Perdana Menteri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Eksekutif
Sebahagian daripada siri Politik
Portal Politik · sunting

Perdana Menteri ialah menteri yang paling kanan dalam kabinet, sebahagian cabang eksekutif dalam sistem berparlimen. Walaupun perdana menteri biasanya merupakan ahli politik, ini tidak semestinya.

Dalam banyak sistem, Perdana Menteri memilih serta boleh memecat ahli-ahli kabinet, dan memperuntukkan jawatan kepada ahli-ahli dalam Kerajaan. Dalam kebanyakan sistem, perdana menteri merupakan pengerusi kabinet, tetapi dalam sebilangan sistem yang kecil, khususnya dalam sistem kerajaan separa presiden, perdana menteri ialah pegawai yang dilantik untuk menguruskan perkhidmatan awam dan melaksanakan arahan-arahan Presiden

Dalam sistem-sistem parlimen seperti sistem Westminster United Kingdom, perdana menteri ialah ketua kerajaan, manakala ketua negara (Raja, Ratu, Presiden, atau Gabernor Jeneral [de facto]) yang mungkin secara rasmi merupakan ketua eksekutif memainkan peranan istiadat. Perdana Menteri biasanya, tetapi bukan selalu, merupakan ahli parlimen dan dikehendaki memastikan pelulusan rang undang-undang oleh badan perundangan. Dalam sebilangan pemerintahan beraja, perdana menteri juga mempunyai kuasa eksekutif (dikenali sebagai Prerogatif Diraja) yang terletak pada takhta kerajaan oleh perlembagaan dan boleh dipergunakan oleh perdana menteri tanpa kebenaran parlimen.

Selain daripada merupakan Ketua Kerajaan, perdana menteri mungkin mempunyai peranan atau gelaran yang lain — umpamanya, Perdana Menteri United Kingdom juga merupakan Lord Perbendaharaan Pertama. [1] Para perdana menteri juga boleh memegang jawatan menteri yang lain — umpamanya, semasa Perang Dunia II, Winston Churchill juga merupakan Menteri Pertahanan (walaupun tidak adanya Kementerian Pertahanan ketika itu). Banyak Perdana Menteri Malaysia juga memegang jawatan menteri yang lain, khususnya kementerian-kementerian yang penting seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Primus inter pares[sunting | sunting sumber]

Secara sejarah, perdana menteri sering dirujuk sebagai Primus inter pares, sepatah istilah bahasa Latin yang bermaksud Pertama Di Kalangan Tolok Bandingnya. Maksud harfiahnya membayangkan konsep asal bahawa perdana menteri ialah menteri pertama atau menteri yang paling kanan kepada raja dan bukannya menteri pengerusi atau menteri yang paling berkuasa, satu peranan yang diambil alih oleh perdana menteri di banyak negara.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sedangkan jawatan moden untuk Perdana Menteri dikembangkan di United Kingdom, penggunaan pertama istilah Perdana Menteri atau Premiere Minstre adalah oleh Kardinal Richelieu pada tahun 1624 ketika beliau dilantik untuk mengetuai majlis diraja sebagai perdana menteri Perancis. Secara amnya, Louis XIV dan keturunan-keturunannya mengelakkan penggunaan gelaran ini untuk para ketua menteri. Istilah Perdana Menteri dengan erti moden berasal daripada United Kingdom pada abad ke-18

Sejak zaman pertengahan, Raja-raja England dan United Kingdom mempunyai menteri-menteri yang baginda-baginda itu memberi kepercayaan khas dan dianggap sebagai ketua kerajaan. Contoh-contohnya termasuk Thomas Cromwell di bawah Henry VIII; William Cecil, Lord Burghley di bawah Elizabeth I; Clarendon di bawah Charles II; dan Godolphin di bawah Ratu Anne. Menteri-menteri ini memegang berbagai-bagai jawatan rasmi. Biasanya, jawatan itu hanya digelarkan "Menteri", atau "Menteri Pertama", tetapi akhirnya, gelarannya menjadi "Perdana Menteri".

Kuasa menteri-menteri itu bergantung pada keseluruhannya kepada murah hati peribadi Raja-raja. Walaupun pengurusan Parlimen merupakan salah satu kemahiran yang wajib dalam pemegangan jawatan yang tinggi, para perdana menteri tidak bergantung kepada majoriti parlimen untuk kuasa mereka. Walaupun Kabinet wujud, semua ahli kabinet dilantik oleh Raja, dan Raja biasanya mempengerusikan sidang-sidangnya. Jika Raja tidak suka akan menteri pertamanya, baginda boleh memecatnya, atau lebih teruk lagi, menjalankan hukuman mati ke atasnya. Cromwell dihukum mati dan Clarendon dibuang negeri ketika mereka disukai lagi oleh Raja mereka. Raja-raja kekadang memisahkan kuasa antara dua atau lebih menteri untuk mencegahkan seorang menteri menjadi terlalu kuat. Umpamanya, pada lewat pemerintahaan Ratu Anne, dua orang menteri Tory, iaitu Harley dan St. John berkongsi kuasa.

Titik peralihan dalam evolusi jawatan perdana menteri datang dengan kemangkatan Ratu Anne pada tahun 1714, dan naik takhta George I. George tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris, dan menghabiskan banyak masanya di dalam istana di Hannover, serta tidak mempunyai pengetahuan, mahupun minat, dalam perincian-perincian kerajaan Inggeris. Dalam keadaan-keadaan sebegini, tidak dapat dielakkan bahawa menteri pertama Raja menjadi ketua kerajaan secara de facto. Menteri pertama ini ialah Robert Walpole, ahli politik Whig, yang memegang jawatan dari 1721 selama 21 tahun. Walphole mempengerusikan semua sidang Kabinet, melantik semua menteri yang lain, dan mengetepikan naungan raja serta mengisikan Dewan Rakyat dengan penyokong-penyokongnya. Di bawah Walpole, doktrin perpaduan Kabinet berkembang. Walpole menetapkan bahawa tiada menteri selain daripada dirinya boleh mempunyai sebarang urusan peribadi dengan Raja, dan juga ketika Kabinet bersetuju dengan sesuatu dasar, semua menteri harus mempertahankanya di khalayak ramai atau meletakkan jawatan. Sebagai Perdana Menteri yang kemudian, Lord Melbourne berkata: "Tidaklah penting apa yang kita berkata, tuan-tuan, asalkan kita semua berkata perkara yang sama."

Walpole selalu menafikan bahawa beliau adalah "Perdana Menteri" dan pada sepanjang abad ke-18, para ahli parlimen dan cendekiawan undang-undang meneruskan penafian terhadap adanya sebarang jawatan ini dalam Perlembagaan. Gelaran ini dirujuk dalam dokumen-dokumen kerajaan buat pertama kali semasa pentadbiran Benjamin Disraeli tetapi tidak muncul dalam Susunan keutamaan British yang rasmi sehingga 1905. George II dan George III berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menuntut semula kuasa raja, tetapi kerumitan dan belanja kerajaan yang semakin bertambah bermakna bahawa seorang menteri yang dapat memperoleh kesetiaan ahli-ahli Dewan Rakyat semakin diperlukan. Tempoh perjawatan Perdana Menteri Pitt Lebih Muda (1783-1801) pada tempoh perang, bersama-sama dengan penyakit jiwa George III, mengukuhkan kuasa jawatan ini. Menjelang pemerintahan Ratu Victoria, hakikat bahawa Perdana Menteri merupakan pemerintah negara yang benar tidak boleh lagi dipertikaikan, walaupun kuasanya selalu bergantung kepada sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Dalam sejarah Peru, 13 orang perdana menteri telah dibunuh oleh isteri mereka. Tekaan yang popular menunjukkan bahawa pembunuhan-pembunuhan ini tertimbul daripada para perdana menteri itu mempunyai hubungan luar nikah.

Martabat institusi-institusi British pada abad ke-19 dan pertumbuhan Empayar British memperlihatkan model kerajaan berkabinet British, yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri, ditiru secara meluas oleh kedua-dua negara-negara Eropah yang lain serta wilayah-wilayah jajahan British ketika mengembangkan pemerintahan sendiri. Di sesetengah negara, gelaran-gelaran alternatif seperti "Premier", "Ketua Menteri," "Menteri Pertama Negara", "Presiden Majlis" atau "Kanselor" diterimaguna, tetapi asas-asas jawatan itu adalah sama sahaja. Menjelang lewat abad ke-20, kebanyakan negara-negara di seluruh dunia mempunyai seorang Perdana Menteri atau menteri yang serupa yang memegang jawatan di bawah sistem negara Raja berperlembagaan atau presiden istiadat. Kekecualian yang utama dalam sistem ini ialah Amerika Syarikat dan republik-republik berpresiden Amerika Latin yang mencontohi sistem Amerika Syarikat dalam pemberian kuasa eksekutif secara langsung kepada Presidennya.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Bertentangan dengan tanggapan popular, kedua-dua jawatan adalah berasingan dan tidak perlu dipegang oleh seorang sahaja. Perdana Menteri terakhir yang bukan Lord Perbendaharaan Pertama ialah Lord Salisbury pada peralihan abad ke-20. Sebenarnya, 10 Downing Street ialah tempat kediaman Lord Pertama dan bukannya Perdana Menteri. Oleh sebab Salisbury bukannya Lord Pertama, beliau terpaksa tinggal di tempat kediaman yang lain ketika menjawat perdana menteri.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Ketua kerajaan

Kanselor | Ketua Menteri | Menteri Pertama | Menteri-Presiden | Premier | Presiden Majlis Eksekutif |
Presiden Majlis Menteri | Presiden Kerajaan | Perdana Menteri | Taoiseach