Peribahasa bermula dengan huruf "M"

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Berikut ialah senarai peribahasa yang bermula dengan huruf "M".

Peribahasa Maknanya
Mabuk di enggang lalu. Sangat tertarik hatinya kepada orang yang belum dikenal.
Mabuk kerana beruk berayun. Gilakan wanita cantik yang tak mungkin didapat; asyik melihat sesuatu yang tidak berguna.
Macam anak dara tak datang tunangnya. Selalu membengkalaikan pekerjaan; membuat kerja tidak pernah siap; terlalu lambat.
Macam betung seruas. Terlalu jujur; lurus hati.
Macam daun terap: bunyinya degah-deguh, degah-deguh jatuh ke bawah. Orang bodoh yang banyak bualnya.
Macam kepiting jalan. Orang yang berjalan miring.
Macam kera kelaparan. Orang tua yang bibirnya selalu berkomat-kamit.
Macam kikir besi. Orang kaya yang bakhil.
Macam memegang tali layang-layang. Orang yang berkuasa dalam penghidupan orang perseorangan ataupun orang banyak.
Macam orang biduk. Orang yang makan dan minum bersama-sama tetapi bayar sendiri-sendiri.
Macam terambil di nan kurang. Berdukacita tanpa sesuatu sebab. (di nan = pada yang.)
Macam timun dengan durian: menggelek luka, kena gelek pun luka. Perlawanan yang tidak seimbang (orang kecil melawan orang yang berkuasa).
Macam ular kekenyangan. Orang yang buncit perutnya sehingga berjalannya pun sudah tidak betul lagi.
Madu satu tong jika rembes; rembesnya madu juga. Jika asalnya naik, maka turunannya pun baik juga. (rembes = meresap keluar.)
Mahal dibeli sukar dicari. Sesuatu yang amat susah diperoleh.
Mahal imam murahlah kitab; mahal demam murah sakit. Sungguhpun orang tidak suka akan penyakit tetapi jaranglah ada orang yang dapat mengelakkannya.
Mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta. Sesuatu yang amat susah diperoleh.
Main air basah, main api letur, main pisaui luka. Tiap-tiap perbuatan atau pekerjaan akan meninggalkan akibatnya.
Main akal (= budi). Mengenakan tipu daya.
Main badar, main gerundang. Hendak meniru-niru perbuatan orang besar-besar akhirnya diri sendiri juga yang binasa.
Majlis di tepi air, merdesa di perut kenyang. (majlis = bersih; merdesa = orang pemilih makanan.) Orang yang berada dengan mudah dapat memilih apa yang diingininya.
Makan bersabitkan. Mendapat makan dan minum tanpa bekerja.
Makan bubur panas-panas. Bertindak dengan tergesa-gesa, akhirnya mengecewakan.
Makan di luar berak di dalam. Mengkhianati tempat mendapat perlindungan.
Makan hati, berulam jantung. Bersusah hati kerana perbuatan orang lain yang menyedihkan hati.
Makan keringat orang. Mengecap kesenangan dengan jalan memeras orang lain.
Makan masak mentah. Orang yang tidak menghiraukan halal atau haram.
Makan nasi kawah. Hidup memburuh; dalam peliharaan orang tua.
Makan nasi suap-suapan, tetapi menyambut puan kosong. Kahwin menurut adat perkahwinan biasa tetapi kemudian ternyata perempuan itu sudah bukan anak perawan lagi.
Makan upas berulam racun. Senantiasa hidup dalam kesusahan. (upas = racun.)
Makanan enggang hendak dimakan oleh pipit. Hendak menyama-nyamai kebiasaan orang yang mulia atau kaya.
Makin banyak orang, makin banyak niat. Tiap-tiap orang mempunyai pendapat (kemahuan) sendiri-sendiri; makin banyak orang makin banyak pula pendapat dan kemahuannya.
Makin murah, makin menawar. Makin diberi, makin banyak lagi yang diminta.
Maksud bagai maksud manau. Maksud yang melebihi kesanggupan.
Maksud hati memeluk gunung, apa daya tangan tak sampai. Ingin akan sesuatu yang besar tetapi tidak berdaya mencapainya, kerana kekurangan alat.
Malam berselimut embun, siang bertudung awan. Sangat melarat dan miskin, tiada mempunyai rumah tangga.
Malang celaka Raja Genggang, tuak terbeli tunjang hilang. Nasib yang malang, waktu maksud yang kedua diperoleh, barang yang sudah di tangan pula hilang. (tuak = nira yang diberi beragi; tunjang = kaki.)
Malang Pak Kaduk, ayamnya menang kampung tergadai. Orang yang benar-benar malang nasibnya, segala sesuatu yang dimilikinya habis belaka.
Malang tak berbau. Kecelakaan yang terjadi dengan tiba-tiba.
Malang tak boleh ditolak, mujur tak boleh diraih. Nasib buruk tak dapat dihindarkan, nasib baik tak dapat dicari-cari.
Malang tiada datang tunggal. Malang yang bertimpa-timpa.
Malas bergarit, perut perit. Malas berusaha tentulah kelaparan. (garit = gerak, perit = pedih.)
Malu berani, mati takut. Pengecut.
Malu bertanya sesat di jalan, malu berdayung (= berkayuh) perahu hanyut. Kalau segan berusaha tak akan mendapat kemajuan.
Malu makan, perut lapar. Kalau segan berusaha tak akan mendapat kemajuan.
Malu, kalau (= jikalau) anak harimau menjadi anak kambing. Tidak patut anak orang baik-baik menjadi bodoh; atau anak orang berani menjadi penakut.
Mamah dulu kemudian telan. Sesuatu pekerjaan itu hendaklah dilakukan menurut peraturannya.
Mana ada buluh tidak berbuku? Tak ada sesuatu yang sempurna benar.
Mana busuk yang tidak berbau? Tak ada kejahatan yang dapat disembunyikan selama-lamanya.
Mana kerbau yang bencikan kubangnya? Orang yang biasa berbuat jahat tak dapat melupakan tempat ia bersuka ria.
Mana sungai yang tiada berhulu? Mana kaum atau puak yang tidak ada asal keturunannya?
Mana tali berpunca tak berhujung? Siapakah yang tidak akan menghadapi mati?
Mandi dalam cupak. Sesuatu keadaan yang menyebabkan serba salah.
Mandi di telaga di tepi jalan, bersunting bunga tahi ayam. Orang lelaki yang suka kepada perempuan jahat.
Mandi tak basah. Orang yang keras hati; terlalu rindu.
Manikam selalu juga didapati di dalam lipatan kain buruk yang robek. Pengetahuan (kepandaian) selalu juga terdapat dalam kalangan orang miskin dan hina.
Manikam sudah menjadi sekam. Tidak berguna lagi; tidak berharga lagi.
Manis bagai gula Jawa. Persesuaian dalam segenap hal-ehwal.
Manis laksana gula Sarawak. Persesuaian dalam segenap hal-ehwal.
Manis seperti (= laksana) gula derawa. Dua orang suami isteri yang sama-sama elok rupa parasnya. (gula derawa = air gula.)
Manis udang, maka ketam direbus tak merah? Menipu dengan mengubah-ubahkan perangai, kelakuan atau rupanya.
Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Manusia hanya boleh berharap, tetapi Tuhan berkuasa berbuat sesuatu yang dikehendakinya.
Manusia tahan kias, binatang tahan palu. Mengajar manusia dengan sindiran, mengajar binatang dengan pukulan.
Manusia tertarik oleh tanah airnya, anjing tertarik oleh piringnya. Orang yang berakal jauh pandangannya, orang yang bodoh hanya kepentingan dirinya sajalah yang diperlukan.
Mara hinggap mara terbang, mara bergesel sambil lalu, enggang lalu ranting patah. Tidak bersalah tetapi ikut terlibat dalam sesuatu kesalahan.
Mara jangan dipikat (= dipukat), rezeki jangan ditolak. Bahaya jangan dicari-cari, rezeki meskipun sedikit haruslah diterima dengan syukur.
Marahkan pijat kelambu dibakar, tidur terdedah. Takutkan bahaya yang kecil, maka keuntungan yang banyak dibuang, akhirnya meranalah badan.
Marahkan telaga yang kering, timba dipecahkan. Jikalau seseorang itu tidak dapat menolong, mintalah pertolongan daripada orang lain pula.
Marahkan tikus rengkiang dibakar. Takutkan bahaya yang kecil, maka keuntungan yang banyak dibuang, akhirnya meranalah badan.
Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi [[buluh|aur]]. Masa kecillah diajar dan dididik, jangan ditunggu sampai sudah besar.
Masak di luar mentah di dalam. Kelihatannya baik tetapi di dalam atau keadaan yang sebenarnya jahat.
Masak durian, masak manggis. Perbandingan antara lelaki yang tidak dapat menyembunyikan rahsia hatinya dengan perempuan yang dapat menyembunyikan rahsianya sehingga tiada diketahui orang.
Masak malam mentah pagi (= siang). Perkara yang sudah selesai, tetapi tak lama kemudian berubah pula.
Masam bagai nikah tak suka. Berdukacita. (masam = merengus, bersut.)
Masih berbau pupuk jerangau. Belum ada pengalaman.
Masin lagilah garam sendiri. Sanak-saudara atau kaum kerabat lebih dipentingkan daripada orang lain.
Masuk ambung tak masuk bilang. Masuk ke dalam majlis yang besar-besar tetapi tidak termasuk bilangan (kerana hina atau hodoh).
Masuk bagai (= sebesar) lubang penjahit, keluar bagai (= sebesar) lubang tabuh. Besar belanja daripada penghasilan.
Masuk di dalam kawan gajah berdering. Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan. (berdering = bunyi genta.)
Masuk geronggang bawa pelita. Kalau akan membuat sesuatu pekerjaan yang tidak diketahui, hendaklah ditanya atau diminta pimpinan daripada orang yang ahli. geronggang = rongga di dalam batu atau kayu, gua gelap.)
Masuk ke dalam kandang [[kambing]] mengembik, masuk ke dalam kandang kerbau menguak. Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.
Masuk ke kampung orang bawa ayam betina, jalan di tepi-tepi, benang arang orang jangan dipijak, duduk di tapak tangga, mandi di hilir orang, berdiri di luar-luar gelanggang. Kalau merantau ke negeri asing, hendaklah selalu mengalah, jangan berbuat pekerjaan yang buruk, selalu merendahkan diri, jangan suka mendului orang dan jangan menunjuk-nunjukkan diri.
Masuk ke negeri orang bertanamlah ubi, jangan bertanam tembilang. Jika pergi merantau ke negeri asing hendaklah mencari sesuatu yang berguna (harta, ilmu pengetahuan dan sebagainya), jangan membuang-buang waktu dengan percuma.
Masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri. Nasihat atau pelajaran yang tidak dimasukkan ke dalam ingatan.
Masuk langau ke mulutnya. Terhairan-hairan, sehingga mulutnya ternganga-nganga.
Masuk lima keluar sepuluh. Besar belanja daripada penghasilan.
Masuk meliang penjahit, keluar meliang tabuh. Besar belanja daripada penghasilan.
Masuk sarang harimau. Termasuk ke dalam bahaya besar.
Masuk tak genap, keluar tak ganjil. Orang yang tidak berharga dalam masyarakat.
Menconteng arang di muka. Perbuatan memberi malu / aib.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Senarai peribahasa mengikut huruf
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z .