Shin Megami Tensei: Persona 3

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Persona 3 FES)

Shin Megami Tensei: Persona 3
Muka hadapan Persona 3 edisi Jepun
PembangunAtlus Co.
PenerbitAtlus Co. (Jepun/Asia dan Amerika Utara)
Koei (Eropah)
THQ (Jerman dan Australia)
Ghostlight (versi PSP)
KomposerShoji Meguro Sunting ini di Wikidata
SiriPersona Sunting ini di Wikidata
PlatformPlayStation 2
PelepasanPersona 3:

JPN 13 Julai, 2006
AU 14 Ogos, 2007[1]
PAL 28 Januari, 2008
Persona 3: FES:




GenrePermainan video berperanan (RPG)
ModSeorang pemain

Shin Megami Tensei: Persona 3 (Jepun: ペルソナ3, Hepburn: Perusona 3) (Tulisan Jawi: شين ميڬمي تنسإي: ڤرسونا 3) ialah judul keempat di dalam siri permainan video RPG berkonsol Persona. Persona 3 direka dan diterbitkan oleh Atlus Co. untuk sistem konsol Sony PlayStation 2. Persona 3 dikeluarkan di Jepun pada 13 Julai, 2006, manakala dikeluarkan di Amerika Utara pula pada 24 Julai, 2007, tetapi disebabkan kesilapan pengeluaran dengan buku seni Persona 3, tarikh keluarannya ditangguhkan sehingga 14 Ogos, 2007, serta keluaran di Eropah dan Australia pada 29 Februari, 2008. Sebuah bab baru dan beberapa tambahan yang lain telah dicipta dalam sebuah judul tambahan, iaitu Persona 3: FES, dikeluarkan di Jepun pada 19 April, 2007, manakala di Amerika Utara pula pada 22 April, 2008.

Persona 3 membawa para pemain mengawal kehidupan seorang pelajar sekolah menengah yang menyertai ahli-ahli lain daripada SEES-iaitu Specialized Extracurricular Execution Squad-untuk menentang Shadow dan makhluk lain yang muncul dalam waktu Dark Hour, iaitu waktu yang berlalu di antara satu hari dan hari seterusnya, setiap hari, yang hanya disedari oleh sebilangan manusia sahaja. Para pemain menggunakan senjata dan kebolehan sihir menerusi penggunaan "Persona" untuk mengalahkan musuh di dalam sebuah sistem bertarung mengikut giliran. Salah satu ciri yang ironik dalam judul ini dilihat apabila watak-wataknya menyeru Persona mereka: dengan menarik picu Evoker yang menyerupai sepucuk pistol, yang disasarkan di kepala mereka, yang tidak mencederakan mereka, tetapi memberi tekanan emosi yang mencukupi untuk memanggil keluar Persona tersebut. Selain daripada elemen-elemen biasa yang dilihat dalam RPG lain, Persona 3 juga mempunyai elemen simulasi dating yang serupa dengan corak permainan The Sims, mengikut perjalanan watak-wataknya menerusi pergerakan hari demi hari di dalam satu tahun sekolah, mengembangkan hubungannya dan mencipta rantai-rantai sosial untuk mengukuhkan Persona yang digunakan dalam pertarungan.

Judul ini telah menerima kritikan yang positif dan mendapat beberapa anugerah untuk tahun 2007.

Persona 3 versi Amerika Utara mengandungi buku seni tersebut, serta sebuah CD soundtrack.[2]

Gaya permainan[sunting | sunting sumber]

Contoh aktiviti harian di dalam Persona 3, di mana para pemain meningkatkan kemahiran akademik menerusi pembelajaran.

Persona 3 merupakan sebuah judul pembaharuan daripada judul-judul sebelumnya kerana jalan ceritanya berlangsung menerusi jangka masa yang tetap, yang berlaku hari demi hari berdasarkan satu tahun kalender,[3] berbanding gaya judul-judul RPG biasa yang lain. Seperti judul-judul sebelumnya, watak utamanya menuntut di sebuah sekolah menengah; akan tetapi, di dalam judul ini aktiviti-aktiviti sekolah adalah penting dalam membina sifat-sifat Watak Utama tersebut.[4] Sebagai contoh, jika watak utamanya berputus untuk belajar di perpustakaan sifat "Akademik" dirinya akan meningkat, ataupun dengan meneguk secawan "Pheromone Coffee" di mana "Karisma" dirinya akan meningkat, ataupun dengan meluangkan masanya menyanyi di pusat Karaoke untuk meningkatkan sifat "Keberanian" dirinya. Mencipta "Rantai Sosial" (Social Link) dengan bersahabat dan merapatkan hubungan di antara rakan sekelas dan lain-lain juga merupakan aspek utama yang penting, kerana akhirnya, kekuatan setiap hubungan yang terikat dengan Watak Utama akan memberi kesan terhadap prestasinya di dalam pertarungan. Gaya permainan Persona 3 adalah agak serupa dengan gaya permainan judul-judul permainan video RPG Jepun seperti Harvest Moon, Azure Dreams, atau judul ciptaan Atlus sendiri iaitu Imodoki no Vampire: Bloody Bride.

Meskipun separuh daripada permainannya ditujukan khas kepada kehidupan sebagai seorang remaja (bersosial, menyertai kelab-kelab, belajar, dan sebagainya), separuh lagi melibatkan pertarungan di dalam Tartarus, sebuah menara misteri yang asalnya merupakan sekolah menengah watak utamanya, di mana selepas melalui perubahan pada tengah malam, sekolah tersebut berubah menjadi menara yang dipenuhi musuh bergelar "Shadows". Beberapa tingkat tertentu dihuni "bos" dan peti-peti emas, manakala barang-barang yang dijumpai di dalam sebuah kotak pula ditaburkan di merata-rata tempat. Setiap tingkat di dalam Tartarus tidak mempunyai peta yang tetap, kecuali tingkat yang dihuni bos-bos kecil tersebut, justeru kawasan mereka adalah rawak setiap kali para pemain mengunjunginya. Kombinasi aspek-aspek seperti aktiviti-aktiviti harian serta eksplorasi-eksplorasi misteri ini memberi Persona 3 sebuah identiti unik dikalangan judul-judul Shin Megami Tensei, dan juga dikalangan genre RPG secara umumnya.

Sistem pertarungan Persona 3 adalah bergilir, di mana Watak Utama dan rakan-rakan seperjuangannya menggunakan Persona mereka untuk menentang musuh. Pertarungan di dalam Persona 3 mempamerkan penggunaan sistem Once More (Sekali Lagi), serupa dengan sistem Press Turn Battle (Pertarungan Tekan Bergilir) yang digunakan di dalam judul-judul Shin Megami Tensei kebelakangan ini seperti Digital Devil Saga, di mana para pemain diberi ganjaran dengan mengeksploitasi elemen kelemahan pihak musuh. Walau bagaimanapun, hanya giliran tambahan yang diberikan kepada individu yang berjaya melakukan ini, dan bukannya seluruh parti. Misalnya, jika seorang pemain menyerang satu Shadow yang lemah terhadap api dengan elemen api, musuh itu akan rebah. Jika semua musuh direbahkan, suatu serangan yang digelar All-out Attack (Serangan Habis-habisan) boleh dilakukan, di mana setiap ahli parti akan menyerang pihak musuh sekaligus, mencederakan mereka dengan serangan yang kuat, dipaparkan dengan gaya buku komik di mana onomatopoeia "Bam!" muncul di skrin.

Sebuah pertarungan biasa di dalam Persona 3, di mana hanya Watak Utama sahaja yang boleh dikawal para pemain.

Hanya watak protagonisnya sahaja yang boleh dikawal sacara langsung di dalam pertarungan, manakala rakan-rakannya ataupun ahli parti yang lain adalah di bawah kawalan AI.[5] Para pemain boleh memberi AI garis panduan menggunakan preset "Taktik", seperti "Sembuh/Sokong" atau "Serangan Penuh", yang boleh ditambah oleh pemain sepanjang permainannya. AI di dalam Persona 3 termasuk juga watak utamanya adalah di bawah pengaruh parameter tahap kesihatan yang beransur daripada "Hebat" (Great) kepada "Baik" (Good) atau "Letih" (Tired) kepada "Sakit" (Sick) sepanjang eksplorasi mereka di Tartarus. Jika seorang pemain atau rakan NPC di tahap "letih" atau "sakit", prestasi mereka di dalam pertarungan akan menurun dengan mendadak, dan akan lebih kerap menerima serangan kritikal. Tambahan pula, jika seorang watak itu di tahap "sakit", watak tersebut boleh mengakibatkan watak-watak lain diserang penyakit juga. Dengan rehat yang mencukupi, kesihatan watak boleh dipulihkan.

Di dalam pertarungan, Watak Utama dan rakan-rakannya menyeru Persona mereka menggunakan sejenis alat yang berbentuk serupa dengan sepucuk pistol bergelar "Evoker" (secara lit. "Pembangkit"), dengan meletakkan hujung objek tersebut di kepala mereka dan menarik picunya.[6] Dengan bantuan Persona mereka, parti mereka mampu menggunakan sihir dan melontar serangan-serangan khas (ahli parti itu sendiri boleh melakukan serangan fizikal biasa tanpa bantuan Persona). Meskipun rakan-rakan anda hanya mampu menyeru satu Persona sahaja, Watak Utama mampu menyimpan, menyeru dan mengubah Persona pilihannya, meskipun di dalam pertarungan. Apabila tahap para Persona meningkat para pemain mewarisi sifat-sifat di dalam bentuk statistik asas seperti kekuatan dan magik. Persona baharu boleh didapati menerusi permainan kad rawak, ataupun menerusi cantuman dua atau lebih Persona yang dimiliki. Dalam hal ini, mata pengalaman bonus yang diberikan kepada Persona yang dicantumkan adalah berdasarkan kekuatan Rantai Sosial yang dikaitkan dengan "Arcana" Persona tersebut. Social Link ataupun S-Link yang berada di tahap yang rendah menyumbang mata pengalaman yang kecil, manakala S-Link di tahap yang lebih tinggi menyumbang mata pengalaman yang lebih menguntungkan. Hubungan Rantai Sosial yang berada di had maksimum adalah diperlukan untuk mencipta Persona yang terkuat di dalam setiap satu Arcana.

Plot[sunting | sunting sumber]

Seorang remaja yang dibesarkan sebagai seorang anak yatim semasa kecil kembali ke bandar zaman silamnya. Sejurus selepas berpindah sekolah ke Sekolah Menengah Gekkoukan, dia diserang oleh beberapa Shadows - makhluk yang hidup dengan memakan minda mangsa-mangsa mereka. Serangan tersebut membangkitkan Persona di dalam dirinya, Orpheus, yang merupakan satu-satunya peluang yang dimiliki untuk menewaskan makhluk hitam itu. Dia kemudian mendapati bahawa dia berkongsi kuasa istimewa ini dengan murid-murid lain di sekolah barunya. Menerusi merekalah dia mengetahui tentang kewujudan "Dark Hour" (Waktu Gelap), sebuah dimensi dunia yang wujud di antara satu-satu hari dan hari kemudiannya, dihuni penuh oleh makhluk Shadows. Dia menyertai kumpulan Specialized Extracurricular Execution Squad (SEES) ataupun Pasukan Pelaksana Khusus Aktiviti Tambahan, dan bersama rakan-rakannya, mula menentang ancaman Shadows.

Selepas menandatangani satu kontrak di mana dia "menerima takdirnya di atas pilihannya sendiri," Watak Utama Persona 3 mula menentang Greater Shadows, jelmaan semula sifat-sifat dan bentuk yang serupa dengan Arcana Major dua belas pertama di dalam permainan Pakau. Semasa ini berlaku, dia tidak putus-putus bertemu dan akhirnya bersahabat dengan seorang budak lelaki yang memberinya kontrak tersebut pada permulaan kisah judul ini, yang merupakan satu entiti yang mengelar dirinya sebagai Pharos, mahupun identiti sebenarnya ialah Death, iaitu Arcana yang ketiga belas.

Watak-watak[sunting | sunting sumber]

Persona 3 bertumpu di sekitar kehidupan Watak Utama (Main Character). Berbeza daripada kebanyakan judul RPG yang lain, dia tidak mempunyai nama yang ditetapkan--meskipun ini adalah kebiasaan dalam permainan video MegaTen secara umumnya supaya dapat menyebarkan sifat normal Watak Senyap; di dalam keluaran manga yang rasmi dia digelar Minato Arisato. Dia mempunyai kelebihan yang unik berbanding ahli SEES yang lain kerana keupayaannya untuk mengubah Persona dalam pertarungan.

Selain daripada Watak Utama, terdapat sembilan orang watak lain yang boleh dikawal secara tidak langsung oleh para pemain. Setiap daripada mereka mempunyai hanya satu Persona dan diberi kategori arcanum mereka tersendiri. Watal-watak ini diperkenalkan secara beransur-ansur apabila para pemain meneroka kisah ini dengan lebih mendalam. Selepas beberapa ketika barulah antagonis utama yang lain diperkenalkan, dan mereka juga mempunyai keistimewaan untuk menyeru Persona. Para antagonis ini, yang mengelar kumpulan mereka sebagai Strega, mempunyai Persona tiruan dan memerlukan dadah untuk mengelakkan Persona mereka daripada membunuh mereka.

Pembangunan[sunting | sunting sumber]

Beberapa petunjuk terhadap sebuah judul Persona baru diberikan di sebuah acara yang ditujukan khas buat Devil Summoner dan untuk memeriahkan keluarannya pada bulan Mac 2006.[7] Beberapa hari kemudiannya, di dalam sebuah isu keluaran Famitsu, butir-butir mengenai Persona 3 dicetak di dalam sebuah artikel ringkas yang mengandungi maklumat tentang watak asas dan pertarungan. Di dalam artikel tersebut, Shigenori Soejima dikatakan bertanggungjawab sebagai pereka watak dan arahan seni dan bukannya artis dan pengarah siri itu yang sebelumnya, iaitu Kazuma Keneko. Artikel tersebut turut meletakkan slogan permainan video itu: "Masa tidak menunggu."[8] Slogan itu sendiri merupakan terjemahan daripada ayat Latin yang berbunyi "tempus neminem manet."

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Penerimaan
Markah agregat
PengagregatMarkah
Metacritic87/100 (51 ulasan)[13]
Markah ulasan
PenerbitanMarkah
Edge7/10
Famitsu33/40[9]
GameSpot8.5/10[5]
GameSpy4.5/5[10]
GameTrailers9/10[11]
IGN8.3[4]
Play Magazine9.5/10[12]
PlayStation Magazine9/10

Persona 3 mendapat ulasan yang, kebanyakan daripadanya, adalah positif sejak keluarannya di Amerika Utara, dengan beberapa pujian di atas ceritanya yang unik, latar belakang dan pendampingan elemen gaya permainan sim sosial bersertakan pertarungan-pertarungan yang mendampingnya.[14] Kritikan seringkali merujuk kepada struktur permainannya yang berulang dan kepayahan meneroka tingkat-tingkat di dalam Tartarus yang dijana secara rawak. Beberapa komen lain yang serupa ditujukan terhadap muziknya yang dimainkan secara berulangan, serta kekurangan pengawalan parti. Sesetengah juga mengatakan bahawa struktur "hari demi hari" Persona 3, yang memberikan para pemain kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang mereka ingini di antara waktu pertarungan yang boleh dan tidak boleh dielakkan, mungkin sekali mengakibatkan mereka berada di dalam situasi di mana mereka di bawah tahap yang sesuai untuk menghadapi serangan bos.[perlu rujukan]

Persona 3 juga telah terakru dengan sebuah kontroversi kecil,[15] kerana watak-wataknya menyeru "persona" mereka dengan menembak diri mereka di kepala dengan sejenis alatan yang digelar "Evoker," yang kelihatan serupa dengan sepucuk pistol. Namun begitu, Evoker tidak menggantikan penggunaan pistol di dalam dunia Persona 3, kerana pistol sebenar adalah digunakan oleh beberapa watak di dalam kisahnya.

GameSpot mengiktiraf Persona 3 sebagai judul RPG terbaik tahun 2007.[16]

Persona 3 FES[sunting | sunting sumber]

Kulit hadapan Shin Megami Tensei Persona 3 FES versi Amerika Utara.

Pada 19 April, 2007, Atlus Japan telah mengeluarkan sebuah disk tambahan untuk Persona 3 berjudul Persona 3 FES (Jepun: ペルソナ3フェス, Hepburn: Perusona 3 Fesu). Sebuah versi "director's cut", yang terdiri daripada Persona 3 dan Persona 3 FES, dikeluarkan pada hari yang sama. Menurut pengarah permainan videonya, iaitu Katsura Hashino, ringkasan perkataan "FES" dikatakan berasal daripada perkataan "festival".[17]

FES. selain daripada tambahan besar ke atas kandungan judul utamanya (permainan dan juga kisahnya), mengandungi sebuah kisah sambungan berjudul Episode Aegis, memberi masa selama tiga puluh jam lagi ke atas masa mainan.[18] Apabila memulakan permainan yang baru, para pemain diberi pilihan untuk memilih sama ada Episode Yourself ataupun Episode Aegis. Episode Yourself merupakan permainan video utamanya dengan beberapa objektif sekunder tambahan dan lain-lain, manakala Episode Aegis pula boleh dianggap sebagai sebuah sambungan, mempamerkan Aegis sebagai watak utamanya, dan penghujung yang sebenar. FES juga mengandungi pakaian-pakaian tambahan dan sebuah sistem sintesis senjata baru, dua puluh tiga Persona tambahan, dan sebuah mod setting tahap hard (Persona 3 yang asal hanya mempunyai mod Easy (Mudah) dan Normal (Biasa) sahaja).

Keluaran Persona 3 versi Amerika Utara tidak mengandungi kandungan daripada FES, mahupun Atlus tidak menyatakan tentang kemustahilan keluaran FES di sana pada masa akan datang.[perlu rujukan] Pada 19 Oktober, 2007, sebuah rujukan kepada "Pakej Pengembangan Persona 3" ditampal di sebuah laman web pelakon alihan suara profesional iaitu Steve Prince (yang melakukan alihan suara untuk watak Takaya dalam versi Amerika Utara Persona 3) di bawah judul "GAMES TO WATCH OUT FOR", mencadangkan bahawa versi Inggeris Persona 3 FES adalah sedang dikemaskinikan dengan Prince mendedahkan nama watak yang dimainkannya di dalam judul permainan video: "Takeharu, Vice Police Detective." Sejurus selepas "kebocoran" maklumat ini di forum permainan video online NeoGAF, rujukan tersebut dibuang. Selain itu, laman web pelakon suara latar kepada watak Arihiko dalam versi bahasa Inggeris, iaitu Liam O’Brien, dikemaskinikan untuk menyenaraikan Persona 3: FES -- dan serupa kepada resume Prince, ini juga dikeluarkan selepas kewujudanya bocor kepada pengguna awam. Namun, dalam isu Februari 2008 EGM, Persona 3 FES dikatakan akan dikeluarkan di Amerika Utara.[19]

Pada tanggal 18 Februari, 2008, Atlus meletakkan satu kiraan countdown di laman web rasmi mereka yang kelihatan cukup serupa kepada salah satu babak pembuka dalam Persona 3. Iklan-iklan juga muncul yang menunjukkan kiraan yang sama seperti yang dilihat pada laman Atlus, disertakan dengan logo Atlus bersama-sama lengan seseorang memegang Evoker. Ini dikhabarkan sebagai berita kepada pengumuman FES di Amerika.[20]

Pada 25 Februari, 2008, Atlus telah secara rasminya mengumumkan bahawa Persona 3: FES akan dijadualkan keluarannya di Amerika Utara pada 22 April, 2008.[21]

Plot FES[sunting | sunting sumber]

Sebulan selepas kejadian yang berlaku dalam Persona 3, ahli-ahli SEES yang tinggal berasa pilu dan sedih di atas berita yang mereka terima. Watak Utama, yang telah jatuh dalam keadaan koma, baru sahaja meninggal dunia. Bukan itu sahaja, malah dorm yang dihuni mereka akan ditutup. Apabila mereka semua bersiap-sedia untuk beredar, Mitsuru telah mengadakan sebuah parti selamat tingal. Meskipun Yukari dan Akihiko tidak dapat menghadiri parti tersebut, ahli-ahli SEES yang lain, termasuklah Aigis, menyambut parti itu bersama-sama. Walau bagaimanapun, di atas sebab-sebab yang tidak diketahui, tarikh yang tertera di kaca televisyen dan telefon bimbit mereka masih berada pada tanggal 31 Mac, 2010.

Pada tengah malam apabila semua orang telah bersedia untuk tidur, Aigis terjaga daripada tidurnya dan menemui seekor rama-rama biru di dalam biliknya. Rama-rama itu mendekati tapak tangan Aigis dan hilang apabila Fuuka memanggil namanya. Aigis dan Fuuka menuju ke tingkat satu dan terserempak dengan sebuah makhluk yang aneh, yang telah menyerang Aigis. Musuhnya itu, yang menggelar dirinya sebagai "Metis," mengaktifkan Orgia Mode dan menyerang Aigis menggunakan tukulnya. Metis menyerang Ken dan Aigis mula melihat bayangan "dia". Persona Aigis, iaitu Athena, menerkam ke arah Metis namun berubah menjadi Orpheus. Menggunakan Persona baru, Orpheus mencipta sejenis bunyi yang bernada tinggi yang telah mematikan sistem Aigis dan Metis buat sementara waktu. Apabila Aigis terjaga dia dilihat sedang duduk di atas kerusi, dan menerima ucapan selamat datang ke Velvet Room oleh Igor. Igor lalu memberitahu Aigis bahawa mereka berkongsi sebuah takdir yang sama, dan menjelaskan mengapa Orpheus telah menjawab seruannya.

Selepas menyedarkan diri dan berada di ruang tamu, Aigis dan ahli SEES yang lain telah menyoal-siasat Metis yang diikat pada kerusi. Metis yang menggelar dirinya sebagai adik Aigis berkata bahawa dia telah datang untuk menghapuskan kejadian waktu yang berhenti ini dengan percubaan membunuh setiap satu manusia di dorm tersebut kecuali Aigis. Selepas berbual panjang dengan ahli yang lain, menjelaskan sebab mengapa tarikh pada hari tersebut tidak berganjak, Metis menunjukkan Abyss of Time ataupun "Jurang Waktu", sebuah ruang berselirat misteri yang berhubung terus di bawah dorm. Untuk mengembalikan masa dunia mereka kepada yang asal, ahli-ahli SEES harus mengetahui lebih lanjut lagi tentang Abyss of Time dan mengembara jauh ke dasarnya. Aigis dipilih sebagai ketua kumpulan mereka kali ini disebabkan kebolehan barunya untuk menyeru beberapa Persona. Namun, makhluk selain daripada Metis juga mendiami Abyss of Time.

Apabila mereka mengembara lebih dalam lagi di dalam jurang tersebut, mereka berhadapan dengan makhluk shadow serta Watak Utama, namun peliknya dia sebenarnya juga merupakan makhluk shadow dengan Personanya tersendiri, iaitu Dark Athena. Selepas mengalahkan makhluk tersebut mereka diberitahu tentang kewujudan sebentuk "kunci" yang boleh membawa mereka ke masa lampau, masa kini atau masa hadapan. Dengan maklumat ini, mereka mula bertekak di antara satu sama lain tentang "kunci" tersebut. Sesetengah daripada ahli SEES itu ingin menyambung semula kehidupan mereka, namun terdapat juga mereka yang ingin membantu Watak Utama dalam pertarungan terakhir dan menghalangnya daripada mengalami keadaan koma, seperti Yukari. Aigis dan Metis menentang ahli-ahli SEES yang lain untuk mendapatkan kunci mereka, yang akhirnya bersatu menjadi satu. Aigis memutuskan bahawa dia tidak berupaya membuat pilihan sama ada ingin mematah balik masa ataupun bergerak ke hadapan, tanpa melihat terlebih dahulu penyebab kematian Watak Utama. Mereka menggunakan pintu terakhir yang muncul di hadapan mereka untuk melihat masa lampau, dan menyedari bahawa dia telah mengorbankan dirinya untuk menjadi perisai yang mengunci Nyx, justeru menghalangnya daripada menghancurkan dunia.

Namun begitu, Metis mengatakan bahawa sebuah perisai tidak diperlukan untuk menghalang Nyx (disebabkan Nyx tidak akan membahayakan nyawa manusia melainkan manusia sendiri yang inginkannya), dan mungkin sekali pengorbanannya adalah untuk satu sebab yang lain. Akan tetapi belum sempat mereka mengetahui sebabnya, parti mereka diganggu oleh suatu makhluk yang dikatakan telah lahir daripada perasaan-perasaan keji daripada mereka di seluruh dunia yang telah inginkan kematian, ataupun berasa bahawa mereka telah kehilangan keinginan untuk meneruskan kehidupan. Mereka ini berasa aman dalam kematian mereka yang mungkin sekali berlaku, dan mendayu-dayu memanggil nama Nyx dan menghajatkan berlakunya The Fall.

Makhluk yang muncul di hadapan mereka itu bergelar Erebus.

Kemudian mereka didedahkan kepada peranan SEBENAR perisai yang telah mengambil nyawa Watak Utama itu; bukannya untuk menghalang Nyx daripada manusia, tetapi sebagai pendorong kepada manusia supaya tidak dapat memanggil Nyx dan tidak membenarkan Erebus memenuhi hajat manusia meminta Nyx menghancurkan dunia. Walau bagaimanapun, perasaan jahat di dalam jiwa manusia telah terkumpul dan melahirkan Erebus buat bertahun-tahun lamanya, sejak lahirnya manusia lagi. Akhirnya kewujudannya lengkap, dan tugasnya dijalankan.

Erebus kemudian telah cuba untuk menembusi perisai tersebut, dan menghancurkan dunia. Apabila akhirnya menyedari bahawa keinginannya itu tidak boleh tercapai, Erebus telah cuba untuk menyerang ahli SEES termasuk Aigis dan Metis pula. Mereka yang tidak mahu melihat perisai tersebut ditembusi, terpaksa bertarung dengan makhluk gergasi tersebut.

Selepas menewaskan Erebus, mereka menggunakan kunci yang berada di tangan Aigis untuk mengembalikan semuanya kepada yang asal, tetapi mereka semua akhirnya tiba di Velvel Room. Metis sebenarnya bukanlah android sebenar, sekadar bayangan yang lahir daripada keinginan Aigis untuk kekal sebagai manusia, yang telah dibuang oleh dirinya sendiri. Ini menjelaskan sebab Aigis tidak mampu bermimpi baru-baru ini dan sebab utama Metis sentiasa berasa 'sunyi'. Aigis dan Metis bercantum menjadi satu kembali namun Aigis mula berasa letih sepertimana yang dirasai oleh Watak Utama beberapa ketika sebelum dirinya jatuh dalam keadaan koma.

Tarikh menunjukkan bahawa ia 1 April, 2010. Semua orang telah terjaga daripada tidur di ruang tamu di dorm mereka, dengan hati yang lega kerana masalah mereka telah diselesaikan, namun Aigis masih dibuai tidur. Yukari mencuba untuk mengejutkannya namun mula berasa panik, memikirkan nasib yang menimpa Watak Utama akan menimpa Aigis pula. Dengan membawa Aigis kembali ke biliknya, Fuuka telah cuba untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi Aigis menggunakan alat-alat miliknya sendiri. Litar-litar utama Aigis telah terbakar. Mitsuru mencadangkan bahawa Aigis kemungkinan harus dibawa ke makmal untuk dibaiki namun jika perkara tersebut berlaku, Aigis yang mereka kenal akan kehilangan semua memorinya. Ajaibnya, Aigis terjaga di dalam biliknya bersama-sama rakan-rakannya yang lain disampingnya. Matahari terbit pada pagi itu dan setiap seorang ahli SEES berada di ruang tamu dengan bagasi mereka. Junpei terjatuh di tangga apabila dia ingin membawa semua begnya pada waktu yang sama dalam satu adegan yang lucu.

Aigis membuat keputusan lewat bahawa dia ingin menyambung pembelajarannya bersama-sama rakan-rakannya di sekolah, dan berputus untuk meninggalkan niatnya untuk kembali ke makmal. Mitsuru mengubah destinasi mereka dan memberitahu pemandunya supaya menuju ke Dewan Tatsumi di sekolah mereka. Mereka semua meninggalkan dorm tersebut dan ia dikunci oleh Aigis. Apabila Aigis ingin melangkah turun anak tangga di Dorm mereka, Yukari mengajak Aigis menjadi rakan sebilik dengannya dan menyambut tangan Aigis. Aigis dilihat berada di atap Sekolah Menengah Gekkoukan, memandang ke arah langit yang biru, dengan senyuman dan hati yang cekal, melihat pergerakan masa yang indah dan bermakna.

Media[sunting | sunting sumber]

Persona 3 mempunyai koleksi media besar yang dikeluarkan.

CD audio[sunting | sunting sumber]

  • Persona 3 Original Soundtrack (SVWC-7380~81) (19 Julai, 2006)
  • Persona 3 Drama CD Vol. 1 - Daylight (FCCT-0050) (21 Mac, 2007)
  • Burn My Dread - Reincarnation: Persona 3 (SVWC-7460) (18 April, 2007)
  • Persona 3 Drama CD: A Certain Day of Summer (LACA-5635) (25 April, 2007)
  • Persona 3 Fes Original Soundtrack (SVWC-7464) (2 Mei, 2007)
  • Persona 3 Drama CD Vol. 2 - Moonlight (FCCT-51) (25 Mei, 2007)

Setiap muzik adalah hasil penggubah lagu Shoji Meguro. Persona 3 Original Soundtrack tidak mengandungi tiga buah lagu yang tidak digunakan di dalam permainan videonya, iaitu "Burn My Dread (Versi Karaoke)", "40 Seconds Unused Fanfare" dan versi bandar "Memories of School".

Novel[sunting | sunting sumber]

  • Persona 3 Owari no Kakera
  • Persona 3 Shadow Cry
  • P3 PERSONA3 Novel Anthology (25 Jun, 2007)

Manga[sunting | sunting sumber]

Sebuah adaptasi manga Persona 3 oleh Shūji Sogabe telah diterbitkan secara bulanan dalam Dengeki Maoh sejak 4 April, 2007.

Koleksi patung[sunting | sunting sumber]

Beberapa buah anak patung watak-watak telah direka oleh Kotobukiya, sebuah syarikat Jepun yang menghasilkan koleksi alat permainan. Ini termasuklah:

  • Watak Utama (Evoker dan kad pakau) (akan dikeluarkan pada bualan Disember 2007)[22]
  • Aigis (bahagian senjata berganda) (dikeluarkan bulan Ogos 2007)[23]
  • Mitsuru (Evoker dan pedang) (dikeluarkan bulan Julai 2007)[24]
  • Akihiko (Evoker dan sarung tangan) (akan dikeluarkan pada bulan Januari 2008)[25]

Mitsuru dan Aigis adalah berskala 1:7, dan Watak Utama Main Character dan Akihiko berskala 1:10. Watak-watak lelaki juga dikeluarkan bersama-sama sebuah CD mini yang mengandungi sebuah siri drama. CD tersebut adalah terhad kepada koleksi anak-anak patung ini. Patung-patung keluaran Kotobukiya mempunyai tapak yang mendirikan tubuh mereka berupa bulatan dengan sebuah lambang sekolah untuk Aigis dan Mitsuru, dan sebuah cermin untuk Watak Utama dan Akihiko. Kebanyakan daripada patung-patung ini mempunyaibahagian badan yang boleh diganti, termasuklah rantai lengan SEES, yang boleh disimpan di bahagian tapak.

Alter, iaitu sebuah syarikat Jepun yang khusus dalam patung koleksi, telah muncul dengan sebuah anak patung Aigis yang menunjukkan dirinya dalam aksi.[26] Anak patung ini berskala 1:8 dan adalah lebih terperinci rekaannya berbanding ciptaan Kotobukiya.Alter juga merancang untuk mengeluarkan patung Mitsuru berskala 1:8 pada bulan Jun, 2008.[27]

Fonkepala[sunting | sunting sumber]

Fonkepala yang digunakan oleh para protagonis dalam Persona 3, di pasaran di dalam sebuah keluaran edisi khas Persona 3 FES di Jepun, merupakan edisi Fonkepala Aluminium Ear-Fit ATH-EM700 SV (Perak) oleh Audio-Technica. Fonkepala yang dipasarkan di dalam Edisi Terhad Konamistyle, yang dipasarkan bersama-sama Persona 3: FES, sebuah pengikat, dan sebuah poster, mempunyai "P3" diletakkan pada fonkepalanya. Turut disertakan sebuah beg kantung terlindung yang mempunyai lambang sekolah protagonis padanya.

Fonkepala ATH-EM700 SV masih berada di pasaran, dan secara fizikalnya adalah sama, kecuali kewujudan logo dan beg kantung mereka.

Anime[sunting | sunting sumber]

Sebuah siri anime yang bertujuan sebagai penyambung kisah Persona 3 yang mengambil masa 10 tahun selepas kejadian permainan video itu, berjudul Persona -trinity soul-, telah diumumkan dan mula disiarkan bermula bulan Januari 2008.[28]

Versi portabel[sunting | sunting sumber]

Sukses dengan versi PS2-nya, Atlus mengumumkan port ke PlayStation Portable. Dengan judul Persona 3 Portable. Dengan 2 watak utama sekaligus. Pelepasan game ini pada tahun 2010, di Jepun, dan worldwide.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Persona 3 - Penangguhan Tarikh Keluaran". Atlus. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-10-18. Dicapai pada 2007-12-27.
  2. ^ Atlus mengesahkan tarikh keluaran AU dan Kandungan Diarkibkan 2011-09-17 di Wayback Machine;15 Ogos 2007
  3. ^ Persona 3 di 1UP.com[pautan mati kekal]; 8 Mei 2007
  4. ^ a b Jeff Haynes (2007-07-24). "Shin Megami Tensei: Persona 3 Review". IGN. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-14. Dicapai pada 2007-12-28. Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan); Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan)
  5. ^ a b Kevin VanOrd (2007-07-24). "Shin Megami Tensei: Persona 3 Review". GameSpot. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  6. ^ Ulasan Gamespot- Persona 3
  7. ^ Ringkasan Persona 3 oleh Digital Devil Database; 19 Oktober 2007
  8. ^ Ringkasan Persona 3 oleh Digital Devil Database; 19 Oktober 2007
  9. ^ "persona 3 - Famitsu Score Archive". Dicapai pada 2008-04-18.
  10. ^ "GameSpy: Shin Megami Tensei: Persona 3 Review". GameSpy. Dicapai pada 2008-04-18.
  11. ^ "Gametrailers.com - Persona 3 - Review". GameTrailers. Dicapai pada 2008-04-18.
  12. ^ "play online - PS2 : Persona 3". Dicapai pada 2008-04-18.
  13. ^ "Metacritic: Shin Megami Tensei: Persona 3". Metacritic. Dicapai pada 2009-04-18.
  14. ^ Ulasan Persona 3 oleh Got-Next.com; 2 November 2007
  15. ^ Temu ramah Atlus; Persona 3 oleh Digital Devil Database;19 Oktober 2007
  16. ^ Judul Terbaik GameSpot: Anugerah Genre RPG Terbaik di Gamespot pada 27 Oktober 2007.
  17. ^ Atlus Mengumumkan Persona 3 versi Director's Cut Diarkibkan 2012-08-01 di WebCite; Chris Winkler, 7 Disember 2006
  18. ^ Ulasan Persona 3 di 1UP
  19. ^ Majalah Electronic Gaming Monthly (isu Feb 2008} hlm. 34
  20. ^ Dobson, Jason. "Countodwn Atlus memberi harapan kepada Persona FES". Joystiq.
  21. ^ "Atlus mengumumkan Persona 3 FES untuk PS2". Atlus. Cite has empty unknown parameter: |1= (bantuan)
  22. ^ "Hero - Kotobukiya" (dalam bahasa Jepun). Kotobukiya.
  23. ^ "Aigis - Kotobukiya" (dalam bahasa Jepun). Kotobukiya.
  24. ^ "Mitsuru - Kotobukiya" (dalam bahasa Jepun). Kotobukiya.
  25. ^ "Akihiko - Kotobukiya" (dalam bahasa Jepun). Kotobukiya.
  26. ^ Aigis ALTER Diarkibkan 2007-12-11 di Wayback Machine; 30 November 2007
  27. ^ "Mitsuru - ALTER" (dalam bahasa Jepun). ALTER. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-01-27. Dicapai pada 2008-03-07.
  28. ^ Permainan video persona 3 diadaptasikan sebagai sebuah Anime Televisyen bulan Januari

Pautan luar[sunting | sunting sumber]