Perjanjian Schengen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Peta negara-negara yang terlibat di dalam Perjanjian Schengen dengan ahli penuh (biru), bukan ahli penuh (merah) dan sedang memohon keahlian (hijau).

Perjanjian Schengen merujuk kepada perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh sekumpulan negara-negara Eropah bagi menghapuskan pemeriksaan sempadan di antara mereka. Terkandung di dalam perjanjian ini ialah peruntukan bagi dasar bersama terhadap kemasukan sementara orang perseorangan (termasuk Visa Schengen), penyelarasan kawalan sempadan luar, selain kerjasama merentas sempadan dalam bidang kepolisan dan kehakiman.

Sejumlah 25 negara, termasuk 22 ahli Kesatuan Eropah (EU) dan tiga bukan ahli EU (Norway, Iceland dan Lichtenstein) telah menguatkuasakan kesemua peruntukan yang dipersetujui di dalam perjanjian ini. Ireland dan United Kingdom merupakan dua negara EU yang tidak termasuk di dalam perjanjian ini dan masih mengekalkan hak untuk tidak mengikutnya apabila perjanjian ini diserap sebagai undang-undang EU. Kedua-duanya masih belum menamatkan kawalan sempadan dengan negara-negara EU yang lain tetapi turut mengguna pakai peruntukan berkenaan kerjasama kepolisan dan kehakiman.

Pos kawalan dan pemeriksaan sempadan telah dimansuhkan di antara negara-negara anggota sekaligus membentuk sebuah kawasan tanpa sempadan yang dikenali sebagai Zon Schengen. Sebuah Visa Schengen membenarkan seorang pelancong atau pelawat masuk ke dalam kawasan ini. Pemegang permit penduduk di sesebuah negara anggot Schengen boleh juga menikmati kebebasan bergerak ke negara-negara anggota yang lain bagi satu jangka masa sehingga tiga bulan.

Perjanjian ini dinamakan sedemikian bersempena dengan sebuah pekan kecil di Luxembourg, iaitu Schengen yang menjadi tempat perjanjian ini dimeterai pada 14 Jun 1985, oleh lima daripada sepuluh negara anggota Komuniti Ekonomi Eropah.