Pasukan Pandu Udara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Fail:AmericanArmyUniformPatchWorldWarII Pathfinder.jpg
Satu versi tampalan yang digunakan pada uniform penunjuk jalan Amerika yang berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua.
Penunjuk Jalan Tentera Amerika Syarikat dan krew penerbangan C-47 Skytrain pada Jun 1944

Pasukan Pandu Udara atau Pasukan Pandura adalah satu pasukan khusus yang digunakan oleh pasukan-pasukan tentera payung terjun untuk menandakan kawasan pendaratan supaya pendaratan pasukan induk Askar Payung Terjun dibuat dengan baik dan berkesan.

Semasa Perang Dunia II, pasukan pandu udara digunakan untuk memberikan bantuan pandu arah bagi membolehkan penempatan tepat pasukan induk di kawasan pendaratan yang dihasratkan.

Pasukan Pandura ini mempunyai 8 hingga 18 orang anggota terdiri daripada 6 orang jurupandu udara dan selainnya pasukan yang memberikan kawalan sekuriti kepada Pasukan Pandura tersebut. Pasukan Pandura akan masuk ke kawasan operasi beberapa jam sebelum pasukan induk dan akan menandakan kawasan pendaratan dan memberikan isyarat bantuan pandu arah (navigation beacon) kepada pasukan induk. Selepas selesai memberikan khidmat pandu udara, pasukan Pandura akan kembali berjuang selaku mana-mana pasukan Infantri Para yang lain.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pasukan Pandu Udara mula dibentuk selepas operasi payung terjun semasa serangan pasukan Tentera Berikat ke atas Sicily (Operation Husky) dilanda pelbagai masalah besar. Kerana kurang koordinasi, pesawat yang membawa anggota payung terjun ditembak jatuh oleh kapal-kapal perang tentera laut pihak kawan. Pengguguran pula bertaburan dan tidak tepat di kawasan pendaratan yang disasarkan. Akhirnya, pasukan payung terjun dalam operasi tidak dapat memberikan impak yang diharapkan, iaitu untuk mencelarukan pasukan musuh untuk membolehkan pasukan pendaratan laut mengukuhkan tapak pendaratan (beach head) mereka. [1]

Kegagalan pasukan infantri Para mengadakan impak berkesan membuat pemerintah tertinggi berasa tidak yakin dengan penggunaan infantri payung terjun semasa membuat serangan kerana kesukaran untuk menggugurkan pasukan infantry Para sebagai satu kumpulan besar yang padu dan berkesan dan berupaya membuat serangan ke atas kawasan sasaran secara terkordinasi dan berkesan, dan bukannya bertaburan menjadi kumpulan-kumpulan kecil yang hanya dapat mengadakan keadaan huruhara di belakang barisan hadapan.

Oleh kerana memandu arah pesawat udara pada waktu malam amat susah, konsep diutarakan di mana satu pasukan terpilih terdiri daripada juruterbang dan anggota infantri payung terjun diberikan latihan khusus untuk membolehkan mereka mengesan dan menyusup masuk ke kawasan operasi dengan tepat, untuk membolehkan mereka mengadakan kawalan dan bantuan pandu arah menggunakan isyarat radio yang khusus (Eureka beacon) dan menyalakan isyarat lampu untuk membantu pendaratan. Pada waktu siangnya, panel berwarna dan bom asap berwarna digunakan untuk penandaan kawasan mendarat.

Pasukan Pandu Udara mula digunakan dalam bulan September 1943, semasa penerjunan untuk mengukuhkan pasukan-pasukan yang sedang bertempur di itali. Pasukan Pandu Udara juga digunakan semasa penerjunan semasa permulaan operasi D-Day semasa penaklukan Normandy oleh Tentera Berikat. Pada bukan September 1944, pasukan Pandu Udara juga terlibat merintis untuk pasukan induk semasa “Operation Market Garden” melibatkan 3 Divisyen pasukan Infantri payung terjun. Pasukan Pandu Udara juga memainkan peranan penting semasa operasi penguguran bekalan semula melalui udara garrison tentera Amerika Syarikat di Bastogne semasa pertempuran di Ardennes dan juga semasa bekalan semula Divisyen ke-4 Infantri di Briealf, Jerman dalam bulan Februari 1945.

Sekarang[sunting | sunting sumber]

Pasukan Pandu Udara masih digunakan pada masa kini, walaupun teknologi pandu arah pesawat udara semakin canggih dan tepat.

Tentera Darat Malaysia

Platun Pandu Udara (Platun Pandura)/ Tinjau Para/ RECON yang bertugas dengan 10 Briged Para memberikan bantuan pandu udara kepada pasukan induk untuk operasi penerjunan oleh Briged tersebut. Platun Pandura berkekuatan satu kompeni yang diketuai oleh seorang Mejar.

Tentera Darat British

Platun Pandu Udara (Pathfinder Platoon) ditugaskan dengan 16 Briged Serangan Udara (16 Air Assault Brigade) dan terlibat semasa Peperangan Iraq dalam tahun 2003. Sebelum itu pasukan 5 Briged Para (5 Airborne Brigade) juga mempunyai Platun Pandu Udaranya sendiri.

Pasukan Pertahanan Kanada

Pasukan Pandu Udara Pasukan Pertahanan Kanada dikenali sebagai "profesional senyap" (quiet professionals) yang juga melaksanakan tugasan pengumpulan maklumat risik dan penyediaan sekuriti kawasan pendaratan. Pasukan ini juga berkebolehan melakukan serang hendap dan operasi peninjauan di belakang garisan hadapan dan juga melaksanakan misi menyelamat tebusan.

Tentera Darat Amerika Syarikat

Tentera Amerika Syarikat masih mengekalkan Pusat Latihan Pandu Udara (Pathfinder School) di Fort Benning. Pusat latihan ini mengendalikan kursus pandu Udara untuk melatih anggota-anggota pasukan 82 Divisyen (Airborne) dan lain-lain pasukan tentera.

Rujukan[sunting | sunting sumber]