Pengurusan sisa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tong beroda biru di Berkshire, England
Pengurusan sisa di Kathmandu (Nepal)

Pengurusan sisa ialah pemungutan, pemprosesan, pengitaran semula atau pembuangan, dan pengawasan bahan sisa.[1] Frasa ini biasanya dikaitkan dengan bahan yang dihasilkan oleh kegiatan manusia, dengan pengurusan sisa umumnya dilakukan untuk mengurangkan kesannya pada kesihatan, persekitaran atau estetik. Pengurusan sisa boleh membabitkan pepejal, cecair, gas, atau bahan radioaktif, dengan kaedah dan kepakarannya berbeza-beza.

Amalan pengurusan sisa berbeza antara negara maju dengan negara membangun, antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar, dan antara penghasil kawasan kediaman dan penghasil industri. Pengurusan untuk sisa tak berbahaya bagi kawasan kediaman dan institusi di kawasan metropolitan biasanya merupakan tanggungjawab pihak berkuasa kerajaan tempatan, manakala sisa tak berbahaya komersil dan perindustrian biasanya merupakan tanggungjawab penjananya.


Kaedah[sunting | sunting sumber]

Kaedah pembuangan[sunting | sunting sumber]

Tanah isian[sunting | sunting sumber]

Kegiatan tanah isian di Hawaii.

Membuang sampah ke dalam tanah isian membabitkan penanaman sampah, dengan kaedah ini masih merupakan amalan yang biasa di kebanyakan negara. Tanah isian sering ditempatkan di kuari tertinggal, lowong lombong, dan lubang pinjaman. Tanah isian yang direka bentuk serta diurus dengan baik dapat memberikan kaedah yang bersih dan agak murah untuk membuang sampah. Sebaliknya, tanah isian yang lebih lama dan tidak direka bentuk serta diurus dengan baik boleh mengakibatkan kesan alam sekitar yang buruk seperti sampah dibawa angin, tarikan kutu, dan penjanaan bahan larut lesap cecair. Satu lagi keluaran sampingan biasa tanah isian ialah gas (sebahagian besarnya terdiri daripada metanol dan karbon dioksida) yang dihasilkan apabila sisa organik dipecahkan secara anaerob. Gas ini boleh mengakibatkan masalah bau, membunuh tumbuh-tumbuhan, dan merupakan gas rumah tanaman.

Kenderaan pemadatan tanah isian dalam tindakan.

Ciri reka bentuk tanah isian moden termasuk kaedah untuk mengurangkan bahan larut lesap seperti tanah liat atau bahan pelapis plastik. Sisa yang dilonggokkan biasanya dipadatkan untuk meningkatkan kepadatan dan kestabilannya, lalu ditutup untuk mengelakkan sebarang penarikan vermin (seperti tikus). Banyak tanah isian juga memiliki sistem pengekstrakan gas tanah isian untuk mengeluarkan gas tersebut. Gas itu dipam ke luar tanah isian dengan menggunakan paip lelubang dan dinyala atau dibakar di dalam enjin gas untuk menjanakan elektrik.

Penunuan[sunting | sunting sumber]

Loji penunuan Spittelau di Vienna.

Penunuan ialah kaedah pembuangan yang membabitkan pembakaran bahan sisa. Kaedah ini serta sistem-sistem pengolahan sisa suhu tinggi yang lain kekadang digelar "pengolahan haba". Penunu mengubah bahan sisa menjadi haba, gas, wap, dan abu.

Penunuan dilakukan pada kedua-dua skala kecil oleh individu dan skala besar oleh industri. Ia digunakan untuk menghapuskan sisa pepejal, cecair, dan gas dan diiktiraf sebagai kaedah yang praktis untuk menghapuskan sesetengah bahan sisa berbahaya (seperti sisa perubatan biologi). Penunuan merupakan kaedah pelupusan buangan yang berkontroversi kerana isu-isu seperti pengeluaran bahan pencemar.

Penunuan adalah biasa di negara-negara yang tidak luas seperti negeri Jepun kerana kemudahan-kemudahan itu umumnya tidak memerlukan kawasan besar, apabila dibandingkan dengan kaedah tanah isian. Sisa-kepada-tenaga (WtE) atau tenanga-daripada-sisa (EfW) merupakan istilah yang umum untuk merujuk kepada kemudahan-kemudahan yang membakar sisa di dalam relau atau dandang bagi menjanakan haba, wap dan/atau elektrik. Pembakaran di dalam penusu tidak selalu sempurna dan oleh itu, terdapat kebimbangan tentang bahan pencemar mikro di dalam gas yang keluar dari corong penusu. Kebimbangan tertentu menumpukan sesetengah bahan organik yang tidak hilang-hilang seperti dioksin yang mungkin dihasilkan di dalam penusu dan kemudian menjejaskan persekitaran di kawasan yang berhampiran. Walaupun demikian, kaedah ini masih disukai kerana ia dapat menghasilkan haba untuk digunakan sebagai tenaga.

Kaedah pengitaran semula[sunting | sunting sumber]

PVC, LDPE, PP, dan PS (lihat kod pengecaman damar) dapat dikitar semula, walaupun bahan-bahan itu biasanya tidak dipungut. Barang-barang tersebut biasanya terdiri daripada sejenis bahan sahaja dan oleh itu, menyebabkannya agak mudah dikitar semula menjadi keluaran baharu. Pengitaran semula barang-barang yang kompleks (seperti komputer and kelengkapan elektronik) adalah lebih sukar kerana barang-barang itu perlu dibuka dan dipisahkan.

Pemprosesan semula biologi[sunting | sunting sumber]

Suatu longgokan kompos aktif.

Bahan sisa yang bersifat organik seperti bahan tumbuh-tumbuhan, sisa makanan, dan keluaran kertas dapat dikitar semula dengan menggunakan proses pengomposan dan pencernaan biologi untuk menguraikan jirim organik. Bahan organik yang dihasilkan kemudian dikitar semula menjadi sungkup atau kompos bagi tujuan pertanian atau pelandskapan. Tambahan lagi, gas sisa daripada proses itu (seperti metana) dapat dikumpul dan digunakan untuk menjanakan elektrik. Tujuan pemprosesan biologi dalam pengurusan sisa pada dasarnya adalah untuk mengawal dan mempercepat proses semula jadi penguraian jirim organik.

Terdapat amat banyak kaedah dan teknologi pengomposan dan pencernaan yang berbeza-beza dari segi kekompleksan, iaitu dari longgokan kompos rumah yang mudah sehingga pencernaan bekas tertutup skala perindustrian sisa rumah campuran (lihat pengolahan biologi mekanik). Semua kaedah penguraian biologi biasanya dibezakan kepada kaedah aerob dan kaedah anaerob, walaupun terdapat banyak kacukan yang terdiri daripada kedua-dua kaedah tersebut.

Salah satu contoh pengurusan sisa menerusi pengomposan ialah Green Bin Program di Toronto, Kanada. Dalam program tersebut, sisa organik rumah (seperti sisa makanan dan keratan tumbuh-tumbuhan) dikumpulkan ke dalam sebuah bekas yang khusus lalu dikomposkan.

Pemulihan tenaga[sunting | sunting sumber]


Kandungan tenaga bahan sisa dapat dimanfaatkan, baik secara langsung dengan menggunakannya sebagai bahan api kebakaran langsung, mahupun secara tidak langsung dengan memprosesnya menjadi jenis bahan api yang lain. Pengitaran semula menerusi pengolahan haba berbeza-beza daripada menggunakan bahan sisa sebagai sumber bahan api untuk pemasakan atau pemanasan kepada bahan api dandang untuk menjanakan wap dan elektrik di dalam turbin.

Pirolisis dan pengegasan merupakan dua bentuk pengolahan haba yang berkait, dengan bahan sisa dipanaskan sehingga suhu yang tinggi menerusi penggunaan oksigen yang terhad. Proses itu biasanya dilakukan di dalam sebuah bekas terkedap di bawah tekanan yang tinggi. Pirolisis sisa pepejal menukarkan bahan tersebut menjadi produk pepejal, cecair, dan gas. Cecair dan gas boleh dibakar untuk menghasilkan tenaga atau ditapis menjadi produk-produk yang lain. Sisa pepejal (arang) juga boleh ditapis lagi supaya dijadikan produk-produk seperti karbon diaktifkan. Pengegasan dan pengegasan arka plasma juga digunakan untuk mengubah bahan organik secara langsung menjadi gas buatan (singas) yang terdiri daripada karbon monoksida dan hidrogen. Gas itu kemudian dapat dibakar untuk menghasilkan elektrik dan wap.

Kaedah pengelakan dan pengurangan[sunting | sunting sumber]

Salah satu kaedah penting pengurusan sisa ialah pengurangan sisa, iaitu mencegah penghasilan bahan sisa. Kaedah-kaedah pengelakan termasuk:

  • menggunakan semula produk terpakai;
  • membaiki barang rosak demi mengelakkan pembelian barang baharu;
  • mereka bentuk produk yang dapat diisi semula atau digunakan semula (seperti menggunakan beg membeli-belah kapas sebagai ganti untuk beg plastik);
  • menggalakkan pengguna mengelakkan penggunaan produk pakai buang (seperti kutleri pakai buang);
  • mengeluarkan sebarang makanan/cecair yang tertinggal di dalam tin, bungkusan, dan sebagainya; [2] dan
  • mereka bentuk produk yang tidak banyak menggunakan bahan untuk mencapai tujuan yang sama (misalnya meringankan tin minuman Diarkibkan 2009-02-25 di Wayback Machine).

Pengendalian dan pengangkutan sisa[sunting | sunting sumber]

Trak sampah muatan depan yang tipikal di Amerika Utara.

Kaedah pemungutan sisa berbeza-beza antara negara dan antara wilayah. Perkhidmatan pemungutan sisa dalam negeri seringnya dibekalkan oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan atau sektor swasta. Sesetengah kawasan, khususnya di negara yang kurang maju, tidak mempunyai sebarang sistem pemungutan sisa yang formal. Contoh-contoh sistem pengendalian sisa termasuk:

  • Di Australia, pemungutan tepi jalan ia kaedah pelupusan buangan. Setiap rumah tangga bandar dibekalkan tiga tong oleh majlis perbandaran: satu tong untuk barang yang dapat dikitar semula, satu lagi untuk buangan am, dan yang lain untuk bahan taman. Banyak rumah tangga juga mempunyai tong kompos, tetapi tong itu tidak dibekalkan oleh majlis perbandaran. Untuk menggalakkan pengitaran semula, majlis perbandaran juga membekalkan tong kitar semula yang lebih besar daripada tong yang lain. Buangan kawasan perbandaran, buangan komersil dan perindustrian, serta buangan pembinaan dan perobohan dibuang ke dalam kawasan tanah isian. Menurut ABS, kadar pengitaran semula adalah tinggi dan 'kian bertambah, dengan 99% daripada semua rumah tangga melaporkan bahawa mereka mengitar semula atau menggunakan semula sesetengah buangan mereka pada tahun yang lalu (tinjauan 2003), suatu kenaikan dari kadar 85% pada 1992'. Ini menunjukkan bahawa orang Australia menyukai pengitaran semula sisa daripada penggunaan tanah isian. Antara jumlah buangan yang dihasilkan pada 2002–03, '30% daripada buangan kawasan perbandaran, 44% daripada buangan komersil dan perindustrian, dan 57% daripada buangan pembinaan dan perobohan' telah dikitar semula. Tenaga juga dihasilkan daripada buangan, dengan sebahagian gas tanah isian dikumpulkan untuk menjana bahan api atau elektrik. Rumah tangga dan industri tidak dikenakan bayaran untuk buangan yang dihasilkan.
  • Di Eropah serta beberapa wilayah yang lain di sekeliling dunia, sesetengah komuniti menggunakan sistem pemungutan hak milik yang dikenali sebagai Envac untuk menghantar buangan melalui konduit bawah tanah menerusi sistem vakum.
  • Di Kanada, pemungutan tepi jalan di pusat bandar merupakan kaedah pelupusan buangan yang paling biasa. Majlis perbandaran memungut buangan dan/atau barang boleh kitar semula pada waktu yang tertentu. Di kawasan luar bandar, penghuni seringnya melupuskan buangan mereka dengan menghantarnya ke stesen pemindahan. Buangan yang dipungut kemudian dihantar ke tanah isian kawasan.
  • Di Taipei, kerajaan bandar mengenakan bayaran pada rumah tangga dan industri ke atas jumlah buangan yang dihasilkan. Buangan hanya akan dipungut oleh majlis perbandaran jika ia dibuang ke dalam beg sampah yang dibekalkan oleh kerajaan. Dasar ini telah berjaya mengurangkan jumlah buangan bandar dan meningkatkan kadar pengitaran semula.

Teknologi[sunting | sunting sumber]

Dari segi tradisi, industri pengurusan sisa amat perlahan menerima teknologi baru seperti teg RFID, GPS, dan pakej perisian yang dapat memberikan data yang lebih bermutu tanpa menggunakan penganggaran atau kemasukan data manual.

  • Teknologi seperti teg RFID dapat mengumpulkan data tentang kadar penyampaian untuk pemungutan tepi jalan yang amat berguna sewaktu mengkaji penggunaan tong kitar semula atau yang serupa.
  • Penjejakan GPS menawarkan banyak faedah apabila menimbangkan kecekapan pemungutan ad hoc (seperti tong pengangkut), iaitu pemungutan yang dilakukan berdasarkan permintaan pengguna.
  • Pakej perisian bersepadu amat berguna untuk mengumpulkann data bagi tujuan mengoptimumkan pengendalian pemungutan sisa.

Konsep pengurusan sisa domestik[sunting | sunting sumber]

Terdapat sebilangan konsep pengurusan sisa yang berbeza dari segi penggunaannya antara negara atau wilayah. Tiga konsep yang paling umum dan yang digunakan secara meluas termasuk:

Gambar rajah hierarki sisa
  • Hierarki sisa - Hierarki sisa yang masih merupakan andaian asas kepada kebanyakan strategi peminimuman sisa merujuk kepada "3 R" (Reduce, Reuse, dan Recycle, iaitu Kurangkan, Gunakan Semula, dan Kitar Semula). Ia mengkategorikan strategi pengurusan sisa mengikut kebaikan dari segi peminimuman sisa. Tujuannya adalah untuk mendapatkan sebanyak faedah yang mungkin daripada setiap produk serta untuk mengurangkan sisa dengan seberapa yang dapat.
  • Tanggungjawab penghasil terluas - Tanggungjawab penghasil terluas (EPR: Extended Producer Responsibility) ialah strategi yang direka bentuk untuk mempromosikan penyatuan semua kos yang berkait dengan sesuatu produk pada sepanjang kitaran hayatnya (termasuk kos pelupusan pada akhir hayat) ke dalam harga pasaran keluaran. Ia bertujuan untuk mengenakan kebertanggungjawapan kepada seluruh kitaran hayat bagi semua produk dan bungkusan yang diperkenalkan kepada pasaran. Ini bermaksud bahawa syarikat-syarikat yang mengilang, mengimport, dan/atau menjual produk diperlukan bertanggungjawab kepada produk mereka selepas hayat berguna dan bukan sahaja sewaktu mengilangnya.
  • Prinsip Pencemar Bayar - Prinsip Pencemar Bayar ialah prinsip yang memerlukan pihak pencemar membayar kerana kesan sisa yang dijanakannya pada persekitaran. Sehubungan dengan pengurusan sisa, ini umumnya merujuk kepada keperluan penjana sisa untuk membayar kos pelupusan buangannya.

Pendidikan dan kesedaran[sunting | sunting sumber]

Pendidikan dan kesedaran dalam bidang sisa dan pengurusan sisa kini semakin penting dari sudut pandangan sejagat pengurusan sumber. Pengistiharan Talloires merupakan pengistiharan kebolehkekalan tentang pencemaran dan penguraian alam sekitar, serta penyusutan sumber semula jadi pada skala dan kepantasan yang tidak pernah berlaku dahulu. Pencemaran udara tempatan, wilayah dan sejagat; penghimpunan dan penyebaran sisa toksik; pemusnahan serta penyusutan hutan, tanih, dan air; penyusutan lapisan ozon dan pengeluaran gas "rumah tanaman"... kesemua ini mengancam kemandiran manusia dan beribu-ribu spesies hidupan lain, ketekalan bumi dan biokepelbagaiannya, keselamatan negara, serta warisan kepada generasi masa depan. Beberapa universiti telahpun melaksanakan Pengistiharan Talloires dengan menubuhkan program pengurusan alam sekitar dan pengurusan sisa, misalnya projek universiti pengurusan sisa. Pendidikan universiti dan vokasional telah dipromosikan oleh pelbagai organisasi seperti WAMITAB dan Chartered Institution of Wastes Management. Banyak pasar raya juga menggalakkan pelanggan mereka menggunakan mesin layan diri balikan untuk memasukkan bekas belian terpakai dan menerima bayaran balik daripada yuran kitar semula. Jenama yang mengeluarkan mesin sedemikian termasuk Tomra dan Envipco.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "What is Waste Management?". 2009.
  2. ^ Removing food remains to reduce waste

Pautan luar[sunting | sunting sumber]