Perangkap laju

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Seorang pegawai polis sedang menggunakan radar pengesan kelajuan dalam satu operasi perangkap laju.

Perangkap laju adalah istilah yang digunakan bagi operasi penguatkuasaan had laju yang dilakukan oleh pihak polis. Selain itu juga, ia boleh merujuk kepada lokasi di sepanjang jalan raya atau lebuh raya yang menempatkan kamera perangkap laju.[1]. Terdapat beberapa batang jalan raya atau lebuh raya yang sangat terkenal sebagai kawasan perangkap laju melalui bilangan saman perangkap laju yang tinggi di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, terdapat banyak pihak yang menganggap saman perangkap laju diadakan oleh pihak berkuasa "bagi mengaut keuntungan" dan bukannya "bagi mencegah kemalangan jalan raya".

Bagaimana operasi perangkap laju dilaksanakan[sunting | sunting sumber]

Perangkap laju boleh dilakukan sama ada dengan menempatkan anggota polis dengan radar pengesan kelajuan ataupun dengan menggunakan kamera pengesan kelajuan yang boleh mengesan pesalah secara automatik tanpa perlu menempatkan anggota polis di tempat berkenaan. Kedua-dua alat berkenaan menggunakan prinsip kesan Doppler bagi mengukur kelajuan kenderaan dengan tepat.

Sungguhpun demikian, terdapat segelintir pemandu yang berupaya menangkis peralatan sedemikian melalui alat pengesan radar. Alat pengesan radar diharamkan di kebanyakan negara, dan pihak polis juga turut dibekalkan dengan "pengesan alat pengesan radar" (RDD; Radar Detector Detector) bagi menangkis peralatan sedemikian.

Meter laju yang digunakan pada kenderaan biasanya mengukur kelajuan sama ada daripada pusingan roda ataupun aci pemacu akhir di dalam sistem transmisi. Sungguhpun demikian, ukuran kelajuan oleh meter laju biasanya adalah kurang tepat kerana beberapa faktor seperti saiz roda dan beban spring tidak mempengaruhi bacaan kelajuan. Oleh itu, biasanya terdapat sedikit selisih antara bacaan meter laju kenderaan dengan bacaan pada radar pengesan kelajuan yang digunakan oleh pihak polis.

Perangkap laju di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, operasi perangkap laju adalah salah satu operasi yang sering dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia sebagai satu langkah pencegahan untuk menghalang pengguna jalan raya daripada memandu melebihi had laju. Mereka yang bersalah memandu melebihi had laju biasanya akan ditahan di dalam sekatan jalan raya yang dibuat tidak jauh daripada lokasi perangkap laju, ataupun menerima saman secara pos ("saman ekor"). Perlaksanaan "saman ekor" pernah beberapa kali mencetuskan kontroversi apabila terdapat beberapa pemandu yang tidak bersalah tiba-tiba menerima saman trafik; ada kalanya dengan kelajuan dikesan yang tidak masuk akal (contohnya apabila sebuah Perodua Kancil disaman pada kelajuan 200km/j).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Speed trap". Dictionary.com Unabridged (v1.1). Diperoleh pada 2007-06-26. 

Lihat juga[sunting | sunting sumber]