Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS)
ڤربادنن ڤرڤوستاكان عوام نڬري سمبيلن
Jenis/bentuk sahPerpustakaan Awam / Negeri
IndustriPerpustakaan
Ditubuhkan1952 (72 tahun yang lalu) (1952)
Ibu pejabatPersiaran S2 B2, Seremban 2, 70300, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia
Tokoh pentingYB. Dato Dr Razali Ab Malik (Pengerusi)
PerkhidmatanMaklumat/ilmu Pengetahuan
PemilikKerajaan Negeri Sembilan
Bilangan kakitangan200
Tapak webhttp://nslibrary.gov.my
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan atau PPANS adalah sebuah agensi Badan Berkanun Kerajaan Negeri Sembilan yang fungsinya utamanya adalah mengurus pusat sumber maklumat (perpustakaan) di seluruh Negeri Sembilan. PPANS ditubuhkan mengikut Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan Bil. 6 dan tahun 1974 dikuatkuasakan pada tahun 1978. PPANS diurus tadbir oleh sebuah Ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan seperti yang termaktub di dalam Enakmen.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Perpustakaan Gurney ketika Jubli Perak pada tahun 1976
PPANS mengambil alih perpustakaan ini pada tahun 1978

Perpustakaan Sir Henry Gurney (1952-1988)[sunting | sunting sumber]

Sejarah awal wujudnya perpustakaan Negeri Sembilan adalah melalui penubuhan sebuah Perpustakaan yang terletak di Jalan Dato’ Abd. Malek, Seremban iaitu Perpustakaan Sir Henry Gurney. Perpustakaan Sir Henry Gurney ini telah dibuka dengan rasminya pada 30 Julai 1952.

Menyedari tentang kepentingan perpustakaan kepada masyarakat, maka, kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil alih pentadbiran perpustakaan ini pada tahun 1978 melalui Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan ( 1974 ). Jawatankuasa Perpustakaan Gurney telah pun bersetuju untuk menyerahkan perpustakaan ini kepada Perbadanan mulai daripada 1 Oktober 1978. Pada asalnya, bangunan ini diperbuat daripada kayu dan hanya berukuran 60’x40’ serta beratap asbestos. Ianya hanya dapat menempatkan kira-kira 50 tempat duduk dan boleh menampung sejumlah 10,000 naskah buku sahaja. Bangunan tersebut telah dirobohkan dan bekas tapak tanahnya telah dimajukan.

Bangunan Lama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (1988-2007)[sunting | sunting sumber]

Perpustakaan Negeri Jalan Dato Hamzah 1988-2006

Bermula dengan Perpustakaan Sir Henry Gurney, PPANS telah berpindah dan menduduki Bangunan Lama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang terletak di Jalan Dato’ Hamzah pada tahun 1987. Projek untuk mengubahsuai bangunan ini telah dimulakan pada 29 Mac 1988 dengan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan melalui Perpustakaan Negara Malaysia dan siap pada Mei 1989, manakala perkhidmatan kepada orang ramai mula diberikan pada Ogos 1989.

Kelab Adikku[sunting | sunting sumber]

Kelab Adikku adalah salah satu kelab yang pernah ditubuhkan pada bulan Mac 1990 sehingga pertengahan 1990an, yang disasarkan kepada kanak-kanak di Negeri Sembilan yang berumur bawah 14 tahun. Lebih daripada 700 orang kanak-kanak dari seluruh negeri telah mendaftar sebagai ahli. Idea dari kelab ini dicetuskan oleh bekas pustakawan PPANS Siti Adnon Abdul Wahid[1] untuk mempromosikan PPANS secara meluas kepada orang luar.

Kelab ini beroperasi di bawah penaungan isteri kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad Menteri Besar Negeri Sembilan pada ketika itu, Allahyarhamah Puan Sri Hazizah Tumin. Beliau juga kerap datang ke perpustakaan bersama anak-anaknya untuk mengikuti aktiviti kelab tersebut.

Aktiviti-aktiviti[2] dijalankan pada hari Sabtu dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dari jam 2:30 petang hingga 4:30 petang. Sukarelawan terutamanya dari institusi pengajian tinggi membantu kakitangan perpustakaan dalam mengendalikan aktiviti seni, kraftangan, bercerita, nyanyian, kuiz dan lawatan. Latihan tambahan dalam bidang teater, nyanyian dan tarian juga disediakan. Ahli-ahli sekali sekala dijemput untuk membuat persembahan di majlis kanak-kanak dan dewasa seperti pertunjukan di RTM.[3] Kelab ini juga mengadakan rancangan radio setiap Ahad di Radio Malaysia Negeri Sembilan (atau dahulunya dikenali sebagai "Radio 3 Seremban") dari jam 2 hingga 3 petang yang disiarkan di seluruh negeri. Aktiviti yang dijalankan di radio secara langsung adalah nyanyian, cerita, ataupun ahli kelab berpeluang untuk menyaksikan persembahan secara langsung dari para artis tempatan seperti Andrian.[perlu rujukan]

Bagi memastikan ahli di seluruh negeri mendapat maklumat terkini, sebuah majalah bulanan yang dikenali sebagai "Berita Adikku" telah dilancarkan yang mengandungi pengetahuan am, cerita pendek yang dihantar dari ahli kelab, komik, teka-teki silang dan kuiz yang diminati oleh kebanyakan ahli.

Ikon negeri[sunting | sunting sumber]

Bangunan Perpustakaan Negeri di Jalan Dato’ Hamzah telah memberikan perkhidmatan selama enam tahun kepada masyarakat di sekitar negeri. Bangunan unik seni bina barat ini telah menjadi ikon kepada Bandar Seremban dan telah pun mendapat pengiktirafan sebagai bangunan warisan negara.[perlu rujukan] Kerajaan Negeri telah mencadangkan untuk menempatkan PPANS di Bangunan Wisma UMNO sebagai bangunan sementara Perpustakaan Negeri. Melalui peruntukan Kerajaan Negeri Sembilan, kerja-kerja mengubahsuai Bangunan Wisma UMNO untuk dijadikan Perpustakaan Negeri merangkap pusat pentadbiran PPANS telah dapat disiapkan pada 11 Januari 2007.

Bangunan Wisma UMNO Negeri Sembilan (2007 hingga 2020)[sunting | sunting sumber]

Perpustakaan Negeri Jalan Dato Sheikh Ahmad 2007-2020

Bermula pada 11 Januari 2007 juga PPANS telah berpindah ke Bangunan Wisma UMNO manakala Bangunan Perpustakaan Negeri di Jalan Dato’ Hamzah secara rasminya telah diserahkan kepada pihak pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan pada 29 Januari 2007. Perkhidmatan Perpustakaan Negeri di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad mula beroperasi pada 2 April 2007. Bangunan ini terletak di lokasi yang strategik iaitu ditengah-tengah bandar Seremban dan mampu menarik minat orang ramai untuk datang ke Perpustakaan bagi menikmati kemudahan yang disediakan. Perpustakaan Negeri terdiri daripada tiga tingkat iaitu, tingkat bawah, tingkat mezzanine dan tingkat satu. Ruang di tingkat bawah bangunan menempatkan Zon Kanak-kanak ( perkhidmatan khas untuk kanak-kanak) seluas 6,597.74 k/p dan ianya diperluaskan dengan tingkat mezzanine yang seluas 5,174 k/p bagi menempatkan Pusat Pentadbiran PPANS, manakala di tingkat satu untuk ruangan pinjaman dan rujukan dewasa seluas 8792 k/p.

Perpustakaan Bestari Samsung (2017)[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2017, pihak Samsung telah menaja perbelanjaan pengubahsuaian ruang kanak-kanak Perpustakaan Negeri Seremban kepada perpustakaan pintar Samsung. Samsung telah membelanjakan kelengkapan ubahsuai serta menyediakan peralatan serta gajet Samsung terkini bagi digunakan orang ramai untuk mencari maklumat. Perpustakaan Bestari Samsung ini dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Utama Mohamad bin Hasan pada 22 Ogos 2017.

Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (2020)[sunting | sunting sumber]

Gambar Bangunan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan di Kompleks PKNNS

Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk memindahkan bangunan ibu pejabat PPANS dan Perpustakaan Negeri ke bangunan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan bertempat di Seremban 2. Bangunan Perpustakaan Negeri yang baru ini berkeluasan 57,000 kaki persegi, telah pun siap diubahsuai oleh Jabatan Kerja Raya pada 10 Jun 2020.

Pengurusan Eksekutif[sunting | sunting sumber]

Pengerusi Ahli Lembaga[sunting | sunting sumber]

YB Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan

Pengarah PPANS[sunting | sunting sumber]

Pengarah menjalankan tugas selaku ketua jabatan dan menjadi setiausaha kepada Majlis Lembaga Pengarah

Ahli Lembaga Pengarah[sunting | sunting sumber]

Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada Seorang EXCO kerajaan yang dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Pengarah PNM ,Pengarah Pelajaran dan setiausaha adalah Pengarah PPANS sendiri.

Perkhidmatan Perpustakaan[sunting | sunting sumber]

Seperti mana fungsinya adalah menubuh dan menguruskan perpustakaan maka perkhidmatan yang disediakan adalah seperti berikut:[4]

  • Pinjaman / pemulangan
  • Penasihat pembaca
  • Rujukan
  • Rizab
  • Akhbar dan majalah
  • Reprografi ( salinan fotostat )
  • Koleksi Negeri Sembilan & koleksi Khas
  • Katalog dalam talian (OPAC)
  • Sumber media
  • Multimedia
  • Internet
  • Jurnal elektronik
  • Pinjaman berkelompok / pinjaman antara perpustakaan
  • Bilik perbincangan
  • Locker
  • Kelab aktiviti
  • i-Play
  • Bilik mainan kanak-kanak
  • Ruang E-Sukan
  • Perpustakaan pintar
  • Ruang tayangan ( pawagam )

Cawangan-cawangan PPANS[sunting | sunting sumber]

Selain perpustakaan Negeri, PPANS mempunyai perpustakaan awam di setiap daerah di Negeri Sembilan sehingga kini PPANS mempunyai 7 Cawangan Daerah, 2 Perpustakaan Pekan, Satu Perpustakaan Tmn Perumahan, satu perpustakaan bergerak Seremban dan 73 adalah perpustakaan desa di setiap daerah. Penubuhan Perpustakaan Desa ini menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan PPANS sebanyak 85 buah.[5]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Igbor Abdullah, Erniezah; Haris, Dg. Nurul Izzathy; Ahmad, Mohd. Nazir; Idrus, Marlia (2021). "Memoir Di Pustaka Ilmu: Catatan Kehidupan Siti Adnon Haji Abdul Wahid Sepanjang Bergelar Pustakawan Merangkap Alumni FPM". Jurnal Sejarah Lisan Malaysia. ISSN 2600-7088 Jilid 5 (edisi khas): 357–360 – melalui JSLIM.
  2. ^ Mohd Saad, Mohd Sharif (1993). "History, Dreams and Reality: Storytelling Programs in Malaysia" (PDF). Education Resources Information Center. Selected Papers from the Annual Conference of the International Association of School Librarianship (22nd, Adelaide, South Australia, Australia, September 27-30, 1993) (dalam bahasa Inggeris). Institut Teknologi Mara: ERIC: 44. Dicapai pada 2024-02-27. Rumusan ringkasan.
  3. ^ "Kelab Remaja Angkasapuri". RTM Library Catalog. Diarkibkan daripada yang asal pada 2024-02-24. Anny Johanna Mohd Shariff dari Kelab Adikku, Seremban, Negeri Sembilan.
  4. ^ "Soalan Lazim". web.archive.org. 2023-05-30. Dicapai pada 2024-02-27.
  5. ^ "Portal Rasmi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan". nslibrary.gov.my. Dicapai pada 2024-02-27.