Pemberontakan Panthay

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Pemberontakan Panthay (dikenali dalam bahasa Cina sebagai Du Wenxiu Qiyi 杜文秀起义, 1856–1873) ialah satu gerakan pemisahan orang Hui dan orang Islam Cina yang menentang Dinasti Qing di barat daya Wilayah Yunnan sebagai sebahagian daripada satu gelombang kekacauan pelbagai etnik.

Punca[sunting | sunting sumber]

Antara tahun 1648 dan 1878, lebih daripada 12 juta orang Islam Hui dan Uyghur terkorban dalam 10 pemberontakan terhadap dinasti Qing.[1] Diskriminasi terhadap orang Hui yang diberikan oleh orang Han dan pihak istana adalah punca pemberontakan mereka. Pemberontakan Panthay bermula daripada satu pergaduhan antara orang Han dan pelombong bijih timah Islam pada tahun 1853 yang bertukar kepada pemberontakan. Pada tahun berikutnya, satu pembunuhan beramai-ramai orang Islam telah diaturkan oleh pegawai-pegawai Qing yang bertanggungjawab memadam pemberontakan itu. Salah seorang pemimpin pemberontakan itu ialah Ma Dexin. Dengan keinginan untuk mengukuhkan pengaruh sendiri, Ma Dexin akhirnya bersetuju untuk tunduk kepada kerajaan Qing pada tahun 1861.[2] Dia diwarisi oleh seorang lelaki bernama Du Wenxiu (杜文秀; pinyin: Dù Wénxiù) (1823–1872), seorang Hui yang dilahirkan di Yongcheng.

Bermula pada tahun 1855, kelompok majoriti Islam Yunnan memberontak kerana menentang polisi-polisi pegawai dinasti Qing yang menekan mereka. Sebahagian mereka berasa tidak puas hati kerana dihalang masuk ke dalam kelas pegawai. Para pegawai tinggi Qing (mandarin) secara rahsia mendorong kumpulan perusuh untuk menyerang orang Panthay yang kaya, yang mencetuskan kekacauan anti-orang Islam, dan memulakan satu konflik agama yang membawa kepada pemusnahan masjid-masjid.[3]

Liku-liku perang[sunting | sunting sumber]

Pemberontakan itu bermula sebagai satu kebangkitan tempatan. Ia dicetuskan oleh buruh-buruh Panthay di lombong-lombong perak di kampung Li'nanxian, Yunnan yang bangun menentang orang Cina. Gabenor Yunnan yang berketurunan Cina telah menghantar permohonan segera kepada kerajaan pusat di Beijing. Orang Panthays dipimpin oleh Tu Wenxiu. Mereka menghalakan kemarahan mereka kepada mandarin-mandarin tempatan dan akhirnya mencabar kerajaan pusat di Beijing.

Kerajaan Qing telah pun dilemahkan oleh banyak masalah di pelbagai tempat dalam empayar yang berselarakan, dengan salah satunya adalah Pemberontakan Taiping. Ketika itu China masih menderita kejutan yang disebabkan oleh siri-siri pertama perjanjian-perjanjian berat sebelah seperti Perjanjian Nanking. Situasi-situasi ini memihak kepada kekuasaan orang Panthay di Yunnan.

Pemberontakan itu berjaya menawan bandar Dali yang menjadi pangkalan bagi operasi orang Panthay, dan mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai entiti politik yang terpisah daripada China. Mereka menamakan negara mereka sebagai Pingnan Guo (平南国 Negara Selatan yang Aman); pemimpin mereka Sulayman ibn `Abd ar-Rahman yang dikenali sebagai Du Wenxiu (pada asalnya, Yang Xiu, meninggal dunia pada 1873) digelar Qa´id Jami al-Muslimin ('Ketua Jemaah Orang Islam'), namun biasanya dirujuk dalam sumber-sumber asing sebagai sultan. Beliau memerintah dari tahun 1856 hingga 26 Disember 1872.

Orang Panthay mengepung bandar Kunming beberapa kali: dalam tahun-tahun 1857, 1861, 1863 dan 1868. Ma Rulong, seorang pemimpin pemberontak Hui dari selatan Yunnan, telah mengepung bandar tersebut pada tahun 1862, tetapi berpaling tadah kepada tentera kerajaan pusat setelah ditawarkan dengan satu jawatan tentera. Kepututsannya untuk menamatkan kepungan tidak diterima oleh para pengikutnya yang mengambil peluang untuk membunuh Jeneral Gabenor (Pan Duo) semasa ketiadaannya lalu merampas kawalan bandar itu daripada pihak Qing pada tahun 1863 dengan niat menyerahkan bandar itu kepada Du Wenxiu. Walau bagaimanapun, sebelum pasukan tentera Du sampai, Ma Rulong - dengan bantuan pegawai tentera Qing yang sedang naik, Cen Yuying - berkejar kembali ke Kunming dan mendapatkan kembali kawalan ibukota wilayah tersebut.

Kemudiannnya, ketika tentera pihak Qing mula mengatasi orang Panthay, pemimpin Panthay mengirim surat kepada Ratu Victoria untuk meminta pengiktirafan rasmi dan bantuan ketenteraan daripada Empayar British, walaupun permintaan ini ditolak. Pemberontakan itu akhirnya ditumpaskan apabila tentera Qing membunuh dan memenggal kepala 'sultan' itu. Jasad beliau disemadikan di Xiadui.

Akibat[sunting | sunting sumber]

Kekejaman[sunting | sunting sumber]

Walaupun sudah hampir dilupakan, pemberontakan berdarah itu telah menyebabkan kematian sebanyak satu juta orang di Yunnan.[4] Ramai pelarian Hui yang terselamat melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Burma, Thailand dan Laos, lalu membentuk asas populasi minoriti Cina Hui di negara-negara tersebut.

Impak terhadap Burma[sunting | sunting sumber]

Pemberontakan itu memberi impak negatif yang ketara terhadap Dinasti Konbaung yang memerintah Burma. Selepas kehilangan Burma Rendah kepada British, Burma kehilangan kawasan tanah penanaman padi yang amat luas. Untuk tidak mengecewakan China, kerajaan Burma bersetuju untuk menghentikan perdagangan dengan orang Panthay selaras dengan permintaan China. Tanpa kemampuan untuk mengimport beras daripada China, Burma terpaksa mengimport beras daripada pihak British. Malahan, ekonomi Burma banyak bergantung pada eksport kapas ke China, dan tiba-tiba hilang kemasukan kepada pasaran China yang luas.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. Historical Sketch of the Hui Muslims of China
  2. Gernet, Jacques. A History of Chinese Civilization. 2. New York: Cambridge University Press, 1996. ISBN 0-521-49712-4
  3. (Anderson, 1876, 233)
  4. Damsan Harper, Steve Fallon, Katja Gaskell, Julie Grundvig, Carolyn Heller, Thomas Huhti, Bradley Maynew, Christopher Pitts. Lonely Planet China. 9. 2005. ISBN 1-74059-687-0

Rujukan[sunting | sunting sumber]