Perlembagaan Greek 1844

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Atas nama Triniti Suci, Intipati Sama dan Tak Boleh Bahagi... inilah perkataan-perkataan pertama Perlembagaan Greek 1844.

Perlembagaan Greek 1844 ialah perlembagaan pertama Kemaharajaan Greek. Pada 3 Disember 1843, garison tentera Athens, dengan bantuan warganegara-warganegara, memberontak dan menuntut pemberian Perlembagaan daripada Raja Otto. Perlembagaan Greek diisytiharkan pada Mac 1844 melalui usaha-usaha "Perhimpunan Nasional Hellenes pada 3 September di Athens" dan merupakan Pakatan Perlembagaan, iaitu satu perjanjian antara Raja dengan Negara. Perlembagaan ini menubuhkan semula Negara Raja Berperlembagaan yang didasarkan pada Perlembagaan Perancis 1830 dan Perlembagaan Belgium 1831.

Peruntukan-peruntukan utamanya adalah seperti berikut:

  • Mewujudkan prinsip kedaulatan raja, dengan raja merupakan kuasa muktamad negara. Kuasa perundangan dipegang oleh Raja yang juga mempunyai hak untuk meratifikasi (meluluskan) undang-undang Parlimen dan Senat.
  • Ahli-ahli Parlimen harus tidak kurang daripada 80 orang dan dipilih untuk tempoh tiga tahun melalui hak mengundi umum.
  • Senator-senator dilantik untuk seumur hidup oleh Raja dan bilangannya ditetapkan sebagai 27 orang, walaupun bilangan itu boleh ditambah, jika perlu dan dengan kehendak Raja, tetapi tidak boleh melebihi setengah daripada bilangan ahli Parlimen.
  • Menteri-menteri dilantik dan dipecat oleh Raja, dan tanggungjawab mereka untuk perbuatan-perbuatan Raja diwujudkan. Keadilan berasal daripada Raja dan diberikan atas namanya oleh hakim-hakim yang dilantik oleh Raja.

Perhimpunan itu mengundi undang-undang pilihan raya pada 18 Mac 1844. Undang-undang ini merupakan undang-undang Eropah pertama yang, pada dasarnya, memberikan hak mengundi umum (tetapi, sudah tentu, untuk lelaki sahaja).

Walaupun Otto bersetuju dengan penubuhan rejim perlembagaan, baginda cenderung tidak menguatkuasakannya dan sering melanggar maksud yang tersirat dan yang tersurat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, baginda mencuba mengumpul sebanyak kuasa yang mungkin. Pada malam 10 Oktober 1862, ketidakpuasan hati yang semakin berkembang mengakibatkan rakyat dan tentera memberontak dan memutuskan penggulingan Otto.