Pasir Salak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pasir Salak merupakan sebuah mukim dan kawasan bersejarah yang terletak di tepi Sungai Perak, Perak Tengah, Perak, Malaysia. Di seberang sungai terletaknya pekan Kampung Gajah. Di belakang Pasir Salak terletaknya jelapang padi Seberang Perak. Kini Pasir Salak berbangga dengan adanya Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Jalan perhubungan[sunting | sunting sumber]

Sebelum tahun 1980, ramai penduduk kampung di tepian Sungai Perak terpaksa menaiki bot penampang berenjin untuk pergi ke bandar Teluk Intan. Sebelum tahun 1987, penduduk Pasir Salak terpaksa naik bot penampang kayuhan tangan untuk pergi ke Kampung Gajah yang terletak di seberang sungai. Sehingga 2005, Pasir Salak masih lagi merupakan sebuah kampung tradisional Melayu beridentitikan rumah kutai dan rumah limas negeri Perak.

Pada tahun 1987, sebuah jambatan telah dibina antara Kampung Gajah dengan Pasir Salak. Sejak itu perkhidmatan bot penambang telah ditutup, bekalan air dibekalkan ke merata kampung dan jalan tar dibina ke semua hujung kampung.

Kebangkitan Nasionalisme[sunting | sunting sumber]

Pasir Salak sinonim dengan sejarah kebangkitan orang Melayu menentang penjajah British yang memandai-mandai mengutip cukai mengikut peraturan mereka. Lantaran itu Dato' Maharaja Lela Pandak Lam bingkas bangun menjulang keris apabila Sultan Abdulah iaitu Sultan Perak pada tahun 1874 yang curiga, kesal dan 'terlajak' dengan Perjanjian Pangkor yang ditandatangani di dalam HMS Pluto di Pulau Pangkor.

Parlimen Pasir Salak[sunting | sunting sumber]

Nama Pasir Salak diangkat menjadi 'Parlimen Pasir Salak' pada tahun 1980 ketika pilihan raya diadakan. Sebelum itu Parlimen Pasir Salak dikenali dengan nama Parlimen Hilir Perak. Pada tahun itu Dato Megat Junid Megat Ayob dari Kampung Padang menjadi calon parti Barisan Nasional. Sementara Tan Seri Ramli Ngah Talib bertanding di Dewan undangan Negeri Perak kawasan Kampung Gajah.

Asal-usul nama[sunting | sunting sumber]

Nama Pasir Salak berasal dari pasir di tepi sungai Perak yang dipenuhi kulit buah salak. Salak ialah sejenis buah, kulitnya berwarna coklat, isi agak putih dan pokoknya seperti Pokok Nipah.

Sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat di tepi sungai sebagaimana penduduk Pasir Salak. Di sungai inilah penduduk kampung menyara hidup dengan menjadi nelayan sungai, bot penambang, menghanyutkan buluh dan balak, mengangkut buah durian dan lain-lain buah-buahan ke Teluk Intan.

Sungai Perak yang jernih jauh dari pencemaran air lombong bijih timah yang amat-amat keruh. Maka banyaklah pokok salak tumbuh liar dan sesetengahnya ditanam.

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Pentadbiran Kampung Gajah masih lagi bersifat kampung walaupun Perang Perak telah lama berlalu. Pasir Salak juga merupakan sebuah mukim. Salah seorang penghulu yang terkenal ialah Dato Maharaja Lela.

Terdapat beberapa kampung dalam mukim Pasir Salak iaitu:

  1. Kampung Pasir Salak
  2. Kampung Selat Pulau
  3. Kampung Biak
  4. Kampung Kepala Pulau
  5. Kampung Kandang