada Shasha untuk merampas Yvonne dari Miasara sebagai balasan kepada Miasara yang nampaknya telah merampas Hisham darinya. Sementara itu, Saadom meminta bantuan Mat untuk memisahkan Miasara dan Hisham, lantas menjadikan Mat sebagai teman Miasara. Saadom memesan Mat agar bersiap dengan benda-benda yang digemari oleh Miasara sejak kecil iaitu papadum dan anak patung. Pada satu tengah hari, Saadom dan Mat menyorok dalam daun pokok di hadapan asmara, di mana mereka menyaksikan Miasara dihantar balik oleh Hisham, lalu menyedari Yvonne sedang berpindah ke tempat Shasha sebagai kesan keruntuhan persahabatan lama antara mereka gara-gara Hisham. Ketika Shasha dan geng menjemput Yvonne, tiba-tiba Saadom terjatuh dengan bisingnya sehingga dapat didengar di asmara.

Shasha mengekori Saadom ke pondoknya, lantas menyedari selama ini Saadom telah mengintai Miasara ke sana sini bagaikan kaki perempuan. Oleh yang demikian, selepas meninggalkan satu amaran kepada Saadom, Shasha mendapat ikhtiar baru untuk menjatuhkan air muka Miasara. Saadom meneruskan misi demi anaknya itu, kali ini menyamar sebagai pemeriksa kesihatan kerajaan yang beralaskan pakaian pejabat ihsan Alan dan Ali yang sebenarnya tidak bersetuju bahawa Saadom terus mengawasi anaknya sedemikian lagi. Dengan samaran baru itu, Saadom pergi ke kampus untuk berjumpa dengan Hisham untuk memberitahunya bahawa Miasara mengalami penyakit kusta, sementara Mat mendekati Miasara di bilik rakaman bunyi dengan cuba menarik hati Miasara mengikut pesanan Saadom, tetapi gagal pula setelah Miasara diminta keluar. Di luar, Miasara menjumpai Hisham di tangga, tetapi Hisham mencabut dengan begitu cepatnya.

Tibanya hari pencalonan Hisham dalam Festival Filem Malaysia dikhabarkan dalam berita, disambut baik oleh seluruh kampus. Miasara menemui Hisham sekali lagi di Galeri PTAR, kali ini untuk mendengari perdaya penyakit Miasara yang dikhabarkan kepada Hisham tempoh hari. Miasara membetulkan Hisham bahawa itu perbuatan keji Shasha, lantas menggagalkan peluang Shasha untuk merampas kembali Hisham.

Apa yang dirancangkan Shasha seterusnya adalah menyatukan semula Miasara dan Saadom tanpa disedari terdahulu oleh mereka berdua di malam buta, sewaktu jamuan meraikan pencalonan Hisham. Ini dilakukan dengan bantuan Saadom, menghantar kad jemputan kepada mereka beranak dengan nama Shasha dan Yvonne sebagai penghantar kad masing-masing kepada si bapa dan anak. Di jamuan pada waktu malam, Shasha menggah-gahkan penyatuan Miasara dan "tukang kebun" kepada teman-temannya termasuk Yvonne. Rancangan jahat Shasha akhirnya berhasil apabila Miasara ditepuk, berpaling ke belakang lantas mengecam muka bapanya dalam gelap lalu pengsan.

Saadom cemas berlari dengan anaknya yang tidak sedar dalam pangkuannya ke pondok untuk menenangkan hati Miasara. Shasha mengambil kesempatan dengan merakam perbuatan Saadom bersama-sama kawan-kawan lain termasuk Hisham, Mat dan guru-guru. Dalam pondok, sekali lagi Miasara merayu kepada bapanya agar melepaskannya dan hidup berbahagia tanpa hari-hari terpaksa gelisah akan gerak-geri anak sendiri. Hisham membawa beberapa orang kawan yang sebengis samseng untuk menyerbu pondok dan menyeksa Saadom sebelum pergi begitu sahaja tanpa mendengar penjelasan Miasara, diikuti oleh kemasukan Cikgu Balqis untuk membawa Saadom ke muka pengadilan sebelum sempat mendengar penjelasan Miasara mengenai hubungannya dengan Saadom (yang sebelum ini diberitahu oleh Shasha bahawa Saadom itu kaki perempuan yang mengintai Miasara), bersandarkan bukti rakaman dalam telefon bimbit kamera Yvonne.

Cikgu Balqis berjaya membebaskan Saadom dari tahanan polis, tetapi dengan berita buruk bahawa Miasara mungkin akan dibuang dari kursus disebabkan perbuatan Saadom sendiri. Oleh yang demikian, Saadom dijemput oleh Cikgu Balqis ke kampus untuk melihat karya filem anaknya yang menceritakan perihal dirinya selaku bapa tersayang Miasara. Dengan rasa terharunya Saadom menonton hasil kerja anaknya sendiri sambil teringatkan masa lampau sejak kelahiran Miasara hingga ke hari ini, akhirnya dirinya merasa bagaikan sudah berjaya sebagai seorang bapa. Cikgu Balqis berjaya merayu kepada dekan perfileman agar Miasara kekal mengaji di kursus perfileman.

Di penghujung filem, Miasara sekelas berkhemah di hutan. Melalui perbualan telefon, Saadom mampu memesan anaknya agar sentiasa membaca Surah Yaasin ketika berjauhan dari orang tua, padahal Saadom sebenarnya dekat sekali dengan Miasara di tengah hutan sambil memburu beruang buas.

Jalan cerita tamat di sini.

Watak[sunting | sunting sumber]

Watak utama[sunting | sunting sumber]

Saadom (Afdlin Shauki)

Seorang peniaga nasi kandar dan papadum yang berasal dari Pulau Pinang dan juga bapa yang terlalu melindungi anaknya, Miasara setelah kehilangan isteri dalam kemalangan. Oleh itu, dia sanggup pergi sejauh mana yang mampu agar memastikan anaknya sentiasa selamat, biarpun menimbulkan situasi yang hanya menjatuhkan muka Miasara. Di kampus yang dimasuki oleh Miasara, Saadom menyamar sebagai tukang kebun dan mencari peluang untuk memerhati gerak-geri anaknya, sehingga disalah sangka sebagai kaki perempuan.

Miasara (Liyana Jasmay)

Anak tunggal kepada Saadom yang memburu kebebasan dari perlindungan bapanya yang berlebihan. Dia sangka dirinya sudah melepaskan diri setelah memasuki universiti, tanpa menyedari dirinya masih dalam pengawasan bapanya secara senyap-senyap. Kehidupan sebagai siswa universiti yang berasrama tidak begitu lancar, apabila terpaksa berdepan dengan masalah mengimbangi persahabatan dan cinta yang nyata menimbulkan kedengkian kawan-kawan sendiri.

Munirah (Noorkhiriah)

Isteri kepada Saadom dan ibu kepada Miasara yang terkorban susulan kemalangan jalan raya sewaktu Miasara kecil dulu. Beberapa tahun kemudian, beliau kembali dalam bentuk bayangan nurani Saadom yang terlalu melindungi anak mereka. Sepanjang masa mengawasi Miasara di kampus, Saadom banyak bersandar pada bantuan bayangan Munirah.

Balqis (Vanidah Imran)

Pensyarah yang mengelola kelas perfileman yang dihadiri oleh Miasara. Balqis menunjukkan minat kepada Saadom yang memerhati kelasnya dari luar tingkap padahal Saadom sebenarnya sedang memerhati anaknya.

Watak pembantu[sunting | sunting sumber]

Hisham Hashim (Farid Kamil)

Siswa tampan yang menjadi kegilaan ramai siswi di universiti, juga menceburi bidang perfileman. Miasara menjalinkan hubungan cukup mesra dengan Hisham sehingga menimbulkan kecurigaan Saadom, di samping menyebabkan Shasha menjadi dengki.

Shasha (Scha)

Watak jahat utama filem ini. Pada mulanya, dialah kelab peminat Hisham Hashim yang juga memiliki pasukan sorak sendirinya. Shasha paling tidak suka Miasara mendekati Hisham, maka dia membalas dendam dengan memperalatkan Yvonne dan Saadom untuk menjatuhkan muka Miasara.

Yvonne (Chelsia Ng)

Kawan karib Miasara sejak bangku sekolah, mula-mulanya berkongsi asrama dengan Miasara. Tetapi setelah berasa tersisih oleh hubungan Miasara dengan Hisham, dia dihasut oleh Shasha agar menyertai gengnya untuk mengajar Miasara, tetapi lama-kelamaan menyedari rancangan jahat Shasha untuk menjatuhkan muka Miasara.

Mat (Que Haidar)

Pelajar di kelas yang sama dengan Miasara, penuh wawasan sebagai pengkarya filem muda tetapi tidak pandai meluahkan perasaan. Dia menjadi alat terpenting misi Saadom untuk memastikan kesejahteraan Miasara ketika 'berjauhan' dari bapanya.

Hussin (Harun Salim Bachik)

Majikan kepada Saadom yang bertugas sebagai tukang kebun di halaman universiti.

Ali (Adham Malekh)

Sahabat niaga Saadom.

Alan Lim (Pete Teo)

Sahabat niaga Saadom.

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Kutipan pawagam[sunting | sunting sumber]

Pada empat hari terawal tayangannya, filem Papadom dilaporkan berjaya meraih kutipan mencecah RM 1 juta[1][2], sekaligus terletak di tangga kedua carta kutipan pawagam mengekori filem Surrogates pada hujung minggu tersebut.[3] Selepas lebih tiga minggu ditayangkan, dilaporkan bahawa filem ini berjaya mengutip RM 3.3 juta, sekaligus melitupi kos penerbitan berganda dua.[4] Setelah mengakhiri tayangannya di pawagam, dilaporkan kutipan keseluruhan filem ini adalah pada RM 3.5 juta.[5]

Ulasan[sunting | sunting sumber]

Lai Swee Wei bagi pihak Cinema Online mengulas, "Filem ini memberi satu kisah yang unik dan mempunyai maksud tersembunyi. Pada mulanya, kasih Mia kepada papadom ayahnya itu ditunjukkan, memberikan satu kisah yang tersendiri pada akhir filem. Moral filem ini juga jelas dan mudah difahami kerana ia menunjukkan kesedaran betapa penting keluarga dalam hidup seseorang", lantas memberikan markah 3.5 bintang kepada filem Papadom.[6]

Setelah selesai tempoh tayangannya di pawagam, kutipan keseluruhan filem Papadom dilaporkan berjumlah RM 3.5 juta.[7]

Versi Tamil[sunting | sunting sumber]

Pada November 2009, ketika di acara tayangan perdana My Spy, Afdlin Shauki mengumumkan bahawa filem Papadom akan diterbitkan semula dalam versi Tamil untuk pasaran kaum India,[7] lebih-lebih lagi proses penterjemahan lakon layar dijalankan pada masa itu.[8] Versi Tamil ini diberi tajuk Appalam, dan dibintangi oleh Gana Pragasam sebagai Appalasamy (padanan Saadom) dan wajah baru Raja Ilya sebagai Shruti (padanan Miasara, anak perempuan kepada Appalasamy), namun masih mengekalkan khidmat pengarah filem asalnya iaitu Afdlin Shauki untuk versi ini.[9] Afdlin menjelaskan perbezaan versi Tamil dengan filem asalnya, "Perbezaan utama Appalam dan Papadom adalah hubungan anak perempuan dengan ayahnya yang lebih beremosi. Tambahan pula, hubungan ayah dan anak yang ditonjolkan dalam keluarga India berbeza dengan keluarga Cina dan Melayu." Penggambaran Appalam dijalankan pada awal tahun 2010.[9] Tambahnya lagi, watak Shruti berbeza dengan Miasara kerana mengejar cita-cita sebagai penari, dan bukan bergiat dalam industri perfileman.[10]

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Anugerah Kategori Penerima Menang/Pencalonan
Festival Filem Malaysia ke-22 Penataan Seni Terbaik Nazrul Asraff Pencalonan
Skor Muzik Asal Terbaik Pacai Menang
Cerita Asal Terbaik Afdlin Shauki Menang
Lakon Layar Terbaik Afdlin Shauki Pencalonan
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Noorkhiriah Pencalonan
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Que Haidar Pencalonan
Pelakon Wanita Terbaik Liyana Jasmay Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Afdlin Shauki Menang
Pengarah Filem Terbaik Afdlin Shauki Pencalonan
Filem Terbaik Kesuluruhan Filem Menang
Anugerah Skrin 2010 Filem Terbaik Keseluruhan Filem Pencalonan
Pengarah Filem Terbaik Afdlin Shauki Pencalonan
Pelakon Wanita Terbaik Liyana Jasmay Pencalonan
Pelakon Lelaki Terbaik Afdlin Shauki Pencalonan
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Noorkhiriah Pencalonan
Lakon Layar Terbaik Afdlin Shauki Pencalonan
Festival Filem Asia Osaka, Osaka Filem Terbaik Pilihan Penonton Keseluruhan Tempat Ketiga

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Kutipan ‘Papadom’ Cecah RM1 juta", gua.com.my, 13 Oktober 2009. Dicapai pada 16 Oktober 2009. 
  2. Nurulhisham Abdul Latiff. "Papadom kutip RM1j dalam empat hari", Berita Harian, 14 Oktober 2009. Dicapai pada 16 Oktober 2009. 
  3. "Papadom bags RM1million", Cinema Online, 12 Oktober 2009. Dicapai pada 16 Oktober 2009. 
  4. "Dengarnya...: Filem Papadom kutip lebih RM3.3 juta", Berita Harian, 4 November 2009. Dicapai pada 8 November 2009. 
  5. Lai Swee Wei. "Papadom remake & sequel", Cinema.com.my, 23 November 2009. Dicapai pada 25 November 2009. 
  6. Lai Swee Wei. "Papadom", Cinema Online, 12 Ogos 2009. Dicapai pada 8 November 2009. 
  7. 7.0 7.1 Lai Swee Wei. "Papadom", Tupai.com.my. Dicapai pada 8 November 2009. 
  8. "Versi Baru & Sekuel PAPADOM", Tupai.com.my, 29 Nov 2009. Dicapai pada 5 Mac 2010. 
  9. 9.0 9.1 "APPALAM dijangka lebih beremosi!", Tupai.com.my, 3 Mac 2010. Dicapai pada 5 Mac 2010. 
  10. Thani Hasbullah. "Sharifah Amani Hampir Diperkosa?", Murai.com.my, 3 Mac 2010. Dicapai pada 5 Mac 2010. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]