Perbendaharaan kata

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Perbendaharaan kata daripada segi individu ialah set perkataan yang diketahuinya dalam sesebuah bahasa. Biasanya, perbendaharaan kata bertumbuh dan berkembang melalui usia, serta merupakan satu alat komunikasi dan perolehan pengetahuan yang asas dan berguna.

Mengetahui dan menggunakan perkataan[sunting | sunting sumber]

Perbendaharaan kata ditakrifkan sebagai "semua perkataan yang dikenali dan digunakan oleh seseorang yang tertentu".[1] Bagaimanapun, perkataan-perkataan yang dikenali dan digunakannya tidak merangkumi kesemua perkataan yang pernah terdedahnya. Mengikut takrif, "perbendaharaan kata" hanya merangkumi kedua-dua kategori yang tersenarai di bawah: [2]

  1. Tidak pernah menemui perkataan itu;
  2. Pernah mendengar perkataan itu, tetapi tidak dapat mentakrifkannya;
  3. Mengenal perkataan itu, berdasarkan konteks atau nada suara;
  4. Berupaya menggunakan perkataan itu tetapi tidak dapat menerangkannya dengan jelas;
  5. Fasih dengan perkataan itu daripada segi penggunaan dan takrifnya.

Jenis perbendaharaan kata[sunting | sunting sumber]

Disenaraikan mengikut urutan paling besar sehingga paling terhad: [3][4]

Perbendaharaan kata bacaan
Perbendaharaan kata bacaan seseorang ialah kesemua perkataan yang dikenalnya semasa membaca. Jenis perbendaharaan kata ini merupakan jenis perbendaharaan kata yang terbesar kerana ia merangkumi tiga jenis perbendaharaan kata yang lain.
Perbendaharaan kata dengar
Perbendaharaan kata dengar seseorang ialah kesemua perkataan yang dikenalnya semasa mendengar pertuturan. Saiznya perbendaharaan kata ini diperluas oleh konteks dan nada suara.
Perbendaharaan kata bertulis
Perbendaharaan kata bertulis seseorang ialah kesemua perkataan yang digunakannya semasa menulis. Berbeza dengan kedua-dua jenis perbendaharaan kata yang tersebut di atas, perbendaharaan kata bertulis dicetuskan oleh pengguna.
Perbendaharaan kata pertuturan
Perbendaharaan kata pertuturan seseorang ialah kesemua perkataan yang digunakannya semasa bertutur. Disebabkan oleh sifat spontan perbendaharaan pertuturan, perkataan seringnya salah digunakan. Bagaimanapun, salah guna perkataan, jika ringan dan tidak sengaja, dapat diimbangi dengan ekspresi muka, nada suara, atau gerak isyarat tangan.

Perbendaharaan kata tumpuan[sunting | sunting sumber]

"Perbendaharaan kata tumpuan" ialah sekumpulan istilah dan perbezaan yang khusus dan sangat penting kepada kumpulan yang menumpukan pengalaman atau kegiatan yang tertentu. Leksikon atau perbendaharaan kata ialah kamus bahasa, iaitu ia merangkumi satu set nama untuk benda, peristiwa, dan gagasan. Sesetengah ahli bahasa percaya bahawa leksikon mempengaruhi tanggapan seseorang terhadap sesuatu perkara (hipotesis Sapir-Whorf), misalnya orang Nuer di Sudan memiliki perbendaharaan kata yang besar untuk memerikan lembu. Mereka mempunyai berpuluh-puluh nama untuk lembu, berdasarkan sejarah, ekonomi, dan persekitaran lembu itu. Jenis perbandingan ini telah menimbulkan sesetengah kontroversi linguistik, seperti dengan kes bilangan "perkataan Eskimo untuk salji". Para penutur bahasa Inggeris kekadang juga meluaskan perbendaharaan kata salji dan lembu, apabila diperlukan.[5][6]

Perkembangan perbendaharaan kata[sunting | sunting sumber]

Pada awalnya, dalam fasa masa bayi, perkembangan perbendaharaan kata berlaku tanpa memerlukan sebarang usaha. Bayi mendengar perkataan dan menirunya, lalu beransur-ansur mengaitkan perkataan yang dibelajar dengan benda atau perbuatan yang sepadan. Ini merupakan perbendaharaan kata dengar yang disusuli pula dengan perbendaharaan bacaan apabila seseorang kanak-kanak semakin bergantung kepada keupayaannya untuk menyatakan pendapat tanpa membatas diri kepada gerak isyarat dan bunyi sahaja. Sebaik sahaja perbendaharaan kata bacaan dan perbendaharaan kata bertulis diperoleh — menerusi soalan dan pendidikan — kejanggalan dan ketaknalaran bahasa dapat ditemui.

Sewaktu menyertai darjah satu, seseorang murid yang kenal huruf akan memahami sekitar dua kali lebih banyak perkataan daripada yang tidak kenal huruf. Umumnya, jurang perbezaan ini tidak disempitkan. Ini mengakibatkan perbezaan saiz perbendaharaan kata yang amat besar menjelang umur lima atau enam tahun, dengan kanak-kanak berbahasa Inggeris mengetahui sekitar 2,500–5,000 patah perkataan. Setiap murid yang sederhana akan mempelajari sekitar 3,000 perkataan setahun, atau lebih kurang lapan perkataan setiap hari.[7]

Selepas tamat sekolah, pengembangan perbendaharaan kata mencapai tahap mendatar. Namun demikian, setiap orang masih dapat memperluas perbendaharaan kata mereka dengan membaca, bermain permainan kata, menyertai program perbendaharaan kata, dan sebagainya.

Perbendaharaan kata pasif lwn. aktif[sunting | sunting sumber]

Walau jika kita mempelajari sesuatu perkataan, banyak latihan dan perhubungan konteks masih diperlukan untuk menguasainya. Sekumpulan perkataan yang kita fahami apabila kita mendengarnya merangkumi perbendaharaan kata "pasif" kita, manakala perbendaharaan kata "aktif" kita terdiri daripada perkataan-perkataan yang muncul dalam fikiran kita dengan segera apabila kita menggunakannya dalam ayat semasa bertutur. Dalam kes ini, kita seringnya perlu mewujudkan sesuatu perkataan dalam jangka masa beberapa milisaat. Justera, kita perlu menguasai perkataan itu dengan baik, seringnya dengan menggabungkan perkataan itu dengan perkataan yang lain di dalam frasa yang biasanya digunakan oleh perkataan tersebut.

Pentingnya perbendaharaan kata[sunting | sunting sumber]

  • Perbendaharaan kata yang luas membantu pengungkapan dan komunikasi;
  • Saiz perbendaharaan kata telah dikaitkan secara langsung dengan kefahaman membaca; [8]
  • Perbendaharaan kata linguistik ialah sinonim kepada pembendaharaan kata pemikiran; [9]
  • Seseorang mungkin akan dinilai oleh orang yang lain, berdasarkan perbendaharaan katanya.

Perbendaharaan bahasa ibunda dan bahasa asing[sunting | sunting sumber]

Perbendaharaan kata bahasa ibunda[sunting | sunting sumber]

Perbendaharaan kata penutur asli amat berbeza dalam setiap bahasa dan bergantung terutamanya kepada tahap pendidikan penutur. Satu kajian 1995 menganggarkan saiz perbendaharaan kata pelajar kolej pada sekitar 17,000 famili kata, dan pelajar sekolah tinggi pada sekitar 12,000 famili kata.[10]

Perbendaharaan kata bahasa asing[sunting | sunting sumber]

Kesan saiz kosa kata pada pemahaman bahasa[sunting | sunting sumber]

Francis dan Kucera [11] mengkaji teks sejumlah sejuta perkataan dan mendapati bahawa jika seseorang mengetahui perkataan yang paling kerap ditemui, dia akan memahami kebanyakan perkataan dalam sesebuah teks dengan segeranya:

Saiz perbendaharaan kata Liputan Teks Bertulis
0 perkataan 0%
1000 72.0
2000 79.7
3000 84.0
4000 86.8
5000 88.7
6000 89.9
15,851 97.8

Dengan memahami 2,000 perkataan yang paling umum digunakan, seseorang akan dapat memahami 80% daripada perkataan di dalam sesebuah teks. Peratusan itu akan meningkat sehingga 96% jika kita merangkumi perkataan yang pernah kita temui dalam kontek pertuturan tak formal.[12] Gambaran tersebut harus menggalakkan para pelajar bahasa yang baharu, khususnya kerana angka di dalam jadual di atas adalah untuk lema perkataan dan mengetahui banyak keluarga kata akan memberikan liputan yang lebih tinggi. Tetapi sebelum anda mula berfikir bahawa anda dapat belajar sesuatu bahasa dengan cepat, fikirlah adakah anda dapat memahami sebuah buku dalam bahasa anda sendiri jika setiap perkataan kelimanya dihitamkan. Kita biasanya tidak dapat meneka makna daripada konteksnya apabila perkataaan sebanyak itu hilang.[13] Justera, kita perlu memahami sekitar 95% daripada semua perkataan di dalam sesuatu teks [14] supaya dapat memahami hampir seluruh teks itu. Namun demikian, kita kelihatan perlu memahami melebihi 10,000 untuk mencapai matlamat tersebut.

Perolehan Kosa Kata Bahasa Kedua[sunting | sunting sumber]

Belajar perbendaharaan kata ialah salah satu langkah pertama untuk mempelajari sesuatu bahasa kedua. Walaupun demikian, peringkat terakhir pemerolehan perbendaharaan kata, baik dalam bahasa ibunda sendiri mahupun dalam bahasa kedua, jarang dicapai kerana pemerolehan perbendaharaan kata merupakan satu proses yang berterusan. Bagaimanapun, terdapat banyak kaedah yang dapat membantu seseorang memperoleh perbendaharaan kata yang baharu.

Penghafalan[sunting | sunting sumber]

Meskipun penghafalan boleh dilihat sebagai sesuatu perbuatan yang menjemukan, mengaitkan satu perkataan dalam bahasa ibunda dengan perkataan padanannya dalam bahasa kedua sehingga perkataan itu dapat dihafaz masih merupakan salah satu kaedah pemerolehan perbendaharaan kata yang terbaik. Menjelang waktu seseorang pelajar mencapai kedewasaan, dia umumnya telah mengumpulkan sebilangan kaedah penghafalan peribadi. Walaupun banyak orang berpendapat bahawa penghafalan biasanya tidak memerlukan pemprosesan kognitif yang rumit yang dapat meningkatkan simpanan ingatan,[15] hal ini biasanya memerlukan sejumlah besar pengulangan. Sebaliknya, kaedah yang lain biasanya memerlukan lebih banyak masa dan lebih lama untuk mengingat.

Sesetengah perkataan tidak dapat dikaitkan dengan mudah melalui perkaitan kata atau kaedah yang lain. Apabila sepatah perkataan dalam bahasa kedua adalah mirip dengan perkataan dalam bahasa ibunda daripada segi fonologi atau tampak, pelajarnya sering menganggap kedua-dua perkataan itu sebagai mempunyai makna yang sama. Walaupun ini biasanya tidak salah, ia tidak sentiasa benar. Apabila menghadapi kognat palsu, penghafalan dan pengulangan ialah kunci penguasaan. Jika seorang pelajar bahasa kedua hanya bergantung kepada perkaitan kata untuk mempelajari perbendaharaan kata yang baharu, orang itu akan mengalami banyak masalah untuk menguasai kognat palsu. Penghafalan ialah kaedah yang terbaik untuk:

  • memperoleh banyak perbendaharaan kata dalam tempoh yang singkat;
  • mengingat maklumat dengan pantas;
  • mempelajari perkataan yang melambangkan konsep yang abstrak atau yang terlalu susah untuk mencipta imej mentalnya; dan
  • membezakan kognat-kognat palsu.
Kaedah Kata Kunci[sunting | sunting sumber]

Salah satu kaedah yang berguna untuk membina perbendaharaan kata dalam bahasa kedua ialah kaedah kata kunci. Apabila ada masa yang lebih atau jika seseorang hendak menegaskan sebilangan kata kunci, dia boleh mencipta alat mnemonik atau perkaitan kata. Walaupun strategi ini cenderung memerlukan lebih banyak masa serta lebih banyak masa untuk mengingat kembali, ia dapat mencipta hubungan yang baharu atau hubungan yang luar biasa yang dapat meningkatkan simpanan.[15] Kaedah ini adalah sepadan dengan teori pengekodan duaan Paivio (1986) [16] kerana ia menggunakan kedua-dua sistem ingatan lisan dan sistem ingatan imej. Bagaimanapun, kaedah ini harus digunakan hanya untuk perkataan yang melambangkan benda yang fizikal atau benda yang dapat digambarkan. Konsep dan perkataan yang abstrak yang tidak dapat menghasilkan imej yang jelas dalam fikiran sangat susah untuk dikaitkan. Tambahan lagi, kajian menunjukkan bahawa pembelajaran perbendaharaan kata perkaitan adalah lebih berkesan bagi pelajar yang lebih muda.[15] Apabila pelajar maju dan semakin berusia, mereka cenderung tidak begitu bergantung kepada perkaitan kata untuk mengingat perbendaharaan kata.

Kosa kata Bahasa Inggeris Asas[sunting | sunting sumber]

Sebilangan senarai kata telah dibangunkan untuk membekalkan perbendaharaan kata yang terbatas, baik untuk mencapai kemahiran bahasa dengan pantas mahupun untuk memberikan cara komunikasi yang berkesan. Pada 1930, Charles Kay Ogden mencipta Bahasa Inggeris Asas (Basic English) yang terdiri daripada 850 perkataan. Senarai kata yang lain termasuk:

Senarai Perkhidmatan Am tersebut disusun oleh Michael West, dengan 2,000 perkataan yang paling umum digunakan dipilih daripada korpus yang berjumlah lima juta perkataan. Senarai kata itu telah digunakan untuk mencipta sebilangan teks membaca yang diadaptasikan untuk pelajar bahasa Inggeris. Dengan memahami 2,000 perkataan Inggeris itu, seseorang dapat memahami cukup banyak bahasa Inggeris, malahan membaca banyak bahan yang sederhana tanpa menghadapi sebarang masalah.

Perbezaan kosa kata antara kelas sosial di Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

James Flynn melaporkan perbezaan pendedahan perbendaharaan kata yang ketara antara kanak-kanak prasekolah bagi kelas-kelas sosial yang berbeza di Amerika Syarikat. Dapatannya adalah seperti yang berikut: [17]

  • Keluarga profesional: 2,150 perkataan;
  • Keluarga kelas pekerja: 1,250 perkataan; dan
  • Keluarga yang bergantung kepada kebajikan: 620 perkataan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Cambridge Advanced Learners Dictionary
  2. Balanced Reading: "Vocabulary". Sebastian Wren, Ph.D.
  3. Barnhart, Clarence L. (1968).
  4. The World Book Dictionary. Clarence L. Barnhart. 1968 Edition. Published by Thorndike-Barnhart, Chicago, Illinois.
  5. Miller (1989)
  6. Lenkeit
  7. [http://www.balancedreading.com/vocabulary.html BalancedReading.com. "Vocabulary". Sebastian Wren, Ph.D.
  8. Stahl, Steven A. Vocabulary Development. Cambridge: Brookline Books, 1999. p. 3. "The Cognitive Foundations of Learning to Read: A Framework", Southwest Educational Development Laboratory, p. 14.
  9. Ibid
  10. E.B. Zechmeister, A.M. Chronis, W.L. Cull, C.A. D'Anna and N.A. Healy, Growth of a functionally important lexicon, Journal of Reading Behavior, 1995, 27(2), 201-212
  11. W.N. Francis, and H. Kucera. Frequency Analysis of English Usage, Houghton Mifflin, Boston, 1982
  12. Schonell, et al. 1956
  13. Liu Na and I.S.P. Nation, Factors affecting guessing vocabulary in context, RELC Journal, 1985,16, 1, pp. 33-42.
  14. B. Laufer, What percentage of text-lexis is essential for comprehension? in C. Lauren and M. Nordman (eds.), Special Language: From Humans Thinking to Thinking Machines, Multilingual Matters Ltd., Clevedon, 1989.
  15. 15.0 15.1 15.2 Sagarra, Nuria, & Alba, Matthew. (2006). The Key Is in the Keyword: L2 Vocabulary Learning Methods With Beginning Learners of Spanish. The Modern Language Journal, 90, ii. p. 228-243.
  16. Paivio, A. (1986). Mental Representations: A Dual Coding Approach. New York: Oxford University Press.
  17. Flynn (2008), p. 102.