Pendekar Bujang Lapok

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pendekar Bujang Lapok
Pengarah P. Ramlee
Pengarang Lakon layar:
Sinematografi Hitam-putih
Mula ditayang 1959
Negara Malaysia
Bahasa Bahasa Melayu

Filem Pendekar Bukang Lapok merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1959. Filem Pendekar Bujang Lapok diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.

Filem Pendekar Bujang Lapok diarahkan oleh pengarah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1959.

Ringkasan[sunting | sunting sumber]

Kisah ini bermula apabila 3 rakan baik menyaksikan sendiri tentang kehebatan Pendekar Mustar menewaskan dua orang samseng (pekerja penambang perahu) di Penambang Sampan Sungai Kemunting. Ramlee, Sudin dan Aziz pergi mencarinya hingga sampai ke Kampung Pinang Sebatang. Tujuan tiga orang bujang lapok ini ialah untuk belajar silat dengan Pendekar Mustar.

Sebelum sampai ke rumah Pendekar Mustar, mereka telah bertemu dan mengekori Rosnah (kebetulan pula dia anak Pendekar Mustar) yang pulang ke rumah setelah habis mengajar (menjadi guru) di Sekolah Umum Buta Huruf di Kampung Pinang Sebatang itu.

Kerana tidak suka dengan perangai Ramlee, Sudin dan Aziz ketika mengusik dan mengekorinya sampai ke rumah, Rosnah mengadu kepada bapaknya (Pendekar Mustar) yang mereka bertiga itu menganggunya dan menuduh sebagai pencuri. Oleh yang demikian, Pendekar Mustar mencabar Ramlee, Sudin dan Aziz untuk berlawan silat. Bagaimanapun, hatinya lembut apabila mereka berjaya mematikan langkah Pendekar Mustar (dengan mengangkat dan mendukungnya) serta menyatakan hasrat kedatangan mereka untuk belajar silat.

Tindakan Pendekar Mustar itu telah membuatkan Rosnah marah. Dan bila bertemu dengan emaknya Rosnah berkata: "Bencilah bapak tu, bila jumpa orang terus bawa naik rumah". Begitu pun juga, bila emaknya bertemu dengan Ramlee, Sudin dan Aziz dia menyukai mereka juga. Sikap Rosnah menjadi masalah bukan saja kepada Pendekar Mustar tetapi juga Ramlee, Sudin dan Aziz.

Dalam pada itu, tauke sampan yang lebam-lebam di mata serta pekerja-pekerjanya yang berlagak samseng (Pendekar Mustar menganggap mereka samseng taik minyak) yang kena belasah oleh orang-orang di penambang ekoran kehandalan yang ditunjukkan oleh Pendekar Mustar, telah menyuruh dua orang samseng mencari rumah Pendekar Mustar dan juga tiga orang Bujang Lapok.

Risaukan Ros (nama timangan Rosnah) tidak menyukai mereka berada di rumah tersebut, Ramlee, Sudin dan Aziz cuba mengambil hatinya dengan menyanyikan lagu "Maafkan Kami". Berikutan itu, hati Rosnah menjadi lembut dan mula menyukai mereka. Apabila sudah diketahui tempat Pendekar Mustar dan Bujang Lapok berada, tauke sampan datang ke rumah Pendekar Mustar membuat tuntutan ganti rugi bernilai 74 ringgit 71 sen atas kerugian dialaminya ketika berlaku pergaduhan di Penambang. Tetapi Pendekar Mustar beserta Ramlee, Sudin dan Aziz enggan membayar.

Bila Rosnah muncul, tauke sampan yang mata keranjang terpikat dengan kejelitaan Rosnah dan membuat syarat hutang boleh selesai sekiranya Pendekar Mustar mahu mengahwinkan anaknya Rosnah dengannya. Rosnah marah dan menolak. Ramlee, Sudin dan Aziz pula cuba berlagak menunjuk kehandalan bersilat walaupun mereka baru saja diajar Pendekar Mustar.

Begitupun juga gertakan Ramlee, Sudin dan Aziz berjaya juga membuatkan tauke sampan serta orang-orangnya meninggalkan rumah Pendekar Mustar. Tetapi tiba-tiba Aziz menjerit kesakitan terkena batu yang dilontar oleh salah seorang samseng yang mengenai dahinya. Tanya Pendekar Mustar: "Kenapa kau tak elak". Jawab pula Aziz: "Bagaimana saya nak elak, ilmu elak batu Pak Cik belum ajar lagi". Semua mereka ketawa.

Ketika belajar isem, apa yang dikata oleh Pendekar Mustar lain pula yang ditulis oleh Ramlee, Sudin dan Aziz. Dengan itu tahulah Pendekar Mustar yang tiga Bujang Lapok itu tidak tahu menulis dan membaca. Maka Pendekar Mustar pun memerintahkan supaya Ramlee, Sudin dan Aziz pergi belajar di sekolah buta huruf bergurukan Cikgu Rosnah.

Semasa belajar silat masing-masing cuba memikat Rosnah bagaimanapun Ros lebih menunjukkan minatnya terhadap Ramlee. Bagi meneruskan ilmunya dan menentang "cubaan", Pendekar Mustar menyuruh Aziz ke perigi buta, Sudin ke rumah kosong yang telah lama ditinggalkan dan Ramlee pula di arahkan ke kubur. Bagaimanapun masing-masing gagal menghadapi "cubaan" yang dimahukan Pendekar Mustar. Kerana belum apa-apa lagi mereka sudah cabut lari.

Selepas itu, Pendekar Mustar menyuruh mereka ke kubur orang yang mati dibunuh dan kali ini mereka bertekad tidak akan takut dan lari, mereka tetap akan menentang "cubaan". Sewaktu mereka sedang menuntut, Pendekar Mustar telah diserang samseng-samseng tauke sampan dan diikat bersama isterinya dan juga pembantu rumahnya. Rosnah pula dibawa lari untuk diserahkan kepada tauke sampan. Walaupun Ros dilarikan di depan mata mereka dan meminta tolong, namun mereka tidak mempedulikannya dan menganggapnya sebagai "cubaan".

Pendekar Mustar dan pembantu rumahnya (Aini) bermacam-macam cara menerangkan yang Ros dilarikan oleh samseng-samseng adalah betul-betul terjadi bukannya "cubaan", namun Ramlee, Sudin dan Aziz tetap menganggapnya "cubaan" juga hingga menyebabkan Pendekar Mustar menghempas-hempaskan dirinya di tanah. Cuma, setelah diberikan penjelasan sejelas-jelasnya oleh isteri Pendekar Mustar, ibu Rosnah, barulah mereka tersedar dari lamunan "cubaan" lalu tidak membuang masa lagi mereka pergi menuju ke rumah tauke sampan untuk menyelamatkan Rosnah.

Ramlee, Sudin dan Aziz dengan menggunakan ilmu yang dipelajarinya telah menewaskan ke semua samseng-samseng itu termasuklah ketuanya, tauke sampan. Ros dapat diselamatkan. Di atas keberanian mereka itu menentang samseng-samseng beserta menangkap ketuanya dan menyelamatkan Ros, Pendekar Mustar menggelarkan Ramlee, Sudin dan Aziz – "Pendekar Bujang Lapok".

Kru penerbitan[sunting | sunting sumber]

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Lain-lain[sunting | sunting sumber]

  • Penyanyi Latar: Saloma, P. Ramlee, Malindo Trio
  • Cerita : Madji Lee
  • Muzik, Lakon layar, skrip dan Arahan: P. Ramlee
  • Terbitan: Run Run Shaw


Runut Bunyi[sunting | sunting sumber]

  • Pok Pok Pok Bujang Lapok (P. Ramlee, S. Shamsuddin & Aziz Satar)
  • Maafkan Kami (P. Ramlee, S. Shamsuddin & Aziz Satar)
  • Malam Bulan Dipagar Bintang (P. Ramlee & Saloma)

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]