Perancangan bahasa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rencana ini adalah mengenai bidang perancangan dan dasar bahasa. Sila lihat bahasa buatan untuk rencana mengenai penciptaan bahasa-bahasa terancang atau buatan.

Perancangan bahasa merujuk kepada usaha-usaha yang disengajakan untuk mempengaruhi tingkah laku orang-orang lain dari segi pemerolehan, struktur, atau peruntukan fungsi bahasa. Biasanya, ia akan membabitkan perkembangan matlamat, objektif, dan strategi untuk mengubah cara bagaimana bahasa digunakan. Pada peringkat kerajaan, perancangan bahasa mengambil bentuk dasar bahasa. Banyak negara mempunyai badan kawal atur bahasa yang ditugasi secara khusus untuk merumuskan dan melaksanakan dasar-dasar perancangan bahasa.

Istilah 'perancangan bahasa' sering dikaitkan dengan konteks dunia ketiga, dan dilihat sebagai suatu alat untuk mengasaskan bahasa kebangsaan piawai sebagai sebahagian proses pemodenan dan pembangunan negara. Sebenarnya, perancangan bahasa bukannya fenomena yang baru atau terbatas kepada dunia ketiga.

Perancangan bahasa boleh dibahagikan kepada tiga sub-dimensi:

  • Perancangan korpus merujuk kepada campur tangan dalam bentuk-bentuk sebuah bahasa. Ini mungkin boleh dicapai melalui mencipta kata-kata atau ungkapan-ungkapan yang baru, mengubah suai yang lama, atau memilih antara bentuk-bentuk alternatif. Perancangan korpus bertujuan untuk mengembangkan sumber-sumber sebuah bahasa supaya ia akan menjadi satu perantara komunikasi yang sesuai untuk topik-topik moden dan bentuk-bentuk huraian yang dilengkapi dengan istilah yang diperlukan untuk kegunaan pentadbiran, pendidikan, dan sebagainya. Perancangan korpus sering dikaitkan dengan pemiawaian sesebuah bahasa, dan membabitkan penyediaan ortografi normatif, tatabahasa, dan kamus untuk panduan penulis dan penutur di dalam sebuah komuniti pertuturan. Usaha-usaha ketulenan bahasa dan penyisihan kata-kata asing (sila lihat perlindungan linguistik) juga termasuk dalam bidang perancangan korpus, serta juga reformasi ejaan dan pengenalan sistem-sistem tulisan baru (umpamanya, bahasa Turki). Bagi sebuah bahasa yang dahulunya tidak tertulis, langkah pertama dalam perancangan korpus ialah pengembangan sebuah sistem tulisan.
  • Perancangan status merujuk kepada usaha-usaha untuk memperuntukkan fungsi-fungsi bahasa dan kenal huruf di dalam sebuah komuniti pertuturan. Ia membabitkan pilihan status, dan menyebabkan sesuatu bahasa atau kelainan menjadi sebuah 'bahasa rasmi', 'bahasa kebangsaan', dan sebagainya. Seringnya, perancangan status akan melibatkan peningkatan sebuah bahasa atau loghat menjadi sebuah kelainan prestij yang mungkin menjejaskan loghat-loghat yang bersaingan. Perancangan status ialah perkara yang mesti bagi mewujudkan sebuah sistem tulisan yang baru kerana sebuah sistem tulisan hanya dapat diperkembangkan selepas suatu loghat yang sesuai telah dipilih sebagai piawai. Perancangan status cenderung merupakan aspek perancangan bahasa yang paling penuh dengan perbalahan (sila lihat rencana mengenai dasar bahasa).
  • Perancangan pemerolehan adalah berkenaan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa, baik bahasa kebangsaan mahupun bahasa kedua atau bahasa asing. Ia melibatkan usaha-usaha untuk mempengaruhi bilangan pengguna serta pengagihan bahasa dan kenal huruf yang dicapai melalui mencipta peluang atau insentif untuk membelajarinya. Usaha-usaha ini mungkin mendasari dasar-dasar asimilasi atau kemajmukan. Perancangan pemerolehan adalah berkait secara langsung dengan penyebaran bahasa. Sedangkan perancangan pemerolehan biasanya merupakan bidang kerajaan-kerajaan negara, kawasan, atau tempatan, badan-badan seperti British Council, Alliance française, Instituto Cervantes, dan Goethe-Institut juga amat giat dalam mempromosikan pendidikan dalam bahasa masing-masing.

Perancangan bahasa tidak semestinya dilaksanakan pada peringkat negara. Ia juga boleh dilakukan oleh kumpulan-kumpulan etnik, agama, atau pekerjaan. Satu kumpulan yang bertanggungjawab kepada banyak perancangan bahasa di seluruh dunia, khususnya untuk kaum-kaum yang mempunyai bahasa tak tertulis, ialah SIL Antarabangsa (pada asalnya, "Institut Linguistik Musim Panas" di Amerika Syarikat. Perancangan bahasa juga boleh dilaksanakan dari bawah ke atas, seperti gerakan untuk bahasa bukan seksis di Amerika Syarikat yang berasal daripada kumpulan-kumpulan kewanitaan golongan bawah.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • TAULI, V. (1968) Introduction to a theory of language planning, Uppsala.
  • CALVET, L.J. (1987) La guerre des langues et des politiques linguistiques. Payot, Paris.
  • COOPER, R. L. (1989) Language planning and social change, Percetakan Universiti Cambridge, New York.
  • MAKARENKO V. A., POGADAEV, V. A. Language Situation and Language Policy in Southeast Asia. Parangalcang Brother Andrew. Festschrift for Andrew Gonzales on His Sixtieth Birthday. Editors: Ma Lourdes S. Bautista, Teodoro A. Llamzon, Bonifacio P. Sibayan. Linguistic Society of the Philippines. Manila, 2000, p. 213-225.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]