Pasir Tumboh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pasir Tumbuh merupakan sebuah bandar satelit Islam dan juga mukim di daerah Limbat, Kota Bharu, Kelantan. Pasir Tumboh terletak dalam Parlimen P 024 Kubang Kerian. Mukim-mukim lain di daerah Limbat ialah Temesu, Pulau Menseta , Selor, Parit, Seribong, dan Guntong. Terdapat sebanyak 131 mukim kesemuanya di jajahan Kota Bharu.

Sejarah Pasir Tumbuh[sunting | sunting sumber]

[perlu rujukan] Menurut cerita orang tua-tua, perkampungan Pasir Tumboh ini mula wujud sejak zaman negeri Kelantan diperintah oleh raja-raja dari dinasti D’Raja Jembal lagi hingga kepada kewujudan sistem pemerintahan wilayah kecil kemudiannya seperti Limbat, Lundang, Kadok, Salor, Gunong, Banggol, Galas, dan Jeram. Setiap dari wilayah-wilayah ini masing-masingnya mempunyai rajanya yang tersendiri. Perkampungan Pasir Tumbuh adalah terletak di dalam wilayah Limbat.

Menurut cerita, nama Pasir Tumboh dikaitkan dengan sungai yang mengalir disekitar kawasan kampung itu. Arah aliran sungai ini melengkung seperti bentuk sabit. Tanah di sekitar lengkungan sungai itu luas dan amat subur. Oleh sebab itu semakin lama semakin banyak petani berhijrah ke situ. Berdasarkan proses yang mewujudkan tempat itu, penduduk di kawasan itu menggelarkan kampung mereka sebagai Pasir Tumboh.

Pada tahun 1762 iaitu di awal permulaan pemerintahan Long Yunus memerintah negeri Kelantan, baginda telah menghadiahkan kawasan Pasir Tumbuh ini kepada Long Ghaffar yang telah banyak mencurah jasa dan baktinya untuk menyatukan negeri Kelantan. Pusat pemerintahan Long Ghaffar adalah bertempat di Limbat dan telah mendirikan sebuah kota disitu yang dinamakanya sebagai Kota Limbat yakni kedudukannya adalah sebelah selatan tidak jauh dari perbatasan perkampungan Pasir Tumbuh.

Selepas diserah kepada Long Ghaffar, Pasir Tumbuh berkembang menjadi pusat perdagangan maritim yang penting bersama-sama dengan Lundang yang merupakan sebuah wilayah yang terletak di sebelah utara daripada wilayah Limbat. Kemajuan Pasir Tumbuh besarnya dipengaruhi oleh sistem sungai yang mengalir di situ. Kampung itu dikatakan dirahmati dengan tiga kuala sungai dan tiga hulu sungai. Menerusi kuala sungai pertama, Pasir Tumbuh dapat dihubung melalui Sungai Pangkalan Datu ke pantai Laut China Selatan di Kuala Pantai Senok melalui arah timur, manakala kuala sungai kedua adalah kearah barat iaitu dihubung melalui Sungai Lundang (sekarang disebut Sungai Lubuk Mulong) ke muara sungai Kelantan di kuala Pengkalan Galuh Kampung Sireh. Menerusi kuala yang ketiga pula, penduduk Pasir Tumbuh dapat berperahu ke sungai Jelawat, Bachok, Badok, Perupok dan Tawang. Tiga hulu sungai yang disebutkan itu pula masing-masing adalah Sungai Seribong, Sungai Mulong dan Sungai Kubang Siput.

Kota Limbat[sunting | sunting sumber]

[perlu rujukan] Dalam usaha mencari-cari kawasan baru yang baik dan sesuai untuk dibangunkan kota dan istana sebagai pusat pemerintahannya yang kekal di suku bahagian selatan negeri Kelantan itu, Long Ghaffar mendapat berita tentang suatu peristiwa aneh yang berlaku ke atas dua orang suami isteri yang tinggal berdekatan sebuah kolam di suatu tempat yang belum lagi bernama pada masa itu berhampiran dengan kampung Pauh Butut (sekarang kampung Kerasak, Limbat). Kedua-dua suami isteri itu dikatakan telah melanggar pantang-larang yang merupakan akujanji mereka berdua, telah menyebabkan mereka hilang ditelan kolam sakti dan berpuaka itu.

Perkembangan Pendidikan Di Pasir Tumbuh[sunting | sunting sumber]

Di sini sekarang terdapat sebuah sistem pengajian Agama Islam tradisional Melayu yang masyhur dikenali sebagai Pondok Pasir Tumboh.

Rujukan[sunting | sunting sumber]