Pengislaman Bugis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pengislaman Bugis merupakan suatu penerimaan agama Islam oleh suku Bugis di Kepulauan Melayu sejak abad ke-16.

Dunia Bugis pada abad ke-16[sunting | sunting sumber]

Komoditi dan perdagangan[sunting | sunting sumber]

Eksport utama dari Sulawesi Selatan ketika itu ialah padi dan dieksport ke Melaka yang ketika sudah pun ditawan Portugal. Pada tahun 1607, Sultan Johor yang bermusuh dengan Portugis cuba menyekat eksport ini. Produk-produk pertanian lain ialah kelapa, buah-buahan dan sayur-sayuran. Ternakan tempatan pula ialah kerbau, khinzir, kambing, ayam dan itik. Akan tetapi, lembu masih belum dikenali ramai bilamana pada masa yang sama, kuda sudah pun menjadi ternakan umum. Sumber-sumber asli pula yang dibawa dari kawasan sekitar (yang kemudiannya dieksport) ialah kayu cendana (dari Kaili dan Palu), katu sapan (dari Sumba), kayu aguila, resin, gewang dan telon (Pelras, 'Temoignages etrangers').

Tekstil yang dibuat di Sulawesi Selatan cukup popular pada abad ke-19, bilamana pada tahun 1544, kain putih, kemungkinan kain kapas, dijual pada harga 200 rial. Hal ini membuktikan bahawa Sulawesi Selatan sudah pun memasuki sistem wang antarabangsa dan mata wang Portugis, real, menjadi salah satu mata wang utama. Namun, sistem penukaran wang sebelum ini tidak jelas. Manakala sebelum sistem wang digunakan, kerbau mungkin dijadikan petunjuk utama.

Terdapat juga komoditi eksport baru iaitu hamba. Kebanyakan hamba ialah tawanan perang yang bermaksud sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak dan wanita dari tempat ia ditawan oleh Bugis. Harga seorang hamba boleh mencecah 1000 rial yang ketika itu merupakan suatu tawaran yang cukup menarik bagi Portugis. Perdagangan hamba mula mendapat tempat bermula pada abad ke-15 dan ia disebabkan oleh permintaan dari luar.

Antara eksport lain yang menarik perhatian Portugis ialah emas. Emas berasal dari pergunungan Toraja dan dari Luwu' manakala emas dari Sulawesi Utara pula dikawal oleh Makassar. Garam-garam galian lain yang dieksport ialah besi (dari Luwu' dan Banggai), kuprum dan plumbum.

Pandu arah, kapal dan peperangan[sunting | sunting sumber]

Walaupun pada abad ke-16 penduduk-penduduk di Sulawesi Selatan sudah pun maju dalam bidang pelayaran, kebanyakan eksport mereka dibawa oleh kapal-kapal Melayu dan Jawa. Jurupandu arah Bugis dan Makassar ketika itu masih belum dianggap maju oleh pedagang-pedegang asing. Pada abad ke-16 pula, kapal-kapal dari Sulawesi Selatan mula berlayar ke bahagian timur dan juga ke bahagian barat Kepulauan Melayu. Faktor utama ialah Sulawesi Selatan terletak di tengah-tengah jalan laut antara Melaka dan Maluku. Bugis dan Makassar kemudiannya mula memajukan kemahiran pelayaran mereka, membina kapal-kapal besar dan membuat usaha sama dengan pedagang-pedagang Melayu. Walau bagaimanapun, perhubungan darat yang terhad menyebabkan kayu-kayu balak dibawa menggunakan pengangkutan air.

Antara senjata api yang mula digunakan pada waktu itu ialah senapang lantak dan meriam. Kebanyakan senjata api ini dibuat di Brunei. Bagi perlindungan baju zirah dan perisai dada turut digunakan ketika peperangan. Akan tetapi, kesemua senjata baru ini tidak menggantikan senjata-senjata lama seperti perisai tradisional, keris, sumpit dan pedang pendek.

Aspek-aspek alatan kebudayaan lain[sunting | sunting sumber]

Kehidupan Bugis seperti yang digambarkan dalam La Galigo ialah sebuah komuniti yang bersifat terbuka kepada pengaruh-pengaruh luar, di mana barang-barang impot bukan sahaja dimiliki oleh golongan atasan tetapi turut dimiliki oleh orang kebanyakan. Pada abad ke-16 bentuk dan pembinaan perumahan bagaimanapun kekal dan tidak berubah. Bagi rumah golongan atasan, perabot-perabot barat mula digunakan manakala tingkap-tingkap tradisional digantikan dengan tingkap-tingkap bercirikan barat. Kebanyakan nama-nama bagi inovasi ini diambil dari sebutan Portugis seperti kadera (kerusi) dari cadeira dan mejang (meja) dari mesa.

Kesan-kesan lain ialah perubahan dalam makanan ruji. Keledek dan tembakau mula diperkenalkan oleh Portugis dan Sepanyol. Antara bahan-bahan yang baru ialah candu yang digunakan dalam peperangan dan menjadi satu ketagihan bagi golongan atasan.

Inovasi juga turut dilihat dalam pakaian. Wanita Bugis mula memakai sejenis seluar begi manakala hamba wanita pula masih kekal dengan pakaian kemban. Pakaian barat pula mula mendapat tempat dikalangan komuniti Bugis ketika itu seperti baju kemeja, topi dan jaket.

Pengan Bugis[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1511, kejatuhan Melaka ke tangan Portugal turut membawa kedatangan kristian ke Kepulauan Melayu. Pada tahun 1611 pula, kerajaan Bone memeluk Islam dan juga merupakan kerajaan terakhir memeluk Islam.

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 menyebabkan kesultanan Melaka beralih kepada Johor. Peristiwa ini memberi tempias kepada Sulawesi Selatan. Menurut Tome Pires (Pires, Suma Oriental) disebalik jumlahnya yang kecil, kebanyakan orang Makassar datang berdagang di Melaka. Perubahan senario politik di bahagian barat Kepulauan Melayu turut diketahui oleh penduduk Sulawesi Selatan, dan mereka kemudiannya mula memahami budaya, agama, polisi perdagangan dan kekuatan tentera pendatang asing ini.

Portugis mengambil masa yang lama untuk menukar perhatian mereka kepada Sulawesi. Mengikut peta awal Portugis, Sulawesi Selatan dinamakan Makassar dan di utaranya dinamakan Celebes dan antaranya adalah kosong. Keutamaan mereka ketika itu ialah perdagangan rempah dari Maluku dan ini menarik perhatian mereka ke kepulauan Sunda. Pada tahun 1533, Portugis mendapat tahu bahawa terdapat emas di Sulawesi dan dengan itu Gabenor Ternate mengarahkan satu ekspedisi ke Sulawesi.

Terbantutnya Kristianisasi[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1540, dua orang bangsawan dari Makassar melawat Ternate dan dikristiankan. Tahun berikutnya, mereka kembali semula ke Ternate dengan membawa emas, Cendana dan senjata besi bagi menunjukkan betapa berharganya Sulawesi. Pada tahun 1544, Antonio de Paiva berdagang di Suppa' dan Siang dan beliau diminta untuk mengkristiankan kedua-dua raja negeri-negeri itu. Manakala bagi pihak kedua-dua raja itu, kristianisasi merupakan satu peluang untuk mendapat bantuan ketenteraan dari pihak Portugis.

Menjawab permintaan pemerintah-pemerintah Sulawesi Selatan, seorang mubaligh kristian bernama Francis Xavier belayar ke Sulawesi untuk tujuan kristianisasi. Ketika itu, kebanyakan pemerintah Sulawesi Selatan menyambut baik ekspedisi ini dengan harapan untuk mendapat bantuan ketenteraan dari Portugis. Walaubagaimanapun, usaha Portugis ini terbantut kerana seorang daripada pegawai Portugis berkahwin dengan gadis tempatan dan bagi mengelakkan pertumpahan darah, mereka terpaksa berlayar pulang.

Tetapi, salah seorang rombongan itu, Manuel Pinto tidak berlayar bersama. Beliau menjelajah ke seluruh Sulawesi Selatan untuk meninjau keadaan di sana ketika itu. Sebaik sahaja pulang ke Melaka, beliau melaporkan terdapatnya peperangan sesama sendiri di antara negeri-negeri Bugis. Ini menyebabkan terbantutnya usaha kristianisasi oleh Francis Xavier.

Pada tahun 1559, selepas kembali semula hubungan perdagangan dengan Melaka, pemerintah-pemerintah Sulawesi Selatan meminta agar Portugis menghantar seorang mubaligh untuk tujuan kritianisasi. Akan tetapi, tidak banyak paderi tinggal di Melaka dan ketika itu, Makassar bukanlah keutamaan mereka. Maka permintaan raja-raja Bugis tidak dapat ditunaikan.

Masuknya Islam[sunting | sunting sumber]

Konsep dasar Islam ialah ketauhidan dan kenabian serta kebangkitan. Kepercayaan Bugis-Makassar pra-Islam menunjukkan adanya kepercayaan pada Tuhan yang satu (tauhid) dan kebangkitan. Islamisasi bererti menebarkan konsep kenabian dan menyemak semula mitos yang ada. Kesannya ialah dilaksanakannya syariat sebagai pengganti beberapa kebiasaan manusia Bugis Makassar yang tidak relevan.

Telah ada beberapa penganjur Islam selain tiga Dato' dari Minang, termasuk Sayyid Jamaluddin al-Husayni al-Akbari yang merupakan kakek dari Walisongo. ini bererti Islam datang bukan pada kedatangan para Dato' (Dato Ribandang, Dato Ritiro dan Dato Patimang).

tetapi Islamnya kerajaan-kerajaan Bugis Makassar pada tahun 1598(Gowa dan Luwu) menyusul Ajatappareng (Sidenreng, Rappang, Sawitto) pada tahun 1605, Soppeng (1607), Wajo (1609) dan Bone (1611) adalah kerana usaha ketiga-tiga para dato.

Dato Ribandang mengislamkan Karaeng Matoaya yang merupakan mangkubumi Kerajaan Makassar. dato patimang(dato sulaiman) mengislamkan Daeng Parabbung Datu Luwu. dan Dato Ri Tiro memilih berdomisili di Bulukumba yang merupakan daerah perbatasan Bone dan Gowa untuk syiar Islam.

Islamnya Gowa ialah lambang kekuatan ketenteraan dan Luwu ialah pusat mitos Bugis Makassar. Dengan Islamnya dua kerajaan besar ini, maka tidak ada alasan untuk menolak Islam.

Islamisasi secara struktur ialah menjadikan syariat sebagai dasar negara. sebelumnya telah ada ADE', RAPANG, WARI, BICARA. diterimanya Islam sebagai agama resmi kerajaan menjadikan syariat sebagai landasan kelima yaitu SARA'. Kesannya ialah dibuatkan jabatan struktural kerajaan yang baru iaitu Qadhi, Bilal, Katte' dan Doja sebagai perangkat syiar Islam kepada rakyat.

Gowa menentang Bone[sunting | sunting sumber]

Sebaik sahaja Portugis menjalin semula hubungan perdagangan dengan Makassar pada tahun 1559, situasi politik di Sulawesi Selatan mengalami perubahan yang drastik. Gowa, selepas kematian Daeng Matenre, masih meneruskan polisi perluasan kuasanya dan pada masa yang sama Bone di utara turut meluaskan kuasanya. Di Tangka', kedua-dua kerajaan ini bertemu dan pada tahun 1562, tercetusnya peperangan antara Goa dan Bone.

Gowa dibantu oleh Luwu', Wajo' dan Soppeng. Kematian raja Gowa menyebabkan termeterainya perjanjian perdamaian antara Gowa dan Bone iaitu Perjanjian Caleppa. Mengikut perjanjian itu,Sungai Tangka' dijadikan sempadan antara kedua-dua negeri tersebut. Bone pula diiktiraf sebagai pemerintah di sebelah barat Walennae dan seluruh Cenrana.

Kemunculan Kerajaan Makassar[sunting | sunting sumber]

Gowa yang ketika berjaya menguasai tanah pertanian dan persisiran pantai yang strategik turut dikenali sebagai Makassar oleh pedagang-pedagang asing dan bermula pada pertengahan abad ke-16 mula membangunkan aktiviti maritimnya. Negeri ini mendapat sokongan padu dari orang Melayu yang menetap di situ dan juga Portugis juga menetap di negeri itu.

Polisi maritimnya dan dibantu dengan hegemoninya di Sulawesi Selatan menyumbang kepada kekuatan kerajaan ini. Makassar ketika itu menghubungkan pelbagai kerajaan di Kepulauan Melayu.

Kemasukan Islam[sunting | sunting sumber]

Pada pertengahan abad ke-16, persaingan antara Kristian dan Islam semakin sengit di Sulawesi Selatan. Negeri-negeri di sekitar Sulawesi Selatan sudahpun diislamkan. Pada tahun 1575, Abdul Makmur seorang Minangkabau datang ke Sulawesi Selatan untuk menyebarkan Islam. Ketika di Kutai, beliau berjaya mengislamkan penduduk di sana. Pada tahun 1580, Sultan Ternate, Babullah meminta agar Manrio Gau, raja Gowa, untuk memeluk Islam kerana Ternate ketika itu bermusuh dengan Portugis.

Persaingan antara Islam dan Kristian di Makassar disebabkan oleh raja Makassar sendiri yang tidak dapat memilih antara dua agama ini. Maka beliau meminta seorang paderi dari Portugis di Melaka dan seorang ulama dari Acheh. Ulama dari Acheh sampai dahulu di Makassar dan dengan itu raja Makassar membuat keputusan untuk memeluk Islam.

Abdul Makmur (Dato' ri Bandang) kemudiannya melawat semula Makassar bersama dua orang temannya iaitu Sulaiman (Dato' ri Pa'timang) dan Abdul Jawad (Dato' ri Tiro). Pemerintah Luwu' berjaya diislamkan oleh mereka dan memakai gelaran Sultan Muhammad. Kemudiannya Islam tersebar di seluruh Sulawesi Selatan atas jasa ketiga-tiga pendakwah ini.

Penguatkuasaan syariah[sunting | sunting sumber]

Selepas pengislaman Bugis, Dato' Ri Bandang mula menumpukan perhatian kepada penguatkuasaan Syaria. Ajaran-ajaran Islam diserapkan kedalam kebudayaan tempatan dan unusur-unsur tempatan yang menentang ajaran Islam diharamkan. Disetiap negeri, masjid-masjid dibina dan qadi, imam dan khatib dilantik. Golongan bangsawan memainkan peranan yang penting dalam usaha ini.

Manakala, bagi penganut Kristian di Makassar yang kebanyakannya ialah Portugis, mereka masih dialu-alukan dan dilayan dengan sebaiknya.

Berakhirnya persaingan hegemoni di Sulawesi Selatan[sunting | sunting sumber]

Di antara akhir abad ke-17 dan permulaan abad ke-19, Sulawesi Selatan mengalami perubahan politik disebabkan oleh kejatuhan Makassar ke tangan Belanda, perbalahan dalaman dan pendedahan kepada kebudayaan barat. Selepas kejatuhan Makassar, orang Bugis kemudiannya bertebaran di seluruh Kepulauan Melayu termasuklah Tanah Melayu.

Kejatuhan Makassar[sunting | sunting sumber]

Pada awal abad ke-17, Makassar mencapai kemuncaknya, pengaruhnya tersebar luas ke suluruh Sulawesi Selatan dan menjadi kuasa maritim yang kuat di kepulauan itu. Manakala jalan perhubungan menjadi semakin penting untuk mereka yang ingin melepaskan diri dari Belanda. Komoditi utama ketika ini ialah rempah-ratus dari Maluku dan ketika ini, Makassar sudahpun memulakan polisi perdagangan bebasnya.

Komuniti Melayu memainkan peranan yang penting dalam pembangunan Makassar. Kebanyakan kapal-kapal yang singgah di Makassar ialah milik mereka. Pedagang Bugis juga mula memainkan peranan penting. Pada pertangahan abad ke-17, perkahwinan antara golongan bangsawan Makassar dan Bugis menyumbang kepada perkembangan komuniti Bugis di Gowa. Malahan, persekutuan antara Gowa dan Wajo' membawa kepada perkembangan maritim di Makassar.

Antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan Makassar ialah kehadiran Portugis yang lari dari Melaka. Pada tahun 1641, Belanda berjaya menguasai Melaka dan ini menyebabkan Portugis terpaksa menjadi pelarian perang dan mencari perlindungan di Makassar. Mereka mempunyai penempatan sendiri di Makassar di Barobboso dan dilengkapi dengan gereja dan paderi sendiri. Mereka juga hidup secara harmoni dengan penduduk tempatan malah turut membuat usaha sama dengan pedagang-pedagang Makassar. Portugis juga memainkan peranan dalam membekalkan senjata api kepada Makassar dan juga menjadi agen dalam menterjemah tulisan rumi dan ilmu-ilmu barat seperti matematik, arkitek, astronomi dan geografi. Kebanyakan golongan pemerintah Makassar mampu membaca dan menulis di dalam Portugis.

Pada tahun 1613, Syarikat Hindia Timur Inggeris membuka cawangan mereka di sana. Ia diikuti dengan Syarikat Hindia Timur Denmark pada tahun 1618 dan Perancis pada tahun 1622. Pada tahun 1615, Belanda meminta hak monopoli dari Sultan Makassar dan semestinya ia ditolak. Makassar bersama Ternate kemudiannya menyerang Belanda di Maluku dan pada tahun 1634, Makassar dan Ternate menyokong pemberontakkan Ambon. Makassar juga turut menyerang kubu Belanda di Buton. Pada tahun 1660, sebuah kapal Portugis berjaya dimusnahkan oleh Belanda dan ini disebabkan oleh bantuan seorang putera Bone. Arung Palakka.

Selama 20 tahun, Gowa dan Bone bermusuhan sesama sendiri dalam menguasai Sulawesi Selatan dan dimana Gowa menjadi pemenangnya. La Ma'daremmeng (raja Bone) sendiri menjadi tawanan perang apabila Bone jatuh ketangan Gowa. Manakala tampuk pemerintahan Bone digantikan dengan wakil Makassar dan Bone diletakkan sebagai sebuah koloni Makassar. Ini menimbulkan perasaan ketidak puasan hati dikalangan rakyat Bone dan sekaligus mencetuskan perasaan ingin membalas dendam.

Peluang Bone untuk membalas dendam akhirnya terbuka melalui permusuhan Makassar dan Belanda. Manakala di Buton, putera Arung Palakka yang mendapat perlindungan di sana bersekutu dengan Belanda untuk menyerang Makassar. Pada tahun 1666, Bugis dan Belanda dibantu pasukan tentera dari Ternate, Ambon dan Buton berjaya menguasai Makassar. Serangan dari laut diketuai oleh Belanda manakala dari darat oleh Bugis. Pada 18 November 1667, Sultan Hasanuddin menandatangani perjanjian Bongaya. Di dalam perjanjian ini, Makassar hendaklah memusnahkan semua kubu-kubunya, memberhentikan perdagangan rempah-ratus, memberhentikan impot masuk barang kecuali dari Belanda, menghalua keluar Postugis dari Makassar dan melepaskan mana-mana pertuanan mereka di Sulawesi mahupun di Kepulauan Melayu.

Situasi baru Bugis[sunting | sunting sumber]

Bone walaupun memainkan peranan yang terhad dalam perjanjian Bongaya dapat mengekalkan kemerdekaan mereka sehinggalah ke abad 19. Pergerakkan untuk menyatukan negeri-negeri Bugis pula mengalami kebuntuan dengan kehadiran Belanda.

Kesan lain disebabkan kejatuhan Makassar ialah terdapat migrasi Bugis ke Jawa, Sumatra, Tanah Melayu dan juga Siam. Golongan bangsawan Makassar membantu pemberontakkan di Jawa menentang Belanda. Manakala kebanyakan Bugis dan Makassar berhijrah keluar kerana sumber perdagangan mereka telah diterhadkan. Perantau ini kebanyakan mula mencari tempat baru di barat Kepulauan Melayu. Mereka berjaya mendapat kedudukan di empayar Johor-Riau dan memainkan peranan yang penting dalam perbalahan antara sultan Melayu.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]