Perpustakaan Universiti Sains Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perpustakaan USM

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Perpustakaan ditubuhkan pada tahun 1969 dikenali sebagai Perpustakaan Universiti Pulau Pinang bertempat di Malayan Teachers College, Gelugor, Pulau Pinang. Perpustakaan telah berpindah ke Minden (bangunan sementara) pada tahun 1971 dan menduduki bangunan baharu pada tahun 1979. Perpustakaan Utama 2 pula telah siap pada tahun 1994.

Pada 10 Disember 2004, Perpustakaan Kampus Induk telah dinamakan Perpustakaan Hamzah Sendut sempena nama Naib Canselor Pertama Universiti Sains Malaysia, iaitu Tan Sri Hamzah Sendut. Ketika ini, Perpustakaan Hamzah Sendut merangkumi tiga bangunan yang dinamakan sebagai Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS), Perpustakaan Hamzah Sendut 1(PHS1), dan Perpustakaan Hamzah Sendut 2(PHS2).

Perpustakaan Perubatan ditubuhkan pada tahun 1979 di Kampus Induk dan telah berpindah ke Kampus Kesihatan, Kubang Kerian pada tahun 1984 secara berperingkat dan perpindahan keseluruhannnya pada tahun 1990. Pada 2 Oktober 2005, Perpustakaan Perubatan telah dinamakan Perpustakaan Hamdan Tahir sempena nama Naib Canselor Kedua Universiti Sains Malaysia, iaitu Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Hj. Hamdan bin Sheikh Tahir.

Perpustakaan Kejuruteraan ditubuhkan pada tahun 1986 di Ipoh dan berpindah ke Kampus Seri Iskandar pada bulan November 1989. Pada bulan Mei 2001, sekali lagi berpindah ke Kampus Nibong Tebal dan dikenali sebagai Kampus Kejuruteraan, Seri Ampangan, Nibong Tebal.

Perpustakaan Pusat Islam ditubuhkan pada tahun 1990 di Kampus Induk di bawah pentadbiran Pusat Islam. Pada tahun 2006, Perpustakaan Pusat Islam telah diserahkan pentadbirannya kepada Perpustakaan Hamzah Sendut.

Pusat Ilmu Translasional dan Maklumat (PITM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju telah ditubuhkan pada Oktober 2002 dan mula operasi pada bulan September 2003 di Perpustakaan Hamzah Sendut 2, Pulau Pinang. Pada 20 Ogos 2006, PITM telah berpindah ke lokasi sementara di Bangunan IPPT di Lot 4, Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. PITM juga turut mempunyai cawangan bertempat di pejabat satelit IPPT iaitu Hospital Kepala Batas, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Darah Negara Kuala Lumpur serta Hospital USM Kubang Kerian.

Misi Perpustakaan[sunting | sunting sumber]

Menjadi sebuah perpustakaan akademik dan perpustakaan penyelidikan yang mempunyai sumber bernilai dan memberi perkhidmatan yang berkualiti untuk menyokong Universiti Sains Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, perundingan dan pembangunan insan serta menyumbang ke arah kemajuan ilmu.

Cawangan[sunting | sunting sumber]

  • Kampus Induk: Perpustakaan Hamzah Sendut, Perpustakaan Hamzah Sendut 1, Perpustakaan Hamzah Sendut 2, Perpustakaan Pusat Islam, Perpustakaan PTPM, Pusat Sumber HBP
  • Kampus Kesihatan: Perpustakaan Hamdan Tahir, Kubang Kerian, Kelantan
  • Kampus Kejuruteraan: Perpustakaan Kejuruteraan, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang
  • Kampus IPPT, Kepala Batas: Pusat Ilmu Translasional dan Maklumat (PITM)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]