Peperangan Islam-Rom Byzantine

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Peperangan Arab Islam-Rom Byzantine
Sebahagian daripada Penaklukan Islam
Greekfire-madridskylitzes1.jpg
Senjata penyembur api, pertama kali digunakan tentera laut Byzantine semasa Peperangan Islam-Rom Byzantine.
Maklumat am
Tarikh 629, 634-717, 800-an-1025, 1169, 1299-1453
Lokasi Palestin, Syria, Mesir, Afrika Utara, Anatolia, Crete, Sicily
Hasil Kemenangan Muslim, Empayar Byzantine ditakluk
Perubahan wilayah Palestin, Mesir dan seluruh Afrika Utara diilhak Arab.
Pihak yang berperang
Empayar Byzantine,
Arab Ghassanid,
Empayar Bulgaria (kemudian),
Kerajaan Hungary (kemudian)
Khulafa al-Rasyidin,
Kerajaan Bani Ummaiyyah
Kerajaan Bani Abbasiyyah
Empayar Turki Uthmaniyyah
Komander dan pemimpin
Empayar Byzantine Khilafah Ummayyah, kemudian Abbassiyyah, kemudian Uthmaniyyah
sunting
Lihat pendokumenan templat ini

Peperangan Islam-Rom Byzantine merujuk kepada pertempuran antara tentera Islam Arab dengan tentera Empayar Rom Byzantine yang rata-ratanya penganut Kristian. Peperangan ini berlaku dalam tempoh yang paling lama dalam sejarah peperangan manusia iaitu selama 820 tahun dari tahun 633 M hinggalah ke tahun 1453 M.

Pertempuran ini berlaku peringkat awalnya di bawah pemerintahan Khulafa al-Rasyidin di sekitar tahun 633M sehingga 655M. Kemudian diikuti dengan Kerajaan Bani Ummaiyyah daripada tahun 661M sehingga 1031M, Bani Abbasiyyah yang membawa kepada siri Perang Salib dari tahun 1091M hingga tahun 1291M, hinggalah ke kerajaan Turki Uthmaniyyah yang berjaya menamatkan empayar Rom Byzantine pada sekitar Mei tahun 1453M.

Keadaan semasa[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua empayar iaitu Rom Byzantine dan Parsi Sassanid menganggap bangsa Arab bukan merupakan ancaman besar bagi mereka pada ketika itu. Ini berdasarkan keadaan logistik, bentuk muka buminya yang berbukit, kegiatan harian orang Arab dan maklumat yang diperolehi daripada mereka yang tinggal di sempadan tanah Arab. Bangsa Arab ketika itu dikenali sebagai bangsa yang liar, keras dan suka membuat kekacauan di sempadan wilayah kedua-dua empayar. Struktur masyarakatnya yang sukar ditadbir oleh kedua-dua empayar dan kawasannya yang mempunyai hasil bumi yang sangat sedikit menyebabkan kedua-dua empayar tidak berminat untuk menakluk semenanjung tanah Arab. Disebabkan itulah kedua-dua kerajaan menubuhkan kerajaan campuran yang bertindak sebagai kerajaan pengaman dan penampan daripada kekacauan bangsa Arab. Untuk itu, kerajaan Lakhmid didirikan di Hirah bagi mewakili empayar Parsi manakala kerajaan Ghassan ditubuhkan sebagai lambang kuasa empayar Rom. Kawasan semenanjung Arab ketika itu dikenali sebagai pusat persinggahan para peniaga yang berulang-alik ketika berurusniaga.

Selepas tamatnya peperangan antara tentera Rom Byzantine dan tentera Parsi Sassanid dalam siri Peperangan Sassanid-Byzantine yang terakhir di Nineveh pada tahun 627 M, kedua-dua empayar mengalami masalah dalaman yang serius seperti masalah cukai yang tinggi, pertembungan sosio-budaya antara kerajaan Arab-Parsi iaitu Lakhmid yang berpusat di Hirah dengan empayar naungannya kerajaan Parsi Sassanid dan kerajaan Arab-Rom iaitu Ghassan yang berpusat di Damsyik dengan kerajaan naungannya Rom Byzantine. Tambahan pula dengan kedua-dua pihak mengalami keletihan selepas tempoh peperangan begitu lama dalam siri Peperangan Sassanid-Byzantine.

Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW pada tahun 632 Masihi, seluruh penduduk semenanjung Arab disatukan di bawah agama Islam mula memberikan ancaman yang besar. Pengganti Nabi Muhammad, khalifah Abu Bakar mula melancarkan serangan ke atas Syria dan Palestin dan berjaya menyatukan kedua-dua bandar ini menjadi sebahagian daripada negara Islam. Namun begitu, kedua-dua kota ini dituntut oleh empayar Rom atau Byzantine dan juga empayar Parsi Sassanid. Peristiwa ini seterusnya mengubah suasana dan geopolitik serta pengaruh masyarakat Arab kepada tamadun dunia.

Ancaman[sunting | sunting sumber]

Setelah adanya ancaman ketenteraan yang serius dari pihak Arab Islam, kedua-dua empayar yang terkejut dengan serangan tentera Islam mula menumpukan kegiatan ekonominya untuk membiayai perbelanjaan ketenteraan bagi menghadapi kemaraan tentera Islam.

Kedua-dua empayar berpendapat bahawa serangan tentera Islam bukan hanya untuk melakukan kekacauan seperti mana keadaan Arab sebelum kedatangan Islam, tetapi serangan mereka lebih kepada perancangan untuk meluaskan jajahan serta menakluk wilayah Parsi dan Rom.

Ketika inilah bermulanya siri Peperangan Islam-Rom Byzantine di sebelah barat Arab dan peperangan dalam usaha untuk menyebarkan Islam di Parsi di bahagian timur Arab.

Khulafa al-Rasyidin[sunting | sunting sumber]

Peperangan untuk menakluki empayar Rom Byzantine telah dimulakan sejak zaman Nabi Muhammad dalam Perang Mu'tah. Kemudian, usaha ini diteruskan oleh tiga orang Khulafa al-Rasyidin yang terawal iaitu Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Uthman bin Affan. Pada ketika pemerintahan Ali bin Abi Thalib, usaha penyebaran Islam terhenti buat seketika kerana terdapatnya pergolakan dalaman yang membawa kepada Perang Jamal, Perang Siffin dan seterusnya membawa kepada peristiwa pembunuhan Khulafa al-Rasyidin keempat itu. Terdapat lebih daripada sepuluh peperangan antara tentera Islam dengan tentera Byzantine ketika era pemerintahan Khulafa al-Rasyidin.