Persilangan (jalan raya)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Simpang empat di Kharkov.
Persilangan di Bandar Raya Makati, Filipina.

Persilangan merupakan sejenis persimpangan jalan di mana dua atau jalan raya bertemu atau bersilang secara searas. Sesebuah persilangan boleh jadi simpang tiga - simpang T atau cabang, simpang empat, atau lebih. Ia boleh jadi dikawal menggunakan lampu isyarat, atau boleh jadi bulatan.

Jenis persilangan[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua cara bagi mengklasifikasikan sesebuah persilangan. Cara pertama ialah mengira bilangan hala di sesebuah persilangan (simpang tiga, simpang empat, simpang lima, dsb.). Simpang tiga dan simpang empat adalah dua jenis persilangan yang paling lazim, manakala persilangan dengan lima hala atau lebih jarang ditemui, kecuali jika persilangan itu dalam bentuk bulatan.

Persilangan sepanjang Lebuhraya Taman Memorial Veteran, sebuah jalan raya capaian separa di London, Ontario.

Satu lagi cara bagi mengklasifikasikan jenis persilangan adalah melalui kawalan lalu lintas:-

  • Persimpangan tidak dikawal - persilangan tanpa kawalan lampu isyarat atau papan tanda (kadang-kadang turut dilengkapi papan tanda amaran). Aturan hak jalan (keutamaan) boleh jadi berbeza mengikut negara; di Malaysia, lalu lintas bergerak terus atau membelok ke kiri dari jalan besar mempunyai keutamaan tertinggi, diikuti oleh kenderaan dari jalan besar yang hendak membelok ke kanan. Kenderaan dari jalan kecil yang hendak membelok ke kanan memasuki jalan besar pula selalunya mempunyai keutamaan terakhir. Bagi lalu lintas di sesebuah simpang empat di mana kedua-dua jalan yang bersilang mempunyai hak jalan yang sama, kenderaan yang bergerak dahulu mempunyai keutamaan tertinggi.
    • Persimpangan kawalan papan tanda beri laluan pula mengingatkan pemandu agar bersedia untuk berhenti bagi memberikan hak jalan kepada kenderaan di laluan utama yang bergerak terus; pemandu boleh terus jalan jika tiada kenderaan dari laluan utama.
    • Persimpangan kawalan papan tanda berhenti mengingatkan pemandu di persimpangan agar berhenti terus di persimpangan walaupun tiada kenderaan dari mana-mana arah lain; pemandu boleh meneruskan perjalanan sekiranya sudah memastikan tiada kenderaan dari arah yang mungkin bersilang dengan arah pemandu tersebut.
    • Petak kuning ada kalanya ditambah pada persimpangan bagi menghalang sesebuah persimpangan daripada tersekat dengan menghalang pemandu memasuki persimpangan kecuali apabila persimpangan tersebut dikosongkan.
  • Persimpangan lampu isyarat - mengawal aliran trafik di persimpangan dengan mengatur giliran hak jalan bagi setiap hala persimpangan dan seterusnya mengawal masa bagi setiap giliran secara elektrik melalui kod warna lampu isyarat.
  • Bulatan - menghalakan aliran lalu lintas dari kesemua hala persimpangan mengelilingi bulatan, bertujuan bagi memberi hak jalan yang sama rata kepada semua cabang persimpangan.

Belokan[sunting | sunting sumber]

Di persimpangan searas, belokan biasanya dibenarkan, tetapi dikawal untuk mengelak gangguan atau pelanggaran dengan lalu lintas dari arah lain. Jika jalan yang bersilang di persimpangan tersebut ialah jalan sehala, atau kes-kes limitasi aliran yang lain, belokan ke arah-arah tertentu mungkin dihadkan atau tidak dibenarkan melalui papan tanda arahan atau lampu isyarat.

Lorong membelok[sunting | sunting sumber]

Di persimpangan dengan banyak pecahan lalu lintas membelok, lorong membelok[1] mungkin disediakan apabila sesebuah jalan menghampiri persilangan. Contoh pada persimpangan yang ditunjukkan di gambar rajah di bawah menunjukkan lorong-lorong membelok ke kiri di jalan timur-barat bagi lalu lintas yang menghampiri persimpangan arah timur dan barat.

Lorong membelok mungkin disediakan untuk membolehkan kenderaan membelok menyeberangi lalu lintas dari arah bertentangan (iaitu, belokan ke kiri bagi negara yang memandu di sebelah kanan, atau belokan ke kanan bagi negara yang memandu di sebelah kiri), ataupun membelok tanpa melangkau lali lintas (iaitu, belokan ke kanan bagi negara yang memandu di sebelah kanan, atau belokan ke kiri bagi negara yang memandu di sebelah kiri). Ketiadaan lorong membelok tidak bermakna larangan membelok ke arah tersebut. Sebaliknya, papan tanda lalu lintas serta lampu isyarat digunakan untuk melarang belokan.

Lorong membelok mungkin disediakan bagi meningkatkan kapasiti sesebuah persimpangan, atau untuk menambah baik tahap keselamatannya. Lorong membelok boleh memberi kesan dramatik pada tahap keselamatan sesebuah persimpangan. Di kawasan luar bandar, kekerapan pelanggaran boleh dikurangkan sehingga 48% jika lorong membelok ke kiri disediakan pada kedua-dua arah lalu lintas di jalan besar di persimpangan kawalan papan tanda berhenti. Di persimpangan lampu isyarat, nahas boleh dikurangkan sebanyak 33%. Keputusan akan menjadi lebih rendah sedikit di kawasan bandar.[2]

Lorong membelok ditandakan dengan satu anak panah yang membengkok menuju ke arah belokan yang hendak dilakukan di lorong tersebut. Anak panah yang mempunyai banyak kepala bermaksud pemandu boleh membelok pada salah satu daripada arah yang dibenarkan.

Lampu isyarat yang menghadap lalu lintas di lorong membelok sering mempunyai lampu-lampu berbentuk anak panah. Anak panak hijau bermaksud fasa belokan yang dilindungi, di mana pemandu boleh membelok tanpa gangguan daripada lalu lintas dari arah bertentangan. Anak panah merah bermaksud larangan membelok ke arah tersebut. Anah panah merah yang menyala bersama-sama lampu bulat hijau menunjukkan hanya arah pergerakan lalu lintas selain daripada yang ditandakan oleh anak panah merah sahaja yang dibenarkan. Dalam sesetengah peraturan, anak panah merah melarang belokan ke kiri (bagi negara yang memandu di sebelah kiri) atau kanan (bagi negara yang memandu di sebelah kanan) sewaktu lampu merah,[3] sedangkan di negara lain pula tidak begitu.

Keburukan lorong membelok termasuklah kawasan turapan yang semakin meningkat, bersama-sama dengan kos pembinaan dan penyelenggaraan yang meningkat, di samping jumlah larian air banjir yang meningkat. Ia juga meningkatkan jarak yang mana pejalan kaki terdedah kepada lalu lintas kenderaan.

Gambar rajah contoh persilangan dua jalan raya dari atas (lalu lintas bergerak di bahagian kanan jalan). Jalan Timur-Barat mempunyai lorong belokan ke kiri dari kedua-dua arah, tetapi Jalan Utara-Selatan pula tiada lorong membelok ke kiri di persimpangan ini. Lampu isyarat bagi Jalan Timur-Barat juga mempunyai lampu isyarat belokan ke kiri hijau yang menyala apabila belokan ke kiri tanpa gangguan boleh dilakukan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "[[Manual on Uniform Traffic Control Devices|Manual on Uniform Traffic Control Devices (MUTCD)]], Part 1" (PDF). U.S. DOT, Federal Highway Administration. December 11, 2009. Diperoleh pada November 28, 2011.  Wikilink embedded in URL title (bantuan)
  2. D.W. Harwood,et al., Safety Effectiveness of Intersection Left- and Right-Turn Lanes, Federal Highway Administration Office of Safety Research and Development, 2002, [1]
  3. New York State Driver's Manual, Chapter 4.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]