Perhimpunan Hindraf 2007

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pihak polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penyokong HINDRAF semasa perhimpunan haram yang diadakan pada 25 November 2007.
Fail:HINDRAFQueen.jpg
Seorang penyokong HINDRAF membawa sebuah poster Ratu Elizabeth II ketika di himpunan tersebut di Kuala Lumpur.


Perhimpunan Hindraf 2007 merupakan sebuah perhimpunan yang diadakan secara haram di Kuala Lumpur, Malaysia pada 25 November 2007. Perhimpunan dianjurkan oleh pertubuhan NGO, Hindraf iaitu Gerakan Tindakan Hak Asasi Hindu. Hindraf dikatakan disertai 30 pertubuhan NGO Hindu di Malaysia.

Pemimpin-pemimpin Hindraf cuba mengadakan perhimpunan 100,000 penganut Hindu di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Britain di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dengan memohon permit perhimpunan dari balai polis berdekatan. Hindraf cuba mematuhi peraturan sedia ada dan bekerjasama dengan polis dengan cara memohon permit perhimpunan di Balai Polis Cheras dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur.

Pemimpin Hindraf adalah peguam-peguam yang handal di Malaysia. Mereka berikrar perhimpunan ini akan berjalan dengan aman. Beberapa keping poster Mahatma Ghandhi dibawa ketika perhimpunan.

PDRM, Polis Diraja Malaysia memutuskan untuk tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan berikutan bimbang kejadian rusuhan akan berlaku dan boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat majmuk di Malaysia. Daripada pengalaman di Malaysia dan peringkat antarabangsa, jelas sekali perhimpunan 100,000 orang akan bertukar menjadi ganas. Dikhuatiri jika tidak dibendung, ada antara mereka mungkin akan membawa senjata berbahaya seperti bom buatan sendiri, koktail molotov, pisau dan lain-lain.

Tujuan perhimpunan[sunting | sunting sumber]

Hindraf menganjurkan perhimpunan ini kerana hendak menyerahkan memorandum 18 perkara kepada Suruhanjaya Tinggi Britain dan seterusnya kepada Ratu Elizabeth II berhubung nasib malang bertimpa-timpa yang dialami oleh penganut Hindu di Malaysia semenjak zaman penjajahan British lagi. Perhimpunan tersebut juga menyeru bantahan terhadap dasar-dasar diskriminasi yang didakwa memihak kepada etnik Melayu.[1]

Saman itu difailkan oleh Hindraf di Britain pada 30 Ogos 2007 bagi menuntut 4 trilion paun (RM27.7 trilion) daripada kerajaan Britain sebagai pampasan kepada masyarakat India kerana membawa mereka masuk ke Malaysia sebagai buruh murah ketika British memerintah Tanah Melayu terdahulu.

Hari perhimpunan[sunting | sunting sumber]

Penunjuk perasaan berhimpun di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur setelah mengetahui mereka tidak dibenarkan berhimpun di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bagi mengawal keadaan, 4,000 anggota polis termasuk 640 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan dan 500 polis trafik ditugaskan sekitar Jalan Ampang. Jalan masuk ditutup seawal 3 pagi iaitu persimpangan Jalan Ampang - Jalan Tun Razak berhampiran Hospital Besar Kuala Lumpur.

Sehingga 27 November 2007, seramai 136 penyokong perhimpunan ini telah ditahan dan 105 lagi dibawa untuk proses dokumentasi.

Batu Caves[sunting | sunting sumber]

Lokasi utama penunjuk perasaan ialah di kuil Hindu di Batu Caves, kira-kira 5 km dari Kuala Lumpur. Bilangan mereka mencecah 1,000 orang dan memaksa polis dikerah ke sana untuk mengawal keadaan. Pada malam tersebut, ada antara mereka melontar batu dan batu-bata ke arah polis dan polis peronda.[2]

Pintu pagar kuil Batu Caves telah ditutup tetapi penunjuk perasaan yang lari dari ditangkap polis telah memecah masuk pintu pagar utama kuil itu jam 2 pagi. Mereka berada di sana kerana ada perayaan menyalakan lilin. Jawatankuasa kuil Batu Caves cuba menggesa mereka bersurai tetapi mereka masuk beramai-ramai. Setelah memasuki kuil, polis telah diserang dengan batu. Oleh itu, pihak polis terpaksa melepaskan pancutan air dan gas pemedih mata di dalam dan di luar kuil.

Polis mengesahkan sebuah bas telah dibakar di Batu Caves oleh para penunjuk perasaan yang bertindak balas terhadap polis. Tujuh buah kenderaan polis turut dirosakkan kerana terkena balingan batu. Mereka turut membaling koktail molotov ke arah kenderaan polis.[3]

Sub Inspektor Chew Choon Peng menerima 11 jahitan setelah terkena batu yang dibaling oleh penunjuk perasaan. Lans Koperal Razali Redzuan pula menerima beberapa jahitan di muka. Rusuhan kecil di kuil Hindu Batu Caves mencatatkan kerosakan harta benda yang ringan, walaupun kuil Hindu itu sendiri tidak rosak.[4]

Jalan Ampang[sunting | sunting sumber]

Penunjuk perasan turut tersekat dan berkumpul di stesen kereta api KL Sentral, KLCC, Hotel Nikko dan persimpangan Jalan Tun Razak - Jalan Ampang. Mereka telah berkumpul seawal 6.30 pagi iaitu waktu mereka sembahyang di kuil. Jalam 7.50 pagi polis melepaskan pancutan air agar mereka bersurai. Mereka terus berhimpun di Jalan Semarak dan Jalan Yap Kwan Seng. Hindraf menyatakan 80 orang ditahan di Jalan Tun H.S Lee.

Pada jam 10.00 pagi, polis sekali lagi melepaskan pancutan air dan gas pemedih mata kerana mereka enggan bersurai. Pada jam 10.45 pagi pula, penunjuk perasan bergabung semula di persimpangan Jalan Tun Razak - Jalan Ampang.

Polis akhirnya bertolak-ansur dan bersedia berunding dengan pemimpin Hindraf. Tetapi pemimpin Hindraf dilarang hadir atas waran perintah mahkamah pada 24 November 2007. Sehingga jam 1.30 tengah hari, pemimpin-pemimpin Hindraf tidak muncul-muncul untuk menyerahkan memorandum mengandungi 100,000 tandatangan penganut Hindu di Malaysia. Perhimpunan bersurai pada jam tersebut setelah memorandum dihantar melalui faks ke Suruhanjaya Tinggi British.

P. Uttayakumar sempat berucap di Jalan Ampang dekat Hotel Maya jam 10.00 pagi. Beliau disertai Tian Chua dan Ronnie Liu turut berucap. Haris Ibrahim dari Majlis Peguam turut berada di Jalan Ampang. Ramai di antara mereka melilit kepala dengan kain berwarna oren dan membawa poster pemimpin Hindu India iaitu Mahatma Ghandhi. Kain rentang dengan pelbagai slogan turut dibawa. Bendera Jalur Gemilang turut dikibarkan.

Laman web PoliceWatchMalaysia mendakwa seorang remaja India telah cedera di Jalan Ampang tetapi polis tidak pula menerima laporan itu.

Pelbagai reaksi[sunting | sunting sumber]

Pada 26 November 2007, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan Hindraf bermotif politik, bukan untuk membela kaum India. Jika kaum India dipinggirkan selama 170 tahun semasa penjajahan British dan 50 tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional, mustahil kaum India menyokong BN. Setiap kali pilihan raya pemimpin India melalui MIC diletakkan di kawasan yang strategik dan mereka menang mudah. Pemimpin MIC yang bertanding diundi oleh semua kaum tidak kira Melayu, Cina atau India. Contoh terbaru ialah di Ijok, Selangor. Parti MIC yang dipimpin presidennya Dato Sri S. Samy Vellu telah berkongsi kuasa dalam kerajaan Barisan Nasional. MIC tidak gagal menyuarakan dan menyelesaikan masalah masyarakat India. [5] UMNO bermurah hati menyerahkan beberapa kerusi Parlimen dan DUN kepada MIC.

Di Mahkamah Sesyen Klang pula, Anwar Ibrahim ternyata tidak senang dengan perhimpunan Hindraf ini. Beliau mahu Hindraf berhati-hati dan bersikap sederhana dalam beberapa isu terutama sekali Perkara 153 yang membabitkan Hak Istimewa Orang Melayu.

Nasharudin Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS menyelar tindakan liar dan keterlaluan penyokong Hindraf.[6] Seeloknya tidak ada sebarang provokasi dengan memukul dan menyembur gas pemedih mata. Penunjuk perasaan akan membaling semula tong gas pemedih mata ke arah polis dan boleh mendatangkan kecederaan yang sama.

Pada 6 Disember 2007, ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mengecam Hindraf yang memainkan sentimen agama Islam dan kaum Melayu. Andaikan apa akan berlaku sekiranya pula orang Melayu menuntut British mengaku bersalah kerana membawa buruh India ke Malaysia dan mengabaikan orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin menafikan terbabit dalam penyebaran SMS bahawa satu perhimpunan balas orang Melayu akan diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 19 Disember 2007 sebagai membalas kecaman-kecaman Hindraf.[7]

Juruhebah Minnal FM[sunting | sunting sumber]

Pada 5 Disember 2007, Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menafikan tuduhan Lim Kit Siang bahawa tujuh juruhebah Minnal FM digantung tugas kerana terlibat dalam perhimpunan haram Hindraf. Sebelum itu Malaysiakini memetik Pusat Pemantau Media Bagi Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Pakatan Penulis Media Bebas (WAMI) bahawa dua juruhebah tersebut telah digantung tugas. Sebenarnya, Jamuna a/p Velliatum dan Dhayalan a/l Sharmugam tidak dilanjutkan kontrak kerana masalah prestasi kerja dan displin dan tidak ada kaitan dengan isu Hindraf. Kontrak mereka bermula 1 Disember 2006 dan tamat 30 November 2007. SMS tersebar dengan mendakwa mereka dibuang kerana kaum India didiskriminasi dan terbabit dengan Hindraf dan menyeru perhimpunan di Angkasapuri pada 3 Disember 2007. Malahan Rajasegaran selaku Ketua Minnal FM telah menerima panggilan ugutan bunuh pada 28 November 2007.[8]

Amaran Ketua Polis Negara[sunting | sunting sumber]

Pada 6 Disember 2007, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa polis memantau kegiatan pertubuhan NGO tidak berdaftar, Hindraf. Hindraf digerakkan oleh lima orang peguam dan seorang eksekutif kanan syarikat swasta.[9]

Reaksi Pertubuhan Pembela Islam Malaysia[sunting | sunting sumber]

Pada 6 Disember 2007, Pertubuhan Pembela Islam Malaysia (Pembela) sangat khuatir dengan perkembangan terkini yang dicetuskan oleh Hindraf pada ketika itu. Pembela merupakan pertubuhan yang dianggotai 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk Angkata Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Pembela telah mengadakan perhimpunan dan mesyuarat tergempar di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada hari tersebut. Pengerusi Pebela ialah peguam kanan di Malaysia, Zainur Zakaria.

Kerajaan tidak dapat berunding dengan Hindraf kerana sejak awal lagi mereka enggan berunding. Sebaliknya Hindraf memalukan rakyat dan negara Malaysia dengan memburuk-burukkan orang Melayu dan Islam di kaca mata dunia. Malahan Hindraf turut mengugut kerajaan bahawa orang India akan menjadi militan dan menggunakan pemberontakan bersenjata. Hindraf hendaklah ditangkap dan didakwa sebagai penderhaka bagaimana Al-Ma'unah di Jenalik, Perak.[10]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Vaithilingam. A, A. Vaithilingam (2016). Religious Freedom and the Indian Community in Malaysia. Selangor, Malaysia: Institute of Ethinc Studies (KITA, UKM). m/s. 219. ISBN 978-967-0741-20-8.
  2. ^ Rakaman video Perhimpunan Hindraf 2007
  3. ^ http://www.sinarharian.com.my/nasional
  4. ^ https://www.malaysiakini.com/news/75311
  5. ^ http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm
  6. ^ http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
  7. ^ http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm
  8. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-10-06. Dicapai pada 2007-12-06.
  9. ^ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=300841
  10. ^ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=300810