Pegawai memerintah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Pegawai Memerintah)
Jeneral Dwight D. Eisenhower berbual dengan askar payung terjun dari Rejimen Ke-502 Infantri Para Amerika, sebahagian daripada Divisyen Ke-101 Airborne, sejurus sebelum pendaratan D-Day 6 Jun 1944 semasa Perang Dunia II.

Pegawai memerintah (commanding officer, singkatan: CO) atau, jika penyandang jawatan merupakan seorang Jeneral, jawatannya adalah Panglima (commanding general, singkatan: CG), adalah pegawai yang memerintah sesebuah unit tentera. Secara tipikal, pegawai memerintah mempunyai kuasa mutlak ke atas unit tersebut, dan biasanya diberi kebebasan untuk mengurus unit tersebut selagi mampu, asalkan dalam batas undang-undang tentera. Dalam hal ini, pegawai memerintah mempunyai tanggungjawab yang penting (sebagai contoh, penggunaan tenaga, kewangan, kelengkapan, Konvensyen Geneva), tugas-tugas (bagi pihak yang berjawatan lebih tinggi, keberkesanan misi, tugas rawatan kepada anggota) dan kuasa (sebagai contoh, disiplin dan hukuman ke atas anggota mengikut had-had tertentu undang-undang tentera).

Di beberapa negara, pegawai memerintah mungkin daripada kalangan mana-mana pangkat bertauliah; biasanya jawatannya lebih tinggi berbanding yang sedia ada. Masa yang dihabiskan semasa memerintah ialah aspek utama untuk kenaikan pangkat. Hal ini membuktikan bahawa seorang pegawai memerintah adalah sangat dihargai. Secara teorinya, hanya pegawai terbaik yang mendapat nama. Pegawai memerintah selalunya dibantu oleh seorang pegawai eksekutif (XO) atau penolong pegawai memerintah (2i/c) yang mengurus hal ehwal harian anggota dan seorang penasihat tanpa tauliah kanan. Unit yang lebih besar juga mempunyai pegawai staf dengan pelbagai tanggungjawab.

United Kingdom, Kanada dan Australia[sunting | sunting sumber]

Tentera Darat[sunting | sunting sumber]

Dalam Tentera Darat British, Marin Diraja dan lain-lain tentera Komanwel dan organisasi separa tentera, pegawai memerintah sesebuah unit adalah melalui lantikan. Oleh itu, jawatan CO adalah suatu pelantikan. Jawatan Pegawai Memerintah ialah eksklusif bagi komander unit-unit utama (Rejimen, Batalion, dan unit-unit bersaiz sama). Ia menjadi adat bagi pegawai memerintah untuk memegang pangkat Leftenan Kolonel dan beliau biasanya dirujuk dalam unit sebagai "Kolonel" atau lebih dikenali CO. "Kolonel" biasanya merupakan pelantikan kehormat pegawai kanan yang menyelia hal ehwal bukan operasi rejimen. Walau bagaimanapun, pangkat penyandang jawatan dan pemegang jawatan ialah berasingan. Tidak semua Leftenan Kolonel adalah CO walaupun kebanyakan CO adalah Leftenan Kolonel.

Sub-sub unit seperti Kompeni, Skuadron dan Bateri, dan formasi-formasi (briged, divisyen, kor dan tentera darat medan) tidak mempunyai Pegawai Memerintah. Pegawai yang memerintah sesuatu sub unit dipanggil "Ketua" atau "OC" (Officer Commanding), sebagai contoh Ketua Kompeni Ke-7 Armor. Formasi yang lebih tinggi mempunyai Panglima (GOC-General Officer Commanding), sebagai contoh Panglima 7 Divisyen Armor. Markas pemerintahan kawasan mempunyai Panglima Besar (C-in-C Tentera Darat; C-in-C Tentera British Rhine). OC subunit lazimnya berpangkat Mejar, walaupun sekali lagi pangkat penyandang jawatan dan pemegang jawatan adalah berasingan dan bebas daripada satu sama lain.

Dalam beberapa kes, unit-unit bebas yang lebih kecil daripada sub-unit, contohnya suatu platun Polis Tentera yang bertanggungjawab terus kepada formasi seperti briged, juga akan mempunyai OC yang dilantik. Dalam kes ini, pegawai memerintah boleh menjadi kapten atau leftenan.

Jawatan seperti CO dan OC mungkin mempunyai kuasa tertentu yang boleh dikaitkan dengan mereka. Sebagai contoh, mereka mungkin mempunyai kuasa berkanun untuk menaikkan pangkat askar atau untuk menangani kesalahan tatatertib tertentu dan menjatuhkan hukuman tertentu. CO unit mempunyai kuasa untuk menghukum pesalah dengan 28 hari penahanan, manakala OC daripada sub-unit mungkin mempunyai kuasa untuk menghukum pesalah dengan 3 hari sekatan keistimewaan.

Unit yang lebih kecil daripada sub-unit, iaitu Platun, Trup dan Seksyen bukanlah pelantikan yang khusus serta spesifik. Hanya pegawai atau PTT (Pegawai Tanpa Tauliah) yang boleh mengisi kedudukan itu dan dirujuk sebagai ketua. Contohnya. Ketua Platun, Ketua Trup, Ketua Seksyen dan lain-lain.

Tentera Udara Diraja[sunting | sunting sumber]

Dalam Tentera Udara Diraja, jawatan Pegawai Memerintah diserahkan kepada pemimpin Pangkalan RAF atau pemimpin unit-unit bebas. Sama seperti Tentera Darat British, jawatan komander sebuah unit kecil seperti pentadbiran Wing, Skuadron atau Flight dirujuk sebagai Officer Commanding (OC).

Tentera Laut Diraja[sunting | sunting sumber]

Dalam Tentera Laut Diraja pula, Pegawai Memerintah ialah gelaran rasmi bagi pemimpin sesebuah kapal, unit atau pangkalan. Namun, mereka dirujuk sebagai "Kepten" tanpa mengira pangkat sebenar mereka atau "Nakhoda" ataupun "Juragan" secara tidak rasmi.

Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Di Amerika Syarikat, status Pegawai memerintah sewajarnya digunakan untuk semua pegawai bertauliah yang memegang kuasa yang sah ke atas unit tentera, kapal, atau pangkalan.

Tentera Darat[sunting | sunting sumber]

Pegawai memerintah Kompeni, biasanya berpangkat Kapten, dirujuk sebagai Ketua Kompeni (atau Ketua Bateri/Trup bagi Artileri/Kavalri). Pegawai Memerintah Batalion (atau Skuadron Kavalri), biasanya berpangkat Leftenan Kolonel. Pegawai Memerintah Briged, samada berpangkat Kolonel atau Brigedier Jeneral, dipanggil sebagai Komander Briged. Pada peringkat Divisyen dan keatas, bagaimanapun, pegawai memerintah disebut sebagai Panglima, kerana pegawai-pegawai ini memegang pangkat Jeneral.

Walaupun memegang pemerintahan dalam erti kata yang sama seperti pegawai-pegawai lain, individu yang bertanggungjawab bagi sesebuah Platun, unit terkecil askar yang diketuai oleh seorang pegawai bertauliah, lazimnya berpangkat Leftenan Muda, adalah dirujuk sebagai Ketua Platun, bukannya komander platun. Pegawai ini berkuasa keatas orang bawahannya tetapi tidak mempunyai banyak tanggungjawab pemerintahan yang hanya ada pada orang atasan. Sebagai contoh, ketua platun tidak boleh mengeluarkan arahan menghukum tanpa bicara.

Pegawai tanpa tauliah boleh dikatakan menjaga unit-unit kecil tentera yang tertentu. Mereka tidak boleh, bagaimanapun, memegang tampuk pemerintahan kerana kekurangan kuasa yang diberikan oleh ketua negara untuk berbuat demikian.

Pegawai Waran dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat adalah pegawai berprestasi baik yang boleh, dan sekali-sekala, memegang posisi pemerintahan dalam unit khusus tertentu, seperti Pasukan elit dan Angkatan Udara Tentera Darat. Walau bagaimanapun, pegawai waran biasanya tidak memerintah jika pegawai bertauliah ada; lazimnya mereka bertugas sebagai Pegawai Eksekutif (Penolong Pegawai Memerintah).

Tentera Udara[sunting | sunting sumber]

Dalam Tentera Udara Amerika Syarikat, pegawai memerintah sesebuah unit adalah juga dirujuk sebagai komander unit, seperti komander Skuadron, komander Grup, komander Wing, dan seterusnya.

Tentera Laut[sunting | sunting sumber]

Dalam Tentera Laut Amerika Syarikat, pegawai memerintah ialah gelaran rasmi bagi komander sesebuah kapal, tetapi beliau biasanya dirujuk sebagai "Kepten" tanpa mengambil kira pangkat sebenarnya, atau secara rasmi dirujuk sebagai "Nakhoda". Kepten bagi sesebuah kapal juga dikenali dengan gelaran "Skipper".

Lihat juga[sunting | sunting sumber]