Perang Naning

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perang Naning
Tarikh6 Ogos 1831 - 15 Jun 1832
Lokasi
Keputusan Naning diilhakkan dalam Melaka
Pihak yang terlibat

 United Kingdom

Naning
Komandan dan pemimpin
United Kingdom Robert Ibbetson
United Kingdom William Thomas Lewis
Dol Said

Perang Naning ialah satu benda peperangan yang berlaku pada tahun 1831 antara penduduk Naning yang diketuai oleh Dato' Dol Said dengan pasukan tentera British di Naning (kini sebahagian daripada daerah Alor Gajah, Melaka).

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1829, pemerintah British di Melaka memaksa Naning membayar cukai tanaman sebanyak 1/10 daripada hasil perolehan. Ini dikatakan berpunca daripada kejahilan dan kesilapan Gabenor Fullerton dan Lewis, Penguasa Tanah di Melaka pada masa itu, tentang taraf Naning dan bentuk cukai yang sebenarnya wujud pada masa itu[1].

Dato' Dol Said tokoh perjuangan Naning, yang ketika itu menjadi Penghulu Naning membantah perintah membayar cukai tersebut. Berikutan itu, pada tahun 1831, satu pasukan seramai 150 orang askar Sepoi dengan dua laras meriam telah dihantar oleh Inggeris untuk menyerang Naning bagi menghapuskan Dato' Dol Said dan pengikutnya.

Dalam Perang Naning pertama yang berlangsung selama 18 hari antara 6 Ogos dan 24 Ogos 1831, pihak Inggeris ini telah berjaya ditewaskan oleh orang-orang Naning di bawah pimpinan Dato' Dol Said dengan bantuan orang-orang Rembau di bawah pimpinan Syed Shaaban menantu Raja Ali.

Pihak Inggeris sedar bahawa kekuatan Naning dan Rembau tidak mudah dikalahkan. Dengan itu dari bulan September 1831 hingga Januari 1832, pihak Inggeris telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan Raja Ali dari Rembau dan pihak kerajaan Inggeris di Melaka. Berikutan dengan perundingan yang diadakan, satu perjanjian telah dipersetujui dan ditandatangani pada pada 28hb Januari 1832. Mengikut perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju tidak akan menyerang antara satu sama lain dan Rembau diiktiraf sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran kerajaannya. [2]

Sebagai ganjaran, Raja Ali menarik balik pasukannya dari Naning dan mengurangkan kekuatannya kepada kira-kira 600 orang dan beberapa bulan kemudian bergabung dengan pasukan Inggeris. Pada bulan April, 1832 pasukan Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban dan askar-askar Inggeris berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,400 orang yang diketuai oleh Kolonel Herbert menyerang Naning bagi kali yang kedua. Dalam serangan kali kedua ini dan setelah berlaku beberapa pertempuran selama lebih kurang dua bulan, Taboh, ibu negeri dan pusat gerakan Dato' Dol Said, dapat ditawan dan Dato' Dol Said serta pengikut-pengikutnya berundur ke Pasir Besar. Dalam tempoh empat bulan, Naning jatuh ke dalam tangan Inggeris pada 15 Jun 1832.

Antara nama pahlawan yang menjadi lagenda dalam masyarakat Naning terutamanya di kawasan pekan Alor Gajah adalah Orang Kaya Marhum Berdiri. Walaupun tidak terkenal seperti Allahyarham Datuk Dol Said, namun namanya sering diceritakan dalam kalangan penduduk. Orang Kaya Marhum Berdiri atau nama sebenarnya Orang Kaya Besar Datuk Aji Marhum Berdiri merupakan seorang pembesar Tiang Balai Naning dari suku Anak Melaka Paya, merupakan Penghulu Besar di kawasan Alor Gajah. Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Orang Kaya Andika Raja Datuk Mat Sah yang merupakan Penghulu Demang di Wilayah Naning selepas perang Naning 1832.

Lagenda Orang Kaya Marhum Berdiri bermula semasa Perang Naning 1832, apabila Orang Kaya Besar Datuk Aji bermati-matian mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh bangsa Inggeris. Menurut cerita orang-orang tua, selepas orang Inggeris mengetahui kelemahan orang orang Naning, maka ketika itu gugurlah seorang demi seorang pejuang Naning sehinggalah kubu di kawasan pekan Alor Gajah berjaya ditembusi oleh  pihak Inggeris. Melihat daripada keadaan itu, maka Datuk Aji telah bermati-matian menentang askar-askar Inggeris yang terdiri daripada askar Gujerat. Ketika inilah askar-askar dari pihak Inggeris bertalu-talu menembak Datuk Aji kerana beliau menghalang kemaraan tentera Inggeris daripada menyerang Taboh Naning.

Datuk Aji dalam mempertahankan kubunya menyebabkan askar-askar Inggeris mula menjadikannya sasaran penepangan. Tembakan demi tembakan menghujani tubuhnya, namun beliau terus melibas pedangnya sehingga patah lalu mengeluarkan kerisnya untuk terus membunuh musuh. Luka tembakan menyebabkan darah beliau keluar mencurah-curah tanpa berhenti dalam jangka masa lama, Datuk Aji tidak mempedulikan tembakan-tembakan, kerana di depan matanya ia telah terlihat Syurga Allah. Selepas lama bertarung, akhirnya Datuk Aji telah meninggal dunia dalam keadaan berdiri sambil membuka kuda-kuda silat dengan tangannya menjulang keris dan matanya kelihatan putih. Maka ketika itulah beliau telah Syahid menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam keadaan berdiri memperjuangkan agama dan bangsa. Setelah diperiksa, maka kematian Datuk Aji bukanlah kerana tembakan, akan tetapi disebabkan darahnya telah kering di badan. Oleh itu, berdasarkan peristiwa ini maka wujudlah bidalan orang tua-tua iaitu berjuang sehingga titisan darah yang terakhir.

Dikhabarkan daripada orang tua-tua bahawa ketika jenazahnya hendak diusung untuk dibawa pulang ke rumah, buluh yang mengusungnya patah kerana beratnya jenazah itu. Apabila diteliti oleh ahli keluarga, maka di tubuh arwah terdapat banyak peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya sehinggakan tubuh arwah menjadi berat. Maka ketika itu ahli keluarga dan sahabat handai membantu mencungkil keluar peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya. Selepas mengeluarkan seluruh peluru di badan maka didapati peluru itu memenuhi satu batil besar.

Pihak Inggeris telah berjaya menawan Taboh. Bagi mengelakkan masalah lanjut, Dol Said telah diberikan pencen dan rumah di Melaka dan Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832 dengan disatukan bersama Melaka. Sungguhpun pihak Inggeris berjaya mengalahkan Naning, pihak British telah mengalami menanggung perbelanjaan sebanyak 100,000 paun sterling.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj (2000). Tambo Alam Naning. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). ISBN 9836247211.

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]