Pasukan Khas Persekutuan Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) merupakan pertubuhan haram bersifat agensi keselamatan dan perisikan yang beroperasi di Malaysia.

Latarbelakang[sunting | sunting sumber]

PKPM ditubuhkan atas nama PKPM Services Berhad mengikut Akta Syarikat 1965 dan bukannya didaftar di bawah Akta Pertubuhan. PKPM yang ditubuhkan pada 8 Mei 2003, sepatutnya menjalankan urusan perniagaan dan bukannya menyediakan perkhidmatan membantu polis atau menguatkuasakan undang-undang.

Ibu pejabat PKPM di Gombak telah diserbu oleh polis PDRM bagi membendung kegiatannya. Pemimpin utamanya ialah Nor Azami Ahmad Ghazali.Orang kanannya ialah Abdul Rahman Baba dan Tengku Hamid Tengku Ismail.

Modus operandi[sunting | sunting sumber]

Pergerakan pertubuhan haram itu seolah-olah menyamai pasukan keselamatan yang memberi gambaran mereka sebuah agensi yang bekerja dengan kerajaan dalam membantu pihak berkuasa membuat kerja-kerja risikan.

PKPM menggunakan moto 'bersatu membanteras dan menentang musuh negara' itu menawarkan gaji, elaun, pangkat dan kuasa, di samping mengaku bahawa ia adalah agensi keselamatan dan perisikan baru bagi pihak kerajaan.

Rekrut dijanjikan akan memperoleh RM1,900 sebulan bergantung kepada kepakaran masing-masing sedangkan sebenarnya rekrut itu sendiri yang perlu membayar yuran keahlian dan pelbagai yuran lain apabila dinaikkan pangkat.

Rekrut teruja apabila mereka diberitahu akan terlibat dalam aktiviti risikan ditambah dapat menyertai pertubuhan berpakaian seragam sedangkan pertubuhan itu tidak diluluskan...maka mereka sebenarnya tidak berhak menggunakan pakaian seragam, apatah lagi dikurniakan pangkat.

PKPM turut menetapkan kriteria pemilihan anggotanya seperti warganegara, berusia 18 hingga 60 tahun, lelaki dan perempuan, kelulusan akademik, tubuh badan sihat selain tidak mempunyai rekod jenayah. Peperiksaan temuduga untuk merekrut anggota baru turut diselit dengan soalan mengenai warganera, kajian tempatan, sejarah selain nama-nama menteri.[1]

Dakwaan di mahkamah[sunting | sunting sumber]

Pada 13 Oktober 2005, Nor Azami Ahmad Ghazali dan tiga lagi pengarah syarikat PKPM Services Berhad dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas lima tuduhan kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965. Turut didakwa ialah ibu Nor Azami, Saliah Ramli, isteri Nor Azami, Sarina Mansor dan Abdul Rahman Baba. Perbicaraan di hadapan Majistret Azniza Mohd Ali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia ialah Narainasami Alagu .Nor Azami, Saliah, Sarina dan Abdul Rahman diwakili peguambela Mohd Rashid Mokhtar

Kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 iaitu:

  • (i) Gagal menyerahsimpan penyata tahunan syarikat
  • (ii) Gagal mengadakan mesyuarat Agung Tahunan syarikat
  • (iii) Membiarkan syarikat berjalan tanpa setiausaha syarikat
  • (iv) Menyebabkan syarikat gagal mencatat nama, alamat kediaman, tarikh lahir, nombor kad pengenalan dan pekerjaan pengarah ke dalam buku daftar syarikat.

Menurut kertas pertuduhan, PKPM Services Berhad merupakan satu syarikat awam terhad, yang diperbadankan pada 8 Mei 2003 di bawah Akta Syarikat 1965 dan mempunyai alamat di Suite 132G, Tingkat 2, Wisma MISHAH, Jalan Raja Abdullah , Kuala Lumpur.

Syarikat PKPM Services Berhad turut menghadapi enam pertuduhan .Nor Azami yang mewakili syarikatnya tidak mengaku bersalah terhadap dakwaan itu.

Syarikat PKPM Services Berhad didakwa bersalah bawah Akta Syarikat 1965 iaitu:-

  • (i) Membiarkan jawatan setiausaha syarikat itu kosong lebih daripada satu bulan dari tarikh ia dikosongkan pada 1 Ogos 2003.
  • (ii) Gagal mencatatkan nama, nombor kad pengenalan, alamat kediaman, pekerjaan setiap setiausaha, pengarah dan kewarganegaraan ahli ke dalam buku Daftar Setiausaha, Pengarah dan Ahli
  • (iii) Gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan yang pertama dalam tempoh lapan belas bulan dari tarikh syarikat diperbadankan
  • (iv) Gagal menyerahsimpan penyata tahunan yang pertama dalam tempoh satu bulan daripada tarikh mesyuarat agung tahunan pertama

Individu dan syarikat boleh dikenakan tindakan penalti di bawah Akta Syarikat berupa denda dari RM1,000 hingga RM5,000 setiap kesalahan.

Pegawai Pendakwa Narainasami mahu 26 pertuduhan dapat dibicarakan bersama kerana melibatkan saksi dan dokumen yang sama.Mahkamah menetapkan 13 dan 14 Disember 2005 sebagai tarikh bicara.[2]

Wujudkan semula PKPM[sunting | sunting sumber]

Pada 15 Jun 2009, seramai 42 lelaki termasuk enam orang kanan ditahan di Taman Gombak Jaya. Mereka cuba menghidupkan semula pertubuhan haram itu yang pernah dilumpuhkan polis pada 2003. Pengasas PKPM Nor Azami Ahmad Ghazali serta 36 bakal anggota yang hendak direkrut berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an telah ditahan. Taman Gombak Jaya dijadikan markas dengan 36 daripada "rekrut" itu ditahan ketika menduduki peperiksaan kononnya sebagai syarat menyertai pertubuhan berkenaan.

Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman SAC I Tajuddin Md. Isa. Polis turut merampas sejumlah dokumen, resit bayaran untuk menjadi ahli, cop syarikat, buku soalan temuduga, sejumlah baju, blazer dan topi berlogo PKPM, tiga kasut but, 22 keping surat tawaran, pelbagai lencana dan lambang VIP serta VVIP, cota dan gambar suspek yang memakai uniform penuh.

Didenda di bawah Akta Syarikat[sunting | sunting sumber]

Pada 13 Oktober 2009, Ketua Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM), Nor Azami Ghazali bersama tiga ahli keluarganya didenda RM105,600 setelah didapati bersalah atas 143 pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Mengikut pecahan jumlah denda, Nor Azami didenda RM72,100 selepas didapati bersalah atas 55 pertuduhan manakala Sarina RM14,500 atas 35 pertuduhan.

Denda RM2,800 pula dikenakan ke atas Saliah atas lapan pertuduhan dan Nordin RM4,800 atas 12 pertuduhan manakala 10 syarikat terbabit didenda RM11,400 bagi 33 pertuduhan.

Antara syarikat yang Nor Azami dan ketiga-tiga ahli keluarganya itu menjadi pengarah syarikat ialah Nor Azami Nabt Human Resources (M) Sdn. Bhd.; Nor Azami 2002 Network (M) Sdn. Bhd.; Nor Azami Resort (M) Sdn. Bhd.; dan Nor Azami Nabt Holdings (M) Sdn. Bhd.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohamad Azies Han Mohd. Fadzil manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Joseph Iruthayam.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]